Perang Dunia Kedua: Membedah Stalingrad

0
1079
views

“Tidak Ada Berpatah Balik”. Inilah Arahan No. 227 yang dikeluarkan diktator Soviet, Joseph Stalin untuk mendisiplinkan tenteranya ketika berada di dalam kota berkenaan. Pertempuran Stalingrad merupakan pertempuran solo paling berdarah dalam sejarah manusia. Hampir 2 juta tentera mati ketika pertempuran ini.
Stalingrad pada ketika ini diasak dari setiap sudut oleh tentera Jerman. Hanya Sungai Volga sahaja yang menjadi tempat untuk meloloskan diri bagi tentera Soviet. Namun, disebabkan Arahan No. 227, tiada seorangpun yang berani untuk berundur ke seberang sungai. Ramai diantara mereka tidak ada pilihan lain. Sama ada mereka lawan atau mati.

Operasi Biru

Jetpack Langkawi

Ia bermula apabila Hitler melancarkan Operasi Biru pada 28 Jun 1942. Operasi ini bertujuan untuk menawan segala sumber minyak di Kaukasus. Operasi ini akan bermula di selatan Soviet Union dimana Army Group South akan mara dari selatan terus ke Sungai Volga dan kemudiannya membelok ke selatan menuju ke Kaukasus.
Hitler perlukan sumber minyak ini kerana minyak merupakan keperluan lojistik yang paling penting jika ingin meneruskan peperangan.

Setiap kereta kebal, kapal terbang dan kapal-kapal laut memerlukan minyak ini jika Jerman ingin melawan British dan Amerika di Atlantik. British di Afrika dan Soviet Union di Timur. Kegagalan Operasi ini akan menjanjikan kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Hitler tidak mampu untuk mengharapkan minyak sintetik kerana ia memerlukan kos yang tinggi. Beliau juga sedar, Romania, pengeluar minyak kedua terbesar di Eropah tidak mampu untuk menampung permintaan tinggi Hitler kerana mengganggarkan minyak Romania akan habis pada 1942.

Pada hari serangan Operasi Biru, Army Group South pimpinan Marshal von Bock tidak menghadapi sebarang masalah untuk mara. Pada ketika ini, Stalin membayangkan serangan Jerman pada tahun 1942 adalah ke arah Moscow di tengah. Oleh hal yang demikian, Stalin mengendahkan sistem pertahanan di selatan dan terus fokus di bahagian tengah. Terdapat juga maklumat perisikan seawal bulan Mei lagi bahawa serangan seterusnya akan dilakukan di selatan.

Stalin menghiraukan maklumat ini sebagai helah.

Tentera Jerman mara dengan jayanya namun perlahan. Walaupun terdapat beberapa asakan dan tentangan hebat dari tentera Soviet di selatan, namun ia tidak mampu untuk menahan tentera Jerman daripada menawan kota-kota penting seperti Voronezh dan Rostov.

Friedrich Paulus, komander tentera 6th Army, akan menjadi watak paling penting di dalam episod ini. Beliau seorang yang rajin bekerja tetapi tidak mempunyai kudrat untuk melawan keputusan Hitler.

Dengan tidak sabarnya, Hitler mengaktifkan Operasi Biru II, memecahkan Army Group South kepada dua; Army Group A (Marshal List) dan Army Group B (Marshal von Bock). Army Group A akan mara ke Kaukasus melalui Rostov terus menawan pelantar-pelantar minyak di Maikop dan Baku. Manakala Army Group B akan menjadi sebagai pendinding dan benteng kepada Army Group A. Army Group B akan mara terus ke Sungai Volga dan Laut Kaspian seterusnya menjadi pendinding agar tiada tentera Soviet dapat mengganggu Operasi Jerman di Kaukasus.

Stalingrad

Tiada langsung dalam fail Operasi Biru bahawa “Stalingrad perlu ditawan”. Tidak ada langsung. Objektif asal Army Group B pimpinan Marshal von Bock adalah untuk menawan Voronezh, Sungai Volga dan Astrakhan di Laut Kaspian. Seterusnya menjadi pendinding (blocking forces) agar tentera Soviet tidak dapat mengganggu operasi pencarian minyak yang dilakukan oleh Army Group A.

Namun, Hitler mula berubah fikiran dan mula bergaduh dengan Marshal von Bock. Akibatnya, beliau dipecat dan digantikan oleh Colonel General Maximilian von Weichs yang lebih patuh kepada Hitler.


