Perang Dunia Kedua semakin marak. Perang yang bermula pada 1939 akhirnya menjadi global dengan kemasukkan Jepun dan Amerika pada 1941. Selain Asia dan Eropah, Afrika juga menjadi salah satu medan pertempuran yang dahsyat. Sebelum ini kita lihat Itali cuba untuk menawan Mesir pada 1940 namun dipatahkan oleh tentera British. Apabila British hampir sahaja menguasai seluruh Afrika Utara, Hitler menghantar Rommel ke Afrika Utara untuk mengawal keadaan. Hasilnya, British ditolak semula. Tobruk dikepung. British tidak mahu Dunkirk kedua berulang di Tobruk. Pelabuhan tersebut mesti dibebaskan.

Pengepungan Tobruk

Objektif utama British pada ketika ini adalah untuk menyelamatkan tentera mereka terperangkap di Tobruk. Hal ini terjadi ketika Rommel melancarkan Operasi Bunga Matahari pada April 1941 dimana tentera beliau menolak jauh tentera British dan Komanwel ke sempadan Mesir sehingga terpaksa meninggalkan saki-baki tentera mereka terperangkap jauh di Pelabuhan Tobruk.

Perdana Menteri British, Winston Churchill mengarahkan Tentera British di Afrika Utara dirombak sepenuhnya. Churchill berang dengan kekalahan British pada April sehingga menjadikan Tobruk sebagai ‘Dunkirk Kedua’. Pada May 1941, General Wavell mengarahkan Operasi Kapak Tempur, iaitu serangan untuk menyelamatkan Tobruk. Serangan ini gagal selepas berjaya ditangkis oleh tentera Itali dan Jerman pimpinan General Rommel. Churchill semakin berang. Banyak peralatan perang dibazirkan hanya untuk melihat kegagalan yang diberikan Wavell.

General Claude Auchinleck menggantikan Wavell sebagai Komander Turus Timur Tengah selepas kegagalan Kapak Tempur. Churchill tidak mahu Auchinleck mengulangi kesilapan sama dan terus menekan beliau untuk menyelamatkan Tobruk. Auchinleck melakar pelan baru. Operasi Crusader.

Operasi Crusader – Pelan British

Auchinleck merombak Tentera British. Beliau sebagai Komander Turus. Kawasan tanggungjawab beliau ialah Iraq, Jordan, Palestine, Suez dan Mesir. Dibawah beliau ialah Western Desert Force yang kemudian dimakan semula sebagai Tentera British Ke-8 (Eighth Army) dibawah pimpinan Lt. Gen. Alan Cunningham. Kawasan tanggungjawab beliau ialah dari Terusan Suez sehingga ke sempadan barat Mesir.


Pelan General Auchinleck; Operasi Crusader

Kali ini, Auchinleck menerima pelbagai peralatan dan kereta kebal yang baru untuk dibekalkan di dalam tenteranya. Beliau merekrut beberapa orang General baru untuk mengisi kekosongan di dalam organisasi tenteranya selepas beberapa jeneral telah ditawan ketika Operasi Kapak Tempur. Muka-muka baru selain Cunningham ialah Godwen-Austen, Norrie, Freyberg. Ritchie dan Brink. Tidak ada seorang pun daripada mereka ini tahu selok belok bagaimana hendak mengendalikan pasukan kereta kebal.

Auchinleck (kiri) melihat peta yang ditunjukkan oleh Ketua Staf Tentera British Ke-8, Maj Gen Neil Ritchie.

Hanya Maj. Gen. William Gott sahaja yang mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kereta kebal. Beliau berjaya mengekang tentera Itali ketika 1940 dan Jerman pada awal 1941. Namun disebabkan kekangan politik dan tiada doktrin British mengenai kereta kebal yang efisien, beliau tidak diberi peluang untuk ‘naik pangkat’ dan kekal sebagai Komander Divisyen Armor Ke-7.

Objektif Operasi Crusader adalah idea Auchinleck untuk menyelamatkan Tentera British dan Komanwel di Tobruk. Tentera British Ke-8 menjadi taruhan beliau. Terdapat 119,000 orang tentera, 738 kereta kebal dan 616 pesawat udara yang akan mengambil tempat dalam operasi ini. Tentera ini dipimpin oleh Lt. Gen Ritchie dan dibawah beliau terdapat dua kor iaitu Kor Ke-30 (Lt. Gen. Norrie dan Kor Ke-13 (Lt. Gen. Godwin-Austin).

Organisasi Tentera British ketika Operasi Crusader. Auchinleck sebagai komander keseluruhan. Dibawah beliau ialah Tentera British Ke-8 (Eighth Army).

