Peminat filem Sembilu dan juga Wings pasti mengenali lagu Di Ambang Wati yang menjadi antara lagu berhantu kumpulan itu. Tatkala mendengar lagu ini, ada sesuatu yang menarik perhatian saya lantas terus menganalisis.  Menariknya lagu ini seringkali dianggap sebagai madah pujangga yang dituju khas kepada wanita kerana frasa “wati” dan juga lagu latar Sembilu. Lagu ini juga terdapat dalam album terakhir Wings sebelum vokalisnya mengundurkan diri.

Sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung bantuan pandemik Covid-19. Jom beli: shopee.com.my/thepatriotsasia

Di Ambang Wati itu seolah-olah merujuk kepada di ambang mati dan mungkin juga penulis lirik sengaja menterbalikan huruf “M” kepada “W” sebagai tanda Wings sudah berada di ambang perpecahan. Hal ini kerana ketika keluarnya filem Sembilu, hubungan Wings bersama vokalis ini retak menanti belah. Tajuk lagu ini jika dilihat secara literal seolah-olah berbicara mengenai wanita. Hal ini dapat dilihat apabila penggunaan perkataan “Wati” yang sinonim dengan wanita dalam tajuk lagu itu sendiri. Jadi ayuh ikuti analisis ini.

Perbandingan antara lagu Di Ambang Wati dan syair Hamzah Fansuri.

Baris pertama dan kedua lirik lagu iaitu Yang putih bersih, Dalam gita kama membawa maksud Maha Suci Allah yang sering di alun nama-Nya dalam zikir. Hal ini dapat dibuktikan melalui perkataan suci itu sendiri bererti bersih dan kedua-dua frasa tersebut sering dikaitkan dengan warna putih. Sebagai contoh adalah, bersih lagikan putih dan suci lagikan bersih.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), gita bermaksud lagu ataupun nyanyian manakala kama pula membawa maksud cinta dan asmara (Wahyunah Haji Abd. Gani, 2018). Lagu cinta pada Tuhan Yang Esa dalam tradisi sufisme boleh disamaertikan dengan alunan zikir. Alunan zikir itu sendiri adalah sebuah bentuk puji-pujian dan memuja Yang Maha Esa.

Walaubagaimanapun terma puja itu sering disalaherti sebagai terma yang kelihatan agak buruk. Lagu cinta yang mengandungi frasa memuja sang kekasih bagi manusia juga bertepatan dengan zikir jika ianya diberikan kepada tuhan.

Baris pertama lirik dan syair dapat dikaitkan melalui maksud Maha Suci Allah. Menurut Syamsuddin Al Sumatrani (dalam Hasjmy, 2019) baris pertama syair membawa maksud Maha Suci Allah yang sempurna. Justeru itu, penulis lirik tersebut cuba menggambarkan kalimah Maha Suci Allah ke dalam perkataan Yang Putih Bersih. Baris pertama lagu dan syair ini berjaya mengungkapkan kekasih yang seyogia dipuja dalam lagu cinta adalah Yang Maha Kuasa lagikan Maha Sempurna.

Seterusnya, baris ketiga dan keempat lirik iaitu Si ratu yang dirindu, Persis citra sakti mimpi insan bermaksud Tuhan yang sentiasa hadir mimpi dan hati setiap hambanya. Menurut Wahyunah Haji Abd. Gani (2018) citra bererti gambaran, lukisan dan imej. Sakti pula bermaksud sebuah kekuasaan di luar kemampuan manusia biasa. Perkataan insan yang terdapat dalam lirik lagu tersebut membawa maksud manusia (Syamsuddin Al-Sumatrani dalam A. Hasjmy, 2019).

Dengan itu, baris tersebut akan berbunyi gambaran di luar kemampuan manusia biasa. Kenyataan tersebut bertepatan dengan kekuasaan Allah yang melampaui kemampuan manusia biasa. Baris kedua hingga terakhir syair memiliki sedikit persamaan dengan baris ketiga serta keempat lirik. Menurut Syamsuddin Al Sumatrani (dalam A. Hasjmy, 2019) baris kedua menyatakan menjadikan manusia yang berilmu dan bebal. Manakala baris ketiga menghujahkan Allah S.W.T yang laisa kamislihi syaiun. Baris keempat pula membicarakan Allah tiada bercerai dengan insan dan semesta sekalian itu.

