Aidil Fitri sinonim dengan kemenangan – ke atas nafsu, ke atas mazmumah, dan ke atas kebiasaan-kebiasaan buruk yang kita perbaiki sepanjang Ramadhan. Tahun ini, ada satu kemenangan lain yang kita raikan bersama sedunia. Iaitu, kembalinya kita ke fitrah beraya seperti sediakala.

Berbicara tentang fitrah, tiada fitrah sehakiki agama dan beragama. Islam pula adalah agama yang seimbang antara merayakan Esa dan hamba. Tuntas, hari raya juga dilihat sebagai hari kegembiraan  buat semua – baik buat si kaya mahupun miskin hina, dan baik buat si abid mahupun pendosa.

Pada hari raya, kegembiraan dikongsi sehabis rata. Sampai zakat pun diwajibkan, kecuali terhadap 8 asnaf. Ini supaya tiada siapa terkecuali dari merasai kemanisan menyambutnya.

Di kala zaman Nabi, perkongsian ini melangkaui erti masa kini. Mereka bukan sekadar beraya sesama saudara seagama. Mereka bahkan mahu berkongsi nilai ‘bertuhan’ kepada saudara sebangsa. Supaya sama-sama bertuhan kepada yang Maha Esa.

Kuatnya kemahuan ini sampaikan lafaz ‘selamat’ bukan sekadar termaktub pada kad-kad raya, tetapi juga di mata pedang dan medan juang. Memang, perang harus jadi pilihan paling belakang. Namun bak kata pepatah – perang adalah kemuncak sayang; demi melindungi cinta, manusia sanggup bersengketa.

Tuntas, soal utamanya bukan sekadar ‘siapa yang mampu menjamin keamanan tanpa perang’. Tetapi, ‘siapa yang mampu menjamin perang dalam disiplin keamanan’. Ini, apa yang dibawa oleh junjungan Nabi. Hingga dalam perang sekalipun, erti ‘selamat’ (salam; Islam) yang dipromosi baginda jelas bergema seperti gema takbir di hari raya pertama – selaras etika perang yang digariskan oleh baginda.

Dalam bulan Syawal, setidak-tidaknya ada tiga pertempuran yang disertai baginda dan artikel kali ini cuba meringkaskannya supaya kita dapat menelusurinya bersama.

Pertempuran Uhud

Selain Mu’tah, pertempuran Uhud juga ibarat ‘300 Sparta’ versi Islami. Ini bukan hanya kerana Muslim menentang musuh yang lebih ramai. Tetapi juga kerana elemen di dalamnya yang pelbagai – merangkumi balas dendam, pengkhianatan, keingkaran, genius berperancangan, pengorbanan, dan pengajaran.

Pertempuran Uhud berlaku pada 7, 11, atau 15 Syawal tahun ketiga Hijrah – setahun selepas tamat Pertempuran Badar. Motifnya (bagi kem Musyrikin Quraisy) memang berkisar tentang timbal balik dari insiden lalu. Yakni, mahu menebas malu.

Bagi Muslimin pula, Uhud adalah tentang melindungi diri. Sebab itu, semasa awal-awal menerima berita mengenai bala tentera Mekah, mereka terus sahaja mengadakan mesyuarat sama ada mahu bertahan di kota atau keluar berperang di medan terbuka.

Pada mulanya, usulan pertama itu yang diterima. Ini kerana ia dipersetujui ramai sampai baginda sendiri pun akur. Namun setelah beberapa ketika, kalangan sahabat menyesali keputusan tadi – menyesal kerana tidak bertindak seperti di Badar dengan bertanya, “Cadangan ini ya Nabi (untuk menduduki suatu lokasi), adalah wahyu buat kami atau fikiran tuan sendiri?”

