Setibanya General Kuribayashi di Iwo Jima, beliau sedar bahawa peluang untuk hidup di sana adalah tipis. Beliau ditugaskan untuk mempertahankan pulau kecil berkenaan daripada serangan tentera Amerika yang pasti akan berlaku. Pulau Iwo Jima bukanlah sekadar pulau kecil, tetapi Amerika mahukan pulau ini agar Jepun tidak dapat mengesan serangan tentera udara Amerika terhadap tanah besar Jepun.

Pada waktu itu, Tentera Amerika telah berjaya menolak tentera Jepun keluar dari Pasifik. Kini, Jepun diancam oleh serangan udara oleh pihak Amerika. Tokyo, tempat bersemadinya Maharaja Jepun, tidak terlepas daripada serangan udara Amerika. Bagi Jepun, Iwo Jima merupakan sebuah pulau kecil yang penting. Ia berfungsi sebagai pos kawalan dan pemerhati bagi Angkatan Tentera Jepun untuk memberi amaran awal jika Amerika ingin melancarkan serangan.

Pada penghujung 1944, Pemerintahan tertinggi Jepun sedar bahawa Jepun sekarang sedang bertahan dan melengah (delay defence), bukannya menyerang. Mereka juga kehilangan beberapa pulau penting di Kepulauan Mariana dan Kepulauan Caroline yang sepatutnya menjadi perimeter pertahanan bagi Jepun. Oleh hal yang demikian, Jepun perlu mempertahankan Iwo Jima jika mereka ingin mengelakkan Amerika daripada menyerang tanah besar Jepun.

Siapsiaga Tentera Jepun

Lt. Gen. Tadamichi Kuribayashi dilantik oleh Pedana Menteri Jepun, General Hideki Tojo untuk mempertahankan pulau Iwo Jima. Kuribayashi mula sedar bahawa perang ini sudah tidak boleh lagi dimenangi. Apa yang boleh dilakukan beliau adalah untuk melakukan pertahanan melengah (delay defence) untuk membunuh lebih ramai tentera Amerika dalam pertempuran. Dalam pemikiran beliau, lebih banyak tentera Amerika mati, maka mereka akan menimbang semula untuk menyerang tanah besar Jepun, seterusnya dapat melakukan gencatan senjata.

Kuribayashi bukanlah calang-calang orang. Beliau merupakan graduan cemerlang dari Kolej Tentera Imperial Jepun, di mana keistimewaan beliau ialah taktik cavalry atau tentera berkuda. Kemudian pada 1920an, beliau dihantar ke Amerika Syarikat dan Kanada untuk menjadi ‘defence attache’ di sana. Beliau mengambil peluang untuk belajar sepenuhnya budaya Amerika. Beliau amat terpegun dengan industri dan kilang-kilang di sana yang membangun begitu pesat. Tambah beliau, jika Amerika pergi berperang, seluruh industri di dalam negara berkenaan mampu menampung keperluan peperangan Amerika dengan sekelip mata sahaja.

Lieutenant General Tadamichi Kuribayashi

Strategi Kuribayashi sangat berbeza dengan doktrin tentera Jepun yang lebih mementingkan kamikaze dan pertahanan pantai. Beliau melarang tenteranya untuk melakukan serangan “Banzai” untuk mengelakkan kematian yang sia-sia. Strategi beliau di Iwo Jima lebih tertumpu kepada pertahanan mendalam (defence-in-depth). Beliau berpendapat, lebih baik jika beliau membiarkan sahaja tentera Amerika mendarat di pantai Iwo Jima. Selepas tentera Amerika mendarat beramai-ramai di pantai, barulah Kuribayashi mengerahkan semua senjata-senjata miliknya (artilery, mortar, bom, mesingan, kereta kebal) untuk membedil tentera Amerika di pantai tersebut. Strategi ini mampu untuk memberikan impak yang sadis kepada tentera Amerika di pantai Iwo Jima tersebut.

