Pulau Salang atau sekarang dikenali sebagai nama Phuket, Thailand sebenarnya mempunyai hubungan secara langsung dari segi sejarah dengan Kerajaan Kedah suatu waktu dahulu. Di ketika Kerajaan Kedah menjadi salah satu Kerajaan yang tunduk kepada kekuasaan Siam ianya menghantar ufti berbentuk bunga emas dan perak kepada Kerajaan Siam. Namun begitu Kerajaan Kedah bukanlah ditadbir secara langsung oleh Siam sebaliknya Kedah diurus oleh satu lagi Kerajaan lama iaitu Kerajaan Legor dibawah pemerintahan Nakhorn Sri Tammarat.

Dikatakan pemerintahan Kerajaan Legor pula tidak menang tangan untuk menguruskan wilayah yang besar maka atas keizinan Siam juga maka Kedah dititipkan kepada Kerajaan Senggora iaitu Songkla sekarang untuk menguruskan Kedah. Atas pengaruh dan hubungan baik antara Senggora dengan seorang putera raja Kedah ini maka baginda mampu naik takhta sebagai Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah yang memerintah daripada tahun 1804 hingga 1843.

Dalam pada itu sebenarnya jauh sebelum Sultan Ahmad Tajuddin menaiki takhta, wilayah Pulau Salang sebenarnya dimiliki oleh Kedah itu sendiri. Ianya berlaku ketika pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa yang menaiki takhta pada tahun 1710 hingga 1718. Pada ketika itu Kedah telah awal-awal lagi menguasai keseluruhan batasan darat dan air antara Pulau Salang sehingga membentang ke Pulau Pinang. Di ketika inilah dikatakan rakyat Kedah begitu makmur sehingga mampu membuka lombong-lombong bijih timah serta memungut sarang burung dan juga mengumpul siput laut untuk menjadi sumber ekonomi mereka.

Apabila Siam mula menunjukkan taringnya akhirnya Pulau Salang diambil oleh Kerajaan Siam secara langsung hanya kerana sumber galiannya yang berharga. Namun begitu rakyat Kedah dibenarkan untuk menjalankan aktiviti ekonomi di gugusan pulau seperti di Ranong, Murgi, Takuapa, Salang, Terang, Teratau, Langkawi Langu, Pangnga dan Setol dengan syarat setiap penghasilan harus dibahagikan dengan Kerajaan Siam.

Atas hal ini telah memungkinkan Kerajaan Burma atau Kerajaan Ava dibawah pemerintahan Raja Bodawphaya yang merupakan raja keenam dari Dinasti Alaungpaya Kerajaan Ava ingin menyekat penguasaan Siam keatas kerajaan Melayu di sekitarnya contohnya Kedah. Bagi Raja Bodawphaya hanya dengan mendapatkan Pulau Salang maka Kerajaan Ava akan berkuasa penuh atas perusahaan bijih timah serta mampu menyekat bekalan bahan letupan dan senjata yang dibekalkan dari Teluk Benggala untuk sampai ke Siam. Dengan cara ini, sudah tentu Siam akan bertambah lemah.

Sekitar tahun 1785, atas titah daripada Raja Bodawphaya, panglima perangnya yang tersohor iaitu Atwinwun telah bertindak menyerang Pulau Salang. Percubaan serangan Ava ini beberapa kali Berjaya dipatahkan oleh Siam sehinggalah pada tahun 1810 akhirnya Ava Berjaya juga menduduki Pulau Salang. Pada ketika inilah hal pertama yang dilakukan Atwinwun adalah menghantar utusan kepada Sultan Ahmad Tajuddin agar bersama-sama Ava dan keluar daripada belenggu Siam. Di ketika itu juga Atwinwun meminta Kedah untuk tidak lagi menghantar bunga emas dan perak kepada Siam sebaliknya kepada Ava. Dan sebagai galang gantinya, Ava akan memberi perlindungan kepada Kedah daripada serangan Siam kelak.

Namun begitu, Sultan Ahmad Tajuddin bukanlah seorang Sultan yang mementingkan dirinya sendiri lebih-lebih lagi sejak tahun 1808 lagi sebenarnya Sultan Ahmad Tajuddin telah memberikan seribu alasan untuk tidak turut serta di dalam perang Siam dengan Kerajaan Petani. Pada ketika itu dikatakan di sempadan Kedah sendiri terdapat beribu-ribu askar dari Senggora yang berkhemah di dalam proses untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Petani. Jadi sekiranya Sultan Ahmad Tajuddin membalas tawaran daripada Atwinwun ini sudah tentu, Kedah akan mendapat bala yang lebih besar.

