Perang Dunia Kedua – Serangan Payung Terjun Terbesar Dalam Sejarah

131

Kisah Operasi Market Garden ini diabadikan di dalam sebuah filem British terkenal iaitu A Bridge Too Far lakonan Anthony Hopkins dan Sean Connery. Ia memberi gambaran penuh pahit getir tentera payung terjun British di Arnhem.

Pengenalan sebelum Market Garden

Kekalahan tentera Jerman di Normandy dan kemusnahan tentera Jerman di “Falaise Pocket” serta kejatuhan bandar Paris membuatkan tentera Jerman meyakini bahawa cara terbaik untuk mengelakkan sistem pertahanan mereka terus runtuh adalah dengan berundur.

Tentera Jerman kini sedikit-demi sedikit berundur keluar dari Perancis. Tidak lama kemudian, seluruh Belgium berjaya ditawan semula oleh pihak Berikat. Tentera Jerman akhirnya berjaya mendapat kawasan pertahanan yang selesa di sekitar Belanda dan sempadan Perancis-Jerman.

Tentera Berikat kini disusun dengan lebih teratur. General Dwight D. Eisenhower menggalas tugas sebagai komander keseluruhan tentera Berikat di Eropah. Dibawah beliau terdapat 3 jenis “army group”,

– 21st Army Group, pimpinan Field Marshal Bernard Montgomery.

– 2nd British Army, pimpinan Lt General Sir Miles Dempsey.

– 1st Canadian Army, pimpinan Lt General Harry Crerar.

– 12th Army Group, pimpinan Lt General Omar Bradley.

– 1st US Army, Lt. General Courtney Hodges.

– 3rd US Army, Lt. General George S. Patton.

– 6th Army Group, pimpinan Lt. General Jacob L. Devers.

– 7th US Army, Lt. General Alexander Patch.

– 1st French Army, General Jean de Tassigny.

Dalam pada itu, Adolf Hitler mengambil peluang diatas beberapa kesilapan tentera Berikat seperti kelewatan tentera Berikat menawan Pelabuhan Antwerp serta masalah logistik mereka dengan merangka strategi pertahanan yang baru.

Field Marshal Bernard Montgomery, komander 21st Army Group merupakan pelopor kepada Operasi Market Garden, serangan payung terjun terbesar dalam sejarah.

Organisasi tentera Jerman mula kembali tersusun selepas ‘bencana’ yang menimpa mereka di Normandy. Pada 9 September 1944, Hitler memanggil semula komander veteran, Generalfeldmarschall Gerd von Rundstedt untuk menggalas semula tugas sebagai komander keseluruhan medan Barat (Oberbefehlshaber West, OB West) selepas dipecat Hitler pada 2 Julai lalu. Keadaan tentera Jerman di barat sangat kucar kacir. Mereka kehilangan hampir semua kekuatan organisasi tentera seperti 7th Army, Panzer Group West, dan 15th Army.

Rundstedt menggalas tugas utama untuk menghalang kemaraan tentera Berikat di barat Eropah. Walaupun usia sudah lanjut, Rundstedt mempunyai kepakaran dalam menyusun pegawai staff dan anggota tentera dibawahnya. Beliau menyusun OB West kepada 3 jenis “army group”:

– Army Group B, pimpinan Field Marshal Walter Model. (mengawal Belgium-Belanda)

– 15th Army, pimpinan General Gustav-Adolf von Zangen.

– 1st SS Panzer Corps, pimpinan SS-Colonel-General Sepp Dietrich. (dalam latihan)

– 2nd SS Panzer Corps, pimpinan SS-General Wilhelm Bittrich.

– Army Group H, pimpinan Colonel-General Kurt Student. (mengawal utara Belanda)

– 1st Parachute Army, Colonel-General Kurt Student.

– 25th Army, (dalam perancangan)

– Army Group G, pimpinan Colonel-General Johannes Blaskowitz. (France-Germany)

– 1st Army, General Otto von Knobelsdorff.

– 19th Army, General Friedrich Wiese.

Secara kasarnya, tentera Jerman di Barat kekurangan tentera dan senjata untuk mengekang kemaraan tentera Berikat. Mujur, sistem pertahanan di sempadan Perancis-Jerman serta kepintaran panglima Jerman dan masalah logistik tentera Berikat menyelamatkan tentera Jerman daripada berkubur.

