Perang Dunia Kedua: Pertempuran Guadacanal

0
530
views

Perang telah memasuki pertengahan 1942. Pada ketika ini, Jepun tersentak dengan kekalahan laut mereka ketika Pertempuran Midway. Namun kekuatan mereka di Pasifik masih lagi menjadi masalah kepada Amerika dan sekutunya. Jepun pada ketika ini sudah berjaya menakluki keseluruhan Asia Tenggara dan kini sedang mengancam pendudukan British di India. Walaupunbegitu tentera Jepun masih lagi bermasalah untuk menawan seluruh China. Buat masa ini, mereka terpaksa berubah kepada posisi bertahan.

Selepas kekalahan Jepun ketika Pertempuran Midway, Jepun telah mula kehilangan rentak untuk menakluk keseluruhan pasifik daripada cengkaman Amerika Syarikat. Perdana Menteri Jepun, Hideki Tojo terpaksa menukar corak peperangan Jepun daripada ofensif ke defensif. Aset-aset laut Jepun sudah tidak mampu untuk berlaga dengan aset-aset Amerika yang jauh lebih banyak. Strategi perang Jepun membuatkan mereka terpaksa untuk mempertahankan semua wilayah yang menjadi pegangan mereka ketika itu seperti, Asia Tenggara, Timur China, dan beberapa Kepulauan Pasifik.

Pendudukan tentera Jepun di Pasifik amat membimbangkan Amerika Syarikat dan sekutu mereka. Hal ini kerana pangkalan-pangkalan Jepun di Pasifik akan memberikan banyak risiko kepada Amerika untuk membantu sekutunya di Asia. Sekutu Amerika yang paling berisiko ialah Australia. Bekalan senjata, makanan dan lojistik yang dihantar oleh Amerika sering diganggu oleh serangan bertali arus oleh Tentera Laut dan Tentera Udara Jepun.

Pelan Amerika

Kepimpinan tertinggi Amerika sedar jika tentera Jepun masih menghuni pulau-pulau di Pasifik, kapal-kapal bekalan mereka akan sering diganggu oleh Jepun lalu meranapkan impian mereka untuk membantu British di India. Oleh hal yang demikian, Komander Turus Tentera Laut Amerika, Laksamana Ernest King membuat keputusan untuk menawan pulau-pulau di Pasifik daripada cengkaman Jepun. Pulau pertama yang akan menjadi target utama ialah; Guadalcanal di Kepulauan Solomon.

Laksamana Jack Fletcher (kiri) komander keseluruhan Guadalcanal bersama General Vandergrift, komander Marine di Guadalcanal, 1942.

Guadalcanal adalah sebuah pulau yang sangat memberi ancaman kepada laluan dagang Amerika. Jika pulau ini ditawan, sudah tentu Amerika akan mendapat tapak baharu untuk menempatkan tentera-tenteranya di situ lalu menyerang pendudukan Jepun di masa akan datang. Cadangan ini dikemukan kepada Presiden Amerika, Franklin Roosevelt namun beliau melarang untuk membuat serangan berskala besar terhadap Jepun. Beliau telah berjanji dengan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill untuk memberi fokus penuh mengalahkan Nazi Jerman di Eropah.

Admiral King menjanjikan bahawa jika Guadalcanal (dan beberapa pulau berdekatannya) ditawan, Amerika akan mendapat inisiatif untuk melancarkan serangan keatas Jepun di masa akan datang. Beliau juga menyatakan bahawa Jepun kini semakin lemah akibat kekalahan mereka di Midway. Akhirnya, Roosevelt berjaya diyakinkan untuk melakukan satu serangan keatas Jepun di Pasifik.

Tentera Amerika membahagikan pentadbiran kepada dua. Bagi pasukan tentera laut, akan dikelolai oleh Laksamana Madya Jack Fletcher. Manakala pasukan darat akan diketuai oleh tentera Marines Amerika pimpinan Maj. General Alexander Vandergrift. Tentera Laut pimpinan Fletcher sudah bersiap sedia di pekeliling Guadalcanal untuk membantu pasukan mendarat pimpinan Vandergrift. Fletcher mempunyai lebih kurang 75 kapal perang berlainan jenis terdiri daripada British dan Australia di mana kapal pengangkut USS Saratoga akan menjadi flagship kepada armada ini.

