Perang Salib Ketiga: Pertempuran Arsuf

0
1816
views

Kali terakhir kita meninggalkan medan Perang Salib Ketiga antara, bala tentera Salib baru sahaja melaksanakan arahan Raja Richard The Lionheart untuk membunuh lebih 2600 tawanan perang di Acre. Sasaran Richard seterusnya adalah Jerusalem.

Sebelum berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Acre, Philip II telah meninggalkan sekutunya Richard dengan alasan bahawa baginda perlu menguruskan hal domestik di Perancis. Walaubagaimanapun baginda meninggalkan sebahagian daripada bala tentera Perancis untuk kekal bersama bala tentera Salib. Kumpulan ini diketuai oleh Duke Hugh dari Burgundy.

Untuk sampai ke Jerusalem, Richard boleh memilih untuk menggunakan jalan pedalaman ataupun jalan persisir. Setelah berbincang dengan pemimpin-pemimpin tentera Salib, akhirnya baginda memilih jalan persisir. Melalui jalan ini, bala tentera Salib perlu mara ke selatan Acre untuk ke Jaffa atau Ascalon. Dari kedua-dua kota itu, Richard akan pergi ke timur untuk mara ke Jerusalem.


Gambar 1: Peta menunjukkan pergerakan bala tentera Salib dari Acre

Sultan Salahuddin mengambil keputusan untuk membayangi pergerakan bala tentera Raja Richard. Semenjak pembunuhan beramai-ramai pasukan pertahanan Acre oleh Raja Richard, Sultan Salahuddin mengintai peluang untuk melancarkan serangan balas terhadap bala tentera Salib.

Walaubagaimanapun, Raja Richard sudah menduga bahawa bala tenteranya tidak akan dibiarkan untuk mara ke selatan dengan mudah. Baginda awal-awal lagi memastikan bahawa bala tenteranya bergerak secara berdisiplin dalam formasi yang rapat. Mereka akan berbaris perlahan ke selatan dengan menggunakan jalan pantai. Dengan sebelah kiri mereka terdedah dengan serangan musuh di darat manakala sebelah kanan mereka adalah Laut Mediterranean.

Di Mediterranean, Richard telah mengarahkan armadanya untuk berlayar mengikuti pergerakan bala tenteranya di darat. Armada tersebut akan membawa bekalan ubat-ubatan dan berlabuh apabila masa sesuai untuk menghulurkan bantuan. Apabila bala tentera di darat berhenti rehat, armada itu juga akan berlabuh dan mengambil tentera-tentera yang cedera.
Richard memberi arahan yang jelas kepada anak-anak buahnya, mereka hendaklah kekal dalam barisan walau apapun yang berlaku. Pergerakan dan formasi rapat mereka akan memberi perlindungan dan kelebihan. Richard tahu jika pasukan mereka berpecah, mereka akan diratah oleh bala tentera Salahuddin.

Sultan Salahuddin dan bala tenteranya menyerang sebaik sahaja bala tentera Raja Richard bergerak keluar dari Acre. Serangan-serangan kecil dilakukan untuk memaksa bala tentera musuh berpecah. Walaubagaimanapun tentera-tentera musuh terus mara tidak keluar dari formasi mereka. Tentera-tentera Salahuddin menggiatkan serangangan. Ada riwayat menceritakan bahawa seorang kesatria tentera salib kelihatan seperti landak akibat anak-anak panah yang hinggap di baju zirahnya.

Tetapi dengan kepimpinan Richard, bala tentera Salib tidak termakan umpan bala tentera Salahuddin. Mereka bergerak dengan sangat perlahan supaya formasi mereka tidak terpecah. Beberapa kali mereka akan berhenti rehat dengan tempoh yang panjang (sehingga dua hari) dan kapal-kapal dari Mediterranean akan berlabuh dan mengambil mereka yang cedera.
Masa rehat itu juga digunakan Richard untuk berbincang tentang taktik untuk kemaraan seterusnya. Selama 19 hari perjalanan (perjalanan biasanya akan mengambil masa dua hari!), Richard telah beberapa kali mengubah kedudukan dan strategi yang akan diambil apabila berbaris nanti.

Sebenarnya Richard dan Salahuddin mahu mengelak pertempuran besar dan terbuka berlaku antara bala tentera mereka. Tetapi kedua-dua pemimpin tentera ini tahu bahawa lambat laun pertembungan itu akan berlaku juga. Pada satu ketika, Richard menjemput wakil Salahuddin untuk berbincang mengenai perdamaian. Ketika itu kedua-dua bala tentera sedang berkhemah agak jauh antara satu sama lain.

