Menulis tentang arkeologi dan sejarah purba sememangnya tidak akan lari dari bertembung dengan dua persoalan yang biasa dilontarkan, iaitu berkenaan dengan, “Saiz manusia purba” dan “Kewujudan manusia purba”. Atau lebih jelas, persoalannya berbentuk:

  1. Adakah benar manusia purba itu saiznya besar-besar belaka, dan mengecil dari semasa ke semasa sehingga mencapai saiz seperti sekarang?
  2. Apakah status rangka manusia purba yang ditemui oleh ahli-ahli arkeologi, sedangkan manusia pertama adalah Nabi Adam?

Sudah tentu, persoalan-persoalan ini lahir dari keyakinan kita terhadap sumber agama yang menyebutkan bahawa Nabi Adam merupakan manusia pertama yang diciptakan sehingga baginda digelar Abu Basyar (bapa segala manusia). Sumber inilah yang menjadi sandaran kepada lahirnya persoalan kedua itu. Sementara itu, persoalan pertama lahir dari sebuah hadis yang menyatakan bahawa saiz Nabi Adam adalah 60 hasta (27 meter) seperti yang terkandung di dalam Sahih Al-Bukhari. Matan hadis tersebut akan dikongsikan di bawah bila sampai ke perbincangannya nanti.

Kedua-dua persoalan yang dilontarkan itu sememangnya persoalan yang munasabah untuk dikemukakan. Keadaan ini hampir mirip dengan persoalan kontroversi, “Adakah manusia berasal dari beruk?” yang sering dilontarkan kepada ilmuwan-ilmuwan biologi, walapun soalan berkenaan beruk itu sendiri merupakan satu soalan fatal dan merupakan satu salah faham terbesar dalam kalangan masyarakat. Walaupun bunyinya agak far-stretched, mungkin tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa nada persoalan “Adakah manusia berasal dari beruk?” itu hampir mirip dengan persoalan, “Di manakah Allah?” Hal ini kerana premis kedua-dua soalan itu sendiri sudah menyalahi disiplin bidang ilmu masing-masing.

Apapun, soalan-soalan sebegini lahir dari kemusykilan yang timbul dalam kalangan kita, masyarakat yang melihat adanya unsur bersalah-salahan antara apa yang kita yakini (sumber agama) dan apa yang kita lihat dengan mata (bukti empirikal). Lahirnya persoalan sebegini bermaksud kita ingin mencari pencerahan terhadap keyakinan kita, setelah disuakan dengan penemuan dan penjelasan oleh para ilmuwan. Kita musykil; agama sebut sebegini tetapi penemuan pula kelihatan seperti bersalah-salahan dengannya. Maka, kita pun kemukakan soalan. Jadi pada saya, tiada masalah apa pun bila persoalkan sebegitu.

Cuma, permasalahan mula timbul bila kita mula menyikapinya secara tidak seimbang – sama ada terlalu condong pada keyakinan terhadap sumber agama sehingga mengenepikan penemuan empirikal, dan juga sebaliknya. Ketidakseimbangan ini berlaku dalam kedua-dua kem dan ini suatu perkara yang perlu kita cermati. 

Sebahagian kem yang kaya dengan pengetahuan berkenaan bukti-bukti empirikal cenderung untuk condong dengan sumber tersebut sehingga ada sebahagian daripadanya yang mengenepikan sumber-sumber agama. Begitu juga kem yang kaya dengan pengetahuan berkenaan sumber-sumber agama, mereka cenderung untuk condong pada sumber tersebut sehingga ada sebahagian daripadanya yang mengenepikan bukti-bukti empirikal.

Dalam erti kata lain, jawapan masing-masing tidaklah boleh dianggap salah, sebaliknya ia cuma bersifat half-truth (separa-benar). Penilaian terhadap kedua-dua penjelasan tersebut tidak boleh dilakukan secara terburu-buru tanpa dicermati.

Berkenaan topik ini, saya sempat mendengar dan membaca penjelasan ramai tokoh agama berkenaan kewujudan manusia purba sebelum Nabi Adam. Antaranya seperti Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Ustaz Abdul Somad, Buya Yahya dan Dr. Danial Zainal Abidin. Semuanya memberikan nada yang sama, sesuai dengan pandangan agama yang kita pegangi. Iaitu, Nabi Adam adalah manusia pertama.

