Minyak. Hitler perlukan minyak jika mahu meneruskan Perang Dunia Kedua. Minyak merupakan sumber yang paling penting buat Nazi Jerman kerana tanpa minyak, kereta kebal mereka tidak boleh bergerak. Sesuatu perlu dilakukan. Pada 28 Jun 1942, setahun selepas Operasi Barbarossa, Hitler melancarkan satu lagi operasi besar; Operasi Biru.

Operasi Barbarossa gagal

Operasi Barbarossa yang dijalankan pada 22 Jun 1941 merupakan operasi terbesar dalam sejarah umat manusia. Operasi ini bertujuan untuk memusnahkan kerajaan komunis Soviet Union sehancur-hancurnya. Tiga juta umat manusia menyeberang sempadan antarabangsa pada hari berkenaan. Tentera Jerman ketika itu juga mendapat bantuan tentera dari sekutunya iaitu Romania, Hungary, Slovakia, Itali dan Finland.

Tentera-tentera berkenaan dibahagikan kepada tiga kumpulan (Army Group). Marshal von Leeb memimpin Army Group North menyerang utara Soviet Union dengan objektif menawan Leningrad. Marshal von Bock pula akan memimpin Army Group Center menyerang tengah dengan objektif menawan Moscow. Manakala, Army Group South pimpinan Marshal von Rundstedt akan menyerang selatan dengan misi menawan semua sumber-sumber mineral di situ.

Operasi Barbarossa pada mulanya mencapai beberapa siri kejayaan. Leningrad dikepung. Kiev ditawan. Minsk dan Smolensk diratah oleh tentera Jerman. Kini, hanya Moscow sahaja yang menjadi objektif terakhir Jerman dan sekutunya.

Namun, nasib tidak menyebelahi Hitler. Musim sejuk melampau menghantui tentera Jerman. Mereka tidak bersedia untuk bertempur ketika musim sejuk dan bekalan supply tidak sampai ke barisan depan untuk meneruskan serangan keatas Moscow. Guderian menjelaskan 70% tenteranya mati bukan disebabkan bertempur tetapi mati kesejukkan. Hal ini menjadi pembunuh kepada Operasi Barbarossa secara keseluruhannya.

Hitler mencuba lagi

Pelan berskala besar, Operasi Biru di selatan Soviet Union.

Hitler menambah beban kepada peperangan Jerman. Selepas serangan Jepun terhadap Pearl Harbor, Jerman mengisytihar perang terhadap Amerika Syarikat. Dengan ini maka, semakin kuranglah sumber minyak kepada Jerman. Dengan Amerika Syarikat dan British mengganggu fokus Jerman terhadap perang Jerman di timur, sesuatu harus dilakukan untuk memastikan Jerman mempunyai minyak yang cukup untuk perang ini.

Soviet Union merupakan antara negara pengeluar minyak terbesar di Eropah selepas Romania. Kawasan Kaukasus merupakan kawasan yang paling banyak minyak yang dihasilkan; 80% minyak disalurkan dari situ. Hitler mahukan kawasan ini. Pada Jun 1942, Hitler memberitahu jika beliau tidak dapatkan minyak di Kaukasus, beliau akan ‘menamatkan perang ini’.

Manakala di pihak Soviet Union pula, mereka kelihatan tampak lumpuh selepas Barbarossa. Namun, pada tahun 1942, diktator Soviet Union, Joseph Stalin berjaya mengelakkan kemusnahan secara total. Beliau berjaya mengekang serangan Jerman ketika Barbarossa. Moscow kini selamat. Selepas menyedari tiada serangan yang akan dilakukan Jepun di Timur Jauh, Stalin memanggil hampir semua divisyen tenteranya ke barat untuk menghadapi Jerman.