Masalah Logistik

Eisenhower kini resah dengan kepantasan tentera Jerman berundur. Walaupun tenteranya berjaya memerangkap beribu-beribu tentera Jerman ketika “Falaise Pocket”, tetapi tentera Jerman berjaya berundur dengan tersusun kerana mereka dipimpin oleh “Master of Defence” Walter Model.

Generalfeldmarschall Walter Model, komander Jerman Army Group B ketika serangan Market Garden berlangsung.


Masalah logistik tentera Berikat berpunca daripada kegagalan mereka untuk menawan Pelabuhan Antwerp dengan cepat dan juga strategi Eisenhower yang menggunakan “broad-front strategy”. Strategi ini digunakan dengan menempatkan tentera yang banyak di sepanjang garisan panjang bertentangan dengan musuh.

Hal ini menyebabkan Eisenhower terpaksa membahagi-bahagikan supply dan bekalan kepada ketiga-tiga “army group” yang kini kekurangan sumber untuk mara ke hadapan.

Pelan Montgomery

21st Army Group pimpinan Field Marshal Bernard Montgomery diletakkan di bahagian sempadan Belanda dan Belgium. Ini menjadikan kedudukan mereka sangat sesuai untuk menyerang Jerman dari utara seterusnya membelok ke timur menuju ke Ruhr (kawasan industri Jerman) dan terus ke Berlin.

Masalahnya sekarang, Montgomery terpaksa berkongsi supply dan bekalan dengan 12th Army Group (Bradley) dan 6th Army Group (Denvers). Montgomery mempunyai pelan yang cukup “berseni” untuk menamatkan perang dengan lebih awal. Nama pelan ini ialah “Operasi Market Garden”.

Pada awal September, Montgomery menulis surat kepada Eisenhower dan memberitahu mengenai rancangan beliau untuk menggunakan serangan payung terjun besar-besaran ke atas beberapa kawasan penting di sekitar Belgium dan Belanda seterusnya, membuka jalan terus ke Berlin.

Eisenhower enggan memberikan lampu hijau untuk serangan ini. Montgomery yang berang, terus terbang ke pejabat Eisenhower pada 10 September supaya beliau menarik balik keputusan tersebut. Dikoyaknya surat yang dibalas Eisenhower kepada Montgomery dan menegaskan bahawa tenteranya memerlukan supply yang lebih daripada Bradley dan Denvers.

Mengamuk Montgomery di dalam pejabat Eisenhower. Eisenhower tenang menjawab:

“Kamu mahu saya beri semua bekalan kepada kamu untuk mara terus ke Berlin yang jauhnya 500 batu dari sini? Monty, kau gila!”

Sungguhpun begitu, Eisenhower bersetuju untuk melebihkan supply kepada Montgomery berbanding Bradley dan Denvers. Sebanyak 1,000 tan bekalan sehari akan diberikan kepada beliau.

Dengan bekalan yang diberikan, Montgomery tetap merangka pelan untuk “Operasi Market Garden”. Operasi ini terbahagi kepada dua:

Operasi Market: Serangan payung terjun besar-besaran ke atas beberapa target di sekitar Belanda seperti Eindhoven, Best, Son, Nijmegen, Oosterbeek dan Arnhem. Tentera payung terjun ini ditugaskan untuk menawan semua jambatan di sekitar bandar ini.

Operasi Garden: Serangan kereta kebal British keatas kesemua bandar yang ditawan oleh tentera payung terjun dalam Operasi Market.

Lt. General Fredrick Browning, komander payung terjun Operasi Market Garden.

Montgomery diberikan sebuah kor payung terjun dan sebuah kor kereta kebal untuk melaksanakan Operasi ini:

– 1st British Airborne Corps, pimpinan Lt. General Fredrick Browning.

– 1st Airborne Division, Maj. Gen. Roy Urquhart. (Arnhem)

– 82nd Airborne Division, Brig. Gen James Gavin. (Nijmegen)

– 101st Airborne Division, Maj. Gen. Maxwell Taylor. (Eindhoven)

– Polish Parachute Brigade, Brig. Gen. Stanislaw Sosabowski. (simpanan)

– 30th Corps, Lt. General Sir Brian Horrocks.