Colonel-General von Weichs (kiri) menggantikan Marshal von Bock sebagai komander Army Group B. Beliau dilantik kerana tidak banyak membantah keputusan Hitler.

Hitler sibuk mengubah objektif Army Group B bukannya apa. Stalingrad merupakan antara hub industri terbesar di Soviet Union. Lebih 70% pengularan sumber negara datang daripada Stalingrad. Tempat pemprosesan minyak, kilang kereta kebal, kilang senjata api, gudang makanan dan sumber manusia semuanya ada di Stalingrad. Bukan itu sahaja, nama kota itu sendiri sudah membuatkan Hitler berkobar-kobar untuk menawan kota berkenaan.

Kota ini diberi nama Stalingrad sempena nama diktator Soviet Union iaitu Joseph Stalin. Nama asal kota ini ketika zaman Tsar Russia ialah Tsaritsyn. Kota ini sekali lagi ditukar nama ketika era pemerintahan Nikita Khrushchev kepada Volgograd. Stalin pernah menjadi hero di kota ini pada 1918 dan 1920 apabila berjaya menumpaskan Tentera Putih yang cenderung kepada Maharaja Rusia ketika Perang Saudara Rusia pada 1917-1920. Jika Hitler dapat menawan kota ini, ia akan memberikan tamparan hebat kepada kerajaan Stalin dan menaikkan populariti beliau di mata dunia.

Menuju Stalingrad

Stalingrad selepas dibom dengan dahsyatnya.

Pada 24 Julai 1942,  selepas menawan bandar Voronezh, General Friedrich Paulus dan 6th Army mara terus ke Stalingrad, mengejar tentera Soviet 62nd Army dan 64th Army. Sementara 6th Army menuju ke Stalingrad, rusuk kiri mereka dijaga oleh German 2nd Army, Hungarian 2nd Army, Italian 8th Army dan Romanian 3rd Army.

Paulus (kiri) melihat Hitler ketika mesyuarat mengenai situasi di Selatan Rusia

Disebabkan mentaliti tentera Soviet yang sering berundur kerana beranggapan yang tanah Rusia masih lagi banyak, Stalin mengeluarkan “Arahan No. 227”. Arahan ini menyuruh seluruh tentera Soviet untuk bertahan dimana mereka berada. Arahan ini juga mengharamkan semua tentera Soviet untuk tidak berundur walaupun seganjak melainkan mendapat persetujuan daripada pegawai politik yang berdekatan.

Menurut komander tentera Soviet di Stalingrad, General Vasily Chuikov, “Arahan No. 227” memberikan impak yang sangat dahsyat kepada tentera Soviet. Tidak ada siapa yang berani mengingkari arahan ini walaupun mereka berpangkat General sekalipun. Barangsiapa yang berundur tanpa kebenaran pegawai politik, mereka akan ditembak di situ juga.

Dalam pada itu, perjalanan Paulus dan 6th Army tidaklah seindah mana. Tentera Soviet memberikan tentangan yang sangat hebat kepada mereka. Sungguhpun begitu, Paulus mendapat bantuan udara daripada Luftlotte 4 pimpinan Colonel-General Wolfram von Richthofen. Pengeboman dibuat dengan skala besar oleh tentera udara pimpinan Richthofen keatas bandar Stalingrad.

Memasuki Stalingrad

Pada 23 Ogos 1942, beberapa elemen 6th Army pimpinan Paulus sudah berada di dalam Stalingrad. Tentera Soviet memberikan asakan yang tidak berbelah bahagi kepada tentera Jerman. Selepas memasuki Stalingrad, seorang tentera Jerman menggambarkan betapa teruknya bandar ini dibom oleh tentera udara Jerman. Jika dilihat pada gambar yang diambil selepas pertempuran, sememangnya Stalingrad teruk dibom. Ia seperti melihat Hiroshima yang kena bedilan bom atom oleh tentera Amerika.

Tentera Soviet di Stalingrad, Disember 1942.

Stalin dan panglima-panglimanya berasa cuak. Selepas menyedari tentang objektif utama tentera Jerman di selatan, Stalin menghantar berpuluh-puluh divisyen baru dari Moscow dan Siberia terus ke Stalingrad untuk dipertahankan. Stalin juga merombak segala organisasi di selatan dengan gopoh. Beberapa “Front hantu” atau tentera yang tidak mencukupi dicipta oleh Stalin.