Bagi yang membuat penambahan, mereka menjelaskan bahawa penciptaan manusia didahului oleh bangsa jin sebagaimana yang diketahui umum. Ada juga yang mengemukakan pendapat Imam Ibn Kathir berkenaan kewujudan bangsa al-Hin dan al-Bin sebelum jin diciptakan, walaupun pendapat ini kurang diterima dan disangkal oleh ‘Allamah Ibn ‘Asyur dalam Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir. Menerusi penjelasan sebegini, kita umat Islam meyakini bahawa sebelum manusia diciptakan dan menghuni bumi, Allah menciptakan jin.

Kemudian, dalam memberikan penerangan, sebahagian daripada agamawan tersebut mengambil peluang dalam topik ‘manusia purba’ ini untuk menyentuh perihal teori evolusi dan Charles Darwin pula, sebagaimana yang lazim kita dengar iaitu naratif, “Manusia berasal dari beruk”.

Tolak ketepi sebentar permasalahan dan pertegangan tentang perkara itu, kita fokuskan pada satu keanehan yang berlaku, di mana dalam membicarakan tentang teori evolusi, amat jarang kita mendengar nama-nama ilmuwan seperti Ibn Khaldun, Al-Jahiz dan Nasirudin Al-Tusi disebutkan oleh agamawan kita. Sedangkan, mereka memperkenalkan teori evolusi jauh lebih awal berbanding Charles Darwin dan malah Al-Jahiz sendiri diangkat sebagai bapa teori evolusi.

Di samping nama-nama tokoh itu tadi jarang disebut, antara yang luput dari perbahasan agamawan bila berbicara tentang manusia purba adalah penemuan-penemuan arkeologi yang sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa. Ini yang saya sebutkan sebagai ketidakseimbangan. Hujah semasa menjelaskan dari sudut yang dimahiri, cukup kemas. Namun penuh dengan kelompongan, atau lebih sesuai disebut sebagai kurang cermat bila cuba menyentuh soal yang berbalikannya pula. Keadaan ini tidak berlaku dalam kem agama sahaja. Hangpa-hangpa puak anti-Islam yang dok baca ni jangan bersorak sangat kata Islam sempit, jumud bagai. Hangpa pun serupa juga. Lebih teruk pun ada.

KEWUJUDAN MANUSIA PURBA

Walau bagaimanapun, ketidakseimbangan ini bukanlah permasalahan total yang menyelubungi dunia keilmuan. Ada sahaja individu-individu kritis yang cermat dalam mengemukakan hujah dari kedua-dua sudut. Antaranya seperti Profesor Syed Naquib al-Attas.

Dalam meyakini bahawa Nabi Adam adalah manusia pertama, beberapa ilmuwan meletakkan anggaran bahawa usia manusia sejak Nabi Adam hinggalah sekarang adalah sekitar 7000 – 8000 tahun. Misalnya, Profesor Syed Naquib al-Atas meletakkan bahawa sejarah kemanusiaan berusia 7169 tahun, iaitu bermula sekitar 5000SM.

Sebagai nota untuk membuat perbandingan, peradaban pertama manusia sebagaimana yang dicatatkan oleh Barat sendiri hanya bermula sekitar 6000 tahun lalu di Mesopotamia (4000SM). Antara binaan yang dibangunkan di masa-masa itu adalah Piramid Djoser (sekitar 2700SM), piramid di Brazil (3000SM), Stonehenge (3000SM) dan malah, sistem tulisan kuneiform juga dicipta pada 3500-3000SM.

Ada juga yang meletakkan usia kemanusiaan lebih awal sedikit, iaitu sekitar 7000 hingga 8000SM, berdasarkan penemuan-penemuan arkeologi yang ditemukan setakat semasa anggaran tersebut dibuat. Sebagai perbandingan, antara petempatan yang wujud di sekitar masa itu adalah Petempatan Catalhoyuk di Turki (7500-5700SM).

Walau bagaimanapun, penemuan dari semasa ke semasa menjumpai petempatan dan tapak arkeologi yang berusia lebih awal berbanding 8000SM. Misalnya, Gobekli Tepe di Turki berusia lebih 11 000 tahun (9600SM) dan Tell es-Sultan di Jericho berusia 10 000 tahun (9000SM). Amalan pertanian terawal juga dianggarkan bermula sekitar 12 000SM, 10 000SM dan 8000SM bergantung pada tempat. Ada juga penyelidikan yang menemukan usia yang jauh lebih awal berbanding itu.

