Moving Forward As One

Perbandingan Bahasa: Baso Nogoghi vs Baso Minangkabau

1,374

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “perbandingan” telah ditakrifkan sebagai “hal berbanding atau dibandingkan”. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia, “bahasa” telah ditakrifkan “sistem lambang bunyi yang digunakan untuk mengidentifikasikan diri”.

Bahasa Melayu Negeri Sembilan (BMNS) dituturkan lebih 500 ribu orang di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan dan utara Melaka. Bahasa tersebut dikenali sebagai “Baso Nogoghi”.

Bahasa Minangkabau (BM) dituturkan oleh 8.5 juta orang di Indonesia dan Malaysia. Bahasa berkenaan tertumpu di Sumatera Barat, Sumatera Utara, Riau, Jambi, Bengkulu, Aceh, dan Negeri Sembilan. Bahasa tersebut dikenali sebagai “Baso Minangkabau”.

Apakah perbezaan dan persamaan antara Bahasa Melayu Negeri Sembilan dengan Bahasa Minangkabau? Barangkali artikel ini akan dapat membantu sedikit persoalan kita. Harap bacalah dengan tenang dan hati yang terbuka.

Ayuh dapatkan buku terbaru keluaran The Patriots, Rahsia Empayar Melayu Srivijaya dan The Malaccan Odssey di Shopee kami. Beli Srivijaya: http://t.ly/9z3K dan Melaka: http://t.ly/kn3A

Tumpuan penulis untuk Bahasa Melayu Negeri Sembilan adalah variasi yang dituturkan di Rembau, Negeri Sembilan. Manakala untuk Bahasa Minangkabau adalah di Nagari Batu Hampar, Padang, Indonesia.

NAMA BAHASA

Perhatikan nama asal dalam kedua-dua bahasa tersebut. Bahasa Melayu Negeri Sembilan dikenali sebagai “Baso Nogoghi” manakala Bahasa Minangkabau sebagai “Baso Minangkabau”.

Nama “Nogoghi” adalah singkatan daripada “Nogoghi Smilan”. Nama “Minangkabau” dipercayai berasal daripada perkataan “Minang” dan “Kabau”. Untuk pengetahuan semua “Minang” adalah sejenis buah yang dimakan bersama daun sirih manakala “Kabau” adalah sejenis haiwan.

BUNYI “R”

Untuk pengetahuan semua, kedua-dua bahasa tersebut menggunakan bunyi Geseran Lelangit Lembut Bersuara [ɣ]. Dalam Bahasa Inggeris, istilah tersebut dikenali sebagai “Voiced Velar Fricative”.

Cara untuk membuat bunyi itu adalah dengan meletakkan belakang lidah ke arah bahagian lelangit lembut. Untuk orang yang fasih Bahasa Arab, bunyi tersebut adalah sama dengan bunyi yang diwakili huruf “ghain (غ)”.

JIKA BERAKHIR DENGAN “A”

Perkataan yang berakhir dengan huruf “a” dalam Bahasa Melayu adalah sepadan dengan “o” dalam Bahasa Melayu Negeri Sembilan dan Bahasa Minangkabau.
Perkataan “ambo” dalam Bahasa Melayu Negeri Sembilan dan Bahasa Minangkabau adalah sepadan dengan perkataan “hamba” dalam Bajasa Melayu. Perkataan “ambo” merujuk kepada Kata Ganti Nama Diri Pertama.

DIFTONG

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “diftong” telah ditakrifkan sebagai “gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah”.

Bahasa Melayu Negeri Sembilan tidak mempunyai diftong. Untuk Bahasa Minangkabau, mereka mempunyai tujuh bunyi diftong. Diftong yang terdapat dalam Bahasa Minangkabau ialah [ia], [ua], [ea], [ui], [oi], [au], dan [ai].

Perkataan “burung” dikenali sebagai “bughong” dalam Bahasa Melayu Negeri Sembilan manakala “buruang” dalam Bahasa Minangkabau. Begitu juga dengan “paruik” dan “poghut”, serta “sajuak” dan “sojuk” yang masing-masing bermaksud “perut”, dan “sejuk”.

KATA TENTU

Kata tentu dalam kedua-dua bahasa tersebut diletakkan selepas kata nama. Sebagai contoh, Bahasa Melayu Negeri Sembilan menggunakan frasa “Rumah ini” manakala Bahasa Minangkabau menggunakan “Rumah ko”.

IMBUHAN

Kedua-dua bahasa tersebut mempunyai imbuhan yang berfungsi untuk membentuk pelbagai kata. Bahasa Melayu Negeri Sembilan menggunakan imbuhan “ter-” manakala Bahasa Minangkabau menggunakan imbuhan “tar-“.

Jika imbuhan tersebut dikonjugatkan dengan perkataan “raso” (rasa), ia masing-masing menjadi “teraso” dan “taraso”.

PERALIHAN BUNYI DARI PROTO-MALAYIK

Proto-Malayik (PM) adalah kajian bahasa purba yang telah melahirkan bahasa moden iaitu Melayu, Iban, Minangkabau dan sebagainya. Untuk pengetahuan, PM adalah anak kepada Proto-Malayo-Polinesia (PMP) di mana PMP adalah anak kepada Proto-Austronesia (PAN).

