Nama Yamamoto sudah tidak asing lagi di serata dunia. Beliau dianggap sebagai pelopor utama pelan serangan Jepun di Pearl Harbor. Beliau merupakan seorang pakar dalam strategi perang laut dan amat membenci perang. Namun, orang Amerika mengganggap beliau sebagai penyebab utama askar Amerika mati di Pearl Harbor. Mereka lebih suka jika beliau mati. Oleh hal yang demikian, President Roosevelt mengarahkan Yamamoto dibunuh.

Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Jepun terhadap Amerika menyebabkan rakyat berasa kurang senang. Mereka menuduh bahawa pegawai atasan Jepun hanya duduk goyang kaki sahaja dan membiarkan tentera-tentera bawahan mati berjuang. Pegawai-pegawai atasan ini dituduh pengecut.

Bagi menenteramkan situasi ini, Laksamana Isoroku Yamamoto, komander Armada Tentera Laut Empayar Jepun mengambil keputusan untuk membuat beberapa lawatan rasmi di Pasifik. Kekalahan Jepun di Midway dan Guadalcanal membuatkan tentera Jepun memerlukan seorang perajurit terkenal untuk memberikan mereka harapan.

Operasi I-Go

Yamamoto (kiri sekali) melihat pertunjukkan udara di Pangakalan Tentera Udara Jepun di Rabaul

Dalam pada itu, pihak Jepun juga sedang sibuk dalam merancang Operasi I-Go, iaitu serangan udara besar-besaran terhadap tentera Amerika yang berpangkalan di sekitar Guadalcanal. Serangan yang bermula pada 1 April 1943 itu berjaya menenggelamkan beberapa buah kapal dagang, sebuah kapal pemusnah dan sebuah kapal korvet milik Amerika dan sekutunya yang menuju ke Guadalcanal.

Yamamoto menganggap bahawa kejayaan tentera Jepun memusnahkan beberapa kapal Amerika sudah mencukupi untuk menoktahkan hajat Amerika untuk mara lebih jauh ke Pasifik. Oleh itu, beliau menghentikan Operasi I-Go pada 16 April. Hakikatnya, operasi ini tidak sedikit pun mencacatkan kekuatan tentera Amerika di sana. Terdapat banyak lagi tentera Amerika pimpinan Laksamana William Halsey Jr di selatan Pasifik.

Sebenarnya Yamamoto terlalu percaya akan laporan yang diberikan oleh pihak perisikan Jepun dan tentera-tentera yang mengambil bahagian dalam Operasi I-Go. Mereka memandang rendah akan kemusnahan yang dialami oleh kapal-kapal Amerika di sana.

Antara sebab lain yang meyakinkan Yamamoto bahawa Operasi I-Go ini telah berjaya adalah kehebatan maklumat perisikan Amerika yang berjaya menyahkodkan semua kod-kod rahsia tentera Jepun. Hal ini membuatkan Laksamana Halsey berjaya menarik armada lautnya lebih awal supaya dapat memperdayakan Yamamoto. Maklumat perisikan Amerika meyakinkan Yamamoto bahawa tentera Amerika semakin kurang dan melemah di Guadalcanal.

Membunuh Yamamoto

Presiden Amerika, Franklin Roosevelt mengetahui mengenai pembocoran maklumat yang dialami oleh tentera Jepun. Dengan kelebihan ini, beliau mengarahkan Setiausaha Tentera Laut, Frank Knox untuk “dapatkan Yamamoto”.

Kemudian, Knox menghubungi Komander Tentera Keseluruhan Pasifik, Laksamana Chester Nimitz untuk melaksanakan tugasan tersebut. Nimitz pula mengarahkan Laksamana William Halsey Jr, komander Tentera Pasifik Selatan untuk merancana pelan membunuh Yamamoto, Operation Vengeance.

Tentera Laut Amerika berjaya membaca kod-kod Jepun sejak Operasi I-Go berjalan lagi. Mereka tahu bahawa Yamamoto selalu berlegar-legar di sekitar kepulauan Solomon dan Papua New Guinea. Mereka juga mengetahui bila beliau bergerak, kemana dan menaiki kenderaan apa.

Tanpa berlengah-lengah lagi, Halsey mencari komander 339th Fighter Group, Major John Mitchell untuk mencari 16 orang krew dalam misi Operation Vengeance. Seramai 16 orang juruterbang tempur, termasuk Mitchell berjaya dikumpul untuk misi ini. Mereka diberitahu bahawa mereka akan keluar memburu orang kenamaan, tanpa mengetahui orang itu ialah Yamamoto.