Bukit Uhud

Kekesalan tersebut bagaimana pun terus sahaja ditenteramkan oleh baginda. Lantas, pasukan Muslim pun berangkat. Jumlah mereka adalah seramai 1,000 orang. Ini, sebelum si celaka Abdullah ibn Ubay berbuat onar hingga mengakibatkan 300 orang menarik diri.

Lalu, jadilah bilangannya 700 orang, termasuk empat orang berkuda. Kekuatan musyrikin Quraisy pula adalah 3,000 orang yang terdiri dari 200 tentera berkuda, 700 tentera unta, dan selebihnya infantri dan pemanah.

Turut menyertai barisan Quraisy adalah kaum wanita, yang tugasnya menyanyi dan menari. Mereka ini diketuai oleh isteri Abu Sufyan ibn Harb, iaitu Hindun bint Utbah. Antara dendangan mereka di Uhud berbunyi begini; “Majulah semua, supaya nanti kami sudi peluk kalian di kasur asmara. Mundurlah semua, kalau kalian mahu kami pergi tanpa ingin lagi bercinta.”

Menerusi dendangan itu, kita dapat lihat betapa sokongan mereka lebih berlandaskan berahi semata-mata. Ini berbeza dengan kalangan srikandi Muslim seperti Siti Aisyah, Umm Sulaim, dan Nusaibah yang turun sendiri ke medan perang untuk merawat yang terluka, memberi minum yang dahaga, dan bahkan berjuang mengangkat senjata.

Berbanding semua, medan Uhud memang antara pertempuran paling dramatik pernah disertai baginda Nabi. Di sini, taktikal lawan taktikal. Psikologi lawan psikologi.

Sejarah merakamkan betapa dalam pertempuran ini, Abu Sufyan menggunakan strategi double envelopment. Yakni, memperkuat sayap kiri kanan supaya bila pasukan Islam memukul mundur bahagian tengah, mereka akan dikepung oleh sayap berkuda pimpinan Khalid al-Walid dan Ikrimah ibn Abi Jahal.

Ilustrasi posisi kedua-dua pasukan semasa Pertempuran Uhud

Strategi ini memang genius. Sampai pernah diadaptasi oleh ramai panglima handal termasuk Hannibal. Ia bagaimana pun berjaya diakali oleh baginda Nabi. Di mana, baginda meletakkan 50 orang pemanah di anak bukit Rumat (Jabbal Rumat). Tujuannya supaya mengusir pasukan berkuda Quraisy setiap kali mereka maju. Ini sekali gus menghindari infantri di tengah dari dikepung.

Tanpa kavalri, pasukan Quraisy memang mati akal. Mereka ibarat harimau tanpa taring. Perkasa, tapi digiring dan digoreng. Sampai mundur habis kebanyakan mereka. Uhud lantas bagaikan sudah ditawan. Setidaknya, itulah yang difikirkan oleh pemanah Muslim.

Dalam 50 pemanah yang dipimpin Abdullah ibn Jubair, hampir semua mengingkari mandatori yang digariskan oleh Nabi. Posisi kunci kemudiannya ditinggalkan gara-gara mata dikaburi harta, hati diperdaya dunia.

Lalu tatkkala mereka sibuk mengutip harta rampasan, Ikrimah dan Khalid al-Walid yang sedari tadi memerhati pun segera maju dan menggempur. Serangan tersebut lantas mengubah situasi. Musuh yang tadi berundur kini gagah bertempur.

Giliran Muslim pula ditekan dan diasak. Sampai Hamzah jatuh gugur. Mus’ab ibn ‘Umair jatuh syahid. Dan Nabi sendiri dilempari sebelum tersembam hingga gigi baginda patah dan wajahnya terluka. Dalam melindungi baginda, ramai sahabat terbunuh.

Ilustrasi Pertempuran Uhud dari kitab Siyer-i-Nabi 1595

Abu Dujanah si pemegang pedang Nabi siap menjadikan tubuhnya sebagai perisai, hingga habis badan beliau dihujani panah. Begitu juga dengan Nusaibah yang keperwiraannya membuatkan beliau dianggap lambang srikandi Islam.