Stalin trauma. Beliau yakin bahawa Jerman akan menyerang lagi. Beliau menyangka Hitler akan menyerang Moscow, ibu kota Soviet Union. Oleh hal yang demikian, Stalin memunggah lebih banyak divisyen di bahagian tengah untuk mempertahankan Moscow. Apa yang Stalin enggan dengar daripada para penasihat beliau ialah, serangan Jerman kali ini akan bertumpu di selatan iaitu Kaukasus.

Organisasi Baru

Hitler (tengah) bersama-sama staf tertinggi Army Group South di selatan Soviet Union. Boleh dilihat dari kanan Marshal von Bock, Gen. Mackensen, Gen. Paulus dan Gen. von Weichs.

Selepas kegagalan Barbarossa, Hitler merombak semula pentadbiran angkatan tentera. Beliau menggantikan Marshal von Brauchitsch sebagai Ketua Angkatan Darat Jerman dengan dirinya sendiri. Bekas Koperal kini menjawat jawatan tertinggi angkatan tentera darat. Army Group North juga berubah. Marshal von Leeb digantikan oleh Marshal von Kuchler selepas kegagalan von Leeb untuk menawan Leningrad. Komander Army Group Center, Marshal von Bock digantikan oleh Marshal von Kluge. Selepas kematian Marshal von Reichenau akibat serangan stroke, tempat beliau digantikan oleh bekas Komander Tengah, Marshal von Bock.

Kawasan-kawasan yang ditawan oleh Jerman setakat ini ialah Poland, Belarus, Ukraine dan Baltik. Kawasan ini menjadi tempat projek penghijrahan besar-besaran rakyat Jerman di situ iaitu; Lebensraum. Kawasan-kawasan ini juga menjadi saksi kepada berbagai-bagai jenis pembunuhan besar-besaran oleh Nazi Jerman. Orang Yahudi, Gypsi, Romani, Inteligentsia dan segala jenis manusia yang dianggap ‘bangsa asing’ yang dikategorikan dalam doktrin Nazi akan dipindahkan dan ‘dihapuskan’. Penghapusan ini diberi nama ‘Holocaust’.

Dengan penambahan divisyen-divisyen baru dari Timur Jauh, Stalin mampu menggantikan lebih 1,000,000 askar-askar disetiap barisan hadapan dan 1.7 juta tentera simpanan. Walaupun Stalin lebih memunggah tentera di berdekatan dengan Moscow, namun beliau masih lagi mempunyai baki tentera untuk menahan serangan Jerman di selatan. Tentera Soviet membahagikan tenteranya kepada beberapa Front (Army Group). Bryansk Front, pimpinan General Filipp Galikov. Southwestern Front, pimpinan Marshal Semyon Timoshenko. Southern Front pimpinan Radion Malinovsky. North Caucasian Front, pimpinan Marshal Semyon Budyonny.

Walaupun terdapat lebih kurang 4 Front (Army Group), namun organisasi dalaman kumpulan tersebut sangat kucar kacir kerana banyak divisyen tentera yang masih belum sampai ke posisi masing-masing. Malah, Front tersebut wujud hanya pada nama sahaja tetapi saiz organisasi di dalamnya tidaklah seperti yang diharapkan.

Berbeza dengan tentera Jerman. Panglima-panglima Jerman begitu arif sekali dalam mengorganisasikan tentera mereka untuk mendapatkan hasil yang efektif. Dalam Operasi Biru, kumpulan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan operasi ini ialah Army Group South, pimpinan Marshal von Bock.

Dengan berkekuatan 1,370,287 anggota, 1,934 kereta kebal dan 1,610 pesawat udara, Army Group South mempunyai 9 tentera medan; 2nd Army (von Salmuth), 6th Army (Paulus), 17th Army (Ruoff), 1st Panzer Army (von Kleist), 4th Panzer Army (Hoth), 2nd Hungarian Army (Jány),  4th Romanian Army (Dumiretscu) dan 8th Italian Army (Gariboldi). Marshal von Bock akan dibantu oleh Armada Udara Ke-4 (4th Air Fleet/Luftlotte 4) pimpinan Colonel General Alexander Lohr.

