Perang Tarif Amerika-Jepun Bakal Berlaku?

0
521
views

Minggu ini kita sibuk dengan tumpuan lawatan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun, lawatan pertama beliau sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14. Dan minggu ini juga dianggap minggu bersejarah bagi sekutu Jepun, Amerika Syarikat dan musuh ketatnya, Korea Utara menunjukkan komitmen mengurangkan program nuklear Korea Utara dan menjadi fasa baru hubungan diplomatik kedua-dua negara. Bagi Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, walaupun minggu ini dianggap produktif dan menguntungkan Tokyo tetapi pasti dalam benaknya memikirkan potensi perang tarif antara Tokyo dengan Washington.

Pada Mac lepas, pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan langkah mengenakan tarif ke atas import aluminium dan besi. Dan seperti biasa, ia mencetuskan kemarahan ramai pihak termasuk sekutunya sendiri dari Kanada hingga Kesatuan Eropah. Sesetengah negara sudah mengancam akan mengenakan tarif ke atas barang import seperti Kanada mengenakan tarif ke atas pelbagai barang dari wayar besi hinggalah tong bir dengan kos sebanyak $12.7 bilion. Jepun pula menerusi reaksi Menteri Luarnya, Taro Kano menyifatkan langkah tersebut sangat dikesali tetapi respon mereka tidaklah seradikal negara-negara lain yang terkesan.

Bagi Jepun sendiri, mereka berusaha membincangkan perkara itu secara rahsia dan menggunakan hubungan rapat Trump-Abe untuk mengecualikan mereka dari situasi tersebut. Tetapi perkara sebegitu hanyalah satu mimpi dan Jepun turut menerima bahana sama seperti negara-negara lain. Dalam satu mesej yang dihantar ke Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Jepun mempunyai hak mengenakan tarif ke atas Amerika Syarikat berikutan kerugian yang bakal dialami mereka sekiranya langkah itu diteruskan. Negara Matahari Terbit itu menganggarkan mereka bakal berhadapan kerugian tahunan $415 juta sekiranya dikenakan tarif 25% ke atas besi dan $25 juta sekiranya import aluminium mereka dikenakan tarif 10%.

Dan jika itu saja sudah bikin Abe rungsing, lihat pula impak tindakan seterusnya Washington. Amerika mengumumkan mereka akan penyiasatan berkenaan import automotif asing di bawah Akta Pengembangan Perdagangan 1962 untuk melihat sejauh mana kesan import kereta dan alat ganti mengancam keupayaan dan keselamatan industri automotif Amerika. Ini sesuatu yang membimbangkan tiga negara pengeluar automotif utama iaitu Jepun, China dan Korea Selatan. Bagi Jepun, negara Uncle Sam itu merupakan pasaran terbesar pengeluar kenderaan mereka dengan kebanyakan kilang pengeluar sudah berpindah ke sana. Jika siasatan ini membawa kepada pengenaan tarif 25% ke atas import kereta dan alat ganti asing, Keluaran Dalam Negeri Kesan (KDNK) Jepun bakal berkurangan sebanyak 0.1% atau bersamaan $5 bilion. Dan ini berlaku tatkala penggubal undang-undang Jepun masih bergelut menerima berita ekonomi negara tersebut mengecut pada suku pertama tahun ini, menandakan penamat pertumbuhan ekonomi Jepun yang tidak terganggu dalam tempoh dua tahun. Dan ini juga mendorong Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Hiroshige Seko menyifatkan tarif sebegini satu bentuk sekatan perdagangan yang akan mencetuskan krisis dalam pasaran global.

Abe yang bakal bertemu dengan Trump pada 14 Jun ini memberitahu Diet, “Kita tidak boleh menerima ini.” Dan bila ditanya Bloomberg berkenaan soal levi besi dan pengenaan tarif ke atas import kenderaan, Abe menambah, “Dari perspektif keselamatan, saya sukar memahami mengapa ia perlu dikenakan ke atas Jepun kerana Jepun merupakan sekutu tentera Amerika.” Isu perdagangan Jepun-Amerika menjadi duri dalam daging hubungan diplomatik kedua-dua negara selepas Trump dilantik sebagai presiden baru menggantikan Barrack Obama. Selepas menarik diri dari Perjanjian Trans-Pasifik yang mencetuskan ketegangan antara Washington dengan Jepun, kedua-duanya bersetuju merunding perjanjian perdagangan bebas kedua-dua negara walaupun pada masa sama, Trump mahu mengurangkan lebihan dagangan Jepun ke atas Amerika.

Pengenaan tarif besi dan aluminium dibuat selepas Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat menyimpulkan kualiti dan keadaan besi dan aluminium yang diimport dilihat mengancam keselamatan negara. Buat masa ini, Jepun mempunyai hak tetapi belum memutuskan untuk menyertai negara-negara lain dalam mencabar tarif Amerika di peringkat WTO. Bagi pakar polisi perdagangan dari firma perundangan Curtis, Mallet-Prevost, Colt & Mosle LLP yang berpangkalan di Washington, John Taishu Pitt melihat sebarang tindakan Jepun bersifat terhad berbanding negara-negara lain yang menyediakan senarai barang yang akan dikenakan tarif mereka. Beliau menambah, “Tambahan pula, kerajaan Jepun menegaskan mereka masih belum membuat keputusan akhir berkenaan mengenakan tarif ke atas Amerika Syarikat.” Pitt turut menambah dengan tindakan negara-negara lain mencabar tarif Amerika melalui Lembaga Penyelesaian Pertikaian WTO, ini pasti mendorong Washington menggunakan artikel XXI Perjanjian Umum Tarif dan Perdagangan (GATT) yang membenarkan negara ahlinya menggunakan pelbagai kaedah untuk melindungi kepentingan keselamatan negara mereka. Bagaimanapun dalam konteks pertikaian perdagangan, artikel berkenaan gagal digunakan membabitkan konteks tersebut dan menyukarkan Badan Rayuan WTO mentafsir justifikasi keselamatan negara.

Pertemuan Abe-Trump ini dilihat akan fokus kepada isu Korea Utara tetapi tidaklah mengejutkan isu perdagangan akan menjadi tumpuan lebih-lebih lagi kedua-duanya akan berangkat ke Kanada untuk persidangan G7. Dan melihat mesej anggota G7 semasa persidangan menteri kewangan dan gabenor bank G7, mesej mereka satu saja. Mereka mahu Amerika mempertimbang langkah mengenakan tarif atas nama keselamatan negara kerana jika ia diteruskan, ia pasti akan mengancam perdagangan bebas dan keyakinan pada ekonomi global. Jepun menerusi Kementerian Luarnya turut mengharapkan ada solusi positif dari isu tarif ini. Bagaimanapun, andai benar ianya diteruskan oleh Trump, kita bakal melihat perang tarif dalam skala kita tidak pernah saksikan.

SUMBER

Hurst, Daniel. (2018). The Diplomat. A Brewing US-Japan Trade War? https://thediplomat.com/2018/06/a-brewing-us-japan-trade-war/

 

Previous articleHidupan Di Marikh: Fantasi Atau Fakta?
Next articleSultan Bayazid II: Sultan “Wali” (Saints Sultan)
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE