Perasmian Tugu Wira Jepun Satu Pengkhianatan

271

Luluh hati, berdarah mata melihat satu perasmian yang menghina perjuangan anak bangsa dilaksanakan di Kedah, negeri yang mana daerahnya juga pernah diangkat sebagai medan peperangan antarabangsa ketika Perang Dunia Kedua.

Apakah pihak muzium Kedah tidak cakna dengan perjuangan dan pengorbanan Rejimen Askar Melayu yang bermati-matian mempertahankan Tanah Melayu ketika itu?

Mungkinkah di dalam arkib Muzium Kedah sudah terluput rekod Battle of Jitra, yang mana berlaku pada 11 hingga 13 Disember 1941, ketika mana Tentera Imperial Jepun dalam kempen menakluk asia tenggaranya telah berjaya mengalahkan british dan seterusnya ke selatan tanah air hingga mengorbankan Leftenan Adnan dan anggota-anggotanya.

Muzium Kedah seperti tidak mengendahkan ayat keramat pujian Jen Yamashita Tomoyuki kepada Allahyarham Lt Adnan – “jika ada 10 orang tentera seperti beliau, nescaya Jepun memerlukan 10 divisyen lagi untuk menakluk Malaya.”

Kalaupun sungguh ingin menaikkan semangat kebangsaan melalui sejarah, ini bukanlah caranya – yang mana negara-negara lain juga turut mengecam perbuatan yang sama apabila Perdana Menteri Jepun melawat Tokong Perang (Yasukuni Jinja), dan akhirnya terpaksa dibalas pihak kerajaan Jepun sebagai ‘penghormatan kepada yang mati’ bukan ‘meraikan  kezaliman tentera Jepun ketika WWII’.

Pihak muzium Kedah seperti menaikkan kemarahan antarabangsa dengan meraih semangat WIRA Jepun menawan jambatan Alor Star. Satu langkah dangkal lagi bodoh, pada firasat penulis. Tidakkah kalian membaca sejarah? Bacalah kemarahan Republik Korea, China dan negara-negara lain ketika PM Jepun Shinzo Abe hanya melawat tokong sahaja. Inikan pula membina tugu/arca meraikan kemenangan Tentera Jepun pra-Perang Dunia Kedua. Gila ke apa?

Menyebut tentang Battle of Jitra – yang jaraknya tak habis sepuntung rokok dari Alor Star – telah merekod bagaimana marhaen di daerah itu bermandi darah bercucuran air mata ketika Jepun datang menyerang 3 batalion British yang pada ketika itu mempertahankan kawasan tersebut bagi menghalang kemaraan Jepun. Malangnya, di Alor Star Yang Berhormatnya merasmikan tugu wira Jepun. *tepuk dahi

Tumpang simpati pada rakyat tempatan, punya pemerintah yang dipilih untuk meraikan penjajahan bukan menentang kezaliman.

Harapan penulis, biarlah YAB PM Malaysia yang merupakan anak kelahiran Kedah memeriksa perihal ini sewajarnya. Janganlah kerana kertas yang diletak nilainya, jatidiri dan sejarah Malaysia ditidakkannya.

Rujukan:

1)  THE BATTLE OF JITRA 11-13TH DECEMBER 1941 AAR,

Author unknown, http://www.stormofsteelwargaming.com/2014/02/the-battle-of-jitra-11-13th-december.html?m=1

2)  Japan wants talks with China, Korea on Yasukuni Shrine, AP, https://www.scmp.com/news/asia/article/1399087/japan-wants-talks-china-korea-yasukuni-shrine

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.