Perang Siam-Burma 1765-1767 atau juga dikenali sebagai Perang Kejatuhan Kedua Ayutthaya merupakan perang besar yang melibatkan Burma yang diperintah oleh Dinasti Konbaung menentang Siam yang diperintah oleh Kerajaan Ayutthaya atau Dinasti Ban Phlu Luang. Perang ini merupakan sinambungan daripada Perang Burma-Siam 1759-1760 ketika pemerintahan Raja Alaungpaya.

Kedua-dua peperangan ini berlaku akibat masalah perdagangan, pertikaian wilayah, dan provokasi di wilayah Tanah Sari (Burma – Thanintharyi atau ejaan lama Tenasserim, Siam – Tanao Si). Selain itu, Siam juga bertindak menyokong secara terbuka puak Mon dan Lan Na yang bangkit menentang Burma menyebabkan kemarahan dalam kalangan orang Burma. Hal ini merupakan faktor utama Raja Alaungpaya bertindak menyerang Siam.

Dalam perang tersebut Burma berjaya menakluk Tanah Sari dan mencipta kerajaan naungan atau boneka bagi puak Mon dan mara hingga ke Kota Ayutthaya dan mengepung kota tersebut. Ketika sedang asyik mengepung Kota Ayutthaya secara tiba-tiba Raja Alaungpaya rebah dan mangkat.

Oleh itu, Burma terpaksa mengundurkan semua tenteranya dan menangguh operasi ketenteraan tersebut. Ketika pemerintahan Raja Naungdawgyi, baginda tidak dapat menumpukan serangan ke atas Siam di sebabkan berlaku banyak pemberontakan dalam negara seperti Pemberontakan Minkhaung Nawrahta yang merupakan jeneral perang utama Konbanug semasa pemerintahan Raja Alaungpaya.

Beliau menentang Raja Naungdawgyi disebabkan beliau merasakan beliaulah yang sepatutnya menjadi raja berbanding Raja Naungdawgyi disebabkan jasa-jasa beliau membantu Raja Alaungpaya dalam meluaskan empayar, pemberontakan tersebut dapat di patahkan. Kemudian timbul lagi pemberontakan lain yang turut dapat di patahkan sehingga kemangkatan baginda. Peperangan untuk menakluk Siam di hidupkan semula apabila Raja Hsinbyushin menaiki takhta kerajaan dengan melakukan persiapan perang bagi menghadapi musuh utama Burma.

Siam yang menyedari akan serangan daripada Burma bertindak menyokong puak Mon di Tanah Sari dan Lan Na yang ketika itu menjadi boneka kepada Burma untuk memihak kepada Siam, puak Mon dan Lan Na kemudian berpihak kepada Siam dan bangkit melawan Burma. Raja Hsinbyushin bersama jeneral perang utamanya iaitu Maha Nawrahta menggempur wilayah tersebut dan berjaya menawan sepenuhnya pada Februari 1764. Burma menjadikan bandar Dawei (Tavoy) di Tanah Sari sebagai pangkalan utama tenteranya sebelum bergerak mara ke arah Siam.

  • Persiapan Perang Pihak Burma

Dalam persiapan menghadapi Siam, baginda bertinda memecahkan pasukannya kepada dua bahagian iaitu satu pasukan menyerang dari Tanah Sari pimpinan jeneral Maha Nawrata, manakala satu lagi pasukan menyerang dari Laos yang di ketuai oleh jeneral Ne Myo Thihapate.

Di utara, kira-kira 25,000 pasukan tentera bersedia untuk menakluk Siam melalui Chiang Mai. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 20,000 orang tentera telah di tempatkan di Lampang iaitu sempadan dengan Siam, manakala baki 5,000 di tempatkan di beberapa bandar di wilayah Shan sebagai tentera bantuan (5,000 tentera inilah yang kemudiannya menyelamatkan Burma dari pencerobohan Dinasti Qing).

Di bahagian selatan pula, di Dawei, baginda mengerahkan 30,000 orang tentera serta pasukan penembak dan artileri Perancis pimpinan Pierre de Milad bersiap sedia menyerang Siam selepas sekembalinya baginda daripada kempen ke atas Manipur. Dengan ini, kombinasi serangan utara dan selatan mencecah 55,000 orang iaitu serangan terbesar dalam sejarah Perang Burma-Siam sejak tahun 1568-1570.