Pesawat pejuang Lockheed P-43 Lightning yang akan digunakan untuk Operasi Vengeance.

Pada jam 0730, 14 April 1943, pasukan 339th Fighter Group pimpinan Major Mitchell berlepas daripada lapangan terbang Kukum, Guadalcanal menuju ke Pulau Bouganville dimana konvoi udara Yamamoto akan terbang.

Sementara itu di markas utama Angkatan Tentera Jepun di Rabaul, Laksamana Yamamoto dijadualkan akan berlepas ke Bouganville pada jam 0600 dan dijangka tiba di destinasi sekitar jam 0800. Perjalanan tersebut merupakan perjalanan sejauh 507 km. Ramai pegawai-pegawai di Rabaul melarang agar Yamamoto tidak membuat penerbangan tersebut. Mereka mendapat beberapa maklumat yang tidak sahih mengenai terdapat ura-ura mengatakan bahawa Amerika mahu menyerang konvoi Yamamoto berdekatan Bouganville.

Peta menunjukkan Pelan Operation Vengeance untuk memintas pesawat Yamamoto.

Namun, Yamamoto tidak mengendahkan maklumat tersebut dan tetap meneruskan penerbangan tersebut. Bersama-sama menemani beliau ialah Laksamana Madya Matome Ugaki yang merupakan Ketua Staf Tentera Laut Jepun. Mereka berdua akan menaiki kapal terbang secara berasingan iaitu Pesawat Pengebom G4M1 “Betty”. Dalam penerbangan ini, mereka dibantu oleh 6 buah pesawat pejuang A6M2 “Zero” yang terkenal.

Formasi yang akan digunakan untuk menjaga konvoi Yamamoto ialah formasi “V”. Tiga pesawat “Zero” akan menjaga Yamamoto dan tiga lagi akan menjaga Ugaki.

Pesawat “Zero” yang ditugaskan untuk menjaga Yamamoto

Manakala jumlah pesawat tentera Amerika pimpinan Major Mitchell lebih banyak daripada konvoi Yamamoto. Sebanyak 16 pesawat Lockheed P-38 Lightning terbang menuju ke Bouganville daripada Guadalcanal, menjadikan ia misi pintasan udara paling jauh dalam sejarah (970 km).

Pada jam 0934, pasukan Mitchel menemui konvoi pesawat Yamamoto dan mula menyerang. Serangan tersebut bukannya mudah apabila mereka dikesan oleh pesawat “Zero” yang menjaga kedua-dua VIP ini. Kesemua 6 pesawat “Zero” ini terus membuat serangan balas terhadap pasukan Mitchel.

Apabila mereka semakin menghampiri satu-sama lain, juruterbang “Zero” tersebut menyedari bahawa mereka akan berlawan dengan 16 pesawat musuh manakala mereka hanya ada 6 sahaja. Hal ini membuatkan pesawat yang dinaiki Yamamoto dan Ugaki menjadi sangat sangat terdedah.

Mitchel mengarahkan dua pesawat P-38 yang dikemudikan oleh Captain Thomas Lanphier dan Lieutenant Rex Barber untuk menyerang dan menjatuhkan pesawat Yamamoto dan Ugaki. Sebuah pesawat “Zero” cuba menahan pesawat Lanphier dan Barber.

Lanphier cuba mengalihkan pandangan pesawat musuh tersebut untuk memberi laluan kepada Barber untuk menembak jatuh pesawat-pesawat yang dicari-cari (Yamamoto dan Ugaki).

Ilustrasi Pesawat G4M1 yang dinaiki Yamamoto dikejar oleh Pesawat P-38.

Apabila Barber menemui pesawat tersebut, beliau terbang di belakang pesawat musuh yang mengangkut sama ada Yamamoto atau Ugaki dan melepaskan tembakan bertubi-tubi mengenai ekor dan tanki pesawat tersebut. Sejurus itu, asap tebal mula keluar dan hampir hampir sahaja melanggar pesawat Barber. Pesawat tersebut berjaya dielak dan terhempas ke hutan rimba di pulau Bouganville.

Selapas itu, Barber terbang mencari pesawat yang membawa VIP terakhir yang kini terbang rendah menuju ke pantai. Kelajuan pesawat P-38 berjaya memintas pesawat tersebut sebelum melepaskan berdas-das tembakan ke arah sayap kanan pesawat. Beberapa saat kemudian, pesawat tersebut terhempas di lautan.

