Empayar Turki Uthmaniyyah telah bertahan di muka bumi ini selama 600 tahun lamanya. Tentunya sejarah empayar yang sangat panjang ini banyak menyimpan pelbagai peristiwa yang dapat kita teladani agar menjadi pengajaran di hari kemudian. Oleh itu, penulis berbesar hati untuk menyenaraikan perang-perang terbesar dalam sejarah Uthmaniyyah, dimana perang-perang ini mempunyai kesan yang signifikan.

  • Pertempuran Ankara 1402

Ini merupakan pertempuran terbesar pada awal abad pertengahan. Pada waktu itu, dunia menyaksikan perseteruan antara dua adikuasa Muslim, Turki Uthmaniyyah di Barat dan Empayar Timurid di Timur. Sesi perutusan surat yang dipenuhi hinaan dan merendahkan lawan antara Sultan Bayazid dengan Timurlane merupakan klimaks perseteruan antara dua kuasa besar ini, maka peperangan besar telah pun terjadi.

Sejarahnya boleh dibaca disini https://thepatriots.asia/battle-of-ankara-1402-timurlane-hancurkan-turki-uthmaniyyah/. Kekalahan Bayazid I telah mengakibatkan kekosongan takhta dalam kerajaan. Seterusnya, situasi ini telah menjerumus Uthmaniyyah ke era yang dikenali sebagai Ottoman Interregnum (kekosongan takhta) di mana perang saudara yang terjadi antara waris-waris Bayazid selama 11 tahun. Kekalahan Uthmaniyyah dalam perang ini telah disambut gembira oleh kerajaan Byzantine yang sememangnya telah mati akal untuk mengekang kemaraan Bayazid.

  • Penaklukan Konstantinople 1453

Kita umat Islam wajib mengetahui akan peristiwa yang sangat penting dalam sejarah ketamadunan Islam ini. Konstantinople merupakan pusat pemerintahan kerajaan Byzantine dan merupakan pintu masuk ke benua Eropah. Sejak dari kekhalifan Umayyah lagi, banyak percubaan untuk merebut kota penting ini. Namun, Allah SWT telah menghendaki bahawa Sultan Muhammad Al Fateh adalah pemimpin yang merealisasikan cita-cita tersebut.

Penaklukan Konstantinople telah menandakan permulaan Turki Uthmaniyyah sebagai kuasa baru dalam arena geopolitik dunia pada masa itu. Antara faktor kejayaan Uthmaniyyah dalam merebut kota ini adalah kerana penguasaan teknologi senjata api yang paling canggih yang pernah dimiliki pada zaman itu. Dalam masa 53 hari, Kostantinople telah bertukar nama kepada Istanbul.

  • Pertempuran Zochio 1499

Pertempuran laut ini merupakan sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah-Venice yang berlansung dari tahun 1499 hingga 1503. Sejak jatuhnya Konstantinople yang menandakan keruntuhan Byzantine, kerajaan Venicea di Itali dianggap sebagai perisai bagi kerajaan Krsitian di Eropah bagi mencabar kekuatan Uthmaniyyah yang semakin lama semakin berselera untuk menjejakkan kaki di benua Eropah.

Venice juga pada waktu itu merupakan kuasa maritim yang menguasai seluruh Laut Mediterranean. Pada ketika ini, Uthmaniyyah sedang giat dalam mempertingkat kekuatan armada lautnya. Hal ini telah mendapat perhatian serius oleh pihak risikan Venice melalui spynya, Gritti yang sentiasa melaporkan pergerakan armada laut Uthmaniyyah.

Pergerakan armada Uthmaniyyah yang aktif telah menyebabkan Venesia mengerahkan seluruh kekuatan lautnya untuk bersiap-sedia. Akhirnya, pertempuran tidak dapat dielakkan antara dua kuasa maritim ini. Pertempuran ini juga menyaksikan Uthmaniyyah buat pertama kalinya menggunakan meriam yang diletakkan di kapal-kapal perang mereka. Mengikut sumber, armada Uthmaniyyah mempunyai kekuatan sebanyak 260 kapal perang yang dilengkapi laras meriam dan sejumlah 35 ribu tentera. Kelebihan ini telah memberikan kemenangan hakiki ke atas Uthmaniyyah, sekaligus muncul sebagai kuasa tunggal yang menguasai Laut Mediterranean.

  • Pertempuran Chaldiran 1514

Peristiwa ini terjadi ketika pemerintahan Salim I, sultan yang berdarah perang. Tidak seperti para pendahulunya yang lebih banyak memberi perhatian kepada Barat, Salim I telah mengalihkan fokusnya kepada belahan Timur di mana pada waktu itu muncul kuasa baru iaitu kerajaan Safawi yang menguasai sebahagian utara Iraq dan Iran moden pada hari ini. Dalam pertempuran ini, Salim I telah memperoleh kemenangan besar ke atas Syah Parsi dan banyak harta rampasan telah dikaut.

