Perang Dunia Kedua: Pendaratan Paling Bersejarah – D-Day

446

Sword, Gold, Juno, Utah, Omaha. Lima nama ini merupakan kod kepada lima jenis kawasan di sepanjang pantai Normandy, Perancis. Lebih 150,000 tentera Berikat dipimpin oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Canada, Australia, Greece, Czechoslovakia, Poland dan Norway mengambil bahagian dalam pendaratan pantai terbesar dalam sejarah. Tujuannya hanya satu: Tendang Nazi Jerman keluar dari benua Eropah.

Sejak 1942 lagi, Presiden Roosevelt dan Perdana Menteri Churchill didesak oleh Ketua Soviet Union, Joseph Stalin untuk membuka satu lagi medan tempur di sebelah barat. Roosevelt bersetuju namun Churchill enggan. Hal ini kerana, tentera Bersekutu tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk berlaga dengan tentera Nazi yang kini berkuasa sepenuhnya di Eropah.

Churchill berpendapat, lebih elok untuk fokus kepada perang di Laut Mediterranean dan Itali. Selepas kemenangan tentera British terhadap tentera Nazi di El Alamein dan Afrika Utara, Churchill mula bersetuju untuk membuka satu lagi medan tempur di sebelah barat Eropah. Pada bulan November 1943, Stalin, Roosevelt dan Churchill bertemu untuk kali pertama di Tehran. Stalin dijanjikan bahawa Tentera Berikat akan mendarat di barat Eropah sekitar Mei 1944.

Operasi ini diberi nama, “Overlord”.

Operasi Bodyguard

Kepimpinan tertinggi Tentera Berikat merangka sebuah operasi besar-besaran untuk menipu dan mengelirukan tentera Nazi mengenai dimana, bagaimana, dan bila Tentera Berikat akan mendarat. Operasi pengeliruan ini diberi nama “Bodyguard”. Antara operasi pengeliruan tentera yang paling terkenal ialah Operasi Fortitude.

Operasi Fortitude merangkumi dua bahagian; Fortitude Utara dan Fortitude Selatan. Foritude Utara ditujukan khas untuk tentera Nazi yang berada di Norway. Pentadbiran tentera Nazi di Norway menjangkakan bahawa Tentera Berikat akan menyerang mereka di Norway kerana hanya ada lebih kurang 10 divisyen sahaja yang berada di Norway (Armeeoberkomando Norwegen).

Manakala Fortitude Selatan ditujukan khas kepada unit-unit di sepanjang pesisir barat Perancis. Pihak Berikat berjaya menipu tentera Nazi bahawa pendaratan akan dilakukan di Calais, kawasan paling dekat dengan Tanah Besar Britain. Semua panglima termasuk, Adolf Hitler dan Field Marshal Gerd von Rundstedt masih percaya akan ada pendaratan kedua di Calais selepas Normandy.

Fortitude Selatan sangat berjaya menipu tentera Nazi. Pihak Berikat meletakkan sebuah kumpulan tentera ‘fiksyen’ di sana (US 1st Army Group) pimpinan Lieutenant General George S. Patton di sekitar pekan Kent dan Sussex untuk mengelirukan lagi tentera Nazi di seberang laut sana. Semua peralatan di sana kebanyakkan diperbuat daripada belon seperti kereta kebal Sherman, bangunan, lori, kapal dan sebagainya. Sehinggakan bunyi-bunyi tembakan sengaja dibunyikan supaya tempat itu nampak seperti ‘real’. Radio trafik juga sengaja disebarkan supaya tentera Nazi di seberang Selat Inggeris dapat mendengar. Seorang anggota pernah bergurau; “Syukurlah kereta kebal Sherman ini tidak terbang ditiup angin.”

Peta kedudukan Nazi Jerman ketika Pendaratan di Normandy

Pihak Berikat juga menggunakan pelbagai orang dalam untuk menipu pihak Nazi Jerman. Sebagai contohnya, sistem “double-cross” yang digunakan oleh pihak British sangat berkesan. Tentera Nazi sangat percaya bahawa ‘tikus-tikus’ mereka di Britain sedang melakukan tugas pengintipan kepada mereka.

Padahal, semua ‘tikus’ tersebut telah ditangkap dan digunakan oleh pihak MI6 untuk memberi maklumat palsu kepada pihak Nazi. Sebagai contohnya, pihak Nazi masih percaya pendaratan pasti akan berlaku di Calais.

Pihak Berikat juga melancarkan Operasi Taxable. Operasi ini mengarahkan Pasukan No. 617 Skuadron Royal Air Force untuk menggugurkan beribu-ribu besi aluminium di kawasan-kawasan pesisir pantai barat Perancis, terutamanya di Calais. Hal ini bertujuan untuk menipu radar tentera Nazi bahawa armada laut Tentera Berikat seperti mahu mendarat di pantai Calais. Pasukan tersebut juga menggugurkan patung-patung payung terjun di sekitar kawasan barat Perancis supaya dapat menipu tentera Nazi di sana.

Bab-bab cuaca juga dititikberatkan oleh Pihak Berikat. Tentera Berikat mahu serangan dibuat pada waktu dan cuaca yang sesuai agar mereka tidak dibedil ombak kuat di Selat Inggeris. Panglima Tertinggi Tentera Berikat, General Dwight D. Eisenhower menetapkan tarikh 5 Jun 1944 sebagai tarikh serangan besar-besaran tersebut.