Operasi Biru – Bermula!

Operasi Biru – Bermula! Tentera Panzer Ke-4 mendahului serangan.

Pada 28 Jun 1942, Hitler melancarkan Operasi Biru dengan objektif menawan sumber minyak di selatan Soviet Union. Stalin terkejut dengan serangan besar-besaran ini. Beliau sekali lagi gagal mendengar kata-kata para penasihatnya di Kremlin. Serangan kali ini berpusat di selatan, bukannya di tengah. Pada mulanya beliau enggan memindahkan divisyen-divisyen dari tengah ke selatan kerana tidak mempercayai akan serangan ini.

Bandar Voronezh menjadi target pertama von Bock. Jika bandar tersebut ditawan, ia akan jadi garisan pertahanan untuk mengelakkan serangan balas daripada tentera Soviet dari utara. Maka tentera-tentera lain dapat melaksanakan objektif mereka untuk menawan Kaukasus. Namun bandar tersebut bukanlah bandar yang senang ditawan. Dengan masih lagi percaya yang tentera Jerman akan serang Moscow dari bawah, Stalin menghantar berbagai-bagai reinforcement ke bandar berkenaan yang dipertahankan oleh Galikov, komander Bryansk Front.

von Bock bertindak untuk melepasi bandar tersebut dan menyeberang Sungai Don pada 5 Julai dengan harapan dapat mengepung bandar tersebut. Tetapi bandar tersebut tetap utuh. Tugas untuk menawan Voronezh jatuh kepada 2nd Panzer dan 2nd Armies. Hitler sudah hilang sabar kerana bandar tersebut masih belum ditawan. Tentera-tentera lain sudah maju kehadapan cuma Voronezh  sahaja yang menjadi masalah. Pada 9 Julai, Hitler mengaktifkan Operasi Biru II

Operasi Biru II

Operasi Biru II merupakan operasi yang sepatut diaktifkan selepas penawanan Voronezh. Namun, Voronezh tidak dapat ditawan sehinggalah 24 Julai. Dalam Biru II, Army Group South dibahagikan kepada dua;

Field Marshal Wilhelm List (tengah) bersama-sama Army Group A ditugaskan untuk menawan pelantar minyak di Kaukasus.

Army Group A (Field Marshal Wilhelm List)
– 1st Panzer Army (Colonel-General Hermann Hoth)
– 17th Army (General Rudolf Ruoff)
– 3rd Romanian Army (General Petre Dumitrescu)
– 11th Army (Colonel-General Erich von Manstein)

Army Group B (Field Marshal Fedor von Bock, kemudian Generaloberst Maximilian von Weichs)
– 6th Army (General Friedrich Paulus)
– 4th Panzer Army (Colonel-General Hermann Hoth)
– 2nd Hungarian Army (General Gusztáv Jány)
– 4th Romanian Army (Lt. Gen. Constantin Constantinescu)
– 8th Italian Army (General Italo Gariboldi)

Kedua-dua Army Group ini akan dibantu oleh Luftlotte 4 pimpinan Colonel-General Alexander Lohr.

Pada ketika ini, terdapat beberapa masalah yang timbul. Bukan sahaja masalah dari pihak atasan dimana Hitler tergopoh-gapah dalam mengaktifkan Operasi Biru II. Bukan apa, Hitler perlukan minyak seberapa segera yang mungkin. General Hoth yang sedang bertarung di Voronezh memberitahu bahawa tentera Panzer nya sudah kehabisan minyak dan perlu dibekalkan segera. Hal ini merupakan salah satu faktor Hitler mengaktifkan Biru II. Hitler mahu minyak di Kaukasus segera.