– Guards Armoured Division, Maj. Gen. Alan Adair.

Hari Pertama: British 1st Airborne Division

Pada 1.30 pm 17 September 1944, lebih 1500 pesawat pihak Berikat dan 400 pesawat peluncur glider memulakan serangan payung terjun di beberapa buah kawasan yang telah ditetapkan.

Pasukan daripada 1st Airborne Division pimpinan Maj. Gen. Roy Urquhart mendarat di bahagian utara iaitu di sekitar Arnhem. Mereka ditugaskan untuk menawan jambatan keretapi di Oosterbeek dan jambatan di Arnhem. Pendaratan tersebut berjaya pada mulanya apabila pasukan pertama mendarat dengan selamat. Masalah terjadi selepas mereka mendarat.

Armada Udara Tentera British di Arnhem sebelum pendaratan.

Pasukan ini ditentang hebat oleh beberapa tentera Jerman yang menyedari beribu-ribu tentera payung terjun yang turun dari langit. Disebabkan mereka mendarat terlalu dekat antara satu sama lain, ini memudahkan tentera Jerman untuk memberi fokus yang lebih kepada pasukan payung terjun ini dan menyerang mereka.

Masalah lain apabila, hanya anggota 1st Parachute Brigade daripada 1st Airborne Division mengambil bahagian dalam serangan ini kerana kapal terbang tidak mencukupi untuk menerbangkan seluruh divisyen. Oleh itu, 2nd Parachute Brigade terpaksa menunggu untuk membuat penerjunan yang seterusnya.

Masalah yang paling ketara apabila radio-set division ini gagal berfungsi. Hal ini menyebabkan Urquhart tidak dapat berkomunikasi dengan Markas Montgomery dan mengkoordinasi tenteranya di sana. Maka, Urquhart tidak mampu untuk memberi bantuan tembakan artileri atau serangan udara yang diperlukan.

Kereta Kebal Sherman dari 30th Corps melalui jambatan di Nijmegen.

Selepas pendaratan, Urquhart mengarahkan komander Batalion Kedua, Lt. Colonel John Frost dan anak buah seramai 750 anggota untuk terus menuju ke Arnhem dan menawan jambatan tersebut. Manakala beliau bersama-sama Batalion Pertama dan Ketiga akan menawan pekan Oosterbeek.

Dalam pada itu, komander Army Group B, Field Marshal Walter Model berada di Oosterbeek, sebuah pekan di barat Arnhem. Tentera British mendarat hanya beberapa kilometer sahaja dari tempat Model berada. Beliau segera mengarahkan semua stafnya untuk beredar keluar daripada Oosterbeek kerana menyangka tentera payung terjun British mahu menangkapnya.

Malang bagi tentera payung terjun British kerana mereka sebenarnya mendarat di kawasan dimana pasukan kereta kebal Panzer sedang “rehat dan rawat”. Pasukan 2nd SS-Panzer Corps pimpinan SS-General Wilhelm Bittrich sedang berada di utara Arnhem. Model segera mengarahkan Bittrich untuk menghantar pasukannya untuk bertempur dengan pasukan payung terjun British ini.

Hari Pertama: US 82nd Airborne Division dan 101st Airborne Division

Di bahagian selatan Arnhem, pasukan payung terjun Amerika 82nd Airborne Division pimpinan Brigadier Jim Gavin, berjaya mendarat bersama-sama 7500 anggota di sekitar Nijmegen.

Gavin menghantar satu detasmen seramai 400 anggota ke Nijmegen untuk menawan jambatan di sana. Tetapi malangnya, bandar tersebut sudahpun di pertahankan oleh 3000 tentera dari 10th SS-Panzer Division dari 2nd SS-Panzer Corps.

Pasukan Payung Terjun Amerika 82nd Airborne Division mendarat di sekitar Nijmegen, Belanda.

Di bahagian selatan Nijmegen, terletaknya pekan Eindhoven dimana pasukan payung terjun 101st Airborne Division pimpinan Maj. General Maxwell Taylor ditugaskan untuk menawan jambatan dan jalan penting disekitar sana.

