Perang Perdagangan Trump (Trump’s Trade War)

3656
views

Satu lagi isu geo-politik dan geo-ekonomi yang tengah hangat ialah pengumuman Trump pada khamis lepas untuk mengenakan tarif (cukai import) sebanyak 25% ke atas keluli (steel) dan sebanyak 10% ke atas aluminium yang memasuki pasaran US. Isu yang benar-benar memberi impak dan saham syarikat keluli mula jatuh menjunam selepas pengumuman Trump dibuat.

Yang lagi menakjubkan ialah tweet Trump pasal perang perdagangan (“trade war”). Tiada presiden US sejak Hoover (1929-1932) membangkitkan idea perang perdagangan secara terbuka apatah lagi mengatakan “trade wars are good and easy to win”.

Perang perdagangan berlaku apabila negara berlumba-lumba untuk menaikkan tarif untuk menyekat masuk barangan import. Ia bercanggah dengan perdagangan bebas (“free trade”) di mana negara mengurangkan atau memansuhkan tarif.

Selama ini, US merupakan jaguh perdagangan bebas. Di bawah Clinton, US memperkenalkan NAFTA (Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara). Di bawah Bush, US menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang baru dengan 19 buah negara. Di Obama, US memperkenalkan TPP (Perjanjian Trans-Pasifik) dan TTIP (Perjanjian Trans-Atlantik). Trump bukan saja “reverse” semua itu malah menganggap trade war sebagai sesuatu yang bagus. Apa yang sedang berlaku?

Perang perdagangan dunia yang terakhir berlaku ketika Hoover menjadi presiden, apabila Kongres US meluluskan Akta Smoot-Hawley pada tahun 1930. Tujuan akta tersebut adalah untuk melindungi industri tempatan melalui kenaikan tarif, dengan harapan ia dapat memulihkan keadaan ekonomi US yang berada dalam keadaan kemelesetan. Namun ia hanya mengundang pembalasan (“retaliation”) daripada negara-negara lain di mana mereka turut menaikkan tarif masing-masing. Kesannya jumlah perdagangan dunia merosot dan memburukkan lagi keadaan kemelesetan dunia ketika itu.

Mengambil pengajaran daripada perang perdagangan yang telah membinasakan ekonomi dunia, negara-negara industri utama menubuhkan General Agreement on Tariff and Trade (GATT) pada tahun 1947 untuk mengurangkan tarif perdagangan antarabangsa. GATT kemudian berkembang menjadi World Trade Organization (WTO) yang berperanan untuk mengadili persengketaan perdagangan antara negara. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pengulangan sejarah Smoot-Hawley. Trump bukanlah peminat WTO, jadi dia tidak serik dengan idea perang perdagangan.

Seperti yang saya pernah jelaskan, Trump seorang yang berfikiran “neo-mercantilist” atau “protectionist” (rujuk artikel lama: https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10206138412378921). Trump menganggap defisit perdagangan sebagai sesuatu yang negatif dan wajib diperbetulkan. Menurut pandangan Trump dan Peter Navarro (penasihat dasar perdagangan Trump) yang simplistik, pengurangan import akan mencipta permintaan terhadap barangan domestik dan memperkasakan industri tempatan. Memandangkan China merupakan sumber defisit US yang terbesar, maka China menjadi sasaran utama Trump. Dan tarif kali ini jelas mensasarkan China kerana China merupakan pengeluar keluli dan aluminium terbesar di dunia.

Industri keluli dipilih kerana ia merupakan sektor industri yang cukup sensitif, berdasarkan sejarahnya. US suatu ketika dahulu merupakan pengeluar keluli terbesar di dunia. Pengusaha keluli seperti Andrew Carnegie merupakan manusia terkaya pada awal abad ke-20. Tapi itu hal 100 tahun yang lalu. Kedudukan US sebagai pengeluar keluli terbesar telah diambil alih oleh Jepun pada tahun 1980, dan kemudian oleh China. Kini, keluaran keluli tahunan China adalah sebanyak 800 juta ton, 8 kali ganda berbanding US (100 juta ton).