Kemenangan Uthmaniyyah sekali lagi disebabkan oleh penguasaan teknologi ketenteraan yang canggih di mana tentera Uthamiyyah mempunyai pemilikian yang penuh terhadap artileri. Di pihak Safawi, mereka hanya bergantung harap pada metod peperangan tradisional yang banyak bergantung kepada tentera berkuda dan infantri. Pertempuran Chaldiran menandakan bermulanya permusuhan antara kuasa Sunni dan Syiah yang berlanjutan 300 tahun lamanya. Ia juga menandakan bermulanya dasar perluasan kuasa Uthmaniyyah di sebelah Timur. Sehingga kini, perseteruan antara Turki-Iran didasari daripada faktor sejarah silam mereka.

  • Pertempuran Vienna 1683

Pertempuran ini pada hemat penulis merupakan antara peristiwa paling penting khususnya bagi masyarakat Eropah sendiri. Semenjak wujudnya Daulah Uthmaniyyah, para pemerintah telah melihat betapa pentingnya kota Vienna untuk ditakluki kerana ia diibaratkan sebagai jantung Eropah. Sulaiman Al Qanuni buat pertama kalinya telah cuba untuk menawan Vienna pada 1529 namun gagal kerana kubu pertahanan kota itu terlalu ampuh untuk digempur.

Maka usaha untuk menakluk Vienna kekal berterusan hinggalah ke zaman pemerintahan Mehmed IV pada 1683. Namun, kempen penaklukan ini telah menemui kegagalan di mana Uthmaniyyah tewas dan mengalami kerugian besar. Kekalahan ini juga merupakan satu petanda bahawa Uthmaniyyah bukan lagi aktor utama dalam geopolitik dunia apabila ia kemudiannya menunjukkan kemerosoton.

Para sejarawan menganggap jika Vienna berjaya ditawan, nescaya seluruh benua Eropah pada hari ini telah berjaya diislamkan oleh Uthmaniyyah. Faktor utama yang membawa kepada kekalahan Uthmaniyyah adalah kelemahan taktikal serta sifat terlalu yakin panglima perang pada waktu itu Kara Mustafa yang tidak menjangka bahawa seluruh Eropah akan membantu mempertahankan Vienna.

  • Pertempuran Kars 1745

Perang ini melibatkan dua musuh tradisi iaitu Turki Uthamniyyah dan Empayar Safawiyah. Kebanyakan sejarawan menyifatkan pertempuran ini sebagai the last major battle antara dua kuasa Muslim ini. Jika pada pertempuran sebelumnya tentera Turki banyak memperoleh kemenangan, tetapi lain pula yang berlaku pada kali ini. Uthmaniyyah telah mengalami kekalahan yang sangat besar walaupun mempunyai kelebihan dari segi kekuatan bilangan tentera. Dalam perang ini, seramai 50 ribu dari 140 ribu tentera Turki telah terkorban manakala di pihak Safawiyah hanya 8 ribu dari 80 ribu secara keseluruhan.

Pertempuran ini juga menyaksikan kecanggihan meriam yang dimiliki oleh Safawiyah, tidak seperti Chaldiran di mana mereka berperang secara konvensional. Kewibawaan Nadir Syah juga dalam memimpin taktikal perang tidak dapat disangkal lagi. Walaupun perang ini dianggap antara kekalahan paling memalukan bagi Turki, namun tiada kesan signifikan terhadap penambahan kawasan jajahan. Yang pasti, Turki pada waktu ini bukan lagi digeruni sepertimana waktu-waktunya dahulu.

  • Pengepungan Acre 1799

Pertempuran ini menyaksikan general perang teragung dalam sejarah, Napoleon Bonaparte mengalami kekalahan strategik pertamanya dalam tempoh tiga tahun sejak kekalahan di Bassano. Setelah armada laut Perancis tewas di Pertempuran Nile, Napoleon kembali mengalihkan fokusnya dalam memerangi Turki Uthmaniyyah di Timur Tengah. Tujuannnya hanya satu; mahu menyaingi pengaruh British di negara Arab. Oleh kerana itu, dia telah melihat Acre sebagai kunci kepada cita-citanya. Acre sejak dahulu lagi penting kerana lokasinya yang strategik dan merupakan pintu masuk utama Barat menuju Mesir dan Syria.

Pengepungan Acre gagal kerana Turki Utmaniyyah mendapat bantuan ketenteraan penuh dari British dan Russia. Kuasa Barat yang lain juga tidak mahu Napoleon menjadi terlalu berkuasa dan situasi amat berbahaya jika Uthmaniyyah tidak dibantu. Kebuntuan dalam pengepungan membuat Napoleon terpaksa kembali ke Perancis yang pada masa yang sama telah timbul konfik pemerintahan dalaman. Jika Napoleon berjaya merebut Acre, sudah pasti situasi di Timur Tengah tidak seperti yang kita lihat hari ini, malah garisan sempadan negara juga mungkin berbeza.

  • Perang Gallipoli (February 1915–January 1916)

Pada November 1914, Uthmaniyyah telah mengambil keputusan untuk menyertai Central Powers (German, Austria-Hungary, Bulgaria) dalam kempen Perang Dunia Pertama (sebenarnya tiada keperluan hakiki bagi Uthmaniyyah untuk menyertai perang. Lebih teruk, Uthmaniyyah tersilap langkah apabila menjangkakan Jerman yang akan memenangi perang ini).

