Srivijaya merupakan sebuah Empayar Talassokrasi terbesar yang pernah wujud di alam Melayu. Empayar ini wujud sebagai hegemoni kuasa yang mempunyai seorang maharaja dengan konsep devaraja di antara negara-negara Kedatuan Srivijaya.

Srivijaya wujud selama lebih kurang 600 tahun, sejak permulaan Empayar ini menghantar ufti ke Negara Cina sekitar Tahun 670 M sehinggalah kemundurannya sekitar tahun 1380-an M, setelah Kerajaan China menukar polisi perdagangannya daripada berpusat kepada satu entiti, kepada perdagangan terus dengan negara-negara lain.

Srivijaya telah dilupakan terus dari kamus kerajaan-kerajaan dalam tamadun Melayu, sebelum ditemukan kembali oleh George Coedes pada Tahun 1918. Seorang maharaja Melayu Srivijaya pernah mengutuskan surat kepada Maharaja Sung pada Tahun 1017 dengan menggelarkan dirinya sebagai “Maharaja Kawasan Kelautan.”

Prof. George Coedes. Sumber: Wikimedia

Coedes mengemukakan teori mula asal Srivijaya ialah di Palembang, Tenggara Pulau Sumatra. Pada Tahun 1913, Prof. Kern menerbitkan Piagam Kota Kapur dan menganggap Srivijaya pada piaga tersebut ialah nama seorang raja.

Namun begitu, Takakusu yang menterjemahkan karya I-Ching iaitu Nan-hai-chi-kuei-nai fa-ch’uan (Rekod Agama Buddha yang dipraktikkan di India dan Kepulauan Melayu) menyebutkan Srivijaya (Shih-lih-fo-shih) atau Sribhoga menunjukkan Srivijaya ialah nama sebuah kerajaan, bukan seorang maharaja.

Coedes meneruskan pencariannnya dan beliau mencuba menetapkan ibukota Srivijaya di Palembang melalui penulisan Groeneveldt (1876) yang menyatakan bahawa San-fo-ts’i ialah Palembang. Beal (1886) pula menetapkan bahawa Negara Shih-lih-fo-shih terletak di pinggir Sungai Musi berhampiran Kota Palembang.

Penemuan Coedes di atas nama Srivijaya itu menarik perhatian ramai sarjana-sarjana Sejarah terutamanya Sarjana Sejarah dari Belanda yang sebelum ini lebih menumpukan pencarian mereka terhadap sejarah di Pulau Jawa.

Setahun selepas penemuan Coedes, iaitu pada Tahun 1919, Prof. Krom yang dilantik menjadi Dekan di Universiti Leiden menegaskan bahawa Sejarah Jawa juga termasuk di dalam sejarah Raja-raja Sumatra (Srivijaya). Beliau berhujah berdasarkan dapatannya terhadap Prasasti Gandasuli (Tahun 832) di Jawa Tengah.

Sepanjang masa itu, selama 10 tahun, para sarjana sejarah mengikuti sahaja teori Coedes tersebut tanpa sebarang bantahan. Namun begitu, pada Tahun 1929, teori Coedes mula mendapat bantahan daripada Stutterheim yang membantah dengan mengatakan bahawa Srivijaya yang menjadi negara bawahan Jawa, bukan sebaliknya (Srivijaya adalah negara yang mendominasi Pulau Jawa mengikut dapatan Coedes dan Krom).

Krom mengkritik pendapat Stutterheim dan dalam buku Hindoe-Javaansche, Krom menegaskan dapatannya pada Tahun 1913 lebih tepat dan autentik berbanding dapatan Stutterheim.

Pada Tahun 1930, George Coedes menerbitkan karya terbaharu berkaitan dengan Srivijaya iaitu Les Inscriptions Malaises de Crivijaya yang mengkompilasikan semua prasasti-prasasti Srivijaya berbahasa Melayu seperti Prasasti Kedukan Bukit (683), Talang Tuwo (684), Kota Kapur dan Karang Brahi (686).

Namun begitu, Pada Tahun 1933, Dekan Sejarah India iaitu R.C. Majumdar merasa ragu dengan dapatan ibukota Srivijaya bermula di Palembang. Beliau mengemukakan teori bahawa Ibukota Srivijaya ialah di Semenanjung Tanah Melayu semasa kunjungan I-Ching.