Namun, Ketua Cawangan Meteorologi, Captain James Stagg memberi amaran ribut akan melanda di sepanjang Selat Inggeris pada 5 Jun. Mendengar kata-kata tersebut, Winston Churchill hampir sahaja mahu menghentikan serangan tersebut tetapi Eisenhower menukar tarikh kepada 6 Jun selepas mendapat tahu cuaca akan menjadi baik pada subuh hari berkenaan.

Seramai 350,000 pemberontak Perancis sedang menunggu di beberapa kawasan-kawasan strategik di sekitar Perancis seperti landasan keretapi, depoh, gudang peluru dan gudang makanan. Mereka ini menggunakan taktik gerilla terhadap tentera Nazi di Perancis untuk melumpuhkan lojistik dan mengganggu pergerakkan mereka.

Major General Percy Horbatt, pelopor terawal kepada taktik peperangan kereta kebal British, mencipta berbagai-bagai jenis kereta kebal untuk memastikan keberhasilan pendaratan ini. Beliau berjaya mencipta kereta kebal yang boleh berenang di lautan dan juga kereta kebal yang boleh membajak periuk api. Pihak Berikat juga mencipta beberapa benda baharu seperti pelabuhan sementara iaitu “Mulberry Harbour” dan juga membina paip bawah laut yang menghubungkan England dan Perancis (diberi nama PLUTO – Pipe Line Under The Ocean)

Persiapan Nazi Jerman: Tembok Atlantik (Atlantic Wall)

Peta menunjukkan lokasi Tembok Atlantik

Pada 23 Mac 1942, selepas beberapa serangan yang dikendalikan oleh Komando British, Adolf Hitler meluluskan pelan pertahanan yang dipanggil “Tembok Atlantik”. Pembinaan dijalankan antara tahun 1942-1944 dan dikendalikan oleh sekumpulan jurutera yang dikenali sebagai “Organisasi Todt”. Pembinaan tembok ini mengandungi kubu-kubu mesingan, artileri pantai, dan beberapa sistem pertahanan dari sempadan Perancis-Sepanyol sehingga ke Norway. Lebih 1 juta orang dikerah untuk pembinaan tembok ini.

Menteri Propaganda Nazi Jerman, Joseph Goebbels menganggung-agungkan tembok ini dengan menekankan bahawa tidak akan ada tentera Berikat yang terlalu bodoh untuk menyerang Eropah selagi tembok ini berdiri.

Namun hakikatnya lain daripada apa yang diperkatakan. Tembok ini hanya sekadar wayang sahaja. Apabila Rommel dihantar oleh Hitler pada penghujung 1943, untuk menambahbaik lagi tembok ini, Rommel tergelak setelah tiba di beberapa buah pantai di barat Perancis. Tembok ini hanyalah mainan propaganda, tambah beliau.

Hanya 18 peratus sahaja tembok ini boleh dikatakan “berfungsi”. Rommel mendapati hanya Calais sahaja yang mempunyai sistem pertahanan yang paling masyuk dek kerana lokasi Calais yang dekat dengan Great Britain. Ketika beliau melawat Normandy.

Rommel melawat Tembok Atlantik di Normandy, 1944.

Rommel yang baru sahaja menjalankan tugas sebagai “penyelia” Tembok Atlantik beberapa bulan yang lalu, mula mengorak langkah. Beliau menaiktarafkan sistem pertahanan di sepanjang Tembok Atlantik.

Kekurangan bahan untuk membina sistem pertahanan di Tembok Atlantik tidak menggugat langsung tanggungjawab beliau. Rommel mengarahkan apa sahaja bahan yang boleh digunakan untuk membuat pertahanan yang “mudah tapi efektif” dilakukan di sepanjang pantai barat Perancis. Kayu balak, batu-batu besar, “gigi naga”, jerangkap samar, pilbox mudah, foxhole, kubu-kubu dan sebagainya dibina dengan segera merta oleh Rommel.

Rommel dan staf-staf beliau melawat sistem pertahanan di Pantai Normandy.


Organisasi Tentera: Tentera Berikat

(Atas dari kiri): Lt. General Omar Bradley, Admiral Bertram Ramsay, General Trafford Leigh-Mallory dan General Walter B. Smith
(Bawah dari kiri): General Arthur Tedder, General Dwight D. Eisenhower dan General Bernard Montgomery.

Secara keseluruhannya, Tentera Berikat dikelolai oleh panglima 4 bintang, General Dwight D. Eisenhower sebagai Panglima Tertinggi Pasukan Ekspedisi Berikat (Supreme Headquarters Allied Expeditionary Force). Eisenhower merupakan bekas komander tertinggi Pihak Berikat ketika pertempuran di Afrika Utara dan Itali. Beliau dibantu oleh Air Chief Marshal Arthur Tedder yang merupakan komander Royal Air Force yang mengetuai seluruh sayah tentera udara Pihak Berikat di Lautan Mediterranean. Manakala, Lt. General Walter B. Smith dilantik sebagai Ketua Staf Angkatan Tentera bagi membantu Eisenhower dan Tedder dalam mengkoordinasikan serangan di Normandy.

Manakala di daratan pula, pasukan tentera darat dikelolai oleh panglima 4 bintang, General Bernard Montgomery, hero di El Alamein dan merupakan panglima yang menundukkan Rommel di Afrika. Dalam operasi ini, beliau memegang jawatan sebagai Panglima 21st Army Group yang merangkumi US First Army yang dipimpin Lt. General Omar Bradley dan British Second Army yang dipimpin oleh Lt. General Sir Miles Dempsey. Jumlah keseluruhan 21st Army Group lebih kurang 156,115 anggota tentera yang akan mendarat di Normandy.

