Perang Dunia Kedua: Rommel mendarat di Afrika Utara

0
493
views

Berakhirnya Operasi Kompas, Jeneral Memerintah (GOC) di Timur Tengah, General Archibald Wavell berjaya menumpaskan Tentera Itali Kesepuluh pimpinan Marshal Rodolfo Graziani pada awal Februari 1941. British telah berjaya meluaskan kawasan jajahan mereka sehingga ke Cyrenaica iaitu timur Libya. Pelabuhan Tobruk yang merupakan salah satu pelabuhan paling strategik di Afrika Utara kini berada di tangan Wavell.

General Wavell (kanan) terpaksa membahagikan pasukan British kepada dua iaitu di Timur Libya dan Greece dek kerana asakan daripada Tentera Paksi. General Auchinleck (kiri) merupakan penasihat kanan beliau ketika Perang di Greece dan Afrika Utara.
General Richard O’Connor merupakan komander medan ketika Operasi Kompas. Beliau memimpin Pasukan Padang Pasir Barat untuk menakluk seluruh Timur Libya pada awal 1941. Beliau ditawan oleh Tentera Rommel ketika Operasi Bunga Matahari.

Untuk mempertahankan Timur Libya (Cyrenaica), Wavell meletakkan beberapa unit tentera untuk mengawal wilayah tersebut iaitu Pasukan Padang Pasir Barat (Western Desert Force) pimpinan General Richard O’Connor yang akan menjadi tulang belakang dalam mempertahankan Cyrenaica daripada sebarang kemungkinan daripada tentera Itali. Unit tentera British yang berada di situ tidaklah begitu efektif kerana kebanyakkan telah dihantar untuk bertempur di Greece. Keputusan tersebut dibuat kerana Wavell yakin Itali tidak lagi mampu untuk menyerang balas tentera British di Afrika Utara dan menjangkakan yang kemenangan mutlak sudahpun berpihak kepada tentera British.

Erwin Rommel (kiri) komander ‘Divisyen Hantu’, bersama-sama pegawai British ketika Pengepungan di Dunkirk pada 1940.

Selepas melihat kekalahan teruk Tentera Itali kepada British di Afrika Utara, Adolf Hitler mengarahkan sebuah pasukan khas dihantar untuk membantu Tentera Itali di Afrika Utara. Objektif utama pasukan ini adalah untuk membantu Tentera Itali dan menghalang Tentera British untuk menakluk seluruh Libya. Pasukan ini diberi nama Kor Afrika Jerman (German Afrikakorps) yang meliputi Rejimen Kereta Kebal Kelima dan Rejimen Kereta Ringan Kelimabelas. Hitler memilih Lt. General Erwin Rommel untuk memimpin Kor Afrika Jerman ini.

Erwin Rommel, merupakan seorang komander peringkat divisyen ketika Perang Perancis 1940. Beliau memimpin Divisyen Kereta Kebal Ketujuh dalam perang tersebut dimana, divisyen ini diberi jolokan ‘Divisyen Hantu’ kerana kepantasan dan keajaiban divisyen ini untuk mara jauh meninggalkan Tentera Jerman sehingga memerangkap berpuluh-puluh ribu Tentera Bersekutu di Dunkirk. Rommel merupakan seorang komander favourite Hitler kerana beliau bukanlah datang daripada orang kaya dan juga merupakan veteran Perang Dunia Pertama yang berani. Rommel juga menulis buku ‘Infantry Attacks’ pada 1937 yang menjadi simpanan Hitler sehingga ke akhir hayatnya. Rommel juga diberikan penghormatan oleh Hitler untuk menjadi menjadi pengawal peribadi beliau ketika Serangan Keatas Poland 1939.

Rommel diarahkan untuk membantu Gariboldi (kiri) untuk menyekat kemaraan Tentera British di Libya.

Pada 14 Februari 1941, Rommel dan Afrika Korps mendarat di Tripoli, ibu kota Barat Libya yang masih di bawah kawalan Itali. Selepas pemecatan Marshal Graziani daripada jawatan Gabenor-Jeneral di Libya, tempat beliau diambil alih oleh General Italo Gariboldi dan seterusnya mengambil alih tampuk pemerintahan Tentera Itali Kesepuluh. Rommel dan Afrika Korps beliau diletakkan dibawah pemerintahan Gariboldi. Arahan yang dikeluarkan kepada Gariboldi dan Rommel adalah untuk mempertahankan Barat Libya dan menyekat kemaraan Tentera British. Namun, Rommel tidak berhasrat langsung untuk bertahan.