Di Tobruk pula, tentera British dan Komanwel dipimpin oleh Maj. Gen. Ronald Scobie. Terperangkap bersama-sama beliau ialah Divisyen ke-70 dan Briged Kebebasan Poland. Scobie mempunyai tanggungjawab untuk cuba keluar dari pengepungan dengan menyerang tentera Rommel di timur Tobruk. Kemudian, beliau akan link up bersama-sama Auchinleck di Timur.

Rommel Bertahan

Organisasi Tentera Jerman/Itali di Afrika Utara. General Bastico sebagai komander keseluruhan. Dibawah beliau dibahagi kepada dua; Panzer Army Afrika (Rommel) dan Kor Mechanized Ke-20 (Gambara).

Supply dan Lojistik menjadi masalah besar buat Rommel sejak beliau datang ke Afrika lagi. Susah sungguh untuk bekalan tersebut sampai kepada Rommel kerana convoy beliau sering kali dibedil Royal Navy dan Royal Air Force di Mediterranean. Namun, Rommel masih lagi mampu bertahan. Bekalan yang sampai dari Benghazi dan Tripoli digunakan Rommel sebaik mungkin.

 

Rommel tidak menjangka tentang Operasi Crusader walaupun terdapat ‘ura-ura’ daripada perisik-perisik beliau mengatakan aka akan ada serangan. Rommel sibuk untuk memikirkan bagaimana untuk menawan Tobruk yang kini dikepung beliau. Beliau juga terpaksa memikirkan pertahanan beliau di sempadan Mesir yang kini sedang bergelut dengan masalah bekalan yang jarang sekali sampai. Namun mereka mempunyai beberapa pertahanan strategic di kawasan bukit-bukit dan pintu pintu masuk utama seperti Halfaya Pass, Fort Capuzzo dan Sollum.

Rommel bersama-sama General Gastone Gambara, komander Kor Mechanized Itali ke-21 di Afrika Utara.

Terdapat juga masalah dibahagian atasan. Setelah kejayaan mematahkan serangan British ketika Kapak Tempur, Rommel dinaikkan pangkat ke General der Panzertruppe dan memegang jawatan baru iaitu Tentera Panzer Afrika (Panzer Army Afrika). Dibawah beliau terdapat Kor Afrika (Afrika Korps) kini dipimpin oleh Generaleutnant Ludwig Cruwell dan juga Kor Itali ke-21 dipimpin  Lt. Gen. Navarrini.

Rommel sering tidak sebulu dengan pegawai-pegawai atasan seperti General Ettore Bastico (kanan).

Apa yang menjadi masalah buat Rommel ialah Panzer Army Afrika beliau adalah dibawah tampuk pemerintahan Pemerintahan Medan Afrika (North Africa Command) dipimpin oleh orang Itali, General Ettore Bastico. Beliau orang yang bertanggungjawab kepada Panzer Army Afrika (Rommel) dan Kor Mechanized Itali ke-20 pimpinan General Gastone Gambara.

Rommel benci kepada Bastico kerana komander Itali berkenaan seorang yang baran. Beliau menggelarnya ‘Bombastico’. Rommel juga berang kerana tidak mendapat hak keatas Kor Mechanized ke-20 yang berlainan pentadbiran daripada Panzer Army Afrika. Hal ini membuatkan tugas pertahanan di Afrika menjadi sukar.

Operasi Crusader – Bermula!

Pada 18 November 1941, Auchinleck melancarkan Operasi Crusader. Objektif mereka adalah Tobruk. Objektif kedua mereka; memusnahkan ancaman tentera Jerman dan Itali di Afrika Utara. Serangan bermula dengan baik pada awalnya. Kor British ke-30 yang mempunyai jumlah kereta kebal yang banyak memimpin serangan dengan melalui padang pasir jauh daripada pertahanan Rommel di Halfaya Pass. Auchinleck mahu menawan Halfaya Pass serta Fort Capuzzo dan Sollum dengan merusuk Rommel dari belakang.

Artileri British mula membedil kawasan pertahanan Rommel namun serangan itu hanya helah untuk menipu Rommel agar Kor ke-30 beliau dapat masuk ke dalam kawasan musuh tanpa pengetahuanya. Di Tobruk pula, tentera-tentera dibawah Scobie mula membuat serangan keatas tentera Rommel di timur Tobruk dengan harapan dapat keluar daripada pengepungan. Auchinleck mengarahkan Kor British ke-30 dibahagikan kepada tiga. Satu ke selatan untuk menawan pekan-pekan di padang pasir. Satu lagi ke Halfaya Pass dari belakang. Dan satu lagi ke Tobruk.

Ritchie (tengah) bersama-sama pegawai-pegawai British yang lain. William Gott (dua dari kanan) merupakan satu-satunya komander yang mempunyai pengetahuan tentang kereta kebal.

