Perang Tandas Di India

58,748

Subuh kian menghampiri pada tarikh 27 Mei 2014. Dua orang gadis menggosok mata mereka selepas keluar daripada selimut tanpa menyedari bahawa mereka tidak akan melihat terbitan fajar. Sememangnya anak-anak gadis tidak boleh keluar pada waktu ini. Tetapi mereka terpaksa, kerana lewat malam ialah masa yang paling sesuai. Namun nasib tidak menyebelahi dan malang tidak berbau – pada pagi tersebut, mereka ditemui mati digantung pada pokok mangga selepas dirogol bergilir-gilir.

Tragedi ini berlaku di Katra, Uttar Pradesh. Tetapi amarah yang menyelubungi seluruh negara telah mempengaruhi politik nasional. Dan Narendra Modi mendapati bahawa kerajaan India perlu lebih tegas dalam pertimbangan. India mempunyai populasi mencecah 1.4 bilion. Sebilangan besar daripada jumlah ini sentiasa membuang air di tempat terbuka, sekaligus mendedahkan seluruh negara kepada krisis kesihatan yang serius.

Pembuangan najis di tempat terbuka merupakan amalan warisan daripada masyarakat silam. Namun semakin lama, populasi dunia semakin bertambah. Dan apabila ribuan menjadi jutaan, krisis-krisis kesihatan mula timbul untuk menyedarkan manusia. Tetapi India masih tetap mengamalkan cara ini sejak 1947 lagi ketika Mahatma Gandhi dipetik berkata bahawasanya sanitasi lebih penting daripada kemerdekaan. Secara kebiasaan, amalan ini dilihat sangat ketara di kawasan-kawasan yang dijangkiti wabak kebuluran dan kemiskinan.

Dan India menyimpan contoh yang tersergam ngeri untuk dipelajari semua, sepertimana Vietnam dan Haiti telah mengimarahkannya satu masa dahulu. Kerajaan tempatan membuat satu inisiatif membayar rakyat ₹1 untuk menggunakan tandas awam [1]. Sebanyak 300 tandas awam dibina di Ahmedabad, hampir 1,000 kilometer jauh dari Uttar Pradesh. Tetapi tempat terbuka dan tembok masih lagi dijadikan sasaran qubul dan dubur mereka. (₹1=RM0.059, 23 Jul 2018)

Jarak 1, 000 kilometer selalunya sudah mencukupi untuk melihat perbezaan cara hidup antara dua masyarakat. Tetapi pembuangan air di kawasan terbuka masih ketara di setiap tempat, mendatangkan bencana-bencana seperti cholera, cirit birit dan demam kepialu yang hanya akan mengurangkan produktiviti negara. Terpaksa berdepan dengan kos perubatan, India didapati mengalami kerugian hampir RM200 bilion pada 2006 sahaja [2]. 

Lima tahun kemudian, seramai 650 juta rakyat masih lagi tidak mempunyai tandas di dalam rumah. Untuk sebuah masyarakat sebesar ini dengan mudah melepaskan najis di tempat terbuka, jelas sekali pembinaan tandas sahaja tidak akan menyelesaikan masalah dengan mudah. Perangai rakyat semakin jelas, bahawa mereka tidak mendapat tandas yang diingini [3]. Atas dosa mereka, jutaan menghidap penyakit dan berada di ambang maut. Lebih ramai yang mati angkara faktor kebersihan, berbanding demam campak, malaria dan AIDS.

Maka kerajaan India membelanjakan RM160 bilion untuk pembinaan tandas dan program kebersihan dibawah Misi India Bersih 2019. Sebanyak 100 juta tandas disasarkan akan dibina pada tahun 2019. Tetapi masyarakat India melihat tandas sebagai pencabulan kesucian. Golongan berkasta tinggi akan berasa terhina untuk berkongsi tandas dengan pengguna-pengguna kasta rendah. Disebabkan itulah tandas-tandas awam selama 30 tahun tidak digunakan langsung.

Sifat sebegini tidak diendahkan kerajaan. Pasukan rondaan akan menggempur kawasan-kawasan tertentu. Ramai yang akan lari bertempiaran meninggalkan baldi-baldi mereka. Golongan sukarelawan turut menyertai misi ini untuk mengaibkan sesiapa sahaja yang melepaskan najis di tempat terbuka. Kerajaan-kerajaan negeri pula telah memulakan sejenis persaingan untuk memaksa penggunaan tandas awam. Lucu benar, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berlumba di angkasa – kerajaan-kerajaan negeri ini pula bersaing demi najis masyarakat.

Namun setiap negara ada kekurangan masing-masing. Secara positifnya, usaha kerajaan turut disahut rakyat berfikiran terbuka. Kanpur menunjukkan satu perkembangan unik [4]. Seorang gadis telah memutuskan pertunangannya bukan kerana teman lelakinya curang. Sebaliknya atas ketiadaan tandas di rumah sendiri kelak yang dijanjikan pengantin lelaki, gadis tersebut bertindak untuk berkahwin dengan orang lain. Dan keputusan sebegini diikuti lebih daripada 50 isteri yang pulang ke rumah ibu mereka selepas suami masing-masing gagal menyediakan tandas [5].

Tindakan mereka sebenarnya mempunyai asas yang nyata. Wanita lebih merasai bahang ketiadaan tandas. Hanya untuk melepaskan hajat, dua nyawa telah melayang di Katra. Anak-anak gadis ini dirogol dan dibunuh selepas mereka keluar di waktu malam untuk membuang najis. Sememangnya India dan rogol telah menjadi sinonim setelah sekian lama. Tetapi jenayah ini tidak boleh dibiarkan berterusan, lebih-lebih lagi apabila mangsa-mangsa hanya mahu melepaskan seruan semulajadi.

Atas semangat sedemikian, Narendra Modi berjuang habis-habisan untuk memastikan bahawa tandas akan menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat India. Namun jelas sekali lebih mudah untuk India mendarat di Marikh berbanding menyelesaikan masalah sanitasi. Mungkin adalah rezeki tersembunyi apabila Dr. Zakir Naik mendapat perlindungan di Malaysia. Sesungguhnya sebuah bangsa yang bersih merupakan cermin dan batu asas kepada kejayaan rohani dan nurani.

RUJUKAN:

[1] https://www.dawn.com/news/1187122

[2] http://www.indiawaterportal.org/articles/will-building-toilets-solve-problem-open-defecation

[3] https://www.nationalgeographic.com/magazine/2017/08/toilet-defecate-outdoors-stunting-sanitation/

[4] https://timesofindia.indiatimes.com/city/lucknow/No-toilet-no-marriage-Lucknow-woman-turns-her-back-on-groom/articleshow/51866736.cms

[5] https://www.indiatimes.com/news/india/no-toilet-no-marriage-50-women-leave-in-laws-homes-after-knowing-there-are-no-washrooms-337339.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.