Mujur pada 24 Julai, Voronezh berjaya ditawan. Hal ini kerana Stalin sudah menyedari bahawa objektif tentera Jerman bukanlah Moscow, tetapi minyak di selatan. Beliau segera memindahkan kebanyakkan tenteranya ke selatan seperti Stalingrad, Rostov dan Kaukasus. Namun begitu, Hitler memecat Field Marshal Fedor von Bock sebagai komander Army Group B kerana kelewatan ini. Beliau diganti oleh Colonel-General Maximilian von Weichs pada 13 Julai.

Masalah juga berlaku apabila Hitler mula campur tangan dalam urusan strategi pertempuran. Beliau mengalihkan tentera-tentera Jerman sesuka hati. Sebagai contoh, selepas melihat kejayaan Army Group B dalam menuju ke Stalingrad, Hitler mengarahkan 4th Panzer Army ke Kaukasus. Hal ini menimbulkan kemarahan pada semua pihak lebih-lebih lagi komander Army Group A, Marshal List.

Bukan sahaja Hitler menyusahkan orang malahan ia menimbulkan kesesakan lalu lintas yang kronik kerana laluan yang sepatutnya diambil oleh 1st Panzer Army terpaksa berebut dengan 4th Panzer Army. Hoth, komander 4th Panzer Army menjelaskan “Ia seperti komedi. Kami digerakkan ke atas, ke kiri, ke kanan, ke bawah dan ke atas semula. Semua ini mengarut”.

Dilema di Kaukasus – Arahan No. 227

Yakin bahawa tentera Jerman tidak akan dirusuk dari belakang selepas penaklukan Voronezh, Army Group A pimpinan Marshal List mula meredah kawasan gunung ganang di Kaukasus. Objektif mereka ialah tempat cari gali minyak di Maikop, Grozny dan Baku. Dengan bantuan udara daripada Luftlotte 4, List berjaya menawan Rostov, “Pintu Gerbang Kaukasus” pada 23 Julai.

Tentera Soviet berjaya meletupkan pelantar minyak di Kaukasus sebelum ketibaan tentera Jerman di Kaukasus

Stalingrad. Di sini sahaja, sudah terlalu banyak minyak dan lojistik dihabiskan. Pada 29 Julai, selepas tentera Jerman berjaya menawan stesen keretapi terakhir berdekatan bandar Salsk yang menghubungkan Kaukasus dan seluruh Soviet Union, Stalin menjadi panik.

Oleh itu, maka lahirlah arahan paling terkenal sepanjang zaman; “Arahan 227: Tidak Ada Berpatah Balik”. Stalin mengeluarkan arahan ini untuk memberi amaran kepada semua warga tentera Soviet untuk mendisiplinkan mereka supaya mereka tidak berundur atas alasan Soviet Union masih banyak tanah lagi. “Barangsiapa yang berundur, tanpa kebenaran, maka tembaklah mereka, di situ jua.”

Tentera Jerman menawan Gunung Elbus, gunung tertinggi di Eropah.

Dengan pengeluaran arahan baru ini, tidak ada siapa yang berani berundur. Bekas Menteri Pertahanan Soviet, Marshal Vasilevsky menegaskan bahawa Arahan No. 227 memberi impak yang sangat emosi yang sangat dahsyat. Jika Stalin mengeluarkan arahan ini pada 1941, sudah tentu tentera Soviet akan memberi tamparan hebat kepada tentera Jerman.

Namun, arahan ini masih lagi tidak mampu menghentikan kemaraan Army Group A ke Kaukasus. Salsk ditawan pada31 Julai. Stavropol ditawan pada 3 Ogos. Pada 9 Ogos, pasukan komando Jerman menawan pelantar minyak di Maikop namun mereka kecewa apabila semua pelantar itu sudah dibakar. Pyatigorsk dan Krasnodar ditawan pada 12 Ogos. Gunung Ebirus, gunung tertinggi di Eropah juga berjaya ditawan oleh tentera Jerman.

