Kemenangan British pimpinan Montgomery di El Alamein dan pendaratan Amerika pimpinan Eisenhower di Afrika Barat memaksa Rommel dan tentera Panzer Army Africa untuk melupakan hasrat untuk menawan Terusan Suez. Perang di Afrika tampak sia-sia di mata beliau dan kini terpaksa untuk berundur demi menyelamatkan tenteranya. Ada satu sahaja tempat yang strategik untuk menangkis serangan kedua-dua kuasa besar ini; Tunisia.

Mengejar Rommel

Kemenangan Tentera British Ke-8 (Eight Army) pimpinan Lt. General Bernard Montgomery ketika Pertempuran El Alamein pada Oktober-November 1942 menjadi titik noktah kepada perjalanan dan pengembaraan Field Marshal Erwin Rommel di Afrika. Rommel, yang digelar Musang Padang Pasir (The Desert Fox) kini berdepan cabaran untuk membawa anak-anak buahnya yang seramai hampir 90,000 tentera agar dapat berundur jauh daripada dikejar tentera British pimpinan Montgomery.

Rommel merayu agar Hitler dan Mussolini mengizinkan tentera beliau berundur kerana mereka dikejar dan diratah oleh tentera British yang semakin kuat ditambah pula dengan kekuatan tentera udara mereka di kawasan berkenaan. Pada mulanya diktator Nazi dan Itali itu enggan untuk memberi lampu hijau kepada Rommel. Namun, mereka berubah fikiran selepas tentera Amerika mendarat di Afrika Barat. Rommel dan Panzer Army Afrika diarahkan untuk berundur sehingga ke Tobruk, tetapi berubah fikiran lagi. Kali ini, arahan dikeluarkan untuk Rommel mengambil posisi pertahanan di Tunisia.

Pada November 1942 sehingga Januari 1943, Rommel mengharungi perjalanan sejauh 2,555 kilometer daripada El Alamein ke Tunisia, menjadikan ia pengunduran strategik ketetenteraan paling jauh dalam sejarah. Sepanjang perjalanan tersebut, Rommel terpaksa mengorbankan beberapa buah kota yang pernah ditawan; Mersa Matruh, Fort Capuzzo, Tobruk dan Benghazi. Pada 23 Januari 1943, Montgomery menawan ibu kota Libya iaitu Tripoli dan dinaikkan pangkat ke Jeneral 4 bintang.

Hitler melancarkan Operasi Anton

Panglima Operasi Amerika di Afrika, Lt. General Dwight Eisenhower berjaya mendaratkan tentera Amerika di Afrika Utara (Maghribi dan Algeria) yang merupakan sebuah jajahan takluk negara boneka Nazi, Vichy France. Eisenhower berjaya membuat perjanjian dengan Pesuruhjaya Tinggi Afrika Utara, Laksamana Francois Darlan agar tentera Amerika mendapat akses penuh untuk tujuan peperangan menentang rejim Hitler.

Marshal Philippe Petain, ketua negara Vichy France mengutuk perbuatan Darlan yang dianggap pengkhianatan. Namun, Hitler adalah individu yang paling berang. Perancis yang ditawan rejim Nazi pada 1940, ia dibahagikan kepada dua dengan kawasan utara dan barat diambil alih oleh Nazi manakala disebelah selatan diberikan ‘kedaulatan’ penuh untuk orang Perancis memerintah.

Selepas Darlan dan Eisenhower menandatangan persetujuan di Afrika, Hitler melancarkan Operasi Anton pada 10 November 1942. Operasi ini bertujuan untuk menawan seluruh kawasan boneka Nazi, Vichy France di bahagian selatan. Antara objektif lain dalam operasi ini dalah menawan seluruh aset-aset Tentera Laut Vichy France di Toulon.

Pembahagian negara Perancis selepas kekalahan mereka pada 1940.

Panglima-panglima laut Nazi Jerman seperti Laksamana Besar Erich Raeder mahukan kapal-kapal laut Vichy France supaya dirampas dan digunakan untuk perang melawan British. Laksamana Jean de Laborde, pegawai memerintah bagi kapal-kapal Vichy berjaya berunding dan mengelirukan tentera Jerman pada 11 November 1942. Darlan mengarahkan Laborde untuk berlayar bersama kesemua kapal-kapal yang berpangkalan di Toulon ke Afrika Utara. Namun, Petain melarang Laborde untuk duduk diam sahaja.

Kekeliruan ini membuatkan Laborde serba salah. Tentera Nazi sudahpun berada di pintu masuk Toulon. Maka, Laborde mengambil keputusan untuk meletupkan semua kapal-kapal milik Vichy France di Toulon.