Selain itu, terdapat penemuan cincin emas pada Tahun 1932 di Tanjung Rawa, Selinsing, Perak yang bercacahkan nama Cri Visnuvarmasya, yang menjadi pertikaian antara sarjana sama ada nama itu ialah nama Raja Srivijaya (seperti yang ditemui dalam prasasti Ligor) ataupun nama seorang pedagang sahaja. Cincin itu diperkirakan wujud pada kurun ke-5 hingga kurun ke-7M dan kewujudannya menjelaskan lagi teori Srivijaya bermula di Semenanjung Tanah Melayu.

Peta laluan kuno dari India ke Tanah Melayu dan Kedudukan Kuala Selinsing berhampiran pelabuhan Kadara (Kedah)

Prof. Nilakanta Sastri pula meragui nama di cincin emas Selinsing itu sebagai nama yang sama dengan Raja Visnuvarman pada Prasasti Ligor. Beliau mendakwa tulisan pada cincin itu mirip dengan tulisan di India Tengah dan mendakwa Sri Visnuvarmasya ialah seorang pedagang dari sana.

Rajah menunjukkan lingkaran emas yang sampai ke Selinsing, Perak.

Dr. Ch. Chhabra pula menulis pada Tahun 1935 dengan membuat hipotesis cincin emas Selinsing itu mempunyai corak tulisan pada kurun ke-8M dan nama Visnuwarmasya pada cincin itu sama seperti nama Visnuwarman di prasasti Ligor B. Justeru itu, Dr. Ch. Chhabra menganggap bahawa prasasti Ligor A dan Ligor B adalah satu prasasti sahaja, tetapi telah hilang penulisannya (akibat luluhawa atau faktor cuaca).

Ir. L. Moens dalam karyanya, Crivijaya, Yava en Kataha yang ditulis pada Tahun 1937 mengkritik teruk dapatan Prof. Coedes pada Tahun 1918 dan menjelaskan bahawa faktor geografi yang ditulis oleh I-ching dan penulis-penulis Arab menjadikan ibukota Srivijaya mustahil di Palembang, malahan beliau beranggapan bahawa Srivijaya bermula di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu, kemudian berpindah ke Sumatra Tengah, iaitu di Muara Takus.

Laporan Ir. J.L. Moens

Kronik Song menjelaskan bahawa perjalanan selama 4 hari dari Cho-p’o untuk sampai ke Laut, dan belayar selama 15 hari ke arah Barat Laut , seseorang itu akan sampai ke Po-ni, dan 15 hari lagi selepas itu, seseorang akan sampai ke San-fot-si. Moens menegaskan bahawa khabar dari Song ini menjelaskan teori Srivijaya ialah di Pantai Timur Semenanjung.

Selain itu, Abu Zaid pula mengatakan bahawa Ibukota Yawaka menghadap ke arah Negara China. Yawaka atau Zabaq ialah San-fot-si menurut Moens, dan beliau menegaskan San-fot-si ialah Kadaram, yang berbeza daripada Palembang. Setelah San-fot-si mengalahkan Palembang, mereka mengubah kedudukan ibukota mereka ke Muara Takus.

Alasan Moens ialah berikutan rekod daripada I-ching iaitu;

1) Bayang-bayang jam matahari (diwelacakra) tidak menjadi panjang atau pendek pada pertengahan bulan lapan. Jika berdiri pada waktu tengahari, tiada bayang-bayang yang muncul kerana matahari berada tepat pada garis khatulistiwa (Garisan 0 darjah). Kedudukan ini sangat sesuai dengan geografi di Muara Takus.

2) Rekod Chia Tan yang mengatakan sebelah Utara Cih-cih (Selat Melaka), terletaknya Kerajaan Lo-yueh dan di Selatannya terletak Kerajaan Shih-li-fo-shih. Moens beranggapan ia sangat sesuai dengan kedudukan Muara Takus.

3. Ibn Said dan Abdul Fida mengatakan bahawa ibukota Sribuza terletak di muara sungai. Moens mengatakan bahawa muara sungai itu ialah Muara Sungai Kampar yang terletak lebih ke arah barat berbanding muara sungai moden.