Bagi angkatan udara pula, tanggungjawab ini diberikan kepada Air Chief Marshal Trafford Leigh-Mallory. Beliau akan memimpin sayap udara yang merangkumi Tentera Udara Amerika dan British untuk menyerang kawasan-kawasan di sekitar Normandy. Objektif beliau termasuklah mendaratkan tentera airborne paratroopers, intercept pesawat Luftwaffe, mengebom seluruh pesisir pantai Normandy dan memberi perlindungan udara kepada pasukan di pantai. Jumlah keseluruhan pesawat yang digunakan dalam operasi ini ialah sebanyak 4,101.

Di laut pula, Laksamana laut yang bertanggungjawab ialah Admiral Sir Bertram Ramsay. Beliau merupakan seorang flag officer yang berjaya menyelamatkan 300,000 tentera British ketika pengepungan di Dunkirk pada 1940. Empat tahun kemudian, beliau memimpin armada laut sebanyak 6,939 jenis kapal: 1,213 kapal perang, 4,126 kapal pengangkut anggota, 736 kapal bantuan dan 836 kapal dagang. Ramsay akan bertanggungjawab membantu mendaratkan lebih 100,000 anggota tentera di pantai Normandy serta memberi bantuan tembakan dari arah laut menerusi kapal Royal Navy dan US Navy.

Organisasi Tentera: Nazi Jerman

Secara kasarnya, kualiti tentera Jerman yang mempertahankan pantai-pantai di Normandy sangat lemah. Hanya 4 divisyen sahaja yang mempertahankan 5 pantai mendarat di Normandy. Divisyen-divisyen ini terdiri daripada tentera-tentera “bukan-Jerman” dan direkrut dari Soviet Union. Oleh itu, tidak hairanlah pada hari pertama sahaja serangan, ramai tentera dalam divisyen ini meletak senjata senjata sejurus sahaja Pihak Berikat menyerang kedudukan mereka di Normandy.

Tentera Nazi Jerman di barat Eropah berada dibawah tanggungjawab Komander Keseluruhan Tentera Jerman di Barat (German Army Command in the West atau Oberbefehlshaber West, OB West), iaitu Field Marshal Gerd von Rundstedt. Beliau merupakan bekas panglima Army Group South ketika Jerman menyerang Soviet Union pada 1941. Selepas dipecat, beliau diamanahkan untuk menjawat jawatan baru ini oleh Hitler sebagai Panglima OB West pada 1942.

Panglima OB West, Field Marshal Gerd von Rundstedt (kiri) dan Panglima Army Group B, Field Marshal Erwin Rommel

Dibawah OB West pimpinan Rundstedt, terdapat tiga jenis kumpulan tentera. Pertama ialah Army Group B pimpinan Field Marshal Erwin Rommel merangkumi 2 tentera medan iaitu 7th Army dan Panzer Group West. Army Group B inilah yang akan berlaga dengan tentera Bradley dan Montgomery di Normandy.

Kedua ialah Army Group G pimpinan Colonel-General Johannes Blaskowitz yang merangkumi 2 lagi tentera medan iaitu 1st Army dan 19th Army. Army Group G ini ditempatkan di selatan Perancis dimana mereka akan berlaga dengan satu lagi serangan amfibia pihak Berikat pada bulan Ogos 1944 di selatan Perancis.

Ketiga ialah Army Group H yang baru sahaja separa aktif pimpinan panglima payung terjun, Colonel-General Kurt Student. Kumpulan tentera ini merangkumi 1st Parachute Army dan 15th Army yang diarahkan untuk menjaga kawasan di Belanda dan Belgium.

Rundstedt sedar bahawa beliau mempunyai dua kelemahan untuk menjaga kawasan barat Eropah ini. Pertama, kekurangan Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) dan kedua, kelemahan Tentera Laut Jerman (Kriegsmarine).

Aset-aset Luftwaffe ketika ini tengah sibuk berlaga dengan tentera Soviet di timur. Panglima Luftwaffe di Barat, Field Marshal Hugo Sperrle hanya mempunyai 319 pesawat sahaja yang berfungsi untuk mempertahankan Normandy ketika D-Day.

Aset-aset Kriegsmarine pula terhad kepada kapal selam U-Boat dan beberapa kapal-kapal cruiser yang lain. Semua kapal-kapal besar telah berpindah ke Jerman supaya lebih selamat daripada armada Tentera Laut Berikat yang jauh lebih kuat. Komander Kriegsmarine di Barat ialah Admiral Theodor Krancke.

Apa yang membezakan organisasi tentera Pihak Berikat dan Nazi Jerman ialah tiada struktur “angkatan bersama”. Pihak Berikat mempunyai struktur angkatan bersama yang dipanggil Supreme Headquarters Allied Expeditionary Force (SHAEF) yang diketuai oleh General Eisenhower. Dengan adanya SHAEF, semua servis angkatan tentera darat, laut dan udara dapat mengkoordinasikan operasi dengan lebih pantas dan efektif.

Manakala bagi Nazi Jerman, mereka tidak ada struktur angkatan bersama. Contohnya, Field Marshal Rundstedt, panglima OB West hanya mempunyai kuasa untuk mengatur-gerakkan tentera darat sahaja. Beliau tidak boleh sesuka hati untuk mengarahkan unit-unit Luftwaffe dan Kriegsmarine. Tidak hairanlah pada hari serangan, tiada kelibat langsung pesawat atau kapal Jerman di Normandy.

Lebih parah, Hitler sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Nazi Jerman, selalu sahaja menukar-nukar pelan yang dirangka oleh panglima-panglima Jerman yang lebih berkaliber.