Tentera yang akan mendarat di Guadalcanal ialah 1st Marine Division pimpinan Vandergrift terdiri daripada 11,000 orang tentera. Pasukan marine ini merupakan pasukan Amerika yang baru yang dilatih untuk melakukan serangan ambifia. Walaubagaimanapun, menurut Vandergrift, pasukan ini dikatakan masih ‘mentah’ kerana tiada pengalaman pertempuran sebelum ini.

Amerika mendarat di Guadalcanal

Pada malam 7 Ogos 1942, anak-anak buah Vandergrift mendarat di pesisir pantai utara Guadalcanal. Disebabkan cuaca buruk, tentera Jepun gagal mengesan pergerakkan tentera Amerika. Sehinggala pesisir pantai tersebut dibedil bertubi-tubi oleh armada pimpinan Fletcher, barulah Jepun sedar bahawa posisi mereka dalam keadaan bahaya. Pada malam ini juga, Vandergrift diarahkan untuk membahagikan tenteranya kepada dua. Satu kumpulan mendarat di Guadalcanal, dan satu lagi mendarat di sebuah pulau di utaranya iaitu Pulau Florida.

Bulatan menunjukkan kawasan perkampungan tentera Marine sepanjang Kempen Guadalcanal. Tentera Jepun pula berkampung di bahagian barat pulau.

Pada pukul 9.10 pagi, tentera Marine pimpinan Vandergrift mendapat tentangan yang sedikit, selepas tentera Jepun dikucar kacirkan oleh serangan Armada Fletcher. Walaubagaimanapun, tentera Jepun yang masih hidup masih lagi teguh untuk mempertahankan posisi mereka daripada serangan tentera Marine.

 

Pada 8 Ogos keesokkan harinya, tentera Marine berjaya menawan sebuah lapangan terbang separuh siap milik tentera Jepun di utara Guadalcanal. Lapangan terbang ini merupakan tempat yang strategik untuk mendaratkan anggota dan bekalan kepada tentera Marine.Tentangan yang diberikan oleh tentera Jepun pada ketika ini sangat kurang sehinggakan tentera Amerika begitu senang untuk menawan lapangan ini. Nama lapangan terbang ini kemudian diberi nama Lapangan Henderson, sempena nama seorang juruterbang Amerika yang ditembak jatuh ketika mempertahankan Pulau Midway.

General Vandergrift kemudiannya mengarahkan tentera marine mereka untuk menyiapkan lapangan terbang ini agar dapat beroperasi sepenuhnya. Beliau juga membuat sistem pertahanan pekeliling sejauh 10 batu daripada lapangan terbang itu. Beliau mengetahui bahawa masih ada lagi saki baki tentera Jepun yang masih berada di pulau Guadalcanal yang sepanjang 90 batu itu. Pada 13 Ogos, Lapangan Henderson siap dalam operasi untuk mengangkut dan memunggah bekalan dan senjata.

Walaubagaimanapun Vandergrift menghadapi masalah. Beliau dan tentera Marine terpaksa memperatahankan kawasan pekeliling mereka tanpa bantuan Tentera Laut Amerika.

Pertempuran Savo Island – Kekalahan Laut Amerika

Pada malam 8 Ogos dan awal pagi 9 Ogos, sepasukan armada laut kecil milik Tentera Laut Diraja Jepun pimpinan Laksamana Madya Gunichi Mikawa. Selepas menyedari bahawa Amerika telah mendarat di Guadalcanal, Laksamana Mikawa membentuk sebuah ‘task force’ untuk memusnahkan sebarang pendaratan susulan dan kapal kapal tentera Amerika di Guadalcanal.

Major General Alexander Vandergrift, Komander 1st Marine Division.