Seorang juruterbang pesawat “Zero”, Petty Officer Kenji Yanagiya, merupakan satu-satunya juruterbang yang hidup selepas perang yang dapat menceritakan apa yang berlaku. Beliau berkata, selepas melihat dua buah pesawat yang dinaiki Yamamoto dan Ugaki terhempas, beliau secara solo mengejar pesawat-pesawat tentera Amerika tersebut yang sedang pulang ke Guadalcanal.

Kenji Yanagiya antara juruterbang “Zero” yang dapat menjadi sumber insiden tersebut.

Beliau berjaya menembak jatuh satu pesawat P-38 ketika pesawat tersebut sedang terbang rendah kerana hampir kehabisan minyak. Yanagiya tidak sempat untuk mengejar kesemua 15 pesawat P-38 yang lain kerana berisiko. Lalu beliau pulang ke pangkalan udara di Bouganville bersama-sama pesawat “Zero” yang lain. Selepas mendarat, beliau diberitahu kejadian yang berlaku sebenatar tadi akan menggugat Tentera Laut Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Yanagiya dan 5 krew yang lain diarahkan untuk menyimpan rahsia yang pesawat Yamamoto dan Ugaki telah terhempas.

Tamparan hebat terhadap Jepun

Pada keesokkan harinya, 19 April, bangkai kedua-dua pesawat berjaya ditemui. Bangkai pesawat “Betty” yang terhempas di laut itu dinaiki oleh Laksamana Ugaki. Beliau terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Rex Barber bertanggungjawab dalam menjatuhkan kedua-dua pesawa “VIP” Jepun.

Namun, pesawat “Betty” yang terhempas di hutan Bouganville mendapat nasib yang berbeza. Seluruh anak kapal pesawat tersebut terbunuh termasuk Ketua Angkatan Laut Jepun, Laksamana Isoroku Yamamoto. Beliau dijumpai terduduk di kerusi pesawat sambil memegang pedang samurai. Beliau terbunuh akibat ditemak di bahagian bahu kiri dan rahang kirinya.

Pemerintahan tinggi Tentera Amerika segera memberitahu bahawa insiden tersebut dilakukan secara tidak sengaja bagi mengelakkan bahawa Tentera Jepun mengetahui bahawa kod-kod rahsia mereka berjaya dipecah masuk.

Kematian Yamamoto menjadi pembakar semangat kepada tentera-tentera dan rakyat Amerika. Manakala bagi Jepun, kematian Laksamana agung ini memberi tamparan yang sangat hebat buat mereka. Kematian beliau di isytiharkan pada 21 Mei 1943, lebih sebulan dari tarikh beliau terbunuh.

Mayat Yamamoto dibakar di Bouganville sebelum dibawa ke Tokyo menerusi kapal Super-Battleship Musashi. Pada 5 June 1943, beliau diberi penghormatan terakhir oleh seluruh rakyat Jepun, termasuk Perdana Menteri Hideki Tojo. Selepas itu, beliau diberi darjah kebesaran tertinggi Jepun, Order of Chrysanthemum dan juga darjah kebesaran Nazi Jerman iaitu Knight Cross of the Iron Cross with Oak Leaves and Swords. Beliau juga dinaikkan pangkat ke Laksamana Besar atau Marshal-Admiral (panglima 5 bintang).

“Selepas perang tamat, aku teringin nak bukak Casino dekat Monaco”. Maka berakhirlah riwayat Laksamana Yamamoto yang merupakan arkitek kepada peperangan Jepun di Pasifik. Serta lunaslah dendam rakyat Amerika terhadap “orang yang hendak menentukan isi perjanjian damai di White House”. Kejadian ini sememangnya melumpuhkan morale tentera Jepun. Tempat beliau digantikan oleh Laksamana Mineichi Koga.

Rujukan

  1. Davis, Donald A. (2005). Lightning Strike: The Secret Mission to Kill Admiral Yamamoto and Avenge Pearl Harbor. New York: St. Martin’s Press.
  2. Canning, Douglas S. (2006). “Who Shot Down Yamamoto?, letter,”. Air Force Magazine. 89. Arlington, VA, USA: Air Force Association. pp. 7–8.
  3. “P-38 Lightning’s shoot down Yamamoto”      https://www.youtube.com/watch?v=fKvJgFldgGA

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.