Perbandingan Peperangan Menentang Insurgensi Di Malaysia Dan Vietnam

0
1602
views

Kebangkitan perjuangan komunis di Malaysia terbahagi kepada dua peringkat bermula pada tahun 1948 – 1960 (Darurat Pertama) dan 1969 – 1989 (Darurat Kedua) manakala di Vietnam bermula pada 1955 – 1975. Kebangkitan komunis di kedua-dua buah negara bermula selepas Jepun menyerah kalah dalam Peperangan Dunia Kedua. Tujuan utama kebangkitan komunis adalah untuk membebaskan negara mereka dari penjajahan kuasa asing melalui penubuhan negara komunis. Di Malaysia penentangan di lakukan oleh parti Komunis Malaya (PKM) manakala di Vietnam oleh Liga Kemerdekaan Vietnam atau dalam Bahasa Vietnam Viet Nam Doc Lap Dong Minh Hoi atau lebih dikenali sebagai Viet Minh.

Kebangkitan komunis di Malaysia dan Vietnam juga dipengaruhi oleh perang Dingin di mana kedua-dua fahaman (komunis dan demokrasi) bersaing antara satu sama lain untuk menyebarkan fahaman mereka dan mengekang fahaman lawan. Pengaruh doktrin Insurgensi oleh Mao Tse-Tung juga salah satu faktor kebangkitan Insurgensi di rantau ini. Insurgensi menekankan kepada peperangan gerila dimana mereka akan mengelakkan kekuatan musuh mereka dengan menyerang titik lemah bagi mencapai kejayaan. Oleh kerana insurgen tidak mempunyai kelengkapan persenjataan yang hebat berbanding musuh, mereka menekankan penggunaan tambahan sumber manusia, pengetahuan terhadap bentuk muka bumi dan juga sokongan dari masyarakat tempatan.

Bagi memahami mengenai Insurgensi, definisi Insurgensi lebih terdahulu perlu difahami. Mengikut Kamus Inggeris Cambridge Insurgensi bermaksud kegiatan oleh satu pihak untuk mengambil alih negara menggunakan kekerasan. Manakala Nadl dalam bukunya bertajuk Counterinsurgency Lessons from Malaya and Vietnam: Learning to Eat Soup with a Knife perkataan insurgen atau gerila beasal dari perkataan Sepanyol ‘guerillos’ bermaksud perang kecil di mana pada 1808, sekumpulan kecil guerillo Sepanyol yang bergabung dengan British berkekuatan 60,000 menentang Perancis yang berkekuatan 250,000. Mereka berjaya menewaskan satu ketumbukan yang besar menggunakan taktik peperangan gerila. Berdasarkan kepada kedua-dua definisi, insurgen akan menentang kerajaan menggunakan taktik peperangan gerila untuk memanipulasi kelemahan musuh dan menggunakan kelebihan yang mereka ada.

Sehubungan itu, British dan Amerika Syarikat telah melaksanakan operasi ketenteraan untuk menyekat Insurgensi dimana British berjaya mengalahkan PKM semasa Darurat Pertama dan Malaysia pada Darurat Kedua. Nasib Amerika Syarikat berbeza di mana mereka mengalami kekalahan yang boleh dikatakan menjadi sejarah hitam kepada mereka.

Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan antara peperangan menentang Insurgensi di Malaysia dan Vietnam, analis yang dapat diberikan adalah seperti berikut:

Walaupun mempunyai ideologi dan objektif yang sama, tujuan PKM dan Viet Minh adalah berbeza dari segi politik, kedaulatan dan kaedah yang digunakan. Tujuan PKM adalah menubuhkan negara yang berpaksikan komunis dengan menggulingkan kerajaan British dan Malaysia (Darurat Kedua) dan pada ketika itu Malaya telah dijanjikan kemerdekaan oleh British.