Sebagai contohnya, perbalahan antara Rundstedt dan Rommel mengenai pergerakkan tentera kereta kebal Panzer Group West yang dipimpin oleh General Leo von Schweppenburg. Rundstedt dan Schweppenburg mahu tentera kereta kebal ini diletakkan di sekitar Paris, jauh dari pantai agar dapat menyerang balas tentera Berikat apabila mereka mendarat.

Rommel pula berpendapat bahawa Panzer Group West sepatutnya diletakkan di pesisir pantai barat Perancis seperti Calais dan Normandy supaya mudah untuk menangkis pendaratan Tentera Berikat di pantai-pantai berkenaan. Rommel yakin bahawa Tentera Berikat sepatutnya dikalahkan ketika berada di pantai, bukannya ketika mereka sudah bertapak.

Jika Panzer Group West diletakkan jauh dari pantai, ia akan menyukarkan pergerakkan mereka ke pantai kerana mereka akan menjadi ‘lauk’ kepada serangan udara yang maha hebat oleh Pihak Berikat. Kemungkinan hampir separuh sahaja daripada mereka yang akan selamat tiba di pantai untuk bertempur.

Rundstedt dan Schweppenburg pula mengganggap jika Panzer Group West diletakkan di pesisir pantai, ia akan menjadi ‘lauk’ pula kepada serangan laut Royal Navy dan US Navy di sana. Akhirnya, mereka membawa permasalahan ini kepada Adolf Hitler.

Hitler memberikan solusi yang kurang bijak. Tiga Divisyen Panzer dalam Panzer Group West ini diberikan kepada Rommel untuk diletakkan di sepanjang pantai antara Calais dan Normandy iaitu 21st Panzer Division (di Normandy), 2nd Panzer Division dan 116th Panzer Division (di Calais).

Divisyen dalam Panzer Group West yang selebihnya ialah Panzer Lehr Division (di barat daya Perancis), 1st SS Leibstandarte Division (di Belgium), 12th SS Hitlerjugend Division (di tenggara Perancis), 17th SS Panzergrenadier Division (di tengah Perancis), 2nd SS Das Reich Division (di selatan Perancis), 9th Panzer Division (di Paris), 9th SS Panzer dan 10th SS Panzer Divisions (dalam perjalan ke Perancis).

Kesemua divisyen yang selebihnya ini dijadikan sebagai “Hitler Reserve”. Tidak ada seorang pun yang boleh menggerakkan divisyen-divisyen ini melainkan Adolf Hitler. Keputusan yang langsung tidak memuaskan Rommel dan Rundstedt.

D-Day

Pelan pendaratan Tentera Berikat di Normandy

 Pada pukul 0015, 6 Jun 1944, tentera payung terjun Amerika 82nd Airborne dan 101st Airborne Division, berjumlah 13,000 anggota mula mendarat di beberapa kawasan strategik jauh di Normandy. Tentera payung terjun ini ditugaskan untuk merosakkan beberapa laluan-laluan strategik tentera Nazi untuk ke pantai barat di Normandy.

Tetapi pendaratan mereka tidaklah semudah yang disangka. Ada di antara mereka yang silap mendarat. Ada juga yang ditangkap dan ditembak jatuh oleh tentera Nazi dibawah. Pada hari pertama sahaja, hanya 4,500 tentera payung terjun sahaja yang selamat mendarat dan meneruskan operasi mereka.

Tentera payung terjun British dan Kanada juga mengambil peluang untuk beraksi. Anggota daripada 5th Parachute Brigade, 3rd Parachute Brigade dan 7th Parachute Batalion berjumlah 8500 orang mendarat di beberapa kawasan di timur Normandy. Mereka ditugaskan untuk meletupkan jambatan-jambatan dan merosakkan radar-radar di sana.

Walaupun begitu, kegelapan malam menyebabkan kesukaran mereka untuk menyelesaikan tugasan mereka. Mereka dikejutkan oleh serangan balas oleh tentera Jerman sejurus mereka mendarat. Sungguhpun begitu, mereka perlu juga melaksanakan objektif ini kerana pasukan tentera darat akan mendarat di pantai Normandy seawal jam 0600. Seramai 800 orang terkorban dan cedera dalam misi ini.

Ilustrasi menunjukkan Tentera Payung Terjun daripada US 82nd dan 101st Airborne Division mendarat di sekitar barat Normandy.

Pada ketika ini, hampir kesemua panglima-panglima Nazi Jerman pulang ke Jerman untuk bercuti seperti Rommel dan Schweppenburg. Mereka berpendapat cuaca buruk pada 5 Jun membuatkan amat mustahil bagi tentera Berikat untuk melakukan serangan. Hanya ada seorang sahaja panglima, akibat sukar tidur kerana faktor usia, yang masih berjaga sehingga jam 0300 untuk menerima laporan pendaratan tentera Berikat di sekitar Normandy:

Panglima tersebut ialah Field Marshal Gerd von Rundstedt.

Beliau dengan tepat meneka bahawa serangan payung terjun besar-besaran ini adalah suatu petanda bahawa akan ada serangan di pantai. Tetapi beliau tidak pasti pantai yang mana: Calais atau Normandy. Beliau menghubungi HQ Hitler di Jerman untuk meminta izin agar beliau diberikan kuasa penuh untuk mengerahkan Panzer Group West dengan segera.