Akibat daripada kehilangan pasaran, banyak kilang di negeri-negeri pengeluar keluli (seperti Michigan, Ohio dan Pennsylvania) telah ditutup. Keluarga tempatan yang bekerja di kilang keluli bergenerasi-generasi hilang sumber pendapatan dan terpaksa berhijrah keluar. Negeri-negeri ini satu ketika dahulu dikenali sebagai “Steel Belt”, namun hari ini ia digelar sebagai “Rust Belt” (“rust” bermaksud berkarat) kerana telah hilang kegemilangannya sebagai pusat industri US. Penduduk Rust Belt rasa diri “merempat di negara sendiri” dan sentiasa melobi kerajaan untuk mengambil tindakan ke atas keluli import.

Kemunculan Trump seolah-olah memberi sinar harapan baru kepada mereka. Dengan retoriknya untuk “bring back our jobs” dan janjinya untuk mengambil tindakan ke atas dasar perdagangan China, Trump berjaya menawan negeri-negeri Rust Belt yang merupakan kubu kuat Parti Demokrat semasa pilihanraya tahun 2016. Dan Trump kini mahu menunaikan janjinya.

Kali terakhir US mengenakan tarif ke atas keluli adalah pada tahun 2002. Tapi kali itu Bush mengecualikan Canada dan Mexico kerana mereka merupakan rakan perdagangan US dalam NAFTA. Kali ini Trump semua sekali sapu, tiada belas kasihan langsung kepada 22 rakan FTA yang lain. Undang-undang yang Trump pakai ialah Seksyen 232, Akta Perdagangan 1962 yang membolehkan US mengambil tindakan atas alasan keselamatan negara (“national security”).

Cuma masalahnya, China bukanlah sumber utama import keluli US. Hanya 2% daripada import keluli US datang daipada China. Dan eksport China ke US hanya ada dalam 1 juta ton, tak sampai 0.1% pun daripada jumlah keluli eksport China. Jadi China mungkin tak kisah kot dengan Trump punya tarif. Kalau betul nak berperang, US pasti akan kalah dalam perang ini.

Sumber terbesar import keluli US datang daripada Canada iaitu sebanyak 15-17%. Sementara itu 90% keluli keluaran Canada dieksport kepada US. Tak pasal-pasal Justin Trudeau yang kena. Canada adalah negara jiran US dan antara negara yang paling rapat hubungannya dengan US, jadi Trudeau pun naik bengang “apa jadah semua ini”? Maka Canada pun memberi amaran untuk membalas tarif US. Canada merupakan pengimport 50% keluli keluaran US, sekiranya Canada memboikot besi keluli US, sakitnya US di situ. Dan pada masa yang sama Trump juga mencabar EU dengan tarif ke atas kereta eksport EU. Sebuah perang perdagangan dunia (“world trade war”) bakal meletus kalau semua masih berkeras kepala.

Nak kata Trump bodoh pun tak boleh. Seperti biasa, tindakan Trump mesti ada dia punya “calculation”. Pengumuman Trump mendapat sokongan padu daripada ahli politik di Rust Belt, termasuk ahli politik Demokrat. Bob Casey, senator Demokrat dari Pennsylvania kini berdiri tegar di belakang Trump, walaupun beberapa bulan lepas dia antara orang yang mendesak Trump untuk meletak jawatan. Republikan yang pro-perdagangan bebas pula jadi skeptikal. Seperti pengumuman Trump mengenai kedutaan Jerusalem, Trump terlalu “short-sighted” dan hanya berfokus pada “political mileage” jangka masa pendek, sehingga merosakkan kredibiliti dan kewibawaan US dalam sistem antarabangsa.

Dan tindakan Trump kali ini juga akan memberi impak kepada Malaysia. Adakah tindakan Trump wajar? Ingat, ramai di kalangan ahli politik kita juga suka memainkan sentimen populisme ekonomi. Kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa bukanlah “zero sum game”, bukannya satu pihak menang maka satu pihak lagi akan kalah. Daripada mengamalkan dasar tutup pintu, lebih baik kita meningkatkan produktiviti dan daya saing untuk memaksimakan output dan eksport negara.

(Apa yang saya ulas ni dinamakan Ekonomi Politik Antarabangsa / International Political Economy (IPE). Benda yang tak ada dalam video The Arrival dan ceramah ustaz konspirasi)