Moens juga berhujah dengan kisah rakyat tentang kewujudan Raja Bicau yang namanya adalah gubahan daripada perkataan Srivijaya dan dongeng berkaitan dengan wujudnya Datu Sriwijaya di Kotabaru. Peninggalan kerajaan Srivijaya berupa candi-candi, artifak-artifak dan ekofak masih wujud di Sungai Kampar Kanan dan Batang Mahat.

Prof. R.C. Majumdar juga meragui dapatan Coedes dengan mengatakan bahawa Srivijaya yang berkembang di Sumatra pada kurun ke-8M memperluaskan kekuasaannya ke Ligor. Namun, Srivijaya dikalahkan oleh Kerajaan Jawaka (San-fot-si), dengan San-fot-si ialah Ligor, sebuah kerajaan yang dikuasai oleh Rajakula Sailendra dari India.

Pendapat Prof. Majumdar ini pula dipertikaikan oleh Prof. Nilakanta Sastri dengan asal-usul Rajakula Sailendra yang tidak dapat dipastikan di manakah asal-usul mereka.

Dr Quaritch Wales pada Tahun 1935 mengkritik dapatan Coedes dalam makalahnya, Indian Art and Letters vol. IX no.1 dan menegaskan bahawa ibukota Srivijaya ialah di Chaiya, Pantai Timur Selatan Thailand iaitu di Utara Semenanjung Tanah Melayu. Keadaan ini berikutan daripada penemuan Prasasti Ligor A dan Ligor B yang jelas menerangkan berkenaan dengan nama raja Srivijaya.

Antara Karya Prof. H.G. Quaritch Wales yang mengkritik dapatan Coedes.

Dr. Quaritch Wales menegaskan bahawa Chaiya adalah ibukota Srivijaya dengan penemuan arkeologi yang lebih banyak daripada Palembang dan terdapat Bukit yang bernama Sivicai, yang mirip dengan nama Srivijaya.

Coedes membalas kritikan tersebut dalam jurnal MBRAS Vol. XIV part III. Coedes menggunakan sumber Dinasti Song yang mengatakan bahawa San-fot-si terletak di Palembang. Chao-ju-kua turut mengatakan bahawa San-fot-si terletak di pinggir laut besar dan menguasai perdagangan dari China ke Barat dan sebaliknya.

Dato’ Sir Roland Braddel pula menegaskan kepentingan Funan dalam kajian berkaitan Srivijaya. Roland Braddel menulis berkaitan dengan menempatkan kedudukan sebenar kota-kota yang disebut dalam kronik-kronik Cina seperti Shih-lih-fo-shih, Mo-lo-yu dan Ho-ling. Beliau menempatkan Yavadvipa, Iabadou, Tou-po, Tchou-po, Ye-po-ti di Pantai Barat Borneo, iaitu di Sabah.

Dato’ Sir Roland Braddel

Po-li disamakan dengan Brunei, Langkasuka pula diletakkan di Patani. Kedah pula disebut sebagai Chieh-cha, Kia-Tcha, Ko-lo, Ki-To dan Chi-ta. Ho-lo-tan diletakkan di Patani dan Tan-ma-ling disamakan dengan Tambralingga di Tembeling, Pahang. Beliau turut meletakkan Shih-lih-fo-shih di Palembang, Moloyu di Jambi dan Ho-ling di Pantai Barat Kalimantan.

Pendek kata, daripada kajian Coedes pada Tahun 1918 dan Wales pada Tahun 1935 (serta pendapat Moens pada Tahun 1937), terdapat dua pendapat berkenaan dengan asal-usul Srivijaya. Satu di Palembang dan satu lagi di Chaiya atau Ligor.

Perdebatan berkenaan dengan asal-usul Srivijaya ini diteruskan selepas P3rang Dunia Kedua tamat pada Tahun 1945 dengan kritikan Prof. Nilakanta Santri terhadap penemuan Prof. Krom yang menyamakan Minanga Tanvan (dalam prasasti Kedukan Bukit) dengan Malayu. Hubungan Srivijaya-Sailendra turut dipertikaikannnya dan bagaimana sejarawan sebelumnya mengaitkan Balaputradewa sebagai Raja Srivijaya turut menjadi pertikaiannya kerana kekurangan bukti.