Semakin jauh kedalam kawasan musuh, semakin susah untuk tentera Jerman menerima bekalan dan lojistik. Hal ini melumpuhkan lagi apabila kebanyakkan pesawat udara Luftlotte 4 dipindahkan untuk membantu Army Group B untuk menawan Stalingrad. Oleh itu, perjalanan tentera Jerman di Kaukasus menjadi sangat perlahan. Tambah buruk lagi, mereka seringkasi diganggu oleh pasukan udara Soviet, Red Air Force yang memusnahkan jambatan dan laluan lojistik mereka di Kaukasus.

Pada 11 September, tentera Jerman menawan Novorosssisyk. Pada 28 Oktober, tentera Jerman menawan Kabardino-Balkaria, bandar terakhir sebelum satu lagi bandar pelantar minyak iaitu Grozny. Pada 5 November, bandar berdekatan Grozny iaitu Alagir ditawan. Ia menjadi penawanan terakhir tentera Jerman di Kaukasus. Selepas itu, mereka sangkut di situ selepas kekurangan supply dan fokus pertempuran kini sibuk di Stalingrad. Tiada satu pun minyak yang berjaya ditawan oleh Hitler.

Stalingrad!

Bandar inilah yang menjadi penyebab kepada pemecatan Field Marshal von Bock sebagai komander Army Group B. Pada asalnya bandar ini tiada kepentingan langsung dalam pelan Operasi Biru. Objektif utama Army Group B adalah untuk menawan Astrakhan di Laut Caspian seterusnya melengkapkan tentera tersebut sebagai benteng pertahanan kepada Army Group A yang sedang berhempas pulas mencari minyak di Kaukasus.

Namun, Hitler mula menyibuk dalam urusan ketenteraan. Beliau mengubah-ngubah pelan asal Operasi Biru berkali-kali dan ini menyebabkan beberapa pegawai atasan tentera berang. Disebabkan itu, mereka yang berang itu terus dipecat oleh Hitler. Kali ini, beliau mengubah objektif Army Group B; mereka wajib menawan Stalingrad. Bandar ini mempunyai pelbagai kepentingan. Ia merupakan bandar yang memegang nama pemimpin Soviet, Joseph Stalin. Ia juga merupakan antara pusat industri terbesar di Soviet Union. Pelbagai kilang pemprosesan kereta kebal dan senjata api dibuat di sana. Bagi Hitler, bandar itu menjadi ‘sarang lalat’ kepada impian beliau untuk menawan minyak di Kaukasus.

Army Group B dibawah pimpinan baru; Colonel-General Maximilian von Weichs, terdapat 5 tentera medan. 6th Army, 4th Panzer Army, 2nd Hungarian Army, 4th Romanian Army dan 8th Italian Army. Dalam keseluruhan tentera medan ini, Cuma 6th Army (Paulus) dan 4th Panzer Army (Hoth) sahaja yang mempunyai kelengkapan tentera ditahap yang tertinggi. Komander Luftlotte 4 Colonel-General Alexander Lohr juga digantikan dengan komander lebih agresif iaitu Field Marshal Wolfram von Richthofen.

Field Marshal Wolfram von Richthofen, komander angkatan udara Jerman, Luftlotte 4.

Pada 23 Ogos, 6th Army dan 4th Panzer Army telah menyeberang Sungai Don, kurang 50km sahaja dari Stalingrad. Ketika ini, Stalin dan panglima-panglima beliau sudah memahami teknik Blitzkrieg Jerman. Mereka berjaya mengelakkan tentera mereka ditawan beramai-ramai seperti yang berlaku di Barbarossa. Ketika itu, jumlah penawanan menurun sehingga 20,000-30,000 sahaja. Hal ini dapat menjimatkan tentera Soviet supaya dapat terus berbakti di masa akan datang.

Betapa dahsyatnya Stalingrad dibom oleh angkatan udara Luftlotte 4 pimpinan Marshal von Richthofen.