Justeru secara peribadi, saya menerima pendapat yang mengatakan bahawa sejarah kemanusiaan bermula pada 7169 tahun dahulu, seperti yang dikemukakan oleh Profesor Syed Naquib al-Attas, memandangkan ia bersamaan dengan usia terbangunnya peradaban manusia. Saya juga menerima pendapat yang meletakkan 7000 atau 8000SM sebagai tahun bermulanya sejarah kemanusiaan, kerana kesesuaiannya dengan usia petempatan dan amalan pertanian terawal.

Di samping itu, terdapat juga kajian yang mengemukakan bahawa pada 12 000 hingga 14 000 tahun dahulu, bumi pernah dihentam oleh satu komet yang memusnahkan hidupan ketika itu. Justeru, agak munasabah apabila manusia ‘moden’ memulakan sejarah mereka sekitar 12 000 tahun yang lalu – memulakan pertanian, membina petempatan, dan membangunkan peradaban. Sementara itu, tinggalan-tinggalan sejarah yang melangkaui usia sebelum itu berkemungkinan adalah legasi makhluk primitif yang tidak dirujuk sebagai manusia.

Berkenaan kewujudan penghuni bumi purba sebelum penciptaan Nabi Adam, saya cenderung kepada pendapat yang dikemukakan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili. Memetik rencana berkenaan persoalan ini dari laman rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, dituliskan bahawa Syeikh Wahbah al-Zuhaili mengemukakan beberapa kemungkinan sebab para malaikat mengetahui manusia akan berbuat kerosakan, iaitu:

  • Melalui perkhabaran daripada Allah SWT
  • Pengetahuan daripada Luh Mahfuz
  • Mereka mengetahui bahawa hanya malaikat satu-satunya makhluk yang terjaga daripada dosa seluruhnya
  • Mengqiyaskan manusia dengan jin yang pernah mendiami bumi dan berbuat kerosakan
  • Terdapat sejenis makhluk sebelum Nabi Adam yang berbuat kerosakan di bumi dan menumpahkan darah, dan mereka inilah yang akan digantikan oleh kaum manusia untuk menjadi khalifah di bumi. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ مِن بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ


Maksudnya: Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

SAIZ MANUSIA PURBA

Berkenaan dengan persoalan tentang saiz manusia purba pula, saya mengalami kemusykilan yang rupanya pernah dilontarkan oleh Imam ibn Hajar al-Asqalani. Sebelum melanjutkan tentang kemusykilan beliau itu, kita perlahankan semula tempo perbincangan. Pemahaman umum meyakini bahawa saiz Nabi Adam adalah 60 hasta. Keyakinan ini bersumberkan daripada hadis yang terkandung di dalam Sahih al-Bukhari:

عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم، قال: ” خلق الله آدم وطوله ستون ذراعا، ثم قال: اذهب فسلم على أولئك من الملائكة، فاستمع ما يحيونك، تحيتك وتحية ذريتك، فقال السلام عليكم، فقالوا: السلام عليك ورحمة الله ، فزادوه: ورحمة الله، فكل من يدخل الجنة على صورة آدم، فلم يزل الخلق ينقص حتى الآن “

Terjemahan: Dari Abu Hurairah radiyallahu anhu dari Nabi S.A.W. katanya, “Allah menciptakan Adam dengan tingginya 60 hasta (27 hasta). Kemudian, Allah berkata, “Pergilah dan ucaplah salam kepada kumpulan malaikat, dengarkanlah bagaimana mereka menjawab salam kepada engkau, itulah salam bagi engkau dan zuriatmu.” Lalu ‘alaihissalam berkata, “Assalamualaikum”. Mereka menjawab, “Assalamualaika wa rahmatullah.” Mereka menambahkan ‘warahmatullah’. Setiap yang akan memasuki syurga adalah dalam rupa Adam. Manusia sentiasa berkurangan sejak penciptaannya sehingga sekarang.” – Sahih al-Bukhari, Kitab Ahaadithul Anbiya’. Bab Penciptaan Adam dan keturunannya. No 3326.

Menerusi hadis ini, umum memahami bahawa saiz manusia purba adalah besar-besar belaka. Dan kemudian, saiz tersebut berkurangan dari semasa ke semasa hinggalah mencapai saiz kita sekarang. Pemahaman ini juga bersandarkan pada hadis tersebut, atau lebih tepat, frasa terakhir yang menyebutkan, “Manusia sentiasa berkurangan sejak penciptaannya sehingga sekarang.” (selingan: jika menerima pendapat pengecilan saiz manusia ini, penjelasannya memerlukan pengetahuan tentang evolusi)