  • Persiapan Perang Pihak Siam

Pihak Siam juga bersiap sedia dalam menghadapi serangan besar-besaran dari Burma. Siam ketika itu di perintah oleh Raja Krom Khun Anurak Montri atau lebih dikenali sebagai Raja Ekkathat yang merupakan raja terakhir Kerajaan Ayutthaya. Baginda telah memobilisasikan ramai tenteranya sejak serangan Burma ke atas Tanah Sari lagi pada tahun 1764. Pada pertahanan selatan sahaja, jumlah tentera Siam yang telah di rekrut seramai 60,000 orang yang di tempatkan di Ayutthaya dan Nonthaburi mengatasi jumlah keseluruhan tentera Burma. Manakala di bahagian utara pula menempatkan puluhan ribu tentera Siam di bandar Sukhotai dan Phitsanulok bagi menghadapi pasukan Burma pimpinan Ne Myo Thihapate. Siam telah menyewa kapal perang milik pedagang British dan membeli puluhan ribu senapang dan meriam bagi menguatkan tenteranya.

  • Invasi Burma

Strategi Raja Hsinbyushin ialah menyerang Siam dari utara terlebih dahulu memandangkan jarak sempadan utara dengan Kota Ayutthaya yang jauh berbanding tentera selatan yang lebih dekat. Burma bertindak menyerang Siam pada musim hujan dengan berharap mempunyai tempoh masa yang panjang untuk menyerang ketika musim panas.

Serangan pertama Burma di lancarkan pada 23 Ogos 1765 dari arah utara pimpinan jeneral Ne Myo Thihapate ketika kemuncak musim hujan. Beliau memimpin 20,000 orang tentera beserta kira-kira 300 buah bot perang menyusuri Sungai Wang. Pergerakan agak lambat kerana cuaca yang buruk dan tentangan daripada penduduk kampung di sekitar laluan tersebut. Burma berjaya menguasai utara Siam dan beberapa pekan berjaya di tawan.

Manakala pasukan pimpinan Maha Nawrata di bahagian selatan pula menggempur Siam dari arah timur wilayah Siam. Serangan yang di sertai 30,000 orang tentera, 2,000 tentera berkuda, dan 200 ekor gajah memasuki Siam melalui laluan berbukit di sempadan Tanah Sari dengan Siam yang di kenali sebagai Laluan Myitta.

Gambar 1: Peta Laluan Myitta atau di Pergunungan Besar Tanah Sari (Great Tenasserim)

Pasukan Burma berjaya menguasai bandar Kanchanaburi dengan pantas. Pihak Siam menjangkakan tentera Burma melalui lalui Chumpon yang lebih jauh, akibat daripada salah ramalan tersebut menyebabkan pihak Siam tidak berjaga-jaga di Laluan Myitta, dengan itu Burma berjaya menakluk dengan mudah.

Selepas berjaya menawan Kanchanaburi, pada musim panas, Maha Nawrata menggerakkan bala tentera nya mara ke arah Nonthaburi yang merupakan bandar besar yang berada sekitar pesisir pantai Teluk Siam. Pertempuran sengit berlaku di Nonthaburi dengan Siam turut di sertai kehadiran kapal perang British yang di sewa oleh Siam, walaupun di bantu kapal moden British, Siam tidak mampu melawan amukan tentera Burma menyebabkan pasukan laut Siam berundur dan kapal perang British melarikan di ke tengah laut.

Kemenangan di Thonburi menyebabkan Maha Nawrata menggerakkan pula 30,000 orang tenteranya mara ke arah Kota Ayutthaya dengan harapan pasukan tentera utara pimpinan Ne Myo Thihapati juga mara ke arah Ayutthaya dari utara. Kota Ayutthaya ketika itu di pertahankan oleh kira-kira 60,000 orang tentera Siam yang sebahagiannya lengkap bersenapang. Menyedari pasukan utara tak kunjung tiba, Maha Nawrata mengubah fikirannya dengan mengundurkan semula tenteranya dari Ayutthaya kerana tidak yakin mampu mengalahkan lautan manusia tentera Siam, dan berkampung di sebuah pagoda yang di bina oleh Bayinnaung ketika invasi menentang Ayutthaya 100 tahun dahulu.