Ibarat kisah 300 Sparta, medan Uhud memang dipenuhi anekdot heroik – kering gusi kalau mahu ceritakan semua. Atas kertas, umat Islam memang kalah dalam pertempuran tersebut. Namun hingga hari ini pun, ia diingati dengan penuh kebanggaan dan pengibrahan.

Ini kerana seperti Sparta di Thermopylae, pasukan Muslim tewas kerana dibelakangi sekutu Yahudi dan posisi kuncinya pula dibocori oleh tentera sendiri. Ini sekali gus memberi pelajaran bermakna; disiplin dan kepatuhan di bulan Ramadhan (seperti di medan Badar) harus diteruskan pada bulan-bulan selanjutnya (kalau tidak mahu berakhir seperti di Uhud).

 

Pertempuran Hunain dan Taif

Lima tahun selepas tamat Pertempuran Uhud, umat Islam akhirnya diberi kemenangan mutlak. Hal ini hadir menerusi Pembukaan Mekah yang berlaku pada Ramadhan 8 Hijrah. Dalam peristiwa itu, hampir semua penduduk Mekah memeluk Islam. Termasuklah Abu Sufyan.

Kedudukan Islam justeru menjadi semakin teguh. Lantas sebulan kemudian, yakni sekitar 6 Syawal, baginda membawa 12,000 orang tentera menuju ke Lembah Hunain yang berjarak kurang 30 km dari Mekah. Tujuannya adalah memerangi pakatan suku Hawazin dan Thaqif, di samping membuka kota Taif.

Dalam sejarah Islam, Taif memang kota yang penting. Ia adalah kota pertama yang diminta suaka oleh Nabi sebelum Madinah. Di kota itu juga, baginda membuka cerita tentang Nabi Yunus ibn Mata. Malah kota itu turut pernah didoakan oleh Nabi saat dua malaikat dikirim untuk melenyapkannya dari muka bumi.

Justeru, munasabah jika Taif menjadi misi pertama baginda selepas pembukaan Mekah. Berbekalkan 12,000 orang tentera (10,000 Muslim dan 2,000 Tulaqa; mualaf pasca Fathu Makkah), misi itu dijangka berjalan lancar dan mudah. Memang rata-rata umat Islam pun menganggap begitu. Sampai ada yang berkata, “Mustahil boleh kalah dengan bilangan seramai ini.”

Lokasi Hunain antara Mekah dan Taif

Namun siapa sangka, insiden di Hunain hampir sahaja meranapkan keampuhan pasukan Muslim. Di sana, mereka berhadapan dengan 20-30,000 musyrikin pimpinan Malik ibn Auf. Malik ini boleh kata menuruti habis pepatah, “Bersatu teguh, berceraih roboh.”

Mana tidak, bukan tentera sahaja yang dia bawa ke Lembah Hunain. Anak isteri dan segala gembalaan pun diangkut bersama. Tujuannya, supaya tentera berjuang habis-habisan bagi melindungi harta dan keluarga. Strategi tersebut memang berkesan.

Ini kerana sebaik sahaja pasukan Muslim memasuki Lembah Hunain, habis teruk mereka dihujani panah. Sampai kucar-kacir dibuatnya. Mujur baginda berjaya menyusun semula barisan pasukan, lalu memanfaatkan kehandalan Khalid ibn al-Walid untuk memenangi pertempuran.

Hingga akhirnya, pasukan Malik lari menyelamatkan diri. Ada yang ke Nakhlah dan ada yang ke Authas. Tapi paling ramai menuju ke Taif. Kota Taif sememangnya ampuh. Ia ibarat Khaibar bagi bangsa Arab.