Pasukan payung terjun Maxwell gagal untuk menawan jambatan dan jalan di Son dan Best selepas tentera Jerman berjaya meletupkannya sebelum mereka tiba. Hal ini akan melambatkan perjalanan pasukan kereta kebal British 30th Corps kerana mereka perlu membaiki jambatan tersebut terlebih dahulu.

Keadaan lebih parah apabila sebuah glider terhempas dikawasan musuh dan berjaya ditawan oleh tentera Jerman. Kini, seluruh Operasi Market Garden berjaya dibaca oleh musuh.

Hari Kedua: Cuaca Buruk.

Pada 18 September 1944, cuaca buruk memburukkan lagi keadaan. Komander 1st Airborne Corps iaitu Lt. General Fredrick Browning menjanjikan serangan payung terjun kedua akan dilakukan pada jam 0600. Tetapi disebabkan oleh angin kuat, serangan tidak dapat dilakukan.. Maka, semua tentera payung terjun mula kehilangan bekalan yang dijanjikan.

Manakala di Arnhem, Lt. Colonel John Frost dari Batalion Kedua yang kini ditambahi hampir 5,000 anggota berjaya menawan Arnhem. Tetapi mereka kini berseorangan dan dikepung. Mereka berjaya membina sistem pertahanan di pekeliling Arnhem dan menewaskan beberapa percubaan pasukan 2nd SS-Panzer Corps untuk menawan semula bandar berkenaan.

Pasukan Payung Terjun British di Oosterbeek.

Batalion Pertama dan Batalion Ketiga yang kini berada di Oosterbeek cuba untuk menuju ke Arnhem tetapi berjaya dikekang oleh tentera Jerman. Akhirnya, pada petang tersebut Batalion Keempat dari 1st Parachute Brigade mendarat di barat Oosterbeek untuk memberi bantuan tambahan kepada tentera payung terjun British yang sedang bertempur di Oosterbeek dan Arnhem.

Di sekitar Nijmegen, 82nd Airborne Division juga terpaksa berhempas pulas untuk mengekang serangan tentera Jerman. Pada jam 3.30pm, barulah beberapa pasukan tambahan di terbangkan bersama-sama artileri kecil, jeep dan bahan bekalan.

Field Marshal Model mengarahkan pekan Nijmegen dipertahankan kerana, daripada maklumat yang diterima, pekan ini merupakan titik paling penting jika mahu menggagalkan seluruh Operasi Market Garden.

Dalam pada itu, Lt. General Horrocks dan kereta kebal 30th Corps tiba di bandar Eindhoven dan bersatu dengan anggota-anggota dari 101st Airborne Division yang menunggu kedatangan beliau.

Hari Ketiga: “Saya rasa kita dah terlajak satu jambatan”. 

Pada 19 September 1944, pasukan payung terjun 1st Airborne Division yang ditugaskan untuk menawan jambatan di sekitar Oosterbeek dan Arnhem kini semakin tertekan. Pasukan 2nd SS-Panzer Corps pimpinan Bittrich kini membanjiri seluruh bandar Arnhem termasuklah sebuah kereta kebal Jerman, Panzerkampfwagen Tiger (B) atau King Tiger

Lt. Colonel Frost dan Batalion Keduanya kini menawan 10 buah rumah yang menghadap jambatan di Arnhem. Mereka dengan sabar mengekang serangan Panzer Jerman sambil menunggu ketibaan kereta kebal British 30th Corps.

Maj. General Urquhart serta Batalion Pertama dan Ketiga di Oosterbeek membuat serangan terakhir untuk tiba di Arnhem untuk bergabung dan menyelamatkan Frost dan anggotanya tetapi dihalang oleh elemen kereta kebal dari 9th SS-Panzer Division.

Dalam ketika ini, Polish Parachute Brigade pimpinan Maj. General Sosabowski yang sepatutnya tiba pada hari tersebut untuk memberikan reinforcement masih lagi tidak sampai-sampai kerana cuaca yang sangat buruk di England.