Manakala kawasan laut tersebut dipertahankan oleh armada gabungan pihak Berikat yang terdiri daripada Amerika, Australia dan Britain. Armada ini dipimpin oleh seorang Laksamana British, Victor Crutchley yang mempunyai 8 kapal cruiser dan 15 kapal destroyer. Namun ketika pertempuran ini, hanya 5 kapal cruiser dan 7 kapal destoryer sahaja yang terlibat.

Ilustrasi Pertempuran Laut Savo Island. Serangan malam tentera laut Jepun membuahkan hasil, seperti menembak peluru cahaya ke langit untuk mengesan kapal musuh.

Laksamana Mikawa berlepas dari sebuah pangkalan laut di Rabaul milik Jepun di timur Papua New Guinea pada 7 Ogos. Selepas mengharungi perjalanan lebih daripada sehari, armada Mikawa tiba di sekitar laut Guadalcanal di bahagian utara. Objektif beliau mudah, iaitu memusnahkan segala kapal-kapal musuh di sana.

 

Pada lewat malam 8 Ogos, armada Mikawa berjaya tiba di pesisir pantai utara Guadalcanal tanpa sebarang masalah. Maklumat perisikan mengatakan sebuah armada milik Laksamana Crutchley di sekitar utara Guadalcanal. Mikawa membuat keputusan untuk menyerang armada musuh setelah tengah malam.

Tentera Laut Jepun sangat mahir dalam serangan di waktu malam. Mikawa meletakkan Savo Island, sebuah pulau yang tidak jauh daripada Guadalcanal sebagai titik paling jauh untuk armadanya membuat serangan sebelum berpatah balik menuju semula ke Rabaul. Serangan ini perlulah dilakukan dengan senyap dan tangkas.

Waqaf Saham

Peta pergerakkan kapal-kapal Jepun (dari arah kiri) terus menuju ke tempat musuh di sekeliling Savo Island.

Pada tengah malam 9 Ogos, armada Mikawa mengesan pergerakkan armada Crutchley di selatan Savo Island. Dengan menggunakan taktik ‘one line movement’ dan membuka lampu limpah, armada Mikawa melepaskan berdas-das tembakan ke atas musuh yang dikenal pasti. Lebih kurang 50 das tembakan mengenai 4 buah kapal Laksamana Crutchley di selatan Savo Island. Sebuah kapal Mikawa terkena satu das tembakan balas namun masih lagi mampu meneruskan pertempuran.

Pergerakkan armada Mikawa dibuat tanpa henti. Beliau membuat pusingan U di pulau Savo berkenaan dan mula mencari kapal-kapal Crutchley lain di utara pulau. Mikawa menggunakan lampu limpah untuk mengesan kapal musuh. Kapal-kapal Amerika dan sekutunya yang menyangka lampu berkenaan datang daripada pasukan sahabat, dikejutkan dengan tembakan bertubi-tubi oleh armada Mikawa.

Kali ini, Mikawa membahagikan armadanya kepada dua untuk membuat pengepungan keatas kapal musuh yang berjumlah lima buah. Kali ini, kapal-kapal Amerika terperangkap di tengah-tengah bidik tembakan armada Mikawa. Lebih kurang 100 das tembakan mengenai kapal-kapal Amerika di situ.

Akhirnya pada pukul 2.15 pagi, selepas 2 jam lebih pertempuran, Mikawa meninggalkan Savo Island menuju semula ke Rabaul. Laksamana Crutchley kehilangan 3 kapal cruiser berat tenggelam, 1 cruiser ringan rosak teruk dan 2 kapal destroyer rosak, menjadikan Pertempuran Laut Savo Island merupakan kekalahan laut Amerika yang teruk di dalam ‘fair fight’.