Ini menyebabkan penduduk Malaya yang majoritinya orang melayu tidak berminat dengan perjuangan komunis dan lebih melihat ke arah kemerdekaan.  Manakala Viet Minh adalah untuk memerdekakan Vietnam dari penjajahan Perancis dan juga untuk penyatuan antara Vietnam Selatan dan Utara selepas pengunduran Perancis. Mereka melihat Amerika dan Perancis sebagai penjajah dan adalah menjadi kewajipan pada merdeka untuk menentang untuk kemerdekaan negara mereka di bawah satu bendera dan satu negara.

Taktik yang digunakan juga berbeza di mana PKM menggunakan kaedah gerila yang mana menumpukan terhadap serangan ke atas sumber ekonomi dan mendapatkan sokongan rakyat. Viet Minh menggunakan kaedah yang agak kompleks di mana ia menggabungkan peperangan konvensional dan juga gerila dimana kekuatan dan keupayaan mereka adalah setaraf dengan tentera Amerika Syarikat.

Tentera British merupakan sebuah learning institution  di mana mereka mengkaji setiap peperangan yang pernah mereka terlibat. Mereka mempelajari mengenai peperangan menentang Insurgensi semasa di Palestin dan juga melalui pengalaman mereka di Burma semasa Perang Dunia Kedua yang mana ia telah berjaya menghasilkan doktrin menentang Insurgensi. Menurut doktrin tersebut, mereka perlu memahami mengenai masyarakat dan budaya untuk mendapatkan sokongan dan menjauhkan insurgen daripada rakyat. Mereka juga menggunakan kekuatan yang minimum untuk menentang PKM kerana mereka berpendapat rakyat merupakan titik graviti bagi menumpaskan Insurgensi. Hasilnya British telah mengeluarkan Lima Prinsip Menentang Insurgensi iaitu:

  1. Kerajaan perlu mempunyai tujuan politik yang jelas untuk menubuhkan dan mengekalkan kemerdekaan, menyatukan negara menerusi politik dan ekonomi yang stabil.
  2. Kerajaan berfungsi mengikut undang-undang.
  3. Kerajaan mesti mempunyai pelan yang menyeluruh.
  4. Kerajaan mesti memberikan keutamaan untuk menumpaskan idea politik subversif bukan gerila.
  5. Dalam fasa gerila semasa insurgensi, kerajaan mestilah menentukan keselamatan kawasan mereka terlebih dahulu.

Manakala konsep oleh Tentera Amerika berbeza di mana prinsip peperangan mereka adalah memenangi sesuatu peperangan dengan cepat dengan menggunakan kekuatan kuasa tembakan untuk memusnahkan musuh. Ini dapat dilihat melalui rancangan Jeneral Westmoreland di Vietnam yang menekankan kepada pemburuan musuh untuk memaksa Viet Minh lari ataupun bertempur atau di kenali sebagai Cari dan Musnah (Search and Destroy) yang mana ia melibatkan penggunaan sumber manusia yang ramai. Ini kerana tentera Amerika menekankan kepada taktik konvensional dan mengabaikan pelajaran peperangan menentang Insurgensi terhadap pegawai dan anggota tentera Amerika Syarikat.

Waqaf Saham

Penempatan semula juga memainkan peranan penting dalam analisis ini. Rancangan Briggs telah diperkenalkan di Malaya di mana tujuan utama untuk mengekang pengaruh komunis di kalangan rakyat dan memutuskan bekalan logistik dan sumber kewangan kepada PKM. Di dalam rancangan tersebut, penduduk di kawasan pinggir hutan di bawa ke penempatan baru atau di kenali Kampung Baru yang mana ianya di kawal dengan ketat dan bekalan makanan dicatu. Briggs juga memperkenalkan konsep Kawasan Putih dan Hitam di mana Kawasan Putih adalah kawasan bebas dari komunis dan penduduk di kawasan tersebut boleh melakukan aktiviti mereka dengan bebas.