Permintaan beliau ditolak kerana Hitler masih lagi tidur dan tiada siapa yang berani mengejutkannya. Tambahan pula, Runstedt masih lagi tidak pasti sama ada serangan ini adalah serangan yang sebenar ataupun hanya auta sahaja. Beliau masih yakin bahawa serangan di Normandy hanyalah helah daripada serangan sebenar di Calais.

Bermula jam 0545, 6 Jun 1944, Armada Tentera Laut Pihak Berikat pimpinan Admiral Bertram Ramsay berjumpah 5 battleship, 20 kapal cruiser, 60 kapal destroyer dan 2 kapal pemerhati membedil 5 kawasan pantai Utah, Omaha, Gold, Juno dan Sword dengan harapan dapan melumpuhkan sistem pertahanan di sana.

Pada jam 0630, tentera infantri mula mendarat di pantai-pantai yang ditetapkan. US 4th Infantry Division mendarat di Utah. US 1st dan 29th Infantry Division mendarat di Omaha. 3rd Canadian Infantry Division dan 2nd Canadian Armoured Brigade di Juno. Manakala Pantai Sword dibawah tanggungjawab 3rd British Infantry Division.

Dalam banyak-banyak pantai ini, Pantai Omaha adalah pantai yang memberi tentangan yang sangat sengit kepada tentera Berikat. Pantai-pantai lain tidak memberi tentangan sengit kerana setiap pantai dipertahankan oleh tentera bersaiz regiment atau brigade sahaja.

Tetapi di Omaha, Pihak Berikat tidak menyangka seluruh divisyen Jerman iaitu 352nd Infantry Division mempertahankan satu sektion di pantai Omaha tersebut. Situasi ini direkodkan dalam babak pertama filem Saving Private Ryan arahan Steven Spielberg.

General Bradley terpaksa menghantar sehingga 2 jenis serangan untuk memaksa pantai tersebut ‘dijinakkan’. Serangan pertama dikatakan begitu gagal. Tentera infantri Amerika di sana tidak mendapat sebarang cover yang baik. Tiada kereta kebal mendarat pada serangan pertama sehingga mereka menjadi ‘makanan’ kepada tentera Nazi yang menembak dari arah bukit dengan senjata Mesingan MG42.

Dalam banyak-banyak pantai, Omaha dikatakan sebagai pantai paling berdarah dalam Operasi ini. Hampir 5,000 orang maut untuk mendapatkan pantai ini sahaja. Pada tengah hari, selepas 2 kumpulan kapal destroyer tiba berdekatan pantai Omaha dan membedil pantai tersebut, barulah tentera Berikat berjaya menawan pantai tersebut.

Pada ketika ini, pemerintahan tertinggi tentera Nazi masih lagi percaya bahawa pantai Calais masih menjadi pilihan untuk Pihak Berikat untuk menyerang. Pada pukul 10 pagi, Rundstedt menyuruh Panglima Angkatan Tentera (Chief of OKW), Field Marshal Wilhelm Keitel untuk pergi terus ke bilik Hitler supaya bangun dari tidur dan membuat laporan mengenai Normandy.

Rundstedt yang sejak subuh tadi menyuruh Hitler mengeluarkan arahan supaya mengatur-gerakkan Panzer Group West ke Normandy akhirnya mendapat maklum balas.

“Tidak.” teriak Hitler. Beliau menyuruh Runstedt supaya membuat serangan balas tanpa pasukan Panzer. Rundstedt berang.

Walaupun kesemua pantai telah berjaya di tawan, namun pantai-pantai tersebut tidak bersambung (connection/linked) sehinggalah pada 12 Jun 1944.

Pihak Berikat bertapak di Normandy.

Pada pukul 2.30pm 6 Jun 1944, Hitler menelefon Rundstedt bahawa beliau memberi kebenaran untuk menggerakkan kereta kebal Panzer Group West terus ke Normandy untuk counter attack. Namun, segala-galanya sudah terlambat.

Panglima Keseluruhan Pihak Berikat, General Eisenhower melawat pasukan payung terjun sehari sebelum operasi.

Langit menjadi ceras selepas ditutupi awan mendung sejak subuh. Apabila General Schweppenburg menggerakkan Panzer Group West ke pantai, mereka diserang bertubi-tubi oleh armada Royal Air Force pimpinan Air Chief Marshal Leigh-Mallory. Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh Luftwaffe pada ketika ini.

Mujurlah General Schweppenburg masih mempunyai satu divisyen iaitu 21st Panzer Division yang berkhemah di bandar Caen, dalam 10 batu daripada pantai Juno dan Sword. Beliau mengarahkan divisyen tersebut membuat counter attack pada 4pm. Mereka hampir sahaja menolak tentera Berikat keluar dari pantai Juno dan Sword tetapi ditentang hebat oleh tentera British di sana pimpinan General Montgomery.

Pada 8 Jun, Tentera British berjaya mengesan lokasi General Schweppenburg di Caen. Pada 10 Jun, ketika beliau sibuk mengendali serangan balas tentera Berikat di bandar berkenaan, HQ beliau dibedil teruk oleh RAF Second Tactical Air Force pimpinan Arthur Coningham.

Seramai 18 pegawai kanan Panzer Group West terbunuh dan Schweppenburg cedera parah. Serangan ini berjaya melumpuhkan satu-satunya formasi tentera Nazi di sebelah Barat yang mampu menggerakkan divisyen Panzer yang besar. Serangan ini menyelamatkan tentera Berikat daripada diserang balas oleh Panzer Group West yang sudahpun berkumpul tepi Caen pada 10 Jun. Dengan musnahnya HQ ini, lumpuhlah seluruh organisasi kereta kebal Panzer tersebut. HQ ini beroperasi semula pada 28 Jun.