Walau bagaimanapun, secara peribadi, saya mengalami sekurang-kurangnya dua kemusykilan berkenaan pemahaman ini. Salah satu kemusykilan tersebut turut pernah dicatatkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari. Tulis beliau:


وَيَشْكُلُ عَلَى هَذَا مَا يُوجَدُ الْآنَ مِنْ آثَارِ الْأُمَمِ السَّالِفَةِ كَدِيَارِ ثَمُودَ فَإِنَّ مَسَاكِنَهُمْ تَدُلُّ عَلَى أَنَّ قَامَاتِهِمْ لَمْ تَكُنْ مُفْرِطَةَ الطُّولِ عَلَى حَسَبِ مَا يَقْتَضِيهِ التَّرْتِيبُ السَّابِقُ وَلَا شَكَّ أَنَّ عَهْدَهُمْ قَدِيمٌ وَأَنَّ الزَّمَانَ الَّذِي بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ آدَمَ دُونَ الزَّمَانِ الَّذِي بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ أَوَّلِ هَذِهِ الْأُمَّةِ وَلَمْ يَظْهَرْ لِي إِلَى الْآنَ مَا يُزِيلُ هَذَا الْإِشْكَالِ الْحَدِيثُ

“Juga dipermasalahkan di sini akan apa yang didapati dari riwayat-riwayat imam salaf seperti rumah-rumah kaum Thamud, sesungguhnya tempat-tempat tinggal mereka tidak terlalu tinggi seperti yang disebutkan sebelumnya, tidak syak bahawa zaman mereka adalah zaman awal dan sesungguhnya jarak zaman di antara mereka dan Adam lebih kurang (pendek) dari jarak antara zaman mereka dengan zaman permulaan umat ini. Masih belum jelas kepadaku sehingga sekarang sesuatu penjelasan yang menghilangkan perkara yang tidak jelas dalam memahami hadith ini”

Dalam erti kata lain, kemusykilan beliau ini bersangkut-paut dengan penemuan arkeologi. Mungkin terdapat sebahagian penemuan yang menjumpai binaan atau tulang rangka yang saiznya agak besar. Tetapi, penemuan sebegini sangat jarang dan sebahagiannya pula telah disahkan sebagai palsu. Memang benar ada, tetapi tidak banyak. Ada yang dikaitkan dengan Nabi Ibrahim dan ada yang dikaitkan dengan kaum Ad. Apapun, kemusykilan sebeginilah yang disuarakan oleh Imam Ibn Hajar berkenaan monumen peninggalan kaum Thamud yang saiznya tidak besar.

Antara penemuan arkeologi yang sempat saya tulis adalah berkenaan botol susu bayi prasejarah yang sebahagiannya dihasilkan pada 1200-8000SM. Begitu juga dengan penemuan rangka manusia berusia 6000 tahun (4000SM) di Gua Chawan, Kelantan. Kesemuanya bersaiz seperti saiz manusia sekarang.

Kemusykilan kedua pula berkisar pada pemahaman yang mengatakan bahawa memandangkan saiz manusia purba besar-besar belaka, maka tidak hairanlah mereka berupaya membina piramid dan bangunan-bangunan hebat. Lebih menjurus, kemusykilan ini lahir dari satu persoalan terhadap pemahaman tersebut, iaitu “Jika membina piramid atau binaan-binaan hebat itu satu perkara yang mudah (sesuai dengan saiz manusia purba yang besar), mengapa di dalam al-Qur’an menyifatkan binaan tersebut sebagai binaan yang tidak pernah dibangunkan oleh manusia? Dan jika pembinaannya mudah, mengapa kadar keangkuhan firaun yang membina piramid itu keterlaluan?”

Selain itu, piramid bukan sahaja wujud di Mesir dan ia juga bukan satu-satunya jenis binaan hebat yang wujud dalam sejarah manusia. Anggapan pembinaan bangunan hebat sebegini sebagai satu pekerjaan yang mudah atas faktor saiz manusia purba yang besar memiliki kelompongan yang perlu dicermati. Walaupun ia tidaklah selompong idea yang menyatakan bahawa ia dibina oleh makhluk asing, namun idea itu tetap jua perlu dicermati.

Hal ini kerana di samping idea itu cenderung menghadirkan kemusykilan selaras  kenyataan di dalam al-Qur’an seperti yang disebutkan di atas, ia juga lompong dari sudut sumber teks klasik baik dari Mesir, Yunani, Mesopotamia dan juga Cina yang masing-masing membina ketamadunan cukup awal dan memiliki binaan-binaan hebat. Malah, agak epik juga seandainya binaan-binaan yang dikelaskan sebagai Keajaiban Dunia Purba rupanya tidaklah seajaib mana kerana dibina oleh ‘gergasi’. Ini kemusykilan kedua saya berkenaan pemahaman terhadap saiz manusia purba yang besar.