Namun Amerika sangat bernasib baik kerana Mikawa terus beredar tanpa melakukan serangan susulan di Guadalcanal. Jika serangan susulan berlaku, sudah tentu kempen di Guadalcanal akan musnah. Keputusan Mikawa untuk tidak membuat serangan susulan kerana takut akan armada tentera udara kapal pengangkut Laksamana Fletcher. Apa yang Mikawa tidak tahu, sebenarnya armada Fletcher sudah lama meninggalkan pekeliling Guadalcanal, menjadikan tentera Marine di Guadalcanal terdedah kepada serangan armada Mikawa.

Mempertahankan Lapangan Henderson

General Vandergrift mendapat berita akan kekalahan tentera laut Amerika di Savo Island yang meragut lebih kurang 1300 nyawa. Kekalahan tersebut menyebabkan tentera marine beliau akan terdampar di situ lebih kurang sebulan. Lebih buruk lagi, armada Laksamana Fletcher sudah berundur untuk fokus kepada kempen-kempen lain di Pasifik.

Lapangan Terbang Henderson separa siap, 1942.

Mujur pada 13 Ogos, Lapangan Terbang Henderson siap untuk beroperasi. Makanya, bekalan-bekalan serba sedikit dapat sampai ke situ menerusi pesawat-pesawat Amerika yang berpangkalan di Australia. Vandergrift dan 11,000 tentera Marine membuat sistem pertahanan seluas 10 batu persegi di perkelilingan Lapangan Henderson untuk menangkis serangan tentera Jepun sambil menunggu bekalan dan bantuan besar-besaran sampai dari arah laut.

 

Selepas menyedari tentang kejatuhan Pulau Guadalcanal, pemerintahan tertinggi Jepun (Imperial General HQ) mengarahkan untuk pulau tersebut diambil semula. Mereka mengarahkan Tentera Jepun Ke-17 (17th Army) pimpinan Lt. Gen. Harukichi Hyakutake untuk menggalas tugasan tersebut yang sekarang ini berpangkalan di Rabaul. Hyakutake akan dibantu oleh armada laut terbesar Jepun, ‘Combined Fleet’ pimpinan Laksamana Armada Isoruku Yamamoto yang berpangkalan di sebuah pulau Pasifik dipanggil Truk.

Namun, tentera Jepun mempunyai masalah untuk membawa masuk Tentera Hyakutake ini ke Guadalcanal kerana tenteranya sedang sibuk bertempur dengan tentera Australia di Papua New Guinea. Oleh itu, Hyakutake menghantar beberapa elemen tentera yang terdekat seperti Briged Ke-35 dan Rejimen Infantri Ke-28.

Imej Lapangan Terbang Henderson setelah siap dibina.

Pada 19 Ogos, Rejimen Infantri Ke-28 pimpinan Kolonel Kiyonao Ichiki berkekuatan seramai 917 orang mendarat di timur pulau Guadalcanal. Rejimen Ichiki ini memandang rendah tentang kekuatan tentera Amerika di sana mengambil keputusan untuk membuat serangan ‘Kamikaze’ ke arah Lapangan Henderson pada malam 21 Ogos. Kesudahannya apabila siang menjelma, hanya 128 orang daripada 917 orang terselamat selepas bertempur dengan tentera Marine di sana.

Pertempuran Edson’s Ridge

Pada 31 Ogos, tentera Jepun yang bertapak di barat pulau Guadalcanal diberi nafas baru apabila seramai 3,000 tentera Jepun telah tiba untuk membantu saki baki tentera Jepun di sana. Hyakutake memberi mandat kepada Maj. Gen. Kyotake Kawaguchi untuk memimpin keseluruhan tentera Jepun di Guadalcanal yang sekarang ini berkampung di sebelah barat Guadalcanal. Objektifnya mudah, menghalau tentera Amerika di Lapangan Terbang Henderson seterusnya keluar daripada Guadalcanal.

Left Kolonel Meritt Edson, komander Batalion Payung Terjun Amerika Pertama (1st Parachute Batalion) ditugaskan untuk mempertahankan kawasan lereng bukit di selatan Lapangan Terbang Henderson. Edson berjaya meneka dengan tepat bahawa serangan tentera Jepun akan berlaku di kawasan tersebut. Maklumat tersebut diterima berdasarkan dokumen yang dirampas oleh pasukan peninjau Edson pada 8 September.