Peta menunjukkan kemaraan Rommel yang bermula di El Aghella menolak Tentera British sehingga ke sempadan Libya-Mesir dalam Operasi Bunga Matahari

Dengan hanya berbekalkan bekalan ketenteraan yang sedikit dan ditentang oleh Gariboldi, Rommel melancarkan Operasi Bunga Matahari untuk mengucar-kacirkan Tentera British pimpinan General O’Connor di Timur Libya. Pada 23 Mac 1941, Rommel mengaktifkan Operasi Bunga Matahari dengan objektif untuk menolak keluar Tentera British sejauh yang mungkin daripada Libya. Beliau mengetahui akan kelemahan Tentera British pada ketika itu yang mana kebanyakkan daripada mereka telah dipindahkan untuk berperang di Greece. Pada 3 April 1941, Tentera Rommel memasuki bandar Benghazi, bandar ketiga terbesar selepas Tripoli dan Tobruk.

Pada 6 April 1941, ketika berundur daripada Benghazi, General O’Connor bersama-sama timbalan beliau, Lt. General Phillip Neame ditawan. Maj. General Beresford-Peirse dilantik untuk memimpin Western Desert Force yang kian melemah. Wavell mengarahkan tenteranya yang kebanyakkan terdiri daripada Tentera Australia pimpinan Lt. General Leslie Morsehead ke Pelabuhan Tobruk.

Pada 10 April, Rommel berjaya menolak seluruh Tentera British keluar sehingga ke sempadan Libya-Mesir. Hanya Pelabuhan Tobruk sahaja yang masih berada ditangan gabungan tentera British dan Australia yang kini dikepung sepenuhnya oleh Afrika Korps. Melihat kejayaan yang dilakukan oleh Rommel, Gariboldi dan Tentera Kesepuluhnya dengan segera menukar posisi pertahanan mereka ke timur untuk membantu tentera Rommel.

Walaupun sedikit, Rommel bijak menggunakan aset-aset minimum tersebut untuk mengelirukan Tentera British di Libya. Sebagai contohnya, beliau mengarahkan kereta perisainya untuk mengeluarkan banyak asap pasir untuk memperdayakan musuh.

Kejayaan Operasi Bunga Matahari ini disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, kegagalan General Wavell untuk mengenalpasti bentuk muka bumi Libya yang baru sahaja ditawan beliau. Kedua, Wavell terpaksa mengalihkan lebih separuh tentera berpengalaman beliau di Afrika Utara untuk bertempur di Greece. Hal ini menyebabkan Tentera British di Afrika Utara (Pasukan Padang Pasir Barat) kurang efektif berbanding dengan lawan mereka. Divisyen Armor Kedua British dibawah naungan Pasukan Padang Pasir Barat pada ketika itu merupakan pasukan armor pada nama sahaja! Kebanyakkan kereta perisai mereka sudahpun dihantar pulang ke Mesir untuk dibaiki.

General O’Connor (kiri) komander CYRCOM bersama-sama Lt. General Neamme(tengah). Kedua-duanya ditawan oleh tentera peninjau Rommel ketika cuba berundur dari Benghazi.

Ketiga, Wavell telah memilih komander tentera medan yang tidak cekap untuk mentadbir tentera-tenteranya serta menubuhkan organisasi yang mengelirukan untuk mentadbir kawasan baru di Libya. Kawasan jajahan British di Afrika Utara terbahagi kepada dua iaitu Cyrenaica Command (CYRCOM) dan Pasukan Padang Pasir Barat (Western Desert Force, WDF). CYRCOM dipimpin oleh Lt. Gen. Maitland Wilson, yang ketika itu memegang jawatan Ketua Staf Tentera British di Mediterranean. Manakala WDF pula dipimpin oleh Gen. O’Connor dan Lt. Gen. Neamme. Selepas Operasi Bunga Matahari dilancarkan, Wavell merombak semula pentadbiran British di Afrika Utara. Wilson digantikan oleh Neamme sebagai komander CYRCOM dan WDF kekal oleh O’Connor. Selepas kedua-dua mereka ditawan, organisasi ini dibubarkan dan Wavell menyedari betapa kegagalan beliau untuk melincinkan pentadbiran.