Pertahanan di Iwo Jima bukan calang-calang. Kuribayashi juga menggunakan bentuk muka bumi pulau tersebut yang berbukit-bukit sebagai instrumen pertahanan Jepun. Beliau mengarahkan penggalian kubu dengan banyak dan terowong-terowong yang menghubungi setiap kubu berkenaan. Gunung Suribachi, dijadikan sebagai tempat letaknya artileri paling besar di pertahanan Iwo Jima kerana kedudukannya yang mampu melihat pekeliling pulau tersebut. Tentera Jepun yang bertahan di situ diberikan bekalan makanan, minuman, peluru dan senjata yang cukup untuk 3-4 bulan bertempur.

Siapsiaga Tentera Amerika

Heh, Ini akan jadi mudah. Tentera Jepun akan menyerah di Iwo Jima tanpa berlawan”

– Laksamana Chester W. Nimitz, ketua turus Tentera Amerika di Pasifik.

Iwo Jima menjadi target kepada serangan artileri dan serangan udara oleh pihak Amerika sejak 15 Jun 1944 lagi. Ini merupakan kempen pengeboman Amerika paling lama di Pasifik iaitu selama 9 bulan, sebelum mereka mendarat di Iwo Jima pada 19 Februari 1945. Dengan pengeboman ini, Pemerintahan Amerika berharap bahawa Iwo Jima dapat ditawan dengan mudah tanpa perlu menghantar ribuan tentera. Tanggapan ini dikongsi oleh ketua turus Tentera Amerika di Pasifik iaitu Laksamana Chester W. Nimitz. Tanggapan inilah yang akan memakan diri.

Untuk menyerang Iwo Jima, Laksamana Nimitz mempetaruhkan pasukan Marine Amerika untuk menawan pulau tersebut. Pasukan Marine tersebut akan dibantu oleh armada laut US 5th Fleet dibawah Laksamana Raymond Spruance. Maj. Gen. Harry Smidth, panglima marine V Amphibious Corps akan ditugaskan untuk memimpin pendaratan tentera Marine Amerika di Iwo Jima.

Dalam merancang serangan di Iwo Jima, Smidth meminta Laksamana Spruance untuk membedil kedudukan di Iwo Jima selama 10 hari namun ditolak bulat-bulat kerana peluru artileri kapalnya perlu untuk digunakan sebagai tembakan bantuan pada hari pendaratan. Smidth meminta tembakan artileri selama 9 hari tetapi Spruance hanya meluluskan tembakan selama 3 hari sahaja. Keputusan ini juga akan memakan diri ketika pasukan Marine mendarat di Iwo Jima kelak.

Pendaratan di Iwo Jima

Harus diingat, tentera Jepun di Iwo Jima sudah bersedia untuk menghadapi serangan tentera Amerika sejak Mac 1944. Bagi serangan ini, tentera Amerika dibahagikan kepada pentadbiran (order of battle) seperti berikut:

  1. Seluruh operasi serangan akan dikelolai oleh panglima tentera laut US 5th Fleet dipimpin Laksamana Raymond Spruance. Dibawah beliau terdapat armada tentera laut Task Force 51, 52 dan 53 untuk membantu pendaratan tentera Amerika
  2. Manakala pendaratan akan dipertanggungjawab kepada Task Force 56 dipimpin Lt. General Holland M. Smith. Dibawah beliau adalah V Amphibious Corps dipimpin oleh Maj. General Harry Schmidt yang merupakan Kor Marine Amerika yang dilatih untuk pendaratan amfibia. Dibawah Kor ini terdapat:
    1. 5th Marine Division
    2. 4th Marine Division
    3. 3rd Marine Division

Terdapat lebih kurang 21,600 tentera Jepun, termasuklah Panglima Kuribayashi yang sedia menanti kedatangan tentera Amerika untuk merampas pulau Iwo Jima. Pentadbiran tentera Jepun adalah seperti berikut:

  1. 109th Division (Lt. General Tadamichi Kuribayashi)

– 145th Regiment

– 17th Mixed Infantry Brigade

– 26th Tank Regiment

– 2nd Mixed Brigade

2. Tentera Laut Jepun (Laksamana Madya Rinosuke Ichimaru)

– 125th Anti Aircraft Unit

– 132nd Anti Aircraft Unit

– 141st Anti Aircraft Unit

– 149th Anti Aircraft Unit

Pada 19 Februari 1945, jam 8.59 am, pasukan pertama marine daripada 4th dan 5th Marine Division mendarat di pantai tenggara Iwo Jima. Apa yang menghairankan mereka, pendaratan mereka tidak langsung ditentang oleh tentera Jepun. Mereka menyangka tentera Jepun di Iwo Jima sudahpun lari selepas dibedil oleh tentera Amerika selama berminggu-minggu.

