Perang Sampit: Madura Vs Dayak

1
3169
views

Sekitar Februari 2001 telah terjadi satu peristiwa besar dan bersejarah di Pulau Borneo dengan pengkhususan lokasinya adalah di Kalimantan Tengah, Republik Indonesia. Tragedi hitam ini telah meragut lebih kurang 600 nyawa antara etnik Dayak Kalimantan dan juga bangsa Madura. Di dalam tragedi hitam ini juga telah melibatkan lebih dari 100,000 orang bangsa Madura yang telah kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Tragedi hitam yang menjadi paparan Borneo Oracle kali ini adalah apa yang dikenali sebagai Perang Sampit (Konflik Dayak vs Madura).

Perang Sampit merupakan satu perang diantara 2 etnik di Kalimantan Tengah iaitu antara masyarakat pribumi Dayak dengan satu bangsa dari Pulau Madura yang dikenali sebagai bangsa Madura. Menurut ceritanya ketegangan antara 2 rumpun masyarakat Indonesia ini telah lama berlaku dan ianya menjadi semakin tidak terkawal sekitar 18 Februari 2001 apabila satu peristiwa yang melibatkan dua orang bangsa Madura diserang oleh masyarakat pribumi Dayak Kalimantan Tengah.

Kejadian ini berlaku di Sampit, Kalimantan Tengah dan kerana itulah ianya dinamakan Perang Sampit. Sebenarnya ada 1001 alasan mengapa perang ini terjadi dan kedua-dua pihak mahupun di pihak Dayak Kalimantan Tengah dan juga bangsa Madura mempunyai alasan yang tersendiri mengapa dan kenapa perang ini harus meletus.

Mengikut sumber diceritakan bahawa asal kepada konflik ini adalah adanya satu peristiwa yang melibatkan pembakaran sebuah rumah dari etnik Dayak oleh bangsa Madura kerana satu perselisihan faham. Dan bertindak daripada itu etnik Dayak tersebut membalas dendam dengan membakar rumah-rumah di kawasan penempatan Madura di Kalimantan Tengah.

Dari versi laporan Professor Usop dari Persatuan Masyarakat Dayak Kalimantan pula menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh etnik Dayak pribumi adalah atas dasar ingin mempertahankan diri kerana ada sumber mengatakan bahawa bangsa Madura itu sendiri yang memulakan kerana kalah judi. Di dalam permainan judi tersebut salah seorang daripada etnik Dayak telah diseksa sebelum dibunuh oleh bangsa Madura kerana gagal menjelaskan hutang judi tersebut. Hal ini terjadi pada 17hb Disember 2000.

Perang Sampit ini bukan hanya terjadi di Sampit malah juga ianya merebak ke Bandar-bandar di Kalimantan yang lain contohnya di Sambas. Di Sambas ini tidak kurang juga jumlah penduduk Madura juga menghadapi nasib yang sama.

Di dalam Perang Sampit ini lebih kurang 100 kepala bangsa Madura berpisah daripada badan apabila etnik Dayak Kalimantan menjalankan perang memenggal kepala atau Ngayau yang juga merupakan salah satu daripada adat warisan Dayak sejak dahulu lagi. Walaupun adat Ngayau telah lama ditinggalkan namun apabila berperang ianya kembali semula dan siapa boleh mengatakan tidak kerana itulah budaya nenek moyang etnik Dayak yang amat digeruni oleh mana-mana bangsa manusia seantero dunia suatu waktu dahulu.

Akibat adanya pertelingkahan yang melibatkan nyawa telah memaksa pemerintah Republik Indonesia untuk menghantar sejumlah besar Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan juga Polis Indonesia untuk menjernihkan suasana.

Hanya selepas beberapa waktu barulah keadaan pulih seperti sediakala namun begitu bangsa Madura telah sama sekali tidak dibenarkan untuk tinggal di Kalimantan dan akhirnya memaksa mereka untuk meninggalkan bumi Kalimantan dan kembali ke Madura ataupun ke wilayah Republik Indonesia yang lain.

Hakikatnya banyak rentetan kepada peristiwa hitam ini terjadi tetapi yang menjadi punca sebenarnya adalah rasa tidak puas hati Dayak Kalimantan ini sebenarnya sudah berlaku lebih lama daripada itu kerana hakikatnya bangsa Madura bukanlah “orang asal” di bumi Kalimantan.