Tambahan pula, mahbub itu adalah bermaksud kekasih, dalam erti kata lain Allah ialah sebenar-benar kekasih kepada sekalian manusia. Terma ini boleh dipadankan dengan perkataan ratu yang terdapat dalam lirik lagu tersebut. Menurut Kamus Pelajar Edisi Keempat, ratu diertikan sebagai wanita yang ditabalkan sebagai raja. Bukan itu sahaja, ratu juga bermaksud kekasih ataupun permaisuri kepada raja.

Penggunaan ratu dalam lagu ini menggambarkan kekasih abadi manusia iaitu Allah. Namun begitu, jangan pernah tersalah anggap ianya bersifat feminisme kerana tuhan tidak memiliki jantina. Persamaan maksud antara ratu dan mahbub itu secara jelas menyatakan Allah adalah kekasih yang sentiasa bersatu dengan hambanya. Ratu dalam erti kata lain juga digelarkan kepada orang yang paling dicintai dan Allah itulah sebaik-baik “ratu” yang harus di kasihi sepenuh jiwa. Oleh itu, kedua-duanya menyatakan bahawasanya Allah sentiasa ada dalam diri setiap manusia dan tidak akan pernah berpisah dengan hamba-Nya.

Perbandingan antara lagu Di Ambang Wati dan syair Hamzah Fansuri.

Baris pertama dan kedua lirik iaitu Di ambang wati, di dasar hati membawa maksud hati merasai maut yang semakin menghampiri diri. Perkataan di ambang wati itu adalah merujuk kepada kematian jika dilihat pada keseluruhan rangkap lirik tersebut. Terma wati itu mungkin sengaja diterbalikkan oleh penulis lirik daripada perkataan mati bagi menggambarkan situasi kumpulan Wings yang sedang berpecah pada ketika itu. Secara tidak langsung, situasi yang berlaku itu menjadi representasi tentang mesej kematian yang cuba di sampaikan.

Sementelahan itu, baris pertama syair pula mengujahkan bahawa anggotamu dan tubuhmu yang nyata ini pada sangka yang menyangka bahawa jadinya daripada tanah, angin, air serta api (Syamsuddin Al Sumatrani dalam A.Hasjmy, 2019). Mesej tentang kematian disampaikan oleh Hamzah Fansuri adalah lebih tersirat dengan menyatakan asal kejadian manusia ini daripada tanah.

Persamaan antara keduanya adalah kematian yang disebutkan oleh lirik lagu itu akan mengembalikan manusia kepada asal kejadiannya iaitu tanah. Kematian juga adalah saat kembali seseorang itu kepada pencipta untuk selama-lamanya.

Situasi ini mungkin boleh dikaitkan dengan cara manusia itu kembali dengan disemadikan dipusara melalui penyatuan diri dengan tanah. Secara ringkasnya, kedua-dua lagu dan syair tersebut menyatakan manusia itu akan kembali kepada asal kejadiannya iaitu tanah yang menjadi elemen penting dalam penciptaan insan. Secara tuntasnya rangkap lirik dan syair ini menyampaikan mesej tentang kematian yang akan melanda setiap umat manusia.

Perbandingan antara lagu Di Ambang Wati dan syair Hamzah Fansuri.

Baris pertama lirik iaitu Menunggu bayangan berahi membawa erti menanti kasih sayang dan rahmat daripada tuhan. Berahi didefinisikan sebagai perasaan cinta yang teramat dalam terhadap seseorang dan juga berunsurkan nafsu.

Nafsu atau berahi yang merujuk kepada lirik di atas merupakan nafsu baik seperti yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T “Wahai jiwa yang tenang (muthmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha (kepada Allah) dan diredhai (oleh Allah), maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” [Al Fajr : 27-30]. Nafsu muthmainnah ini hadir apabila Allah telah mengiktiraf seseorang itu sebagai hamba-Nya (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, 2015). Terma bayangan berahi tersebut adalah lambang kepada nafsu muthmainnah yang telah menguasai diri seseorang itu dengan perasaan sentiasa rindu untuk membuat amal kebajikan dan beribadat.

Di samping itu, baris pertama syair pula bermaksud bahawa Allah itu kekasih akan segala arif dan yang nyata pada mengenal Dia (Syamsuddin Al-Sumatrani dalam A.Hasjmy, 2019). Kedua-duanya menerangkan kasih sayang dan rahmat Allah itu akan diperolehi apabila manusia benar-benar mengenali-Nya.