Dalam Front ini, kebanyakkan tentera didalamnya hanyalah wujud pada nama sahaja tetapi hakikatnya organisasi mereka sangat kucar kacir. Sebagai contohnya, Stalin mengaktifkan beberapa front seperti Stalingrad Front, Southeastern Front, Don Front dan Voronezh Front. Namun semua Front (equivalent to Army Group) tersebut tidak mempunyai General untuk mentadbir tentera di dalamnya. Ini merupakan salah satu punca ramai tentera Soviet dihantar hanya untuk mati.

Sebelum Stalingrad, Chuikov merupakan seorang komander yang tidak dikenali. Pada pertempuran ini, beliau membuktikan beliau sanggup mati demi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang komander tentera.

Setiap kali tentera baru masuk ke Stalingrad, mereka sedar bahawa peluang untuk mereka hidup sangatlah tipis. Menurut Encyclopedia Britannica dan Sejarawan Anthony Beevor, purata hayat seorang tentera Soviet yang bertempur di Stalingrad hanyalah 24 jam sahaja! Tentera berpangkat Koperal dan keatas pula mempunyai jangka hayat dalam 2 hari sahaja! Manakala pegawai berpangkat Mejar kebawah hanya mempunyai 3 hingga 7 hari sahaja jangka hayat di Stalingrad!

Selain Chuikov, Khruschchev juga antara aktor yang penting dalam mendisiplinkan tentera Soviet di Stalingrad dengan jawatan beliau sebagai Pegawai Politik Kommissar di sana.

Ya. Pertempuran Stalingrad sangat brutal. Sangat berdarah. Sangat dahsyat. Jika anda menyeberang Sungai Volga untuk bertempur di Stalingrad, anda mungkin takkan hidup sebelum anda tiba mendarat Stalingrad lagi. Chuikov berkata ketika mengambil alih jawatan sebagai Komander Tentera di Stalingrad, “Kita sedang memasuki Neraka. Tidak. Ini bukan neraka.Ini 10 kali ganda lagi teruk daripada neraka!”

Lebih kurang 500,000 tentera mati ketika 200 hari pertempuran di Stalingrad. Mengikut pengiraan matematik, setiap hari akan ada 2500 orang akan mati. Setiap 1 dalam 40 orang akan mati kurang daripada 24 jam. Tentera Soviet di Stalingrad akan bertempur di dalam setiap tempat. Setiap rumah. Setiap bilik. Setiap aras. Setiap parit. Mahupun di lubang tahi, akan ada tentera Soviet bertempur di situ. Seorang tentera Jerman berjenaka mengenai jika tentera Jerman memasuki rumah, belum tentu seluruh rumah itu akan ditawan pada hari yang sama, walaupun di bilik air. Tentera Jerman menggelarkan ia “Rattenkrieg” atau Perang Tikus.

Inilah dia Rumah Pavlov. Blok ini menjadi saksi kedegilan tentera Soviet dalam mempertahankan Stalingrad. Lebih banyak tentera Jerman yang mati di rumah ini berbanding di Perancis.

Kedegilan yang ditunjukkan oleh tentera Soviet terbukti dalam beberapa insiden. Kisah seorang tentera Soviet berpangkat Sarjan, Yakov Pavlov mempertahankan sebuah bangunan empat tingkat daripada tentera Jerman. Bangunan itu dilengkapi dengan terowong dan sistem pertahanan yang pelbagai. Sarang mesingan, rifle anti-kereta kebal, periuk api, dipasang disekeliling rumah tersebut. Bangunan tersebut digelar sebagai Rumah Pavlov. Beliau juga pernah berjenaka bahawa tentera Jerman banyak mati untuk menawan rumah ini daripada ketika mereka bertempur di Perancis pada 1940. Selepas 58 hari dikepung, Rumah Pavlov akhirnya jatuh ketangan tentera Jerman pada 25 November 1942.

Terdapat juga insiden lain dimana apabila pasukan Divisyen Kereta Kebal Ke-16 memasuki Stalingrad dari arah utara, mereka diserang oleh sepasukan tentera Soviet yang berkampung di posisi mereka. Tentera Soviet tersebut daripada Rejimen Anti-Pesawat Ke-1077 diarahkan untuk mempertahankan posisi mereka daripada serangan kereta kebal Jerman dengan menggunakan senjata meriam anti-pesawat mereka. Rejimen tersebut bertempur dengan sangat berani sehingga memusnahkan banyak kereta kebal Jerman. Selepas seharian bertempur, tentera Jerman berjaya memusnahkan pertahanan rejimen tersebut. Apa yang mengejutkan mereka ialah, kesemua tentera Soviet Rejimen Anti-Pesawat Ke-1077 adalah tentera wanita!