Kumpulan pendahuluan tentera-tentera Marine ini mendarat sepenuhnya tanpa sebarang serang balas oleh pihak Jepun. General Schmidt mula mengarahkan peralatan-peralatan lain seperti artileri dan kereta kebal untuk mendarat di pantai berkenaan. Jauh dari pantai berkenaan, kelihatan General Kuribayashi sedang memerhatikan tindak tanduk mereka di bukit utara Iwo Jima.

Tepat jam 10.00 pagi, Kuribayashi mengarahkan semua jenis senjata daripada mesingan sehinggalah artileri di Iwo Jima untuk melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pantai tempat marine mendarat. Maka, haru birulah pantai tersebut dengan mandian darah. Seorang journalis Time-Life yang membuat liputan di pantai berkenaan menggambarkan situasi di sana seperti neraka.

Tentera Marine kehilangan ramai anggota dan material akibat daripada pendaratan ini. Lebih 80% jumlah pasukan pendahuluan lenyap di tenggara Iwo Jima. Ini baru sahaja hari pertama.

“Aku tak tahu siapa tapi Bajingan yang memimpin tentera Jepun di sini memang cerdik” – Maj. General Howlin Smith.

Selepas mendarat, tentera Marine pimpinan Smith membahagikan sektor serangan kepada tiga;

  1. Sektor Kiri, objektif ialah Gunung Suribachi.
  2. Sektor Tengah, objektif ialah Lapangan Terbang No. 1
  3. Sektor Kanan, objektif ialah sebagai pasukan penyekat kanan.

Sungguhpun mendapat tentangan hebat oleh tentera Jepun, tentera Marine Amerika berjaya mara keluar daripada pantai hasil dari bantuan tembakan meriam kapal dan serangan udara yang dilancar oleh Laksamana Spruance.

Pada jam 11.30 pagi, beberapa elemen tentera Marine berjaya tiba di Lapangan Terbang No. 1 dan menawan tempat tersebut. Mereka juga berjaya menangkis serangan berani mati ‘banzai charge’ oleh pihak Jepun dalam cubaan untuk merampas semula lapangan terbang berkenaan.

Pada ketika ini, peralatan-peralatan dan senjata-senjata yang sesuai digunakan untuk membersihkan kubu telah dibawa masuk seperti M1 Flamethrower dan juga kereta kebal Sherman Flamethrower. Senjata ini digunakan untuk membakar setiap kubu-kubu yang ada di Iwo Jima dengan lebih mudah.

Namun taktik ini dapat dibaca oleh Kuribayashi. Beliau mengarahkan setiap kubu-kubu di Iwo Jima mempunyai lorong atau lubang perhubungan. Oleh itu, tentera Jepun dapat melarikan diri dengan melalui terowong di bawah tanah. Sistem terowong di Iwo Jima sangat mengkagumkan. Setiap inci pulau berkenaan dihubungkan melalui terowong bawah tanah untuk memudahkan pergerakkan dan pertahanan tentera Jepun.

Gunung Suribachi pula merupakan tempat letaknya meriam berkaliber besar tentera Jepun di Iwo Jima. Smith mengarahkan gunung ini ditawan agar meriam tersebut dapat di neutralisasikan. Pada 23 Februari, beberapa elemen tentera Marine daripada 4th Marine Division dihantar ke gunung tersebut. Tentangan yang diterima adalah sangat minimum kerana tentera Jepun berjaya melarikan diri menerusi sistem terowong bawah tanah di dalam gunung berkenaan.

Tentera Marine memacakkan bendera Amerika Syarikat, Februari 1945.