Pandangan Sarjana Kontemporari Berkaitan dengan Asal-Usul Srivijaya

Secara umumnya, sarjana masa kini mengikuti teori Coedes dengan menetapkan Palembang merupakan ibukota dan mula asal Srivijaya.

Namun begitu, terdapat beberapa sarjana yang mempertikaikan dapatan Coedes atas faktor rekod-rekod China yang tidak konsisten dan keadaan Palembang yang tidak menjadi kawasan yang strategi dalam trafik lautan dari China ke Barat.

Bahkan, kajian lanjut mendapati Funan merupakan watak penting sebelum wujudnya Srivijaya dengan perkembangan kerajaan-kerajaan di Segenting Kra dan wujudnya laluan Trans-Semenanjung di sana sebelum Selat Melaka menjadi popular.

Kajian lanjut tentang arkeologi di Ban don Tha Phet, Songhkla, Takuapa dan pelbagai tempat lain mendapati wujudnya kawasan yang menjadi laluan di zaman purba melalui sungai-sungai dan ditarik dengan gajah.

Pengkaji Thailand seperti Chand Chirayu Rajani yang mengambil dapatan kajian daripada Sri Lanka yang dikemukakan oleh S. Paranavitana berkenaan dengan Srivijaya. Beliau turut melokalisasikan Srivijaya di Chaiya.

Selain itu. pengkaji lain seperti Prajit P. Prasad menempatkan ibukota Srivijaya di Songkhla, atau lebih tepat lagi di Satingpra.

Kawasan Satingpra yang digambarkan lebih sesuai sebagai ibukota Srivijaya

Selain itu, Dr. Suzuki Takashi juga menulis dalam karyanya berkaitan dengan Srivijaya dengan menempatkan Srivijaya di Chaiya, berdasarkan dapatan kajiannya dalam nama-nama kota yang disalahtafsirkan. Nama kota seperti Ho-lo-tan sebenarnya ialah Kha-la-tan dan Ho-ling sebagai Kha-ling.

Laluan lautan yang digunakan oleh Fa-xian dan turut dilalui oleh I-ching. Sumber: Suzuki takashi.

Pandangan Penulis

Penulis secara umumnya bersetuju dengan dapatan kajian yang dikemukakan oleh Quaritch Wales. Namun, penulis lebih cenderung untuk bersetuju dengan pandangan Dr. Suzuki yang menegaskan I-Ching tidak pernah mengunjungi Pulau Sumatra dalam perjalanannya. Beliau menempatkan Mo-lo-yu di Selatan Semenanjung iaitu di Kepulauan Riau-Lingga atau Bintan.

Penulis juga cenderung untuk membuat anggapan bahawa Satingpra ialah lokasi yang lebih tepat untuk menggambarkan Kota Fo-she dengan wujudnya tasik yang sangat besar di sana. Ia bertepatan dengan Sejarah Melayu yang mengatakan bahawa Raja Suran membuka Kota yang bernama Bija Negara, yang terdapat tasik yang sangat besar dan bergunung-ganang.

Perdebatan ini masih berterusan hingga ke hari ini. Apa pendapat kalian dalam hal ini?

RUJUKAN:

Slamet Mulyana (2006), Sriwijaya, Yogyakarta, Pertjetakan Arnoldus Ende-Flores.

George Coedes (1964), Asia Tenggara Masa Hindu-Buddha (diterjemahkan ke Bahasa Indonesia oleh Winarsih Partaningrat Ariffin, Jakarta, Kepustakaan Populer Gramedia.

D.G.E. Hall (1955), A History of South-east Asia, London, The Macmillan Press Ltd.

Takashi Suzuki (2019), The History of Srivijaya, Angkor and Champa, Tokyo, Mekong Publishing Co., Ltd.

Prajit P. Prasad (2017), Srivijaya Empire, The Centre was in Songkhla, Thailand, dilayari daripada http://srivijaya2017.blogspot.com pada 10 Mac 2020.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.