Rommel mula gelabah kerana tidak menjangka serangan daripada British ini ialah serangan berskala besar. Rommel tidak ada pilihan selain meninggalkan beberapa unit di Halfaya Pass untuk melengahkan Auchinleck sementara beliau berundur ke pertahanan yang lebih selamat ke barat Tobruk. Dengan pengunduran ini, Tobruk secara tidak langsung terbuka luas dan Scobie berjaya berhubung semula dengan tentera Auchinleck. Tobruk kini bebas!

Namun begitu, harga kemenangan ini sangat mahal. Meskipun British mempunyai kelebihan dari segi kereta kebal (British 738 vs German/Itali 414) dan supply yang lebih memihak kepada British, ia masih belum mampu untuk melumpuhkan Rommel di Afrika. Rommel berjaya lari dari dimusnahkan oleh tentera British. Selepas menyedari bahawa British mahu memotong laluan Rommel, beliau mengarahkan 15th Panzer Division untuk melengah-lengahkan tentera British. Di sinilah menjadi saksi bahawa betapa teruknya doktrin yang diggunakan tentera British.

Kereta kebal baru British, Crusade, melintasi kereta kebal Jerman jenis Panzer IV di Halfaya Pass.

Ketika pengunduran Rommel, beliau berjaya memusnahkan hampir 90% kereta kebal British. Kehilangan besar-besaran ini disebabkan oleh doktrin British yang memisahkan kereta kebal dengan infantry bantuan. Kereta kebal Auchinleck tidak mempunyai bantuan di belakang.Tiada artillery support. Tiada Engineer. Tiada Trak atau askar pejalan kaki yang cukup untuk membantu beliau berhadapan dengan Rommel. Manakala Rommel mempunyai doktrin yang khas untuk penggunaan kereta kebal Panzer. Setiap divisyen, setiap kor, mesti mempunyai sekurang-kurangnya satu uni kereta kebal dan dibantu oleh pelbagai tenaga bantuan yang diperlukan.

Kemenangan Pertama British

Operasi Crusader merupakan kejayaan pertama yang dikecapi oleh tentera British keatas Jerman di darat. Churchill merupakan orang pertama yang girang mendengar berita ini kerana ia memulihkan moral rakyat British.

Ini merupakan kekalahan pertama Rommel dalam sejarah hidupnya sejak menjadi komander tentera. Rommel begitu sibuk dengan Tobruk sehinggal lupa beliau masih mempunyai pertahanan yang lemah di sempadan Libya-Mesir. Beliau juga mengendahkan maklumat perisikan mempunyai pengumpulan tentera British yang ramai di sempadan.

Menurut sejarawan Basil Lidell Hart, pertempuran ini membawa kemusnahan kepada 17,700 nyawa, hampir 800 kereta kebal pelbagai jenis, dan 300 pesawat udara. Manakala tentera Jerman/Itali pula kehilangan 38,300 nyawa, 340 kereta kebal pelbagai jenis dan sekurang-kurangnya 322 pesawat udara. Rommel juga kehilangan beberapa orang komander yang berkaliber apabila ditawan oleh British seperti Generalmajor Johann von Ravenstein, komander 21st Panzer Division. Terbunuh ketika pertempuran ialah Generalmajor Max Summermann, komander 90th Light Division dan Generalmajor Walter Neumann-Silkow, komander 15th Panzer Division. Hal ini secara tidak langsung melumpuhkan organisasi Rommel ketika Operasi Crusader.

Rommel bersama-sama tentera Itali di dalam parit di Gazala Line.

British berjaya menawan Tobruk. Manakala Rommel terpaksa berundur ke Gazala Line, suatu tempat pertahanan yang dibina oleh General Bastico sebelum Operasi Crusader bermula. Auchinleck tidak mampu untuk mengejar Rommel kerana risau akan kekuatan kereta kebal beliau dan supply yang semakin menghimpit.

Memasuki tahun 1942 merupakan tahun dimana Rommel akan mengecapi kejayaannya semula. Tahun ini akan menjadi tahun yang panjang buat Rommel di Afrika Utara, malahan juga bagi tentera British. Ketika satu dunia sedang sibuk melihat Afrika menjadi medan tempur yang menarik, mereka lupa yang Hitler sedang merancang untuk sekali lagi menyerang Rusia. Kali ini, target tentera Jerman ialah minyak.

Rujukan:

1. The Axis Order of Battle for Operation Crusader https://www.youtube.com/watch?v=LwPJWb2BUj4
2. British Order of Battle for Operation Crusader https://www.youtube.com/watch?v=QCNDEoRDp6I&t=2337s
3. Ford, Ken (2010). Operation Crusader 1941. Oxford: Osprey. ISBN 1-84603-500-7.
4. Lyman, Robert (2009). The Longest Siege: Tobruk, The Battle That Saved North Africa. Pan Australia. ISBN 0-23071-024-7.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.