Stalingrad di bom dengan teruk. Sangat teruk. Bandar itu terbakar dan kepulan asap boleh dilihat sehingga ke Sungai Don. Berpuluh ribu orang mati disebabkan pengeboman ini. Joseph Stalin segera mengarahkan bandar ini dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir. Beliau meletakkan Lt. General Vasily Chuikov sebagai orang yang bertanggungjawab dalam mempertahankan bandar ini.

Jerman memasuki Stalingrad

Chuikov menerima tugas sukar apabila dilantik Stalin sebagai komander seluruh tentera Soviet di Stalingrad. Kepimpinan beliau berjaya mempertahankan Stalingrad daripada ditawan Jerman sepenuhnya.

Chuikov menghantar 1st Guards Army, 62nd Army dan 64th Army untuk menjaga perkelilingan Stalingrad. Namun, kelengkapan tentera Jerman yang sangat bagus menidakkan pertahanan Chuikov. Pada 12 September, 6th Army pimpinan General Paulus memasuki pintu masuk Stalingrad. Manakala 4th Panzer Army pimpinan Colonel-General Hoth menjaga 6th Army dari selatan.

Pertempuran Stalingrad

Chuikov sedar akan situasi yang sangat teruk di Stalingrad. Bedilan artileri, asakan kereta kebal musuh dan serangan udara yang bertubi-tubi membuatkan pertahanan beliau goyah. Beliau mengarahkan tentera Soviet untuk ‘memeluk’ tentera Jerman untuk memastikan; jika Jerman ingin mengebom posisi mereka, mereka akan mengebom tentera-tentera Jerman sekali.

Chuikov sedar yang mereka dikepung. Dibelakang mereka adalah Sungai Volga, sungai yang terpanjang dan terbesar di Soviet Union. Stalin melarang tentera Soviet untuk berundur ke seberang sungai. Sungai Volga merupakan kawasan dimana ‘reinforcement’ dan bantuan diberikan kepada Chuikov di Stalingrad. Oleh hal yang demikian, Sungai Volga tersebut sering dibedil oleh Luftlotte 4. Untuk membantu tentera Soviet bertempur di Stalingrad, Chuikov meletakkan artileri medan pelbagai jenis di seberang sungai supaya dapat memberi bantuan tembakan kepada tentera Soviet.

Pertempuran di Stalingrad sangat berdarah. Lebih berdarah daripada Pertempuran Poland 1939. Lebih berdarah daripada Pertempuran Perancis 1940. Setiap jalan, setiap lorong, setiap blok, setiap bilik mahupun ke lubang tahi sekalipun menjadi medan pertempuran kedua-dua tentera ini. Begitu sadisnya Pertempuran Stalingrad ini. Pada 15 November, Stalingrad sudahpun ditawan sebanyak 95%. Chuikov cuma berada 150m sahaja dari barisan hadapan dan Sungai Volga.

Operasi Uranus

 

Pelan Operasi Uranus

Pada 19 November 1942, Chuikov mendapat berita yang paling gembira dalam hidupnya. Tentera Soviet pimpinan Marshal Georgy Zhukov, seramai 1,143,500 orang tentera melancarkan counter-attack; Operasi Uranus. Serangan ini merupakan serangan rusuk dari utara dan selatan Stalingrad untuk membedil tentera Itali, Hungary dan Romania yang menjaga serangan Jerman yang sibuk bertempur di Stalingrad.

Lebih 1 juta tentera membedil tentera Jerman dari atas dan bawah untuk mengepung mereka.