Dengan pendaratan tentera Berikat di Normandy, Eisenhower mengorganisasikan semula tenteranya. Lebih 155,000 tentera berjaya mendarat di Normandy. Tentera Nazi di sana mula kucar-kacir. Pada 17 Jun, Rommel dan Rundstedt bertemu dengan Hitler untuk membincangkan mengenai situasi di Normandy. Mereka meminta segala tentera bantuan dan simpanan untuk dikerahkan ke Normandy tetapi Hitler enggan memberinya.

“Kita sudah kalah. Kita tidak boleh menang, mein Fuhrer.” kata Rommel.

Field Marshal Rommel (kanan) dan General Leo von Schweppenburg (kiri) di Normandy, 1944.

Terkejut semua orang di dalam bilik persidangan mendengar kata-kata Rommel. Namun Hitler menyuruh beliau untuk memberikan tentangan yang tidak berbelah bahagi kepada tentera Berikat.

Pada 29 Jun, Rommel dan Rundstedt berjumpa dengan Hitler di selatan Jerman. Mereka berdua tidak berhenti-henti menyuruh Hitler memberikan segala tentera simpanan yang ada. Hitler masih lagi menolak. Rommel sekali lagi menyatakan bahawa Hitler perlu mencara jalan lain untuk “berdamai”. Hitler menolak cadangan tersebut.

Pada 30 Jun, Rundstedt menerima panggilan telefon daripada Schweppenburg yang baru pulih daripada kecederaan. Beliau merayu agar Panzer Group West berundur dari Caen kerana sudah berhari-hari mereka dibedil oleh Tentera Laut British. Rundstedt bersetuju dan menghantar telegram ke OKW (Oberkomando Wehrmacht / German High Command).

Pada 1 Julai, Rundstedt menerima maklum balas; mengharamkan segala pengunduran. Berang dengan keputusan tersebut, beliau menelefon terus Field Marshal Keitel untuk pergi “ketuk kepala” Hitler untuk meluluskan arahan tersebut. Keitel merayu kepadanya bahawa semua ini adalah mustahil.

“Macam mana ni? Apa yang patut kita lakukan?” tanya Keitel dengan gelabah.

“Buat perjanjian damailah, bodoh!” balas Rundstedt sebelum menghempas ganggang telefon.

Panglima OB West, Field Marshal Gerd von Rundstedt.

Pada petang 1 Julai 1944, Hitler memecat Rundstedt dan melantik Field Marshal Gunther von Kluge sebagai Panglima OB West.

Pada 17 Julai 1944, malang menimpa tentera Nazi apabila kereta Rommel ditembak oleh Royal Canadian Air Force ketika membuat lawatan ke HQ 1st SS-Panzer Corps. Pemandu beliau terbunuh dan beliau terpelanting keluar dari keretanya dengan kecederaan di muka dan kepala. Beliau cedera parah namun mujur sempat dikejarkan ke hospital berdekatan. Tempat beliau digantikan oleh Kluge sebagai panglima Army Group B (dan juga panglima OB West).

Pada 18 Julai 1944, Tentera British pimpinan General Bernard Montgomery melancarkan Operasi Goodwood. Montgomery memecah masuk bandar Caen dari arah utara bersama-sama tentera British dan Kanada. Beliau mahu menawan Caen dari arah timur dan utara.

Pada 25 Julai, Tentera Amerika pimpinan Lt. General Omar Bradley melancarkan Operasi Cobra. Beliau mengambil peluang huru-hara tentera Montgomery untuk masuk ke Caen dari arah utara dengan menusuk Caen dari arah selatan

Caen berjaya ditawan pada penghujung bulan Julai. Eisenhower mengaktifkan satu lagi tentera medan iaitu 3rd US Army pimpinan Lt. Gen. George S. Patton. Bradley dinaikkan pangkat sebagai Panglima US 12th Army Group. Tempat lama beliau digantikan oleh Lt. Gen. Courtney Hodges sebagai panglima US 1st Army.

Eisenhower juga menghidup satu lagi kumpulan tentera iaitu 21st Army Group pimpinan General Bernard Montgomery yang merangkumi British 2nd Army dan Canadian 1st Army. Perjalanan seterusnya ialah ibu kota Perancis, Paris.

Plot 20 Julai

Peta menunjukkan situasi genting Nazi Jerman di Eropah pada 15 Julai 1944

Dengan mendaratnya tentera Berikat di Eropah dan tumbangnya Rom ditangan tentera Berikat serta kebangkitan tentera Soviet dalam Operation Bagration di timur, maka sesuatu harus dilakukan untuk menghentikan mimpi ngeri ini.

Sudah lama sebenarnya orang atasan Nazi Jerman, lebih-lebih lagi dalam kalangan panglima tentera mahu menjatuhkan Hitler. Tetapi mereka tidak pasti dan tidak yakin. Banyak kali juga Hitler cuba dibunuh tetapi beliau sentiasa sahaja ‘meloloskan’ diri.

Selepas pendaratan tentera Berikat di Normandy, pelopor-pelopor konspirasi ini yang terdiri daripada Lt. Colonel Claus von Stauffenberg, General Ludwig Beck, General Friedrich Olbricht dan Field Marshal Erwin von Witzleben mengorak langkah mereka.

Pelan ini diberi nama Operation Valkyrie. Secara kasarnya, pelan ini memerlukan Hitler untuk mati. Kemudian, Stauffenber akan mengumumkan kematian Hitler dan menggerakkan Tentera Simpanan Nazi Jerman (Replacement Army) untuk menawan semua bangunan-bangunan penting kerajaan di Berlin. Dengan ini, kerajaan baharu dapat dilantik.