Jumlah kapal yang berjaya diletupkan sangat banyak. 3 battleships moden, 7 kapal cruiser, 15 kapal destroyer, 13 bot torpedo, 6 kapal sloops, 12 submarine, 9 bot pengawal, 19 kapal bantuan, 28 kapal tarik, dan 4 kren berjaya diletupkan.

Ketika tentera Nazi masuk ke Toulon pada 27 November 1942, mereka terpaksa termenung melihat kepulan asap tebal dan api marak di pelabuhan.

Kru kereta kebal Panzer, gagal merampas aset-aset tentera laut Vichy France, sambil melihat kapal canggih Colbert terbakar.

Eisenhower berlumba ke Tunisia

Montgomery dan tentera Britishnya mengejar Rommel dari timur. Kini giliran Eisenhower pula berhasrat untuk mengejar Musang Padang Pasir itu. Beliau yakin bahawa Rommel akan memilih Tunisia sebagai destinasi terakhir tentera beliau kerana Tunisia sangat dekat dengan pulau Sicily, Itali dimana bekalan boleh disalurkan dengan mudah untuk Rommel.

Eisenhower mengstruktur semula tenteranya di Afrika. Kesemua tenteranya akan disatukan bersama-sama beberapa elemen tentera Amerika, British dan Perancis, menamakan ia sebagai Tentera British Pertama (British First Army) dibawah pemerintahan Lt. General Sir Kenneth Anderson. Didalam Tentera British Pertama, terdapat Kor Kedua Amerika (US II Corps), Kor British Kelima, Kor British Ke-9, dan Kor Perancis Ke-19.

Perlumbaan mereka daripada Algeria ke Tunisia tidak lah semudah itu. Pada Disember 1942, Hitler mengarahkan Tunisia ditawan dan mengerahkan tentera kesana. Beliau mengaktifkan sebuah lagi tentera, Tentera Panzer Kelima (5th Panzer Army) dibawah pimpinan Colonel-General Hans-Jurgen von Arnim. Eisenhower dan tenteranya hanya tinggal 20 batu sahaja sebelum tiba di Tunisia sebelum ditentang dengan keras oleh Tentera Panzer Kelima di sana.

Eisenhower terpaksa berundur dahulu kerana kehabisan bekalan lojistik dan minyak. General von Arnim mengambil peluang ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Tunisia sambil menunggu Rommel yang sedang dikejar oleh tentera Montgomery di timur.

Tampuk pimpinan tentera Jerman di Afrika bersependapat agar Rommel dan Panzer Army Afrika mengambil posisi pertahanan di sebuah garisan pertahanan lama milik Perancis di Tunisia; Garisan Mareth (Mareth Line).

Pada Februari 1943, Hitler mengaktifkan satu lagi tentera bersaiz ‘Army Group’ di Afrika yang diberi nama “Army Group Africa” dibawah pimpinan Field Marshal Erwin Rommel. Dibawahnya terdapat Tentera Panzer Kelima (5th Panzer Army) pimpinan General von Arnim yang akan mempertahankan posisi mereka di barat Tunisia. Selain itu juga, Panzer Army Afrika, dinamakan semula sebagai Tentera Itali Pertama (1st Italian Army) dipimpin oleh seorang panglima Itali berkaliber iaitu General Giovanni Messe akan menghalang tentera British dari timur Tunisia.

Pertempuran Kasserine (Battle of Kasserine Pass) – Rommel vs Eisenhower

 

Kesilapan tentera Amerika melalui laluan lembah Kasserine ini menjadikan mereka sasaran mudah buat kereta kebal Rommel yang menunggu di atas bukit, 1943.

Pada Januari 1943, seluruh Tunisia kini dibawah penguasaan tentera Nazi Jerman-Itali. Namun begitu, pentadbiran tertinggi tentera masih lagi keliru apa yang mereka harus lakukan di sana. Rommel berpendapat bahawa tentera ini sepatutnya keluar dari Afrika untuk mempertahankan Itali dan Eropah. Namun Hitler dan Mussolini enggan. Mereka berpendapat ‘Tunisia akan menjadi kawasan yang mudah untuk dipertahankan’.

Sebenarnya, walaupun tentera Rommel sudahpun dekat dengan bekalan lojistik mereka di Itali namun terdapat juga beberapa masalah untuk menerima bekalan tersebut. Tentera Amerika dan British berjaya mengawal laluan perairan laut antara Tunisia-Sicily. Field Marshal Albert Kesselring, komander turus Tentera di Mediterranean, berhempas pulas berusaha untuk memberikan segala bekalan ke Tunisia melalui laut dan juga udara.

Namun, perkara itu tampak mustahil kerana lebih 85% bekalan tersebut ditenggelamkan atau dijatuhkan oleh tentera udara dan tentera laut musuh. Pada ketika ini, Luftwaffe dan Tentera Laut Diraja Itali berada di keadaan yang lemah untuk menjalankan ofensif terhadap musuh kerana kekurangan minyak dan juga prioriti yang diberikan kepada perang di Soviet Union.

