Perang Gereja Vs Kucing Hitam

815

Kucing. Siapa yang tidak menggemari kecomelan keletahnya? Tambah pula dengan bulunya yang gebu dan ngiauannya yang menyejuk hati. Tidak hairanlah jika haiwan ini mengungguli sebagai haiwan peliharaan paling disukai manusia. Di Amerika Syarikat sahaja, sebanyak 94.2 juta kucing dijadikan sebagai haiwan peliharaan, meninggalkan jumlah anjing peliharaan yang hanya mencecah 89.7 juta (Statista).

Sejak sekian lama, kucing menduduki tempat yang istimewa dalam hati manusia. Dalam kepercayaan Mesir Purba misalnya, kucing dikaitkan dengan personafikasi Dewi Bastet, dewi bulan dan kesuburan. Begitu tingginya martabat kucing dalam kalangan mereka hinggakan semasa Parsi menghantar bala tentera yang menghiasi perisai dengan imej-imej kucing, tentera-tentera Mesir enggan membalas serangan sekaligus mengakibatkan tumbangnya Pelusium pada tahun 525SM.

Namun kira-kira 17 kurun kemudian, sikap yang sama sekali berbalikan dipamerkan terhadap kucing-kucing di Eropah. Segalanya bermula pada abad ke-13, apabila Pope Gregory IX menyebarkan fahaman bahawa kucing merupakan jelmaan syaitan. Gregory hidup pada tahun 1145 hingga 1241 Masehi.

Nama kelahirannya adalah Ugolino di Conti dan mengambil nama Gregory semasa menjadi paus selama 14 tahun, bermula dari tanggal 19 Mac 1227, ketika berusia 80 tahun. Walaupun Gregory IX merupakan watak penting dalam penulisan artikel yang membicarakan tentang perseteruan antara gereja dan kucing hitam ini, pada hakikatnya polemik tersebut (perseteruannya terhadap kucing) hanyalah cebisan kecil dari lembaran hayatnya.

Pope Gregory IX

Jika disebut nama Gregory IX, antara perkara yang paling diingati adalah penggubalan Decretales dan Papal Inquisition. Kedua-dua perkara tersebut sangat signifikan dalam dunia gereja di zaman pertengahan. Menerusi Decretales misalnya, undang-undang gereja Katolik mengalami rombakan dan penyusunan semula.

Manakala Papal Inquisition pula berhasil mempergiat kehakiman ke atas orang-orang yang menyeleweng dari ajaran gereja. Walau bagaimanapun, kedua-dua legasi Gregory IX itu tidaklah terkait secara langsung dengan peristiwa pemb*nuhan kucing secara besar-besaran yang berlaku pada waktu itu.

Kefungsian bagi perkara tersebut dimainkan oleh satu lagi legasi Gregory IX, iaitu dokumen Vox Rama (Voice in Rama) yang dinamakan bersempena kota Ramah. Vox Rama dikeluarkan pada tanggal 13 Jun 1233 dan diserahkan kepada Raja Henry di Jerman. Dokumen ini ditulis sebagai respon terhadap laporan (atau dakwaan) yang diberikan oleh Conrad of Marburg berkenaan kultus penyembahan syaitan yang berleluasa di wilayah utara Jerman.

Gregory IX turut mengarahkan agar ketua-ketua bishop di Mainz dan Hildesheim menghulurkan bantuan kepada Conrad dalam usaha mencantas kultus-kultus sedemikian. Menurut Conrad, kultus pemujaan syaitan itu melibatkan kucing secara langsung. Laporannya itu turut diperincikan di dalam Vox Rama.

Sebelum menyelak perincian tersebut, elok kiranya kita mengenali serba-sedikit sosok tubuh yang bernama Conrad ini untuk mendapatkan gambaran secara ringkas tentang suasana gereja di zaman itu. Conrad merupakan seorang paderi dan juga bangsawan Jerman. Kebanyakan kerjanya bersama gereja melibatkan penundukkan kumpulan-kumpulan penyeleweng.

Antara yang paling terkemuka adalah kumpulan Cathars yang ditanganinya dengan aktif semasa berlangsungnya Albigensian Crusade (atau Cathar Crusade – 1209-1229), iaitu kempen ketenteraan yang dimulakan oleh Pope Innocent III dalam rangka menghapuskan kumpulan-kumpulan penyeleweng Cathars di selatan Perancis.

Conrad merupakan antara figura yang menonjol dalam kempen tersebut, memandangkan kaedah yang digunakannya dalam menangani kumpulan penyeleweng agak keras. Disebutkan bahawa mereka-mereka yang tertuduh menyeleweng hanya memiliki dua pilihan sahaja jika berhadapan dengan Conrad – mengaku bersalah (walaupun sebenarnya tidak) lalu hidup dengan penuh rasa malu atau mati dengan dib4k4r hidup-hidup.

Gambaran ahli sihir dib4k4r hidup-hidup di zaman pertengahan Eropah

Berikutan keberkesanan kaedah tersebut dalam menundukkan kumpulan-kumpulan penyeleweng (atau ahli sihir), Conrad dilantik oleh Pope Gregory IX sebagai Grand Inquisitor pada 11 Oktober 1231. Menerusi lantikan tersebut, Conrad diserahkan autoriti penuh dalam tugasnya itu. Menerusi salah sebuah tugas penyiasatannya itulah makanya lahir Vox Rama, di mana Conrad menyiasat sebuah upacara pemujaan syaitan.

Sebagaimana yang diperincikan oleh Vox Rama, upacara tersebut melibatkan kemasukan ahli-ahli baru ke dalam kumpulan ahli sihir (atau kultus pemuja syaitan). Upacara tersebut bermula dengan alu-aluan daripada seekor katak atau kodok yang saiznya luar biasa. Ahli-ahli baru itu dituntut supaya mengucup punggung katak berkenaan.