Keempat, Wavell memandang rendah keupayaan Tentera Paksi. Wavell mengakui sendiri bahawa beliau tidak bersedia langsung dengan kedatangan Rommel. Beliau gagal mengumpul maklumat sepenuhnya untuk menyedari ketibaan Rommel dan Afrika Korps di Libya. Beliau menyangka yang Tentera Itali sudah tidak mampu untuk bertempur di masa yang terdekat lalu menghantar kebanyakkan tentera beliau ke Greece. Jika diikutkan, Wavell mahu menawan seluruh Libya tetapi bekalan makanan dan supply yang tidak mencungkupi, beliau terpaksa berhenti di Pekan El Aghella, Tengah Libya.

Kelima, kebijaksanaan Rommel memanipulasikan keadaan. Rommel datang di Afrika Utara bersama-sama Afrika Korps di mana kapasiti mereka tidak mampu untuk menyerang British secara besar-besaran. Namun, selepas mengetahui bahawa Tentera British di Libya hanya ‘wujud pada nama sahaja’, Rommel melancarkan Operasi Bunga Matahari yang akhirnya berjaya menawan Benghazi seterusnya menolak terus Tentera British ke sempadan Libya-Mesir.

Disebabkan kekuatan kapasiti dan kebolehan tenteranya yang minimum, Rommel memastikan bahawa semua bekalan dan supply yang datang dari Pelabuhan Tripoli dihantar terus ke barisan hadapan secara berterusan. Hal ini menyebabkan tenteranya tidak perlu untuk membuang masa berhenti menunggu bekalan tiba.

Keenam, taktik Rommel. Gelaran yang beliau terima iaitu, Musang Padang Pasir (Desert Fox) bukanlah sebarangan nama. Beliau menggunakan pelbagai taktik yang bijak untuk memastikan tenteranya mampu pergi lebih jauh walaupun kekurangan bekalan. Sebagai contohnya, Rommel mengarahkan laluan supply mereka sentiasa ‘berjalan’ agar mereka tidak perlu berhenti menunggu bekalan untuk mara. Rommel menggunakan tipu helah padang pasir apabila membariskan 10 buah kereta kebal beliau secara melintang sambil mengeluarkan asap pasir yang banyak. Hal ini menyebabkan Tentera British terpedaya dengan kekuatan kereta kebal yang dimiliki oleh Afrika Korps yang dijangkakan sebanyak 100 buah padahal hanya 10 buah model ‘Panzer III’ sahaja di situ.

Selepas seluruh Balkan jatuh ke tangan Nazi Jerman dan sekutunya pada Jun 1941, British kini boleh menumpukan sepenuhnya dalam kempen peperangan di Afrika Utara. Hal ini memberikan berita yang gembira buat Wavell kerana beliau akan mempunyai aset-aset yang akan tiba untuk menentang Rommel di Afrika Utara. Objektif utama beliau selepas ini ialah, menyelamatkan 30,000 Tentera British dan Australia di Pelabuhan Tobruk.

Rujukan:

  1. Carver, M. (2002) [1986]. Dilemmas of the Desert War: The Libyan Campaign 1940–1942 (Spellmount ed.).
  2. Creveld, M. van (1977). Supplying War: Logistics from Wallenstein to Patton. Cambridge: Cambridge University Press.
  3. Cyrenaica Command (CYRCOM) https://markndocuments.wordpress.com/war-diaries/cyrcom/
  4. Jentz, T. L. (1998). Tank Combat In North Africa: The Opening Rounds, Operations Sonnenblume, Brevity, Skorpion and Battleaxe, February 1941 – June 1941. Atglen, PN: Schiffer.
  5. The Desert Fox | Rommel’s FIRST Battle in the North African Campaign | BATTLESTORM https://www.youtube.com/watch?v=wMv9YN11xkY&t=12s