Eisenhower berpendapat inilah masanya untuk mara jauh ke Tunisia. Beliau mengarahkan agar General Anderson, panglima British 1st Army untuk masuk melalui pekan Kasserine seterusnya mara untuk bertemu dengan British 8th Army pimpinan General Montgomery di timur.

Tiger, kereta kebal berat Rommel di Kasserine, 1943

Pada awal Februari 1942, Anderson dan British 1st Army berjaya menawan pekan Kasserine dengan mudah. Beliau yakin bahawa mereka akan bergabung dengan Montgomery di timur. Beliau menghantar tentera Amerika (US II Corps) pimpinan Maj. Gen. Lloyd Fredendall untuk mara sambil melalui sebuah laluan diantara dua bukit yang dipanggil “Kasserine Pass”.

Di Kasserine Pass ini, Rommel dan bala tenteranya menunggu kedatangan tentera tersebut. Di sinilah bermulanya Rommel memberi serangan paling sadis terhadap tentera Amerika yang tidak berpengalaman. Beliau meletakkan beberapa meriam anti-kereta kebal di lereng-lereng bukit, berhadapan dengan tentera Amerika yang melalui jalan tersebut.

Selepas beberapa das tembakan mengucar-kacirkan tentera Amerika berkenaan, Rommel menghantar kereta kebalnya (termasuk kereta kebal berat, Tiger) untuk menoktahkan kemaraan musuh. Lebih 180 kereta kebal milik US II Corps hancur di laluan berkenaan.

Komander Operasi di Afrika, Gen. Eisenhower bersama Komander 18th Army Group, Gen. Alexander

Tersentak dengan kekalahan tenteranya di Kasserine, Eisenhower mengarahkan mereka untuk berundur dan melancarkan serangan udara bertubi-tubi keatas Rommel. Selepas itu, barulah Rommel berundur. Namun kerosakkan yang dihadapi oleh tentera Amerika-British di Kasserine membuatkan mereka terpaksa untuk berundur dari pekan Kasserine 50 batu ke barat.

Selepas Pertempuran Kasserine, Eisenhower merombak kembali struktur tenteranya di Afrika. Beliau mengaktifkan sebuah ‘army group’ gabungan dua buah tentera (British 1st Army dan 8th Army) dibawah pimpinan General Harold Alexander. Eisenhower juga memecat komander US II Corps, Gen. Fredendall dan tempatnya digantikan oleh Maj. General George S. Patton.

Pertempuran di Garisan Mareth – Operasi Capri – Serangan Terakhir Rommel

Kedudukan Tentera Itali dan Tentera British

Selepas pertempuran Kasserine, Rommel mengarahkan tentera Jerman untuk membantu 1st Italian Army di Garisan Mareth. Dihadapan mereka, Montgomery dan Tentera British Kelapan yang sedang bersiap-siap untuk menyerang posisi tentera Itali di sana. Garisan Mareth merupakan sebuah kawasan pertahanan yang strategik. Ia juga menjadi laluan utama untuk ke ibu negara Tunisia iaitu Tunis yang terletak di utara.

Pada 25 Februari, tentera British berjaya mendengar mengenai pelan Rommel seterusnya di Afrika dan menyampaikan maklumat ini kepada Montgomery. Pelan ini dinamakan Operasi Capri, iaitu serangan ke atas posisi tentera Montgomery di selatan Garisan Mareth. Mereka mendengar maklumat bahawa Rommel tidak akan mengejar tentera Amerika di Kasserine tetapi akan membawa tenteranya ke Garisan Mareth untuk membantu tentera Itali menyerang Montgomery.

Pada 6 Mac 1942, Rommel mengarahkan General Messe dan Tentera Itali Pertama untuk menyerang kedudukan British. Rommel juga menghantar beberapa buah kereta kebal berat iaitu Tiger untuk membantu Messe. Serangan pada waktu pagi itu disertakan oleh beberapa siri serangan udara pimpinan Field Marshal Kesselring.

Selepas perang, Giovanni Messe diiktiraf sebagai komander tentera Itali paling berjaya dalam sejarah.

Disebabkan oleh maklumat perisikan yang diterima, Montgomery kali ini lebih bersedia. Beliau meletakkan beberapa meriam anti kereta kebal di setiap laluan yang musuh akan lalui. Pasukan tentera udara British juga dihantar untuk memusnahkan armada udara musuh. Montgomery juga memasang beberapa senjata anti-pesawat di pekeliling HQ beliau.

Serangan ke atas tentera British sangat mengecewakan. Pada waktu Maghrib, selepas hampir 52 kereta kebal musnah (separuhnya ialah versi Tiger), Rommel mengarahkan Messe untuk berpatah balik. Beliau beranggapan adalah mustahil untuk memecahkan posisi tentera British kali ini. Mereka sudah semakin kuat dan tentera Rommel pula kini semakin melemah.