Kemudian, seorang lelaki yang wajahnya pucat lesi dan tubuhnya pula kurus-kering tampil ke hadapan. Lelaki itu ditugaskan untuk ‘menyedut saki-baki kepercayaan ahli-ahli baru itu terhadap ajaran gereja Katolik’. Setelah itu, ahli-ahli baru itu dijamu bersama ahli-ahli yang lain.

Antara upacara yang dilakukan dalam ritual tersebut

Lalu, masing-masing memberi sembah hormat kepada seekor kucing hitam yang muncul dari sebuah patung yang diletakkan di sana. Sekali lagi, kesemua ahli diminta untuk mengucup punggung kucing berkenaan. Sesudah itu, sebuah pesta s*ks liar pula mengambil tempat dalam suasana yang agak gelap.

Beberapa tempoh masa berlalu dan kemudian, lilin dinyalakan dan di hujung suatu sudut yang gelap, muncul kelibat seorang lelaki. Menurut ahli-ahli kultus berkenaan, lelaki tersebut adalah Lucifer. Bahagian atas tubuhnya hingga ke pinggang dikatakan bersinar bak matahari (konon kerana ia adalah bekas malaikat) manakala bahagian bawah badannya pula dipenuhi dengan bulu bak kucing.

Upacara sebeginilah yang dilaporkan oleh Conrad kepada Pope Gregory IX. Lantas, Vox Rama pun dikeluarkan dan kepala-kepala kucing pun diburu. Semenjak itu, naratif umum terhadap ahli sihir semakin memburuk dan kucing pula dianggap sebagai makhluk yang terkait  secara langsung dengan unsur jahat dan unsur kesyaitanan.

Bahkan jika ditelusuri dari sudut mitologi, status yang diraih oleh kucing tidak hanya molek-molek sahaja – seperti personafikasi Dewi Bastet dalam kepercayaan Mesir Purba dan salah satu simbol bagi Dewi Kebebasan Rom, Liberta. Akan tetapi bagi masyarakat Yunani Purba, mereka turut berkongsi naratif buruk terhadap kucing, sama seperti Pope Gregory IX.

Menurut mereka, Galinthias iaitu wanita yang pernah mencampuri urusan Dewi Hera disumpah menjadi kucing lalu dipelihara oleh Dewi Hecate, dewi alam neraka. Naratif ini kelihatan sejajar dengan dakwaan yang dibuat oleh gereja Katolik terhadap kucing yang kononnya terkait secara langsung dengan unsur kesyaitanan.

Kucing hitam dikaitkan secara langsung dengan sihir dan kesyaitanan

Susulan daripada Vox Rama yang dikeluarkan oleh Pope Gregory IX, habis kucing terutama kucing hitam diburu secara berleluasa di hampir seluruh Eropah. Mereka dis*ksa dan dib*nuh dengan begitu kejam. Di Perancis, kucing-kucing yang dijumpai habis dikurung dan dib4k4r.

Begitu juga di Belgium di mana menjadi satu kebiasaan untuk kucing dic4mp4k dari menara loceng gereja sebelum dib4k4r. Bahkan, wujud satu festival khusus bagi kegiatan melont4r kucing di sana, dikenali sebagai Kattenstoet. Ratu Elizabeth I (1559) juga dicatatkan meraikan kemahkotaannya dengan memb4k4r patung yang dimuatkan dengan berdozen-dozen kucing.

Tiada siapa dapat mengemukakan secara pasti jumlah kucing yang dib4n4h berikutan perkaitan-kesyaitanan yang dibuat oleh Vox Rama. Namun apa yang pasti, pembunuhan besar-besaran tersebut mengakibatkan pengurangan populasi kucing di Eropah secara mendadak. Betapa teruknya keadaan tersebut hinggakan ada sejarahwan-sejarahwan yang berpendapat bahawa tragedi itu merupakan salah satu faktor berlakunya Wabak Hitam yang melanda Eropah seratus tahun kemudian (1346-1353), bencana yang meragut sehingga 25 juta manusia. Kata mereka, jatuhnya populasi kucing mengakibatkan peningkatan populasi tikus secara mendadak, sementara salah satu faktor menularnya Wabak Hitam diperkirakan berpunca daripada tikus.

Benar atau tidaknya dakwaan tersebut, belum dapat dipastikan. Namun, ia merupakan satu pengajaran buat umat manusia agar tidak sewenang-wenangnya menzalimi hidupan lain di muka bumi ini. Memetik kata-kata Emha Ainun Nadjib, seorang seniman Indonesia, “Agama diajarkan kepada manusia agar ia memiliki pengetahuan dan kesanggupan untuk menata hidup, menata diri dan alam, menata sejarah, kebudayaan, politik.”

RUJUKAN

Anie Garau. (9 Januari 2017). The Vatican Really, Really Hates Cats. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/pope-massacred-cats

Damon. (14 November 2016). That One Time the Pope Banned Cats and it Cause The Black Plague. History Things.
https://historythings.com/one-time-pope-banned-cats-caused-black-plague/

Matthew Gaskill. (2 April 2019). The Vicious Battle Between the Vatican and Cats. The Vintage News.
https://www.thevintagenews.com/2019/04/02/the-vatican-and-cats/

Natasha Sheldon. (n.d.). Thou Shalt not suffer a Cat to Live: Why Pope Gregory IX’s Vox in Rama Implicate Cats in Devil Worship. History Collection.
https://historycollection.co/thou-shalt-not-suffer-a-cat-to-live-why-pope-gregory-ixs-vox-in-rama-implicated-cats-in-devil-worship/2/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.