Namun, pelan ini gagal disempurnakan Stauffenberg yang juga Ketua Staf Replacement Army menyangka yang bom telah diletupkannya pada jam 1240 di HQ Hitler di East Prussia berjaya membunuh Hitler. Sangkaan beliau meleset apabila pada pukul 7pm, 20 Julai 1944, Hitler berjaya menghubungi Menteri Propaganda, Joseph Goebbels menerusi panggilan telefon dan mengarahkan komander berdekatan untuk menahan Stauffenberg dan rakan-rakan kongsinya hidup-hidup.

Pada jam 0010, 7 Julai 1944, Stauffenberg, Olbricht serta yang lain dihukum tembak oleh Panglima Replacement Army, General Friedrich Fromm di depan perkarangan pejabatnya walaupun cuba dihentikan oleh beberapa pegawai tempatan.

Kegagalan operasi membunuh Hitler ini bukan sahaja menjahanamkan pelan untuk keluarkan Jerman dari kancah perang malahan juga membuatkan Hitler sudah tidak percaya lagi dengan semua panglima-panglima Jerman yang bukan fanatik Nazi.

Selepas itu beberapa jenis perubahan dilakukan oleh Hitler. Sistem keselamatan menjadi ketat. Hitler mengubah tabik hormat tradisional kepada tabik Nazi. Beliau juga melantik komander tentera yang tidak mempunyai ilmu medan perang menjadi ketua tentera seperti Reichsfuhrer-SS Heinrich Himmler.

Operasi Luttich: Counter Attack Tentera Nazi

Dalam pada itu, serangan 20 Julai untuk membunuh Hitler tidak menghalang beliau untuk fokus kepada perang yang berlaku di sekelilingnya. Ketika ini, tentera Soviet melancarkan Operasi Bagration dimana mereka hampir-hampir sahaja memusnahkan seluruh Army Group Center di timur. Di sebelah barat pula, tentera Amerika dan British mula mendapat rentak apabila mereka menawan bandar Caen di selatan dan pelabuhan Cherbourg di barat.

Hitler mahu counter attack dilakukan dengan segera. Panglima OB West, Field Marshal Gunther von Kluge memberi amaran keras pada 22 Julai bahawa barisan pertahanan di sebelah barat hampir roboh dan memerlukan pengunduran dengan segera. Hitler masih berkeras tiada satu tentera Jerman yang boleh berundur pada saat ini.

Pada 2 Ogos, Hitler menghantar Timbalan Staf Angkatan Tentera, General Walter Warlimont ke barat untuk memastikan Kluge melaksanakan serangan balas. Kluge memberitahu bahawa serangan balas adalah mustahil dan tentera Jerman sepatutnya berundur di barisan pertahanan yang baru di Paris.

Pada 4 Ogos, Pihak Berikat berjaya memecahkan kod arahan pelaksanaan Operasi Luttich. General Bradley kemudian menggunakan maklumat ini untuk mengerahkan seluruh RAF dan 9th US Air Force untuk menghalang kemaraan tentera Panzer Nazi di sekitar Caen.

Tentera Jerman hanya mampu menolak tentera Berikat sehingga ke pekan Mortain sahaja sebelum dihentikan oleh Patton. Sementara itu, Tentera British cuba mengepung tentera Jerman dari arah atas.

Pada 6 Ogos, Kluge melancarkan Operasi Luttich, serangan balas tentera Nazi terhadap tentera Berikat. Walaupun serangan ini memerlukan 8 divisyen Panzer untuk berjaya, Kluge hanya dapat mengerahkan 4 sahaja divisyen Panzer dalam operasi ini, itupun satu daripadanya tak cukup strength.

Dengan kekuatan yang tidak seberapa ini, operasi tetap berjalan. Objektifnya, menolak tentera Berikat sehingga ke pekan Avranches dan kemudian “cut-off” 3rd US Army pimpinan Patton sebelum menolak tentera Berikat yang lain ke utara.

Patton berjaya memimpin tenteranya untuk bertahan di sekitar pekan Mortain. Bradley menjanjikan bahawa armada tentera udara akan menyerang posisi tentera Jerman dan membantutkan serangan Kluge.

Field Marshal Hugo Sperrle, Panglima Luftwaffe di Barat menjanjikan 1,000 pesawat pejuang akan membantu Kluge dalam operasinya. Namun, baru sahaja pesawat Luftwaffe mahu naik ke langit, mereka dihentam bertubi-tubi oleh RAF 2nd Tactical Air Force dan 9th US Air Force yang sudah lama mengawal keseluruhan ruang udara Perancis.

Tentera Udara Berikat ini juga menyerang beberapa laluan dan formasi tentera Panzer Kluge yang sedang menghala ke arah tentera Patton.

Pada 8 Ogos, seluruh formasi tentera Kluge terhenti. Patton mengambil peluang ini dengan senyap membawa tentera kereta kebalnya ke selatan seterusnya ke arah belakang seluruh formasi Panzer Kluge.

Peta menunjukkan formasi tentera Berikat dan tentera Nazi, Ogos 1944.

Pertempuran Falaise: Perangkap Besar.

Pada 16 Ogos, Hitler mengarahkan Kluge melancarkan satu lagi serangan balas. Kluge merayu kepada Hitler agar tidak melakukannya kerana situasi sudah semakin teruk. Kekurangan tentera, kekurangan bantuan udara menjadi alasan Kluge. Hitler bersetuju dan mula sangsi dengan panglima tersebut. Beliau fikir Kluge cuba untuk belot.