Pada 23 Februari 1945, Gunung Suribachi berjaya ditawan oleh pasukan Marine selepas seharian bertempur membersihkan tentera Jepun disana. Mereka memacakkan bendera Amerika Syarikat di puncak gunung berkenaan, di mana, ia adalah pertama kali tanah Jepun dipacakkan oleh bendera kuasa luar.

Manakala itu, di sektor kanan keadaan sangat tidak mengizinkan untuk tentera Marine. Mereka diserang bertali arus oleh tentera Jepun. Hujan mortar dan artileri membuatkan mereka terkontang kanting. Keadaan muka bumi di sana menafikan penggunaan kereta kebal Sherman untuk melawan tentera Jepun. Mereka juga gagal mengesan arah tembakan meriam Jepun kerana taktik mereka yang menyembunyikan meriam sejurus selepas melepaskan tembakan untuk mengelakkan dikesan oleh tentera Amerika.

Keadaan di sektor kanan digambarkan oleh 2nd Lieutenant Benjamin Roselle. Beliau menceritakan bagaimana sekumpulan marine dibedil mortar. Salah seorang daripadanya hampir terputus kaki kiri. Kemudian sebutir mortar jatuh disebelah kanan marine tersebut yang menyebabkan kaki kananya pula hampir putus. Dalam keadaan yang haru biru tembakkan mortar di sekeliling pasukanya, kemudian satu kali mortar meletup di atas tempat beliau berlindung.

Kali ini, bahu marine berkenaan hampir putus. Selepas itu, sebutir bom meletup di depan beliau menyebabkan dia terpelanting dan mencederakan kedua-dua pahanya. Akhir sekali, letupan kuat meletup di tepi beliau menyebabkan berlubang siku kirinya. Leftenan Roselle yang melihat kejadian itu mengumit “Barulah aku tahu macam mana orang kena salib”.

Daripada 900 marine daripada 5th Marine Division menyerang sektor kanan, hanya tinggal 150 sahaja yang tinggal. Menjadikan peratusan kehilangan terbesar tentera Amerika untuk minggu pertama pertempuran.

Menawan Seluruh Iwo Jima

Memasuki Mac 1945, tentera Amerika di Iwo Jima sudah meningkat sebanyak 40,000 anggota. Sungguhpun begitu, pertempuran Iwo Jima belum tamat sepenuhnya. Bahagian utara pulau masih dipegang kukuh oleh Kuribayashi.

Bagi Kuribayashi pula, beliau sedar bahawa pertempuran Iwo Jima tidak mampu dimenangi. Beliau perpendapat bahawa sekiranya Jepun membunuh ramai tentera Amerika di Iwo Jima, ia akan menaikkan sentimen anti-perang keatas Amerika. Dalam pada itu, tentera Jepun di Iwo Jima semakin tenat. Bekalan makanan dan peluru kian menghabis. Hal ini menyebabkan Kuribayashi menyuruh tentera Jepun menyerang tentera Amerika pada waktu malam. Pun begitu, serangan ini bukanlah serangan’banzai’, cuma ia adalah taktik serang hendap untuk mengambil makanan dan bekalan dari tentera Amerika.

Kehidupan di Iwo Jima bagi tentera Amerika juga sangat menyeramkan. Hal ini kerana mereka tidak menyangka bahawa tentera Jepun tidak menggunakan serangan ‘banzai’ malah, serang hendap ketika mereka sedang tidur. Pertempuran juga berlarutan sehingga menggunakan tangan atau ‘hand-to-hand’ untuk membersihkan setiap kubu tentera Jepun di Iwo Jima

Untuk menangkis taktik pertahanan Kuribayashi, General Smith mengarahkan tentera Marine menyerang kedudukan Jepun tanpa tembakan artileri awal. Tentera Jepun tahu yang tentera Amerika suka menembak tentera artileri dahulu sebelum membuat serangan. Kali ini, tentera Amerika menyerang kedudukan pertahanan tentera Jepun tanpa sebarang bantuan artileri dan berjaya membunuh tentera Jepun ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Pada 21 Februari, Laksamana Ichimaru mengarahkan serangan keatas armada Laksamana Spruance yang tidak henti-henti membedil pekeliling pulau Iwo Jima. Ichimaru hanya mempunyai sebilangan kapal terbang Zero di pulau berkenaan bertindak untuk melancar serangan kamikaze keatas kedudukan tentera laut Amerika. Serangan ini berjaya melumpuhkan armada Laksamana Spruance dan berjaya menenggelamkan kapal pengangkut Amerika iaitu USS Bismarck Sea.