Sementara itu, kereta kebal 30th Corps berjaya membina jambatan di Eindhoven dan terus berkejar ke arah pekan Nijmegen. Di sana, mereka bergabung dengan tentera payung terjun dari 82nd Airborne Division pimpinan Gavin. Mereka segera melakukan serangan bertali-arus ke arah Nijmegen yang teguh dipertahankan oleh elemen dari 2nd SS-Panzer Corps.

Hari Keempat: Pengharapan.

Pada 20 September 1944, Frost ditawan selepas pertempuran sengit antara pasukan Panzer Jerman dan pasukan payung terjun British di Arnhem. Batalion Kedua kini terpaksa berundur perlahan-lahan keluar dari Arnhem dengan harapan dapat bersatu dengan Urquhart yang sedang bertahan di Oosterbeek. Pasukan Polish Parachute Brigade masih lagi tidak kelihatan.

Lt. Colonel John Frost. Kisahnya diabadikan dalam filem A Bridge Too Far, lakonan Anthony Hopkins.

Di Nijmegen, Hirrocks dan kereta kebal 30th Corps berjaya menawan sepenuhnya pekan tersebut. Hal ini memberi nafas baru kepada Urquhart yang sedang tersepit di bahagian utara, bahawa mereka akan diselamatkan tidak lama lagi. Tentera Jerman cuba untuk meletupkan jambatan di Nijmegen tetapi gagal.

Namun, Hirrocks membuat satu kesilapan. Beliau tidak menghantar terus elemen kereta kebalnya terus ke Arnhem untuk menyelamatkan Urquhart. Sebaliknya, beliau mengambil perhatian terhadap pembersihan saki baki tentera Jerman yang masih lagi berdegil tidak mahu menyerah kalah di Nijmegen.

Hari Kelima: “God Save The King!”

Pada 21 September 1944, seluruh Arnhem kini berada di tangan tentera Jerman. Batalion Kedua membuat transmisi terakhir mereka:

“Peluru sudah habis. Semoga Tuhan Peliharakan Raja!”

Seramai 1,984 anggota tentera British terbunuh di Arnherm, 6,845 ditawan oleh tentera Jerman.

Pada ketika ini, Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga bertahan di tebing sungai antara Oosterbeek dan Arnhem. Kekuatan mereka pada ketika ini hanya tinggal 3,500 orang daripada 10,000 anggota tentera.

Pada tengah hari, barulah kelibat Polish Parachute Brigade pimpinan Sosabowski seramai 750 orang mendarat di seberang sungai tempat Urquhart sedang bertahan.

Pada petang itu, selepas dihujani oleh tembakan meriam dan artileri, pasukan kereta kebal 30th Corps pimpinan Horrocks akhirnya tiba untuk memberi bantuan tembakan kepada Sasobowski dan Urquhart berdekatan sungai.

Model (kiri) dan Bittrich (dua dari kiri) merangka serangan balas, 1944.

Hari Keenam & Ketujuh: Model menyerang balas.

Pada 22 September 1944, Field Marshal Model mengarahkan beberapa elemen Panzer Jerman di sekitar Eindhoven untuk menyerang kedudukan 101st Airborne Division di bandar Eindhoven. Dengan harapan, serangan ini dapat memotong laluan supply pihak Berikat dari arah belakang. Tentera payung terjun Amerika bertungkus lumus untuk menahan serangan tentera Jerman tersebut.

Maj. General Roy Urqurhart, komander payung terjun di Arnhem.

Manakala di utara, pasukan payung terjun Urquhart kini semakin tersepit kerana bekalan semakin habis. Bittrich dan 2nd SS-Panzer Corps menyerang kedudukan tentera Berikat di sana dengan dahsyat sekali. Urquhart kini hanya memiliki tidak lebih dari 2,000 orang anggota yang tinggal.

Hari Kelapan dan Kesembilan: Market Garden gagal.

Dalam pada itu, Montgomery mendapat gambaran penuh situasi tentera beliau dalam Operasi Market Garden ini. Beliau mengakui bahawa tidak ada cara lain selain daripada berundur.

Beberapa elemen kereta kebal 30th Corps berjaya tiba di seberang sungai tempat dimana Urquhart dan Sosabowski sedang perit menunggu bila mereka akan diselamatkan. Dalam kegelapan malam, Horrocks mengarahkan seluruh tentera payung terjun yang tinggal untuk menyeberang sungai tersebut, dimana beliau akan dinantikan oleh pasukan 30th Corps.