Sementara di utara, pasukan pimpinan Ne Myo Thihapati di tentang hebat oleh penduduk Siam hingga menyebabkan pergerakan mereka menjadi sedikit perlahan. Tetapi serangan balas Burma menyebabkan mereka berjaya menguasai keseluruhan laluan utama menghala ke Kota Ayutthaya. Ketika tentera Burma mara ke arah selatan, satu berita kurang enak berlaku di sempadan antara Burma dengan China apabila tentera Qing pimpinan Liu Zhao bersama 6,000 orang askar menceroboh Burma. B

Baki 5,000 orang tentera Burma yang di simpan di pergunungan Shan bertindak melawan tentera Qing dan berjaya mengalahkan Qing. Dalam masa yang sama pasukan utara Burma terus mara ke arah ibu kota Kerajaan Ayutthaya dan akhirnya sampai di pinggir kota pada 20 Januari 1766. Pasukan selatan pimpinan Maha Nawrata pula di serang oleh Siam tetapi berjaya dipatahkan, kemudian tentera Burma selatan mara ke arah Ayutthaya untuk bergabung dengan pasukan tentera utara. Kedua-dua pasukan bertemu membentuk kira-kira 50,000 orang tentera Burma bagi menggempur 60,000 orang tentera Siam yang berkampung di Kota Ayutthaya.

  • Pengepungan Pertama Ayutthaya

Pertempuran pertama berlaku pada bulan Januari apabila ribuan tentera Siam keluar dari kota untuk menyerang tentera Burma, tetapi berjaya dikalahkan Burma. Dengan kekalahan tersebut, Raja Siam iaitu Ekkathat telah mengarahkan pasukannya membina kubu, benteng, dan parit bagi mempertahankan kota daripada jatuh ke tangan Burma. Serangan Burma berlaku pada bulan Februari 1766, tetapi berjaya di kalahkan oleh Siam akibat kekebalan benteng pertahanan di samping ramai askar Siam yang bersenapang mempertahankan benteng tersebut. Tentera Burma terpaksa berundur

Gambar 2: Gambaran artis pengepungan Kota Ayutthaya.

Selepas serangan tersebut, Siam di landa musim hujan yang lebat dan menenggelamkan beberapa tempat yang rendah. Keadaan ini di gunakan oleh Siam untuk menyerang Burma dengan menggunakan bot dan dilawan oleh Burma, tetapi tidak berjaya menghancurkan Burma. Sebaliknya tentera Burma pula telah menyekat saluran bekalan makanan ke Kota Ayutthaya menyebabkan bekalan Siam semakin berkurangan.

  • Pengepungan Kedua Ayutthaya

Selepas tamat musim hujan, menjelang musim panas, Burma mengatur semula strategi untuk menyerang Ayutthaya. Sebaliknya tentera Qing bertindak mengganggu pelan Burma untuk menakluk Siam apabila tentera Qing pimpinan Yang Yinju sekali lagi menceroboh Burma dari Burma Hulu untuk menakluk Kota Inwa dengan jumlah tentera yang besar iaitu seramai 27,500 orang. Raja Hsinbyushin tetap enggan mengundurkan tenteranya di Siam sebaliknya hanya menghantar jeneralnya iaitu Maha Thiru Thura untuk menggempur tentera Qing, dan mereka berjaya mengalahkan Qing di sebabkan cuaca panas yang melemahkan pasukan Qing yang tidak biasa dengan cuaca di Burma.

Gangguan tentera dari China tidak melemahkan semangat Burma untuk menguasai Kota Ayutthaya yang semakin lemah akibat kekurangan segala bekalan dan berlaku kebakaran yang dahsyat dalam kota. Pihak Siam sudah berputus asa. Raja Ekkathat dan kaum kerabatnya bertindak mahu melarikan diri tetapi berundur semula setelah di kepung oleh tentera Burma. Mereka menawarkan genjatan senjata tetapi di tolak oleh Burma yang mahu menghancurkan Ayutthaya dan kaum kerabatnya. Dengan itu, Raja Siam tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya menunggu nasib sahaja.

Sebaik sahaja Burma ingin menyerang Ayutthaya, berita sedih diterima kem tentera Burma apabila komander perang utamanya iaitu Maha Nawrata meninggal dunia akibat serangan penyakit. Oleh itu, Raja Hsinbyushin melantik Ne Myo Thihapati sebagai komander perang tunggal bagi menggempur Kota Ayutthaya.

  • Kehancuran Kota Agung Ayutthaya

Menjelang akhir bulan Mac 1767, pasukan Burma mula menggempur kota Ayutthaya dengan serangan meriam dan menggali terowong untuk menghancurkan dinding kota yang kukuh. Menjelang 7 April 1767, tentera Burma berjaya memasuki kota tersebut dan bermulalah episod berdarah dalam sejarah Siam apabila tentera Burma menyembelih puluhan ribu warga kota tersebut, dan sebahagiannya pula di tawan untuk di jadikan hamba. Kedai-kedai, rumah dan bangunan hangus di bakar dan di hancurkan secara rakus oleh orang-orang Burma. Istana Besar Siam turut di hancurkan. Raja Ekkathat turut di bunuh dengan kejam manakala kaum kerabatnya di tangkap dan di bawa ke Burma.