Sebagai respons terhadap tindakan Uthmaniyyah, pihak Allied (Great Britain, USA, Itali, Perancis, Russia) telah melancarkan Kempen Gallipoli. Kenapa Gallipoli? Kerana Allied mahu menguasai Selat Dardanelles untuk membolehkan mereka menguasai jalan laut antara Eropah dan Russia. Pihak Allied telah memulakan kempen ini dengan mengerahkan kekuatan ekspedisi laut.

Ironinya, pihak Allied telah mengalami kekalahan yang sangat teruk (ramai veteran WWI menyifatkan kegagalan Gallipoli adalah sangat memalukan). Mengikut rekod, di pihak Britain sahaja terdapat 213 ribu jumlah yang terkorban. 145 ribu daripadanya mati akibat penyakit. Perang ini juga menampilkan ketokohan dan keberanian Mustafa Kamal Ataturk yang berjaya meruntuhkan ego Barat.

  • Perang Kemerdekaan Turki 1919-1923

Perjanjian Sevres menyaksikan wilayah-wilayah Uthamiyyah dibahagikan antara pemenang WWI. Pada waktu itu, pihak Barat telah berjaya menduduki Istanbul dan memerintahkan Sultan Mehmed VI membubarkan parlimen. Di Ankara pula, wujud sebuah kerajaan yang diketuai oleh Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki (TGNA) pimpinan Mustafa Kamal Ataturk yang tidak mengiktiraf Perjanjian Sevres yang dianggap melampau.

Maka, semangat nasionalisme bertiup kencang dalam kalangan rakyat Uthmaniyyah (Turki belum muncul pada masa ini) untuk menghalau puak imperialis keluar dari tanah Uthmaniyyah. Pada masa yang sama, masyarakat sudah berputus asa terhadap Sultan Mehmed IV yang dianggap mereka sebagai boneka Barat. Maka pada tanggal 19 Mei 1919, Mustafa Kamal memulakan kempen kemerdekaan Turki dan banyak ekspedisi ketenteraannya berjaya menghalau tentera Greece, British dan Perancis.

Rakyat mula mengangkat Mustafa Kamal sebagai hero kebangsaan dalam melawan penjajah. Maka pada akhirnya, suatu perjanjian baru yang dinamakan Perjanjian Lausanne telah dimeterai antara Allied dan Ankara. Perjanjian inilah yang membentuk sempadan Turki pada hari ini. Peristiwa yang berlaku seterusnya menyaksikan keruntuhan institusi khalifah pada tanggal 23 Oktober 1923 dimana Mustafa Kamal mengisytiharkan penubuhan Republik Turki. Baginya, urusan kekhalifan bukan milik hak bangsa Turki semata. Maka, tamatlah riwayat empayar Islam yang banyak berjasa kepada agama itu.

Ikuti penulis di laman sosial yang berikut

Facebook: https://www.facebook.com/haikal.hazwan.37669

Instagram: https://www.instagram.com/haikal.haz/

Twitter: https://twitter.com/HaikalHazwan10

RUJUKAN:

Akhilesh Pillalamarri (2016, Ogos 23). Exactly 500 Years Ago, This Battle Changed the Middle East Forever. https://nationalinterest.org/feature/exactly-500-years-ago-battle-changed-the-middle-east-forever-17445

The National War of Independence. http://historyofturkey.com/independence/

Gallipoli Campaign. https://www.britannica.com/event/Gallipoli-Campaign

Siege of Acre

FRENCH-OTTOMAN HISTORY [1799]. https://www.britannica.com/event/Siege-of-Acre-1799

(390) The BATTLE that NAPOLEAN LOST? – KJ Vids – YouTube

Battle of Kars (1745). https://alchetron.com/Battle-of-Kars-(1745)

What saved Vienna from the Ottoman Turks in 1683?. https://dailyhistory.org/What_saved_Vienna_from_the_Ottoman_Turks_in_1683%3F

Roger Crowley. The Fireball at Zonchio. https://www.historynet.com/the-fireball-at-zonchio.htm

Hamka. Sejarah Umat Islam Edisi 2016. Daulat Osmaniah. PTS Publishing. Brandon Christensen. 10 Battles That Shaped the Ottoman Empire. https://www.realclearhistory.com/articles/2018/06/07/10_battles_that_shaped_the_ottoman_empire_320.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Kemunduran Akibat Pemikiran Terjajah, Yang Mengukuhnya Sombong, Yang Meruntuhnya Ilmu Haikal Hazwan, pemuda yang mempunyai minat mendalam terhadap pengetahuan sejarah dan politik tanah air mahupun antarabangsa. Cita-citanya mahu melihat generasi sezaman dengannya bangga akan kejayaan leluhur. Percaya bahawa ilmu serta niat yang ikhlas sahaja dapat memajukan bangsa dan membina sebuah tamadun yang berdaulat.

Comments are closed.