Pada 23 November, 6th Army pimpinan Paulus dikepung sepenuhnya didalam Stalingrad. Hitler cuak. Hanya empat hari sahaja diperlukan untuk Zhukov mengepung hampir 300,000 tentera Jerman di Stalingrad. Hanya empat hari sahaja diperlukan untuk menghapuskan Operasi Biru yang berlarutan sejak Julai lalu. Hitler yang berang mengarahkan Paulus dan 6th Army duduk diam di dalam Stalingrad. Hitler janji angkatan udara Luftwaffe akan menyelamatkan mereka. Hitler janji aka ada pasukan penyelamat yang akan datang menyelamatkan Paulus di Stalingrad.

Marshal Zhukov (kanan) menjadi penyelamat kepada tentera Soviet apabila membedil dari belakang tentera Jerman yang sibuk bertempur di dalam Stalingrad.

Namun, bantuan itu tidak cukup. Paulus terhimpit di Stalingrad. Hitler melarang Paulus dan 6th Army untuk keluar dari bandar berkenaan. Hitler juga menaikkan pangkat Paulus kepada Field Marshal untuk menaikkan semangat beliau. Hitler juga menyuruh Paulus membunuh diri kerana “tiada seorang Field Marshal Jerman pernah ditangkap hidup-hidup”.

Paulus ditemubual oleh pegawai Soviet selepas menyerah kalah di Stalingrad.

Pada 2 Februari 1943, Field Marshal Friedrich Paulus, komander tentera Jerman ke-6 di Stalingrad ‘meletak senjata’ kepada General Vasily Chuikov, komander tentera Soviet di bandar berkenaan. Paulus mencipta sejarah apabila menjadi komander berpangkat Field Marshal pertama yang menyerah kalah kepada musuh. Tentera Jerman ke-6 merupakan tentera medan pertama yang menyerah kalah kepada musuh. Operasi Biru gagal. Impian Hitler untuk menawan minyak gagal. Army Group A terpaksa berkejar-kejar untuk keluar dari Kaukasus demi mengelakkan mereka menjadi Stalingrad No. 2.

Kegagalan Operasi Biru menoktahkan Blitzkrieg Jerman di timur buat selama-lamanya. Kegagalan di Stalingrad menjadikan ‘turning point’ kepada Jerman dalam perang ini. Tiada lagi operasi berskala besar yang mampu dilancarkan oleh Hitler sehingga perang dunia tamat.

Rujukan

  1. Antill, Peter (2007). Stalingrad 1942. Oxford: Osprey Publishing. ISBN 1-84603-028-5.
  2. Bellamy, Chris (2007). Absolute War: Soviet Russia in the Second World War. London: Pan Books. ISBN 978-0-330-48808-2.
  3. Glantz, David M.; Jonathan M. House (2009). To the Gates of Stalingrad: Soviet-German Combat Operations, April–August 1942. The Stalingrad Trilogy. I. Lawrence, KS: University Press of Kansas. ISBN 978-0-7006-1630-5.
  4. Hayward, Joel (2001). Stopped at Stalingrad: The Luftwaffe and Hitler’s Defeat in the East, 1942–1943. Lawrence, KS: University Press of Kansas. ISBN 0-7006-1146-0.
  5. Mercatante, Steven (2012). Why Germany Nearly Won: A New History of the Second World War in Europe. Praeger. ISBN 978-1910777756.
  6. Battle of Stalingrad (1942-1943) https://www.youtube.com/watch?v=gHkELWFqGKQ&t=20s
  7. McTaggart, Pat (Fall 2006). “Soviet Circle of Iron”. WWII History: Russian Front. Special. Herndon, Virginia: Sovereign Media. Issue. 1539-5456.
  8. FALL BLAU: Examine the Disaster https://www.youtube.com/watch?v=hzr6dD8fvVY&t=1081s
  9. Beevor, Antony (1998). Stalingrad: The Fateful Siege: 1942 – 1943. Harmondsworth, United Kingdom: Penguin Putnam Inc. ISBN 0-670-87095-1.
  10. Hill, Alexander (2017), The Red Army and the Second World War, Cambridge University Press, ISBN 978-1-1070-2079-5.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.