Kolonel Meritt Edson, memimpin 800 anak buahnya menentang 3000 tentera Jepun

Pada malam 12 September, Kawaguchi mengarahkan serangan pertama ke arah pertahanan tentera Marine. Tentera Jepun menggunakan taktik serangan malam bersama-sama serangan ‘kamikaze’ kearah pertahanan Amerika. Kolonel Edson yang memahami akan taktik ini mengarahkan tentera Marine yang berjumlah 830 orang untuk berkubu di lereng bukit bersama-sama machine gun Browning .50 caliber. Serangan ini ditangkis habis-habisan.


Mesingan Browning .30 menjadi senjata maut kepunyaan Amerika di Guadalcanal.

Walaupun tentera Marine berjaya menangkis serangan bertali arus tentera Jepun, namun ia tidak mampu untuk menafikan serangan Jepun yang berjumlah 3000 orang itu. Bahagian rusuk kiri tentera Marine di lereng bukit berjaya ditembusi tentera Jepun setelah sebuah machine gun menghadapi kerosakan yang menyebabkan posisi mereka tidak dapat dipertahankan. Oleh hal yang demikian, Edson mengarahkan tentera marine untuk membuat posisi pertahanan yang baru.

Mujur tentera Jepun tidak mara selepas menawan pertahanan rusuk kiri tentera Marine. Pada keesokkan malamnya, tentera Jepun menyerang lagi dengan harapan untuk menembusi sehingga ke Lapangan Terbang Henderson. Namun kali ini Kolonel Edson membuat persediaan lebih rapi. Selain daripada menggunakan machine gun, beliau memunggah beberapa artileri menghala kearah posisi tentera Jepun.

Serangan diteruskan juga oleh tentera Jepun namun dapat dipatahkan oleh tentera Marine. Akhirnya pada 14 September, tentera Jepun pimpinan Kawaguchi terpaksa berundur selepas kehilangan hampir 1000 orang tenteranya. Manakala tentera Marine pimpinan Edson kehilangan 104 orang dalam pertempuran di tebing bukit ini. Sebagai komander Tentera Ke-17, Hyakutake menyampaikan berita kekalahan tenteranya kepada pucuk kepimpinan di Tokyo. Hal ini menyebabkan Imperial General HQ di Tokyo memberi kepentingan yang lebih kepada pulau Guadalcanal.

Serangan Terakhir Jepun di Guadalcanal

Pada awal bulan Oktober, Imperial General HQ di Tokyo mengarahkan agar Tentera ke-17 diberikan penambahan anggota baru. Lebih kurang 20,000 tiba di Guadalcanal untuk digunakan oleh Hyakutake dalam misi untuk menawan seluruh Guadalcanal. Lt. Gen. Hyakutake meletakkan tarikh 23 Oktober sebagai tarikh serangan besar-besaran keatas Lapangan Terbang Henderson. Beliau menganggarkan bahawa terdapat lebih kurang 10,000 tentera Marine berkampung disitu. Hakikatnya, tentera Amerika mempunyai lebih kurang 23,000 tentera di situ.

Kali ini, Hyakutake sendiri akan memimpin tenteranya untuk menyerang tentera Amerika di Lapangan Henderson dari tiga penjuru; barat, selatan dan timur. Beliau dibantu juga oleh beberapa elemen armada laut Jepun pimpinan Yamamoto yang baru sahaja selesai dalam Pertempuran Kepulauan Solomon yang berjaya menenggelamkan 2 aircraft carrier Amerika; USS Hornet dan USS Wasp. Bukan itu sahaja, beliau kini mempunyai berpuluh-puluh kereta kebal untuk digunakan dalam serangan ini.