Selepas memastikan seluruh tentera payung terjun menyeberangi sungai, Montgomery mengarahkan Operasi Market Garden dihentikan.

Pengajaran

Terdapat beberapa ralat dapat dikenalpasti dalam operasi ini. Pertama sekali, tentera payung terjun merupakan satu organisasi tentera ringan (light infantry). Mereka diterjunkan di beberapa kawasan yang dikelilingi tentera kereta perisai seperti 2nd SS-Panzer Corps. Tentera payung terjun TIDAK BOLEH digunakan untuk bertempur dengan pasukan kereta perisai. Mereka sepatutnya digunakan untuk mengucar-kacirkan pihak lawan. Montgomery memberikan keutamaan penuh kepada pasukan payung terjun yang sepatutnya diberikan kepada pasukan kereta kebal 30th Corps.

Kedua, pihak Berikat tidak mempunyai kapal terbang yang cukup untuk menerbangkan kesemua 10,000 tentera payung terjun mereka. Mereka terpaksa menerjunkan sedikit demi sedikit tentera payung terjun mereka dan membuat beberapa kali pusingan sebelum dapat menerjunkan semua sekali tentera para mereka. Bayangkan jika tentera payung terjun ini mendarat di tempat yang sama berkali-kali, sudah tentu musuh sudah tahu serangan mereka. Maka elemen kejutan sudah hilang.

Ketiga, pihak Berikat melakukan serangan Operasi Market Garden ini dalam keadaan cuaca yang sangat buruk. Hujan lebat, kabus dan angin kencang merosakkan konsistensi pasukan payung terjun ini untuk mendarat. Hal ini akan mengakibatkan kematian mereka sebelum mereka sempat lagi bertempur.

Keempat, pihak Berikat tidak mengendahkan maklumat daripada bahagian perisikan di Belanda bahawa terdapat sebuah organisasi besar di sekitar Arnhem tempat mereka mendarat. Hal ini terbukti apabila seluruh markas Army Group B ditempatkan di sekitar bandar tersebut.

Kelima, tentera Jerman disitu dipimpin oleh seorang panglima strategi pertahanan yang berkaliber iaitu Field Marshal Walter Model. Digelar “Lion of Defence”, markas Model hanya terletak beberapa kilometer sahaja daripada tempat tentera Berikat menyerang. Hal ini menyebabkan Model mengkoordinasi strategi dengan mudah.

Kereta Kebal King Tiger yang musnah di Oosterbeek ketika bertempur berdekatan sungai dengan 30th Corps.

Banyak lagi kesalahan dan ralat pihak Berikat seperti tentera payung terjun mendarat jauh dari Arnhem, masalah teknikal radio gagal berfungsi, kelewatan pasukan 30th Corps dan juga keputusan membersihkan saki-baki tentera Jerman di Nijmegen.

Operasi Market Garden merupakan suatu kegagalan bagi pihak Berikat. Banyak supply dan logistik dihabiskan untuk operasi ini. Oleh sebab itu, serangan keatas tanah Jerman terpaksa ditangguhkan sehingga 4 bulan. Jika Eisenhower tidak memberikan Montgomery bekalan tersebut, mungkin Pihak Berikat sudahpun tiba di Berlin.

Operasi Market Garden merupakan serangan payung terjun paling besar dalam sejarah. Operasi ini dikatakan merupakan kekalahan sulung buat Field Marshal Bernard Montgomery, panglima tentera British. Kegagalan ini membolehkan Adolf Hitler melancarkan satu serangan kejutan terakhir di medan barat yang dikenali sebagai Battle of the Bulge di penghujung 1944.

Rujukan

  1. Operation Market Garden | Animated Mini Documentary
  • Operation Market Garden by Maps of History
  • Burgett, D. (2001). The Road to Arnhem: A Screaming Eagle in Holland. Dell Publishing. ISBN 9780440236337.
  • van Lunteren, F. (2014). The Battle of the Bridges. Casemate Publishing. ISBN 9781612002323.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.