Gambar 3: Gambaran Kota Ayutthaya ketika zaman kemuncak
  • Serangan China (Dinasti Qing)

Matlamat Raja Hsinbyushin untuk menghancurkan Siam sudah tercapai. Di tangannya meruapakan sebuah empayar yang sangat luas yang terbentang dari Manipur hingga ke Laos dan Siam. Sebuah empayar yang hampir menyamai saiz Empayar Burma ketika era Toungoo 100 tahun dahulu. Baginda ingin membina negeri boneka di Siam yang tunduk dengan Burma tetapi belum sempat cita-citanya di capai, satu berita buruk telah berlaku di utara Burma apabila tentera Qing sekali lagi bertindak menceroboh Burma dengan angkatan tentera jauh lebih besar dan berpengalaman  iaitu kira-kira 50,000 orang tentera Manchu Bannerman pimpinan Ming Rui.

Raja Hsinbyushin yang mula berasa tertekan dengan situasi tersebut terpaksa mengundurkan lebih separuh tenteranya di Siam bagi menghadapi ancaman China yang lebih merbahaya daripada Siam. Walaupun memenangi dalam serangan ketiga China, China sekali lagi menggerakkan pasukan tentera lebih besar iaitu 60,000 orang tentera Manchu Bannerman pimpinan jeneral Qing berpengalaman iaitu Fuheng. Kali ini Raja Hsinbyushin tiada pilihan lain kecuali terpaksa mengundurkan hampir semua tenteranya di Siam bagi berhadapan dengan 60,000 orang tentera elit China. Walaupun baginda masih mampu mencipta kejutan terbesar dalam sejarah Burma apabila mengalahkan China dalam invasi keempat tetapi Burma terpaksa membayar harga yang mahal apabila Siam terlepas dari genggamannya.

Maklumat terperinci mengenai Perang Qing-Burma di ulas di bawah artikel 10 Kempen Besar Maharaja Qianlong.

  • Penyatuan Semula Siam

Selepas kehancuran dahsyat Kota Ayutthaya, Empayar Siam mula berpecah dan beberapa wilayahnya membebaskan diri daripada Kerajaan Ayutthaya. Selepas pengunduran ramai tentera Burma dari bumi Siam bagi melawan Qing, negeri-negeri Siam tersebut bertempur sesama sendiri bagi menyatukan dan membina kembali Empayar Siam. Salah sebuah wilayah iaitu Chantaburi yang ketika itu di ketuai oleh Chao Tak berjaya meyatukan negeri-negeri Siam dan mengalahkan tentera “garison” Burma di Siam. Chao Tak memakai gelaran Raja Taksin selepas memindahkan ibu negaranya ke Thonburi dan kerajaannya di kenali sebagai Kerajaan Thonburi.

PENUTUP

Kota Ayutthaya merupakan kota teragung Siam dan antara kota terbesar di dunia sebelum serangan dilancarkan. Kota besar indah yang di hiasi pelbagai reka bentuk pagoda dan seni bina Siam itu akhirnya hancur musnah di serang tentera Burma yang dahagakan darah rakyatnya yang merupakan musuh tradisi kepada bangsa Burma. Selepas serangan tersebut, Kota Ayutthaya menjadi sebuah kota runtuhan yang tidak berpenghuni hingga sekarang. Kesan dari kehancuran tersebut juga masih lagi menjadi perbalahan antara bangsa Burma dengan Siam yang berlarutan hingga sekarang.

RUJUKAN

Buyers, Christopher. “The Royal Ark: Burma – Konbaung Dynasty”

Charney, Michael W. (2006). Powerful Learning: Buddhist Literati and the Throne in Burma’s Last Dynasty, 1752–1885. Ann Arbor: University of Michigan.

James, Helen (2004). “Burma-Siam Wars”. In Keat Gin Ooi. Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, Volume 2. ABC-CLIO. ISBN 1-57607-770-5.

Min Zin (August 2000). “Ayutthaya and the End of History:Thai views of Burma revisited”. The Irrawaddy. The Irrawaddy Media Group. 8 (8).

Aung Lwin Oo (13 October 2005). “The Shadow of 1767: Old enmities still weigh on Thai-Burmese relationship”. The Irrawaddy. The Irrawaddy Media Group.

Ba Than (1951). History of Burma (in Burmese). Yangon: Sarpay Beikman.

Baker, Chris, Christopher John Baker, Pasuk Phongpaichit (2009). A history of Thailand (2 ed.). Cambridge University Press. ISBN 9780521767682.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.