Manakala kawasan hitam pula adalah kawasan yang mempunyai aktiviti komunis yang tinggi dan penduduk di kawasan tersebut akan dikenakan perintah berkurung. Kedua-dua konsep dilaksanakan untuk menyekat sokongan rakyat kepada PKM. Bagi penduduk Kawasan Hitam, mereka akan diisytiharkan sebagai Kawasan Putih apabila ancaman komunis berjaya dikekang di kawasan tersebut. Manakala di Vietnam konsep yang sama diperkenalkan mengambil kaedah Rancangan Briggs dan dikenali sebagai pacification namun ia gagal.

Ini adalah kerana penduduk asal di kawasan tersebut enggan berpindah ke kawasan baru kerana mereka akan kehilangan tanah yang telah dimiliki sejak sekian lama. Selain itu penempatan atau hamlet tidak dibina dengan baik, sistem keselamatan yang longgar dan kurangnya perhatian di berikan pada peringkat awal turut menyumbang pada kegagalan. Ianya turut menyumbang kepada ketidakpercayaan pendudk Vietnam Selatan kepada kerajaan mereka.

Bagi mendapatkan kepercayaan rakyat, British dan kerajaan Malaysia telah melaksanakan program heart and mind dimana penumpuan diberikan kepada pembangunan dan program pemodenan yang memberikan faedah kepada rakyat dan negara. Ini akan memberikan rasa selamat dan keselesaan kepada rakyat yang mana ianya adalah elemen yang penting dan utama. Ini dizahirkan melalui KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri yang Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Amerika Syarikat juga mempunyai program yang sama di kenali sebagai  Civil Operations and Revolutionary Development Support (CORDS). Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan ekonomi, kesihatan dan kemudahan pendidikan di Vietnam Selatan. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan semangat nasionalisme di kalangan penduduk mereka bagi menyekat sokongan kepada tentera Vietnam Utara dan Viet Cong. Namun ia gagal kerana wujud jurang antara penduduk Vietnam Selatan dan kerajaan Vietnam Selatan yang disebabkan oleh kekejaman tentera Amerika terhadap penduduk Vietnam Selatan, korupsi dan juga keadaan politik yang tidak stabil.

Berdasarkan analisis tersebut, peperangan menentang insurgensi bukan semata-mata melibatkan penggunaan tentera tetapi ianya perlu melibatkan semua agensi terutamanya agensi kerajaan dan tentera. Kerajaan British dan Malaysia berjaya menggunakan kerjasama ini bagi mengekang komunis di Malaysia dan menamatkan Insurgensi. Manakala Vietnam Selatan menunjukan ketiadaan kerjasama antara kerajaan dan tentera (Amerika dan Vietnam Selatan) menyebabkan peperangan menentang Insurgensi gagal kerana sokongan rakyat yang berkurangan dan sebaliknya sokongan kepada Vietnam Utara bertambah. Jelas sekali sokongan rakyat terhadap kerajaan adalah penting dalam peperangan ini.

Rujukan

Yadi, Mohd Zakaria. (2004). Malaysian Emergencies: Anthropological Factors in The Success of Malaysia’s Counterinsurgency (Master’s Thesis). Monterey, California. Naval Postgraduate School.

Shari, A. (1987). Comparison of The Malayan Emergency and Vietnam War And Application of Lessons to Solve El Salvador Problems and Appropriate U.S. Military Assistance. US Army War College, Carlisle Barracks, Pennsylvania.

Andrade, D., James H. (2006). CORDS/Phoenix. Counterinsurgency Lessons from Vietnam for the Future. Military Review March – Apr 2006, 9 – 23.

Chong, O.W. (2007). War as They Knew It: War and Counterinsurgency in Southeast Asia. S. Rajaratnam School of International Study.

Nagl, J. A. (2002). Counterinsurgency Lessons from Malaya and Vietnam: Learning to Eat Soup with a Knife. The University of Chicago Press.

Barber, N. (1971). The War of the Running Dogs: How Malaya Defeated the Communist Guerrillas 1948-1960. Cassel, UK.