Dalam membahaskan kemusykilan yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan hadis yang menyebut tentang saiz 60 hasta itu, Mufti Taqi Uthmani menaqalkan dari Maulana Shah al-Kashmiri:

“Ia bukanlah bermakna ketinggian manusia terus-menerus berkurangan pada setiap zaman. Bahkan yang dimaksudkan adalah tubuh manusia senantiasa berada dalam keadaan berkurangan itu selepas dari Adam. Ini diambil dari guru kepada guru-guru kami iaitu al-Kashmiri rahimahullah bahawa 60 hasta merujuk kepada kadar ketinggian Adam a.s. di syurga. Setelah turun dari syurga, ia berkurangan dan keturunannya dilahirkan dalam anggaran ketinggian yang berkurang itu sehingga hari ini. Sesungguhnya, mereka akan dikembalikan kepada ketinggian asal bilamana kembali ke syurga. Kata baginda Nabi, “Berterusan berkurangan” itu berkemungkinan memaksudkan bahawa “Sesungguhnya mereka berterusan dilahirkan dalam kekurangan (dari ketinggian Adam).

Daripada penerangan beliau ini, dapat difahami bahawa ketinggian 60 hasta itu adalah merujuk kepada ketinggian baginda ketika di syurga. Manusia setelah Nabi Adam tidak akan mencapai tinggi Adam di syurga, melainkan ketika mereka berada di syurga kelak. Bagi ‘berterusan berkurangan’ itu pula, ia merujuk kepada saiz anak Adam secara keseluruhan yang terus berada dalam saiz yang telah dikurangkan dan bukannya merujuk kepada penurunan berkadar pada setiap zaman.

Tambahan lagi, konteks matan hadis tersebut lebih bertumpu kepada dua mesej, iaitu (1) penciptaan Nabi Adam di syurga di mana baginda memberikan salam kepada malaikat dan (2) merujuk kepada keadaan manusia ketika memasuki syurga.

Bilamana diterima pendapat yang mengatakan bahawa 60 hasta itu merujuk kepada ketinggian Nabi Adam semasa di syurga dan bukannya di bumi, maka terjawablah persoalan tentang penemuan-penemuan fosil manusia purba yang saiznya lebih kurang sahaja seperti kita.

Secara peribadi, saya cenderung berpegang kepada penjelasan ini memandangkan ia selari dengan penemuan-penemuan arkeologi sekaligus dapat merungkaikan kemusykilan yang dilontarkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani tadi. Lebih daripada itu, hadis yang menyebutkan tentang saiz 60 hasta pula tidak memberikan pengkhususan sama ada ia saiz di bumi ataupun saiz di syurga, atau berlakukah perubahan saiz semasa baginda diturunkan ke bumi. Walau bagaimanapun, penjelasan yang diberikan ini merupakan salah satu dari sekalian penjelasan yang dikemukakan.

Diharapkan semoga penulisan kali ini serba-sedikit memberikan kemanfaatan bagi kita dalam mencermati pemahaman tentang saiz dan kewujudan manusia purba.

RUJUKAN

Tinggi Adam ‘alaihissalam 60 hasta? Meniti Titian Sebenar.
http://titian-sebenar.blogspot.com/2014/03/tinggi-adam-alaihissalam-60-hasta.html

Luqman Tarmizi. (29 April 2019). Al-Afkar #58: Adakah Wujud Manusia Lain Sebelum Nabi Adam A.S. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/3355-al-afkar-58-adakah-wujud-manusia-lain-sebelum-nabi-adam-a-s

Berita Harian. (24 Disember 2015). Umur Manusia 7000-8000 tahun.
https://www.bharian.com.my/node/107926

Matt Williams. (23 Mac 2019). 13 000 Years Ago, a comet set earth on fire says shocking new evidence. Science Alert.
https://www.sciencealert.com/new-evidence-suggests-a-comet-set-earth-on-fire-13-000-years-ago

American Friends of Tel Aviv University. (22 Julai 2015). First Evidence of farming in Mideast 23 000 years ago. Science Daily.
https://www.sciencedaily.com/releases/2015/07/150722144709.htm

Karen Carr. (n.d.) History of Farming. Quatr.us.
https://quatr.us/west-asia/history-farming-plow-harrow-irrigation.htm


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.