Hal ini dapat dilihat apabila baris pertama lirik ditafsirkan sebagai perasaan dambakan kasih sayang tuhan melalui pengertian berahi dan baris pertama syair memberi jawapan hanya yang arif sahaja dapat mencintai-Nya. Baris syair ini masih lagi menerangkan nafsu muthmainnah yang amat bersesuaian dengan insan yang telah mencapai tahap taqwa dan makrifat. Penggunaan perkataan yang nyata mengenal Dia dan bayangan berahi itu memiliki persamaan apabila disandarkan kepada maksud nafsu muthmainnah tersebut.

Seterusnya, baris ketiga dan keempat lirik iaitu Mendamba ke pangkuan kekasih, Menangis dalam kesyahduan bererti seorang hamba yang ingin kembali kepada Tuhannya sehingga menangis sebagai tanda kesyukuran.

Kondisi ini sering berlaku dalam kalangan ahli sufi pada zaman silam. Hal ini demikian kerana, seorang ahli sufi itu beribadat semata-mata hanya kerana cinta yang mendalam kepada Allah. Mereka sudah tidak mempedulikan kewujudan syurga yang menjadi ganjaran apabila melakukan kebaikan di dunia. Ahli sufi hanya inginkan rahmat dan cinta Allah agar sentiasa tenang dalam menjalankan kehidupan. Terma menangis itu memberi maksud kegembiraan ahli sufi apabila tuhan menerima segala rasa cinta dan rindu itu.

Baris keempat syair ini pula bermaksud maka segala orang yang beroleh makrifat Allah S.W.T itu, senantiasa sampai kepada Allah S.W.T dengan tiada berkeputusan sampainya. Persamaan antara kedua-duanya adalah manusia yang sentiasa rindukan tuhan akan sentiasa berada dalam rahmat tuhan sehingga dirinya kembali kepada Yang Esa. Hal ini dapat dilihat apabila baris keempat syair tersebut seolah-olah memberikan jawapan kepada baris ketiga dan keempat lirik yang ingin kembali kepada tuhan.

Kerinduan yang disampaikan oleh lirik tersebut diselesaikan syair ini dengan penerangan ahli sufi itu akan sentiasa ingin kembali ke sisi tuhan hingga beranggapan dunia hanya fana semata-mata. Baris keempat syair ini menerangkan manusia yang melakukan segala perintah-Nya pasti akan sentiasa dalam rahmat Allah walaupun ajal belum menjemput. Penerimaan Allah terhadap hamba-Nya digambarkan dalam lirik tersebut melalui Menangis dalam kesyahduan. Sekali lagi lirik yang telah disebutkan lagi adalah lambang kegembiraan melalui sebuah tangisan yang sukar untuk diungkapkan.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Konklusinya, lirik lagu ciptaan Loloq ini secara jelas menggambarkan perjalanan dalam menuju tuhan atau lebih dikenali sebagai kematian. Beberapa bait lirik lagu ini juga secara jelas memasukkan unsur kematian dan ianya dapat dikaitkan dengan beberapa rangkap syair Hamzah Fansuri. Walaubagaimanapun, penggunaan laras bahasa dan gaya bahasa yang puitis agak menyukarkan penulis untuk menganalisis lagu ini.

Syair Bismillahirrahmanirrahim pula masih lagi menyatakan mesej kematian tetapi dalam konotasi yang agak tersirat. Penggunaan perkataan tanah dan manusia berasal daripada Allah tamsilnya menunjukkan syair ini juga membicara berkenaan kematian. Persamaan yang wujud antara kedua-dua karya ini mungkin disebabkan penulis lirik tersebut banyak dipengaruhi karya Hamzah Fansuri. Oleh itu, lagu ini memiliki unsur sufisme yang sangat sukar diterjemah melalui syair karya Hamzah Fansuri.

RUJUKAN:

Hasjmy. (2019). Ruba’i Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. (2015). Tingkat-tingkat nafsu. Dipetik dari https://www.yadim.com.my/v2/tingkat-tingkat-nafsu.

Wahyunah Haji Abd. Ghani. (2018). Mestika Kata: Kosa Kata Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Comments are closed.