Waqaf Saham

Salahuddin menghantar adiknya al-Adil untuk terlibat dalam perbincangan itu. Baginda sempat berpesan kepada al-Adil untuk melengah-lengahkan perbincangan tersebut. Kedua-dua pasukan sedang berehat dan Salahuddin mahu supaya masa dipanjangkan supaya pasukan bantuannya tiba. Al-Adil pun pergi ke perkhemahan Richard dan bertermu dengan Raja England itu.

Namun begitu, ketika al-Adil sedar bahawa perbincangan itu sendiri adalah muslihat Richard, ianya sudah terlambat. Richard sebenarnya mahu perbincangan itu dilaksanakan supaya bala tentera Salahuddin tidak bersedia untuk mengejar pasukannya. Muslihat Richard berjaya, bala tentera Richard bergerak lebih awal dan meninggalkan bala tentera Salahuddin.

Rancangan Richard berjaya dan bala tentera Salib berjaya sampai ke satu peringkat perjalanan mereka dan berehat selama dua hari. Pada ketika itu Richard tahu bahawa Salahuddin pasti akan menggempur dengan lebih giat pada peringkat seterusnya selepas terlepas peluang sebelum ini.

Pada peringkat seterusnya, Richard dan bala tenteranya akan melimpasi pantai berdekatan hutan Arsuf.


Gambar 2: Peta taktikal menunjukkan kedudukan pihak-pihak yang terlibat dalam pertempuran di Arsuf.

Formasi kali ini juga dipastikan supaya berjalan lebih rapat dan berdisiplin. Mereka berbaris menuju ke selatan dalam keadaan yang sangat rapat sehinggakan sebuah epal yang dilontar pun tidak dapat menembusi perbarisan tersebut.

Pada pagi 7 September 1191, bala tentera Salib yang dipimpin Richard mara ke selatan. Salahuddin dan pasukan sudah menanti.
Bala tentera Salahuddin pun mengejar dan mula melakukan serangan kecil sebaik sahaja bala tentera Salib bergerak. Kali ini pasukan yang berada di belakang perbarisan musuh menjadi sasaran. Pasukan pemanah berkuda Salahuddin menyerang dengan bertali arus sehinggakan ketua pasukan kesatria Hospitaller tidak tahan (Pasukan kesatria Hospitaller telah ditugaskan untuk mengawal pasukan belakang perbarisan itu).

Dua kali Ketua Pasukan Hospitaller menunggang ke depan perbarisan untuk bertemu Richard. Tetapi dua kali juga permintaan ketua Hospitaller itu untuk melancarkan serangan ditolak.

Barisan hadapan bala tentera Richard baru sampai di ladang yang berada di luar kota Jaffa apabila Richard menyedari apa yang telah berlaku.
Pasukan Kesatria Hospitaller yang berada di belakang bala tentera telah melancarkan serangan tanpa kebenaran baginda. Richard tidak mempunyai banyak pilihan, baginda pun mengarahkan supaya serangan dilakukan.


Gambar 3 Pertempuran di Arsuf (sumber: archieve.org)

Pertempuran besar berlaku antara tentera-tentera Richard dan Salahuddin. Serangan rempuhan berkuda kesatria-kesatria Richard tangkas menewaskan tentera-tentera Salahuddin. Berkali-kali rempuhan ini berjaya menjadikan bala tentera Salahuddin kelam kabut dan juga mengorbankan ramai daripada mereka.

Ternyata tentera-tentera barat lebih hebat dalam pertempuran jarak dekat seperti ini. Sultan Salahuddin menyedari hakikat ini dan lantas mengumpul semula bala tenteranya. Arahan untuk berundur dilaungkan. Mereka nyaris-nyaris ditewaskan dengan jumlah korban yang lebih besar jika tidak dengan tindakan pantas Salahuddin itu.

Sekali lagi Salahuddin tertewas dan Richard berjaya meneruskan perjalanan mereka ke Jaffa. Jerusalem semakin dekat kepada Richard. Walaubagaimanapun, Richard akan mengalami masalah bukan sahaja dari Salahuddin tetapi daripada sekutunya sendiri apabila baginda mula mara lebih dekat dengan Jerusalem.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.