Maka perutusan dari Atwinwun itu dibalas oleh Sultan Ahmad Tajuddin dengan berhati-hati umpama menarik rambut di dalam tepung. Rambut jangan putus tepung jangan berselerakkan. Di dalam perutusan balas itu, Sultan Ahmad Tajuddin hanya memperkatakan tentang ucapan tahniah serta memuji-muji kekuatan Kerajaan Ava sahaja tanpa menyatakan persetujuan atas usulan daripada Atwinwun itu. Ini semua dilakukan untuk memastikan bahawa Siam tidak akan syak wasangka kepada Kedah.

Tanpa Sultan Ahmad Tajuddin ketahui sejak dari awal lagi iaitu pada tahun 1808, Siam sebenarnya telah mulai mencurigai tindak tanduk pemerintah Kedah lebih-lebih lagi apabila Sultan Ahmad Tajuddin sama sekali tidak mahu menyertai angkatan perang Siam ke atas Petani. Oleh kerana itu apabila Ava berkuasa di Pulau Salang, Siam sudah mula berasa was-was kerana Siam khuatir, Kedah akan berpaling daripada mereka. Dan kerana itulah, Siam mengeluarkan titah perintah kepada Kedah untuk menghalau bala tentera Kerajaan Ava dibawah pimpinan Atwinwun daripada bumi Salang secepat mungkin.

Oleh kerana Sultan Ahmad Tajuddin tiada pilihan untuk berdolak-dalih lagi dan tidak mahu Kedah terus dikatakan tidak setia pada Siam yang sudah tentu akan memberi nasib buruk kepada Kedah kelak maka baginda telah menghantar 100 buah perahu dengan seribu orang satria dari Kedah dibawah pimpinan Dato Laksamanya menyerang Salang pada tahun 1810 itu juga. Maka bertempurlah panglima dan kesatria dari Kerajaan Kedah dengan tentera Ava dibawah pimpinan Atwinwun yang juga panglima Ava yang tersohor namanya di dalam proses perluasan empayar Kerajaan Ava pada masa itu.

Di dalam taktik strategi perang di Pulau Salang ini sudah tentu Sultan Ahmad Tajuddin dibawah pimpinan Dato Laksamananya mempunyai kelebihan kerana di Pulau Salang rata-ratanya diduduki oleh rakyat Kedah pada asalnya telah memberikan sumber informasi yang berguna. Dikala inilah rakyat Kedah di Pulau Salang telah menyalurkan segala pengetahuan mereka tentang Pulau Salang sehinggalah tentera Ava dibawah Atwinwun Berjaya dihalau keluar daripada Pulau Salang dengan sedikit sahaja jumlah korbannya di pihak Kedah. Dikatakan kerana tidak dapat lagi bertahan di Pulau Salang, Atwinwun dengan bala tentera Ava sendiri cabut lari di medan perang dengan meninggalkan peralatan perang mereka di Pulau Salang.

Sejarah Perang Pulau Salang 1810 ini menyaksikan bagaimana sebuah Kerajaan Melayu yang bernama Kerajaan Kedah telah Berjaya mengusir tentera Ava sendirian walaupun tanpa bergabung dengan mana-mana kerajaan-kerajaan yang berpihak kepada Siam suatu waktu dahulu. Sebenarnya Kedah sendiri adalah satu kerajaan Melayu yang kuat yang sudah tentu mempunyai taktik peperangannya yang tersendiri yang boleh menggoyah kerajaan asing yang lain.

Rujukan: 

1. Mohammad Yusuf Hashim. Buku bertajuk: Syair Sultan Maulana 1812. Dicetak semula oleh Dato Wira Dr. Mohd Shariff bin Abu Samah . Penerbit: Universiti Malaya

2. Liaw Yock Fang. Buku bertajuk: A History Of Classical Malay Literature

3. A Malay Ballad From Kedah: The Naval Battle For Phuket
http://britishlibrary.typepad.co.uk/asian-and-african/2014/02/malay-ballad-from-kedah-the-naval-battle-for-phuket.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

1 Comment

Leave A Reply