Contoh perkataan yang terdapat dalam PM adalah *mata, *təlur dan *rambut. Ketiga-tiga perkataan purba itu masing-masing membawa maksud “mata”, “telur” dan “rambut”.

Proto- Malayik: *mata
Bahasa Melayu Negeri Sembilan (BMNS): mato
Bahasa Minangkabau: mato

Proto- Malayik: *təlur
Bahasa Melayu Negeri Sembilan (BMNS): tolo
Bahasa Minangkabau: talua

Proto- Malayik: *rambut
Bahasa Melayu Negeri Sembilan (BMNS): ghambot
Bahasa Minangkabau: rambuik

Daripada contoh di atas:

Perkataan yang berakhir dengan bunyi [a] dalam Proto-Malayik telah berevolusi menjadi [o] dalam Bahasa Melayu Negeri Sembilan dan Bahasa Minangkabau.
Perkataan yang berakhir dengan bunyi [ur] dalam Proto-Malayik telah berevolusi menjadi [o] dalam Bahasa Melayu Negeri Sembilan dan diftong [ua] dalam Bahasa Minangkabau.

Perkataan “rambut” dalam Proto-Malayik telah menjadi “ghambot” dalam Bahasa Melayu Negeri Sembilan, manakala menjadi diftong dalam Bahasa Minangkabau, “rambuik”.

KEBOLEHFAHAMAN BERSAMA

Kebolehfahaman Bersama ataupun dalam bahasa Inggeris “Mutual Intelligibility” secara ringkasnya adalah situasi di mana penutur dapat memahami antara satu sama lain tanpa perlu pelajarinya.

Persoalannya, apakah penutur Bahasa Melayu Negeri Sembilan dan Bahasa Minangkabau dapat faham satu sama lain? Dengan keadaan, mereka tidak mengenali Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia Baku, tidak pernah bertemu dan mereka perlu berbual dengan menggunakan bahasa masing-masing.

Sejujurnya, penulis tiada jawapan untuk soalan tersebut. Harap mereka yang berkenaan dapat memberikan ulasan di dalam ruangan ulasan di bawah.

ANALISIS AYAT

Pertimbangkan ayat berikut. Ayat dalam kedua-dua bahasa tersebut bermaksud “Mereka membaca buku itu pada waktu malam”.

Bahasa Melayu Negeri Sembilan:
Memasing maco buku time malam.

Bahasa Minangkabau:
Baco e buku nin pas malamari.

Berdasarkan ayat di atas,

Kedua-dua bahasa tersebut berakhir dengan frasa penerang. Bahasa Melayu Negeri Sembilan menggunakan frasa “time malam” manakala Minangkabau menggunakan “pas malamari”.

Perkataan “maco” dalam Bahasa Melayu Negeri Sembilan berasal daripada perkataan “membaco”. Bunyi [b] diasimiliasikan dengan bunyi [m] yang berada pada bahagian sebelumnya.

Kedua-dua menggunakan kata nama yang sama iaitu “buku”. Perkataan tersebut berasal daripada Belanda, “boek”.

Bahasa Melayu Negeri Sembilan memilih “time”, manakala “pas” dalam Minangkabau. Perkataan “time” berasal daripada Inggeris, manakala “pas” daripada “salapas”.
Bahasa Minangkabau menggunakan istilah “malamari”. Perkataan berkenaan dipercayai berasal daripada perkataan “malam hari”.

Ayuh dapatkan buku terbaru keluaran The Patriots, Rahsia Empayar Melayu Srivijaya dan The Malaccan Odssey di Shopee kami. Beli Srivijaya: http://t.ly/9z3K dan Melaka: http://t.ly/kn3A

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah artikel tentang perbandingan antara Bahasa Melayu Negeri Sembilan, dan Bahasa Minangkabau. Perlu diingatkan, mereka adalah adik-beradik dengan Johor-Riau yang beribu-bapakan Proto-Malayik

Pada hakikatnya, penulis hendak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang membantu dalan menyiapkan artikel ini. Jasa mereka tidak terhitung banyaknya.

Apakah yang penulis terlupa tentang kedua-dua bahasa tersebut? Harap berikan ulasan anda di dalam ruangan ulasan di bawah.

RUJUKAN

Temubual penulis bersama penutur jati Baso Nogoghi dan Baso Minangkabau.

Dewan Bahasa dan Pustaka: Diftong. Dicapai pada 6hb September 2021 dari https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=diftong

Dewan Bahasa dan Pustaka: Perbandingan. Dicapai pada 6hb September 2021 dari https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=perbandingan

Kamus Besar Bahasa Indonesia: Bahasa. Dicapai pada 6hb September 2021 dari https://kbbi.kemdikbud.go.id/entri/bahasa

Negeri Sembilan Malay at Ethnologue (22nd ed., 2019)

Omniglot: Minangkabau. Dicapai pada 6hb September 2021 dari https://omniglot.com/writing/minangkabau.htm

Dialek Negeri Sembilan dam Dialel Minangkabau. Dicapai pada 6hb September 2021 dari Dialek_Negeri_Sembilan_dan_Dialek_Minangkabau_Morp.pdf

Ruangan komen telah ditutup.