Sejarah Madura

Seperti kelompok-kelompak besar Bangsa Indonesia yang lain, masyarakat Madura juga sebenarnya mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Bangsa Madura merupakan antara bangsa yang ketiga besarnya di Republik Indonesia. Asal keturunan bangsa Madura itu sendiri adalah daripada Pulau Madura yang lokasinya terletak di sebelah timur Pulau Jawa. Keluasan Pulau Madura pula adalah lebih kurang 5,250 km persegi dengan jumlah penduduknya mengikut laporan populasi Republik Indonesia 2012 adalah sekitar 6 juta orang. Pulau Madura selain sebagai satu pulau yang besar juga diwakili oleh raintaian 126 buah pulau-pulau kecil yang mengelilinginya.

Menurut cerita lisan di dalam masyarakat Madura, dikatakan bahawa asal usul keturunan bangsa Madura adalah mereka merupakan penduduk asli Pulau Jawa. Mereka dikatakan antara orang Jawa yang tidak mahu tunduk kepada kekuasaan raja dan juga Sultan di kerajaan-kerajaan kuno di Pulau Jawa. Jadi mereka telah berpindah dan menjadikan Pulau Madura dan rantaian pulau-pulau kecil menjadi tanah kelahiran mereka lalu membentuk apa yang dipanggil bangsa Madura sekarang.

Jika dilihat kepada sejarah kuno Pulau Madura itu sendiri iaitu sekitar tahun 900 – 1500 masihi, Pulau Madura adalah dibawah pengaruh kekuasaan Kerajaan Hindu Jawa seperti Kerajaan Kediri, Kerajaan Singasari dan juga empayar besar Kerajaan Majapahit.

Pada tahun 1624, Pulau Madura telah ditakluki Kerajaan Mataram dan akhirnya pada awal abad ke 18, Madura telah berada dibawah kekuasaan Kolonial Belanda. Sekitar tahun 1882 ianya adalah dibawah Perusahaan Hindia Timur Belanda (Vereenigde Oostindische Compagnie atau VOC).

Setelah pucuk pimpinan Kolonial Belanda dikenali sebagai pemerintah Hindia-Belanda,sekitar tahun 1920an, Madura telah dijadikan sebahagian daripada wilayah Jawa Timur.

Dari segi bahasa pertuturan, bangsa Madura mempunyai bahasanya yang tersendiri yang dipanggil Bahasa Madura. Bahasa Madura merupakan rumpun bahasa Melayu-Polenisia di bawah cabang Sundik. Dikatakan bahasa Madura pula banyak dipengaruhi oleh bahasa Jawa, Melayu Sumatera, Bugis dan Tionghua.

Di dalam bahasa Madura itu pula mempunyai 5 dialek yang dipertuturkan mengikut wilayah-wilayah di Pulau Madura itu sendiri iaitu: dialek Bangkalan, dialek Sampang, dialek Pamekasan, dialek Sumenep dan dialek Kangean. Walau bagaimanapun akibat daripada pengaruh Sumenep yang mana merupakan pusat kerajaan Madura suatu waktu dahulu maka dialek Sumenep rata-ratanya dipertuturkan secara standard bagi kebanyakan bangsa Madura.

Dari segi agama, kebanyakan bangsa Madura menganuti agama Islam. Ini kerana sejak dahulu lagi Madura sudahpun mendapat pengaruh Islam di dalam penghidupan mereka berdasarkan pengaruh Islam di Pulau Jawa lagi. Walaupun mereka menganuti agama Islam namun terdapat beberapa tradisi adat kebudayaan mereka yang diwarisi sejak dari dulu lagi yang masih diamalkan iaitu Adat Pethik Laut atau Rokat Tasse.

Sejak azalinya lagi bangsa Madura sememangnya terkenal dengan jiwa perantau. Ini kerana tanah tumpah asal mereka iaitu Pulau Madura sendiri bukanlah tanah pamah yang subur untuk bercucuk tanam sedangkan bangsa Madura itu terkenal dengan kepakaran mereka di dalam bercucuk tanam.

Dan kerana itulah ramai bangsa Madura bertebaran di muka bumi hanya untuk mencari rezeki. Selain daripada itu sistem migrasi yang dijalankan oleh pemerintah Hindia-Belanda telah memungkin mereka untuk dipindahkan ke seluruh bumi Indonesia termasuk di Kalimantan dan sistem ini juga dijalankan oleh pemerintah Republik Indonesia sehingga sekarang.

Inilah sekelumit ruang informasi ilmu di dalam kita cuba memahami satu tragedi hitam yang pernah berlaku di Pulau Borneo pada abad ke 21 ini. Perang Sampit yang merupakan konflik antara 2 bangsa iaitu dari etnik Dayak Kalimantan dengan bangsa Madura telah meninggalkan seribu pengajaran kepada kita sebagai satu bangsa yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama di dunia ini. Bersatulah kita sebagai satu bangsa dan kita jauhkan segala anasir-anasir ekstremis agama dan bangsa di dalam penghidupan kita seharian.

Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh.

#KamekSayangSarawakBah!

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.