Pada 8 Mac 1945, beberapa elemen tentera Marine berjaya tiba di bahagian paling utara pulau berkenaan. Hal ini menyebabkan pertahanan Kuribayashi terbahagi kepada dua. Pada 16 Mac, Lapangan Terbang No. 2 berjaya ditawan oleh tentera Amerika. General Schmidt bertindak dengan mengisytiharkan pulau berkenaan sebagai ‘selamat’. Hakikatnya, terdapat beberapa saki baki tentera Jepun masih berlegar-legar di pulau berkenaan termasuk General Kuribayashi.

Pada 21 Mac, tentera Marine berjaya membersihkan kawasan timur pulau berkenaan dan Pada 24 Mac, pos markas terakhir tentera Jepun di Iwo Jima berjaya dibersihkan oleh tentera Marine. Namun, Kuribayashi langsung tidak diketemui.

Akhir sekali, pada 25 Mac 1945, berlakunya serangan banzai di belakang garisan tentera Marine dengan misi untuk menawan semula Lapangan Terbang No. 2. Tentera Jepun dengan tiba-tiba sahaja keluar dari terowong-terowong di tengah pulau untuk menyerang kedudukan tentera Marine. Serangan banzai ini merupakan serangan yang terakhir dilakukan oleh tentera Jepun.

Serangan banzai terakhir ini berlangsung selama 90 minit di kala kegelapan malam. Kesemua 300 tentera Jepun yang melakukan serangan ini mati atau ditawan. Dikatakan Kuribayashi sendiri memimpin serangan banzai ini namun begitu mayatnya tidak langsung ditemui oleh tentera Amerika. Hal ini membawa kepada pelbagai spekulasi mengenai pengakhiran beliau.

Kereta kebal Sherman Flamethrower digunakan oleh tentera Marine untuk membersihkan kubu pertahanan di Iwo Jima.

Iwo Jima Ditawan

Pada 26 Mac 1945, jam 9.00 pagi, ketua operasi serangan iaitu Laksamana Spruance mengisytiharkan pulau Iwo Jima ditawan dan selamat digunakan untuk dijadikan markas. Sungguhpun begitu, masih ada sebilangan kecil tentera Jepun yang melancarkan serangan gerila untuk mengganggu tentera Amerika di pulau berkenaan. Ironinya, Tentera Jepun yang terakhir meletakkan senjata ialah pada tahun 1949, empat tahun selepas perang tamat.

Selama 36 hari bertempur di Iwo Jima, tentera Amerika kehilangan 26,000 tentera dimana 6,800 diisytiharkan meninggal dunia. Pertempuran Iwo Jima merupakan satu-satunya pertempuran di mana tentera Amerika mempunyai kadar casualty lebih tinggi daripada tentera Jepun (21,000 tentera).

Ramai pakai sejarah mengatakan seperti Hal Buell dan Samuel Elliot mengatakan pertempuran Iwo Jima sangat sia-sia. Ketua Pegawai Operasi Laut Amerika, William V. Pratt mengatakan pulau tersebut tidak sesuai untuk menjadi markas tentera darat ataupun markas tentera laut untuk berlabuh.

Pertempuran Iwo Jima memberi pengajaran yang sangat berguna untuk pertempuran seterusnya iaitu Pertempuran Okinawa. Amerika Syarikat belajar bahawa untuk menyerang kedudukan Jepun, mereka perlu mengebom sehabis-habisnya kedudukan mereka melalui serangan laut dan udara.

Pertempuran Iwo Jima juga menjadi nukleus pemikir pemerintahan tertinggi Amerika sama ada ingin menyerang tanah besar Jepun secara terus (direct assault) ataupun menggunakan alternatif lain; diplomasi atau bom atom.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.