Pada 9 Mac, Rommel terbang ke Rome untuk bertemu dengan pucuk kepimpinan tertinggi Itali. Objektifnya mudah; membawa keluar tenteranya keluar daripada Afrika. Namun, tiada siapa yang ingin mendengar. Pada 10 Mac, Rommel terbang ke Ukraine untuk bertemu Hitler di HQ-nya. Beliau merayu kepada Hitler agar mengeluarkan tenteranya dari Afrika. “Perang di Afrika sudah berakhir, mein fuhrer. Tentera Bersekutu sangat kuat di sana”.

Hitler enggan. Mengetahui bahawa Rommel yang popular itu berisiko untuk ditangkap di Afrika, beliau memecat Rommel sebagai Komander tentera di Afrika dan menghantarnya pulang ke Berlin.

Tentera Berikat menawan seluruh Afrika

Tentera Jerman menyerah kalah kepada kru kereta kebal British, 1943.

Pada bulan April, tentera Berikat di Afrika terus menghimpit tentera Nazi-Itali di Afrika. Satu per satu posisi pertahanan mereka tumbang. Eisenhower juga mengeluarkan arahan kepada Laksamana Andrew Cunningham supaya memusnahkan apa sahaja yang berlalu dan berlayar di Lautan Mediterranean agar Army Group Africa dipotong terus daripada menerima bekalan dari Itali.

General von Arnim dan General Messe cuba untuk melengahkan tentera Berikat daripada menawan seluruh Tunisia. Tentera Nazi pimpinan von Arnim berkampung di Tunis manakala Tentera Itali pimpinan General Messe berkampung di Berzette. Pada ketika ini, ada beberapa unit telahpun menyerah kalah kepada Tentera Berikat pimpinan Eisenhower.

Pada bulan Mei, tentera Berikat berjaya mengucar kacirkan sepenuhnya kedudukan tentera Nazi-Jerman di Tunisia, tanpa bekalan, tanpa senjata dan tanpa harapan untuk keluar. Pada 9 Mei 1943, komander tentera 5th Panzer Army General von Vaerst dan komander Army Group Africa, General von Arnim menyerah kalah kepada Maj. Gen. Omar Bradley, komander US II Corps di Tunis. Tinggal lah Tentera Itali Pertama (1st Italian Army) pimpinan General Giovanni Messe di Berzette yang berdegil untuk meletakkan senjata.

Pada 12 Mei, General Giovanni Messe, seorang monarkis, menelefon Mussolini di Rome. Beliau bersumpah bahawa tentera Itali akan mempertahankan jajahan takluk Itali dibawah Raja Emmanuelle III sehingga ke titisan darah terakhir. Terharu dengan semangat pengorbanan tersebut, beliau menaikkan pangkat Messe kepada Marshal of Italy, menjadi orang terakhir menerima pangkat berkenaan dalam sejarah. Pada pukul 7.55pm hari tersebut, Mussolini mengarahkan Marshal Messe untuk meletak senjata selepas melihat tentera Jerman sudahpun menyerah kalah.

Pada 13 Mei, selepas enggan untuk menyerah kalah, General Montgomery dan Eigth Army membedil posisi tentera Itali seramai 80,000 di pinggir bandar Berzette. Pada tengah hari, Marshal Messe dan seluruh 1st Italian Army menyerah kalah kepada Montgomery. Maka berakhirlah saki-baki Empayar Mussolini di Afrika.

Maresciallo d’Italia Messe (kiri) menyerah kalah kepada General Montgomery (memakai beret), Tunisia 1943.

Seramai 230,000 orang menyerah kalah kepada pihak Berikat. Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels menggambarkan “Tunisia adalah Tunisgrad atau Stalingrad II” kerana ia tidak jauh bezanya dengan kekalahan tentera Jerman di Stalingrad yang berjumlah 300,000 orang.

Pada 20 Mei, Tentera Berikat mengadakan perarakan besar-besaran di ibu kota Tunisia untuk meraikan kemenangan mereka di Afrika. Pelan seterusnya bagi pihak Berikat adalah; Pendaratan di Sicily.

Rujukan

  1. Hooton, E. R. (1999) [1997]. Eagle in Flames: The Fall of the Luftwaffe. London: Arms & Armour Press. ISBN 1-86019-995-X.
  2. Mitcham, Samuel (2010). Blitzkrieg No Longer: The German Wehrmacht in Battle, 1943. Mechanicsburg, Pa.: Stackpole Books. ISBN 9780811742061.
  3. Battlefield S5/E1: The Battle of Tunisia – https://www.youtube.com/watch?v=rJnQZ1b7zSk

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.