Pada 24 Oktober, elemen pertama tentera Hyakutake tiba di sebelah barat Lapangan Henderson, dipertahankan oleh Batalion Marine Ke-7 pimpinan Lt. Kol. Robert Hall yang hanya berbekalkan senjata raifal Springfield M1903, mortars dan artilleri ringan serta beberapa buah meriam anti kereta kebal 37 mm. Tentera marine tersebut berjaya mematahkan serangan bertali arus kamikaze Jepun dan membunuh seramai 1,500 orang. Tentera Amerika hanya kehilangan 60 orang.

 

Tentera Udara Amerika yang berpangkalan di Lapangan Henderson berjaya mengganggu serangan dari arah laut pimpinan Laksamana Yamamoto. Serangan sama dilakukan oleh Hyakutake pada 26 Oktober tetapi gagal untuk memecahkan sistem pertahanan Amerika pimpinan General Vandergrift. Tentera Jepun kehilangan rentak selepas kehilangan lebih kurang 3,000 tentera manakala Amerika hanya 80 tentera terbunuh.

Jepun Berundur

Beberapa siri serangan dilakukan oleh Jepun dapat dipatahkan oleh tentera Marine Amerika. Kekalahan Jepun disebabkan oleh taktik mereka yang masih lagi menggunakan ‘Serangan Manusia’ atau ‘Human Wave’ atau ‘Serangan Kamikaze’ sangat senang dipatahkan oleh pihak lawan. Hyakutake membazirkan segala aset ketenteraannya dengan menggunakan taktik kuno ini.

Sehingga Disember, General Vandergrift dan tentera Marine melancarkan beberapa siri operasi pembersihan dan menawan hampir keseluruhan pulau Guadalcanal. Saki baki tentera Jepun di pulau berkenaan berada dalam keadaan yang sangat lemah dek kerana kekurangan makanan, air bersih dan dilanda wabak Malaria.

Lt. General Harukichi Hyakutake, Komander Tentera Ke-17 di Guadalcanal.

Pada 12 Disember, Imperial General HQ di Tokyo mengisytiharkan bahawa Guadalcanal kini sukar ditawan dan mereka perlu meninggalkannya untuk mengelakkan kemusnahan bagi tentera Jepun. Pada 31 Disember, Maharaja Jepun meluluskan agar Guadalcanal ditinggalkan dan tentera Jepun perlu keluar daripada Guadalcanal sebelum Februari 1943.

Pertempuran Guadalcanal adalah kemenangan penting bagi Amerika. Pulau ini menjadi markas penting bagi melicinkan pergerakkan konvoi laut untuk memberi bantuan kepada sekutu-sekutunya di Asia. Selepas Jepun berundur, Guadalcanal menjadi base utama bagi tentera Amerika untuk melancarkan ofensif dan serangan keatas tentera Jepun di Kepulauan Pasifik seperti Solomon, Rabaul dan Saipan.

Selepas Pertempuran Guadalcanal, Jepun semakin jelas menunjukkan bahawa mereka terpaksa berlawan dalam posisi pertahanan. Jepun kehilangan 19,200 nyawa, 38 kapal musnah dan 880 pesawat hancur dalam Kempen Guadalcanal ini. Manakala Amerika pula, 7,100 orang mati, 29 kapal musnah dan 615 pesawat hancur. Kempen ini menyaksikan beberapa kali tentera Jepun menggunakan serangan kamikaze kearah musuh. Selain itu, kempen ini menyaksikan juga bagaimana Amerika ditundukkan oleh Jepun dalam serangan malam ketika Pertempuran Laut Savo Islands.

RUJUKAN

  1. Bartsch, William H. (2014). Victory Fever on Guadalcanal. Texas A&M University Press. ISBN 1-62349-184-3.
  2. McGee, William L. The Solomons Campaigns, 1942–1943: From Guadalcanal to Bougainville – Pacific War Turning Point, Volume 2. Santa Barbara, CA: BMC Publications, 2002. ISBN 0-9701678-7-3 OCLC 49317834
  3. Crenshaw, Russell Sydnor. South Pacific Destroyer: The Battle for the Solomons from Savo Island to Vella Gulf. Annapolis, MD: Naval Institute Press, 1998. ISBN 1-55750-136-X OCLC 38527912