Pada 17 Ogos, Hitler memecat Kluge dan menggantikan tempatnya dengan Field Marshal Walter Model sebagai Panglima OB West dan juga Panglima Army Group B.

Pada 18 Ogos, Kluge dipanggil oleh Hitler ke Berlin untuk menjawab persoalan-persoalan yang menyelubungi dirinya seperti kejadian “Plot 20 Julai” dan juga cuba untuk menyerah kepada Pihak Berikat.

Keesokkan harinya, Kluge membunuh diri.

Model mengambil alih tugas Kluge. Beliau yang terkenal sebagai Singa Pertahanan (Lion of Defense) mengarahkan pengunduran serta merta Army Group B yang terdiri daripada 7th Army dan Panzer Group West (atau 5th Panzer Army).

Pada ketika ini, pertelingkahan berlaku di kem Pihak Berikat mengenai siapa yang layak memerangkap Army Group B ini. Patton dengan segera mengarahkan tenteranya untuk menolak tentera Nazi dari arah selatan supaya bertemu dengan tentera Montgomery di utara.

Tetapi, Montgomery mengadu bahawa tentera British beliau boleh menutup dan memerangkap tentera Nazi sendirian. Patton berang segera berjumpa pegawai atasan beliau, General Omar Bradley panglima 12th US Army Group.

Hubungan antara Montgomery (kiri) dan Patton (kanan) tidak sebaik yang disangka.


Selepas dipujuk Bradley, Patton akhirnya patuh untuk berhenti di sebelah selatan dan membiarkan Montgomery menutup ruang keluar tentera Nazi. Namun, begitu ramai tenteranya terkorban akibat ego tersebut. Sejumlah 36,976 tentera mati akibat daripada pertempuran ini.

Army Group B pula kehilangan hampir kesemua kekuatan serangan mereka di Barat, sejumlah 15 divisyen musnah dan 100,000 mati, cedera dan ditangkap. Lebih kurang 500 kereta kebal pelbagai jenis musnah ketika Pertempuran Falaise.

“Pertempuran di Falaise ini merupakan penyembelihan paling hebat dalam perang ini. Selepas 48 jam, saya melawat ke tempat ini dan hanya Tuhan sahaja lah yang tahu betapa busuknya tempat ini dengan mayat membusuk” kata General Dwight D. Eisenhower.

Eisenhower kemudiannya mengisytiharkan Falaise sebagai “zone tidak sihat” sehingga kerja pembersihan mayat selesai.

Keberkesanan 3rd US Army pimpinan Patton disebabkan oleh kombinasi kereta kebal dan bantuan udara yang sangat mantap.

Paris ditawan semula.

Berita gembira tiba buat warga Perancis di selatan. Pada 15 Ogos 1944, Tentera Berikat pimpinan General Jacob L. Devers, panglima 6th US Army Group mendarat di selatan Perancis.

Kawasan pertahanan di selatan Perancis dibawah tanggungjawab Colonel General Johannes Blaskowitz, panglima Army Group G yang pada ketika ini hanyalah “tentera pada kertas” sahaja.

Dalam masa 4 minggu, General Devers bersama-sama 7th US Army (Lt. Gen Alexander Patch) dan French Army B (General Jean de Tassigny) menolak tentera Nazi keluar dari selatan Perancis terus ke sempadan Switzerland.

Tentera Amerika dan Perancis memasuki Paris.

Tentera Amerika dan Perancis memasuki Paris.

Pada 25 Ogos 1944, untuk mengelakkan bandar Paris musnah akibat perang sia-sia antara tentera Nazi dan Pejuang Perancis, General Dietrich von Choltitz, Gabenor Tentera Paris menyerahkan bandar tersebut secara aman kepada Panglima 2nd French Armoured Division, General Philippe Leclerc.

Arahan asal kepada Gabenor berkenaan daripada Hitler adalah “memusnahkan bandar tesebut sehingga menjadi cebisan”. Apabila ditanya mengapa Choltitz mengingkari arahan tersebut, beliau menjawab:

“Orang itu sudah gila. Saya sayangkan bandar ini.”

Dengan penawanan bandar Paris ini, maka berakhirlah sudah Operasi Overlord. Tentera Berikat sudah menawan seluruh Perancis pada penghujung bulan Ogos. Tentera Nazi pula berundur jauh ke sehingga ke sempadan Belgium-Belanda.

Mimpi ngeri Hitler menjadi kenyataan. Disebabkan kecuaian dan keegoan beliau, kini beliau terpaksa berhadapan dengan tentera Amerika-British di Barat dan armada tentera Soviet di timur.

Dalam episod ini juga, Hitler selamat dari percubaan bunuh pada 20 Julai. Sejak itu, beliau menjadi seorang paranoia.

Rujukan

Beevor, Antony (2009). D-Day: The Battle for Normandy. New York; Toronto: Viking. ISBN 978-0-670-02119-2.

Beevor, Antony (2012). The Second World War. New York: Little, Brown and Company. ISBN 978-0-316-02374-0.

Boeselager, von, P. (2009). Valkyrie: The Plot To Kill Hitler. New York City: Hachette. ISBN 9780297857549.

D-Day (1944), Simple History https://www.youtube.com/watch?v=4cGuB-OWR0g

History Documentary – World War 2 Normandy Invasion In Colour Best Documentary HD, Full Documentary https://www.youtube.com/watch?v=N-P4GoG69Xw

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.