Ampuhnya kota itu sampai umat Islam perlu habiskan sehingga 15-40 hari untuk mengepungnya. Sepanjang tempoh tersebut, bermacam-macam ikhtiar dibuat. Bermula dari melempar batu menggunakan manjanik, melontar panah, menggempur langsung, hinggalah ke perang atrisi – yakni menebang dan membakar pokok kurma tempatan dengan niat supaya mereka kebuluran.

Semua usaha itu bagaimana pun gagal menembusi benteng Taif. Umat Islam sendiri kehilangan 12 orang perajurit handal. Kalau lihat atas kertas, Taif memang gagal dimasuki. Namun, definisi ‘menang’ pada mata baginda bukanlah menakluki apatahlagi menjarah kota.

Memadai sekadar Islam diterima. Dan objektif itu berjaya dilaksana, khususnya apabila Abu Bakrah datang bersama 23 orang lain untuk mengucapkan syahadah. Jumlah itu mungkin terlihat sedikit. Tetapi, ia lebih dari cukup untuk membibitkan sinar Islam di Taif. Sampaikan sewaktu kewafatan Nabi, Taif menjadi satu dari tiga kota yang suci dari kemurtadan.

Pengusiran Bani Qainuqa’

Selain dua pertempuran di atas, bulan Syawal juga menyaksikan ketegasan baginda dalam mengusir satu suku Yahudi. Peristiwa ini terjadi pada tahun ke-2 Hijrah, yakni betul-betul selepas habis Pertempuran Badar.

Ia berlaku rentetan dua faktor. Pertama, kerana kebiadapan Yahudi-Qainuqa’ yang secara terang-terangan membelakangi Piagam Madinah. Di mana sewaktu pulangnya umat Islam dari medan Badar, mereka dengan selamba berkata lebih kurang begini; “Takat menang dengan Quraisy Mekah tu tak usahlah bangga sangat. Mereka bukannya tahu berperang pun. Cuba perang lawan kami, baru tahu langit tinggi rendah.”

Dialog begini dah bukan perli lagi, tapi masuk kategori provokasi. Sebabnya, Yahudi-Qainuqa’ ini bukan komuniti asing. Mereka antara suku yang mempersetujui Piagam Madinah – piagam yang menuntut keharmonian hidup bermajmuk. Alih-alih mereka pula yang mencetuskan ketegangan kaum. Memang mengundanglah.

Ilustrasi Masjid Nabawi pada era Uthmaniyah

Tambahan, tidak lama kemudian berlaku pula insiden lain. Di mana Bani Qainuqa’ dengan selamba mencabul seorang Muslimah di pasar mereka. Sampaikan ketika ada Muslin lain cuba membela, habis lelaki itu dibelasah sampai mati.

Atas sebab itu, baginda enggan berdiam diri. Bulan itu juga, di pertengahan Syawal, baginda membawa sepasukan Muslim mengepung perkampungan Bani Qainuqa’. Hampir dua minggu juga keadaan begitu, sampailah akhirnya Bani Qainuqa’ sendiri menyerah diri lalu berpindah ke Khaibar.

Betapa demi kehormatan wanita, keharmonian masyarakat, dan kedaulatan kota, bulan Syawal pun baginda bersama para sahabat tangkas berjihad menegakkan agama – yang bukan sekadar terhad pada ritual, tetapi juga kerukunan dan etika hidup.

RUJUKAN

Effendy, Helmi. (2019, 9 November). Strategi Rasulullah S.A.W. Dalam Tiga Pertempuran: Badar, Uhudr, dan Khandaq. The Patriots.

Hadi, Nurfitri. (2014). Pengkhianatan Yahudi Bani Qainuqa. Kisah Muslim.

Hafil, Muhammad. (2020, 31 January). Ini Nyanyian Perang Wanita Kaum Quraisy Semasa Perang Uhud. Republika.

Kathir, Ibn. (2000). The Battles of The Prophet. Dar al-Manarah.

Suhaimi, MJ. (2017, 17 Oktober). Perang Hunain – Perang Yang Jarang Diketahui Umat Islam. Iluminasi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply