PERANG dunia kedua yang berlangsung dari tahun 1941 hingga 1945 menyaksikan banyak Negara-negara jatuh ditangan Jepun iaitu untuk wilayah Asia Tenggara. Untuk Pulau Borneo kempen penaklukan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua turut digelar kempen “Kita Boruneo” yang mana Sarawak, Borneo Utara (Sabah), Kalimantan dan Brunei mempunyai pentadbiran tentera yang sama pada waktu itu.

Jika di Sarawak, pendudukan Jepun dikenali dengan nama “Musim Jepun” manakala untuk Negara Brunei, mereka menggelarnya “Perang Jepun”. Kempen pendudukan Jepun di Brunei bermula pada tanggal 16 Disember 1941 iaitu apabila 10,000 tentera Jepun yang telah dilengkapi dengan pakaian dan peralatan khas untuk menakluki Borneo tiba di Kuala Belait menjelang tengahmalam. Kemudian mereka mula bergerak menyusuri seluruh wilayah Brunei dan dikatakan dalam masa satu minggu sahaja penaklukan telah berjaya dilakukan tanpa ada tentangan yang sengit di pihak Brunei.

Namun begitu, Jepun tidak pernah lalai biarpun kemenangan sudah dipihak mereka kerana pada tanggal 22 Disember 1941, satu lagi unit dibawah pemerintah bernama Kapten Koyama telah memasuki Brunei melalui Tutong bagi memperkuatkan lagi penguasaan mereka di Brunei. Tidak cukup dengan itu, tanggal 31 Disember 1941 pula menyaksikan Panglima Perang Jepun di Borneo iaitu Jeneral Kawaguchi tiba dengan unit infantri 124 dari Kuching bagi mengatur pentadbiran tentera di Bandar Seri Begawan pada waktu itu.

Walaupun menurut perjanjian Negara Protectrate 1888 antara British, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak yang menjanjikan Negara-negara ini akan dilindungi namun ketika perang dunia kedua berlangsung, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak hanya bergantung kepada satu unit Rejimen Punjabi sahaja yang menjaga tiga wilayah British di Borneo. British tidak dapat memberikan bantuan sepenuhnya kerana seluruh kekuatan mereka digembleng untuk mempertahankan wilayah jajahan mereka iaitu Malaya dan Singapura yang turut diperangi Jepun pada waktu itu.

Tiada tentangan sengit mungkin kerana pertahanan Brunei tidak mampu mengalahkan kekuatan armada perang Jepun pada waktu itu. Selain itu kempen psikologi yang digembar-gemburkan oleh Jepun dikatakan turut meresapi minda rakyat Brunei iaitu kedatangan Jepun adalah untuk membebaskan Negara mereka daripada cengkaman pemerintahan British. Di dalam kempen itu juga turut diselitkan janji pihak Jepun untuk mengembalikan pemerintahan Brunei kepada rakyat Brunei sendiri. Namun hakikatnya itu hanya janji “atas angin” sahaja memandangkan tatkala berkuasa setiap pergerakan pemimpin Brunei yang dilantik Jepun sentiasa diawasi dengan sebaik mungkin oleh jeneral-jeneral Jepun yang bengis.

Kempetei atau Polis Jepun sentiasa mewarnai cerita sejarah sadis pendudukan Jepun di Malaya dan tidak terkecuali di Brunei. Kempetai pada awal pendudukan Jepun di Brunei dikatakan tidaklah sekejam seperti di tempat lain namun kehadirannya sentiasa menimbulkan ketakutan kepada rakyat jelata. Akibat daripada kepayahan hidup telahan lagi sumber ekonomi di Brunei pula tiada akibat kemusnahan dan sebagainya menyaksikan ramai rakyat Brunei yang mendiami Kampung Ayer melarikan diri ke kawasan terpencil seperti di Sungai Asam, Talahak, Pirasong dan Tantuya.

Malah keluarga diraja Brunei juga turut meninggalkan Bandar Seri Begawan seperti Sultan Ahmad Tajuddin yang telah membawa seluruh keluarganya berpindah ke Tantuya iaitu satu daerah di Limbang lantas menetap di rumah Pehin Dato Amar Setia Diraja Haji Kassim sehingga tamat perang. Walaupun pada waktu itu, baginda masih lagi menjadi Sultan Brunei biarpun Jepun yang berkuasa namun boleh dikatakan Sultan pada ketika itu hanyalah boneka sahaja dengan Jepun hanya memberikan duit pencen dan kemuliaan sahaja. Adinda baginda pula iaitu Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien telah membawa diri dengan menyusur ke hulu Sungai Brunei dan menetap di Kampung Kilanas sehingga Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.

Mengikut sistem pemerintahan tentera Jepun di Brunei ketika Perang Jepun menyaksikan Brunei disatukan dengan wilayah-wilayah utara Sarawak yang sebelum kedatangan Brooke merupakan wilayah Brunei seperti Limbang, Lawas, Sundar, Terusan dan juga Labuan. Penyatuan ini adalah bagi memudahkan seorang Gabenor Jepun iaitu yang bernama Gabenor Kodomo mengurustadbir dengan lebih lancar lagi. Pejabat Gabenor Jepun di Brunei pada waktu itu terletak di Jalan Kota Batu yang mana bangunannya dikenali sebagai bangunan Bumbungan Dua Belas. Sebelum menjadi markas operasi Jepun di Brunei, bangunan Bumbungan Dua Belas ini merupakan kediaman rasmi Residen British di Brunei.

Penghidupan rakyat dikala Perang Jepun berlangsung di Brunei dilaporkan begitu payah sekali. Bahan keperluan asas dicatu dan hanya boleh dituntut catuannya menggunakan kupon yang disediakan. Diceritakan satu kupon ditukar untuk hanya mendapat secupak beras, tiga ketul roti tawar dan segulung wang kertas daun pisang yang langsung tiada nilai di pasaran. Dek kerana itulah ramai yang memilih untuk tinggal di kawasan pedalaman yang mana tumbuh-tumbuhan hutan masih boleh dicari dan dijadikan makanan. Menanam ubi kayu sendiri bagi dicampur dengan nasi yang ada asalkan kenyang. Boleh turun ke sungai menjala ikan atau memancing bagi dijadikan lauk keluarga. Lebih baik hidup sebegitu dari tertumpu di kawasan bandar yang jauh lebih sengsara.

Sistem pendidikan di waktu Perang Jepun boleh dikatakan terhenti kerana walau anak-anak Brunei ke sekolah sekalipun, mereka bukannya betul-betul menimba ilmu sebaliknya aktiviti pembelajaran mereka adalah untuk bercucuk tanam seperti menanam sayur-sayuran keperluan anggota tentera Jepun. Selain itu mereka turut dikerah membuat baja dari tahi kerbau bagi menyuburkan lagi tanaman mereka. Dan tidak terkecuali harus memulakan jadual pembelajaran mereka dengan menyanyikan lagu Jepun di sekolah-sekolah. Sesiapa yang ingkar sudah tentu mendapat “upah” dari tentera Jepun contohnya berdiri di tengah sinaran mentari terik sehingga ada yang hampir pengsan.

Untuk golongan pemuda dan pemudi pula lain pula ceritanya. Sentiasa dibelenggu rasa takut kerana ada ura-ura tentera Jepun akan menangkap mana-mana pemuda untuk dijadikan buruh paksa. Pemudi pula lain halnya kerana cerita keganasan Jepun terhadap para wanita sehingga menjadi “pemuas seks paksa” menjadi igauan ngeri mereka. Makanya ramai yang sengaja disembunyikan di dalam rumah atau tempat persembunyian yang direka khas bagi menyelamatkan maruah mereka.

Di dalam satu buku yang bertajuk “Barat-Timur dan Bom Atom” tulisan Pengiran Haji Mohamed Yusof bin Pengiran Haji Abdul Rahim terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2002 di halaman 16 menyatakan:

“….cara pemerintahan Tentera Jepun yang bersifat ganas dan garang, tidak bersopan santun dan sentiasa bercanggah dengan adat dan perilaku tempatan yang diperintahnya,”

Penyataan ini sudah cukup menggambarkan betapa sewaktu Perang Jepun di Brunei, pemerintahan mereka dibenci kerana langsung tidak menghormati norma-norma masyarakat di Brunei pada waktu itu.

Pada awal bulan Mei 1945, Briged ke-26 Tentera Australia telah mula mendarat di Tarakan, Kalimantan. Jepun memberi tentangan sengit di sana sehingga menyaksikan Tarakan umpama padang jarak padang tekukur jadinya. Tentera Australia dari Divisyen ke-9 pula berjaya membuat pendaratan di Pulau Labuan sekitar 10 Jun 1945 seterusnya mereka bergerak ke Brunei Muara. Selepas itu satu demi satu wilayah Brunei diambil semula biarpun tentera Jepun tidak hanya memeluk peluh sahaja sebaliknya turut memberikan tentangan sengit bagi mempertahankan pendudukan mereka di Brunei pada waktu itu.

Tanggal 16 Jun 1945, dibawah arahan Brigedier General Windeyer yang menjadi pegawai pemerintah Briged Ke-20 telah mengusir kesemua tentera Jepun yang berada di Bandar Seri Begawan. Mereka diburu dan diusir sehingga memaksa ada tentera Jepun yang bertempiaran sehingga ke pedalaman Limbang, Temburong dan Kuala Belait. Diceritakan ketika mereka melarikan diri ke kawasan tersebut, penduduk-penduduk perkampungan sekitarnya telah bangun membantu apa yang perlu untuk menangkap atau mengajar tentera Jepun apa yang seharusnya mereka lakukan selama ini. Adanya bantuan dari dalaman ini menyebabkan tugas-tugas tentera semakin mudah pada saat-saat akhir Perang Jepun berlangsung.

Sewaktu proses menawan kembali Brunei dari tangan Jepun bukanlah mudah kerana menurut sejarahnya Bandar Seri Begawan hampir musnah dibom oleh tentera Berikat. Di dalam satu buku yang ditulis oleh Captain TS Monks (1992) iaitu seorang tentera Berikat yang merupakan antara yang berkhidmat di Brunei ada menyatakan bagaimana senario memilukan di Bandar Seri Begawan pada waktu itu:

“There was hardly a building left standing. The main street (Jalan Sultan) was a mess of bomb craters and fallen telegraph poles. There was not a soul in sight anywhere. It was a shattered ghost town.”-Captain TS Monks-

Akhirnya Perang Jepun di Brunei dinoktahkan tatkala Jepun menyerah kalah tanpa syarat setelah bom atom digugurkan di Hiroshima pada 6 Ogos dan Nagasaki pula 3 hari kemudian iaitu 9 Ogos 1945. Terkesima dengan serangan total dari Tentera Berikat menyaksikan mereka mengangkat bendera putih lantas menyerahkan kembali kesemua wilayah pendudukan mereka sepanjang Perang Dunia Kedua berlangsung dan ini termasuklah Negara Brunei itu sendiri.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:
1. Brunei – Rising From The Ruins Of World War II
http://bruneiresources.blogspot.my/2015/12/brunei-rising-from-ruins-of-world-war-ii.html
2. The Coming Of The Japanese To Brunei 1941-1945
http://9nss1.blogspot.my/2010/10/coming-of-japanese-to-brunei-1941-1945.html
3. The Japanese Occupation Of Brunei
http://bruneiresources.blogspot.my/2008/07/japanese-occupation-of-brunei.html
4. Secuit Imbasan Perang Jepun
http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Cetusan%20Minda/
5. Later History Of Brunei
http://factsanddetails.com/southeast-asia/Brunei/sub5_10a/entry-3600.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.