Tentera Jerman memasuki Stalingrad.

Stalingrad memang terkenal dengan antara hub industri terbesar di Soviet Union, selepas pengeboman oleh Luftlotte 4, banyak kilang-kilang tentera musnah. Mereka terpaksa menukar kilang coklat kepada kilang pembuatan makanan, kilang bijih kepada kilang pengeluaran senjata dan beberapa kilang-kilang lain. Disebabkan begitu terdesak dengan permintaan tinggi untuk bertempur di Stalingrad, ada kilang kereta kebal Soviet terus dihantar untuk bertempur selepas selesai dibina. Kereta kebal ini belum lagi sempurna kerana belum sempat dicat dan dipasang teropong. Maka, tentera Soviet terpaksa menembak dengan berpandukan barel hadapan senjata berkenaan.

Arahan No. 227 memberi masalah kepada tentera Jerman di Stalingrad. Disebabkan arahan tersebut, tentera Soviet menjadi sangat degil dan aggresif. Banyak tentera Jerman yang mati. Walaupun begitu, tentera Jerman masih lagi mampu mara tetapi dengan sangat perlahan. Chuikov mengarahkan tentera-tenteranya untuk ‘memeluk’ tentera Jerman sekiranya jika Luftlotte 4 mengebom mereka, mereka akan mengebom tentera Jerman sekali.

Vasily Zaytsev menjadi pembunuh senyap yang paling ditakuti oleh tentera Jerman.

Pertempuran di bukit Mamayev Kurgan juga menyaksikan kedudukan itu bertukar tangan sebanyak 14 kali! Bayangkan dalam masa sehari, suatu kawasan berubah tangan sebanyak itu. Bayangkan betapa terdesaknya kedua-dua pihak ketika itu. Tidak dilupakan juga Stalingrad menjadi medan kepada penembak hendap untuk memburu musuh. Jika anda seorang tentera di Stalingrad, sudah pasti anda tidak akan tidur lena. Vasily Zaytzev merupakan penembak Soviet yang paling handal di Stalingrad. Hampir 225 orang dibunuhnya termaksuk 11 penembak hendap yang dihantar oleh Nazi Jerman. Kisah hidup beliau diabadikan dalam filem “Enemy at the Gates” keluaran 2001.

Tentera Soviet berehat disebalik runtuhan bangunan di Stalingrad

Bukan sahaja tentera yang bertempur sahaja yang sengsara di Stalingrad malahan juga pemimpin-pimimpin tertinggi tentera di sana.  Pertempuran yang sangat dahsyat dan berterusan menyebabkan General Paulus langsung tidak tidur sehingga menyebabkan mata kanannya dijangkiti bakteria. Paulus dan staffnya jarang sekali dapat tidur kerana situasi di Stalingrad sangat vital untuk mereka lalai dari tugas. Manakala komander Soviet, Lt. General Chuikov pula menghidap eczema pada tanganya akibat melecur dibedil tentera Jerman di Stalingrad.

Pada 14 Oktober 1942, Paulus dan 6th Army berjaya pecahkan tentera Soviet kepada dua di Stalingrad dan tiba di Sungai Volga. Pertahanan Soviet di kilang Red October, Barricades dan Traktor menjadi pertempuran dahsyat yang terakhir sebelum tentera Jerman berjaya memisahkan tentera Soviet kepada dua. Bilik Operasi (HQ) General Chuikov hanya 200m sahaja dihadapan Sungai Volga dan percaya bahawa kejatuhan bandar Stalingrad hanya berlaku dalam beberapa hari sahaja.

Namun, Paulus masih lagi tidak dapat menawan seluruh Stalingrad. Tentera Soviet pimpinan Chuikov masih lagi berdegil. Ia berlarutan sehingga 3 bulan seterusnya. Pada bulan November, Paulus telah berjaya menawan 90% kota Stalingrad. Sungguhpun begitu, tentera beliau telah terkorban sebanyak 60,548 orang dalam 3 bulan tersebut. Tentera Udara Jerman pula semakin kehilangan rentak apabila aset-aset mereka banyak musnah akibat bedilan tentera Soviet.

Zhukov dan Operasi Uranus – Giliran Paulus pula terperangkap

Keadaan Tentera Jerman dan sekutunya, sebelum Operasi Uranus. Lihat keadaan tentera Jerman di hujung Stalingrad yang sangat terdedah.

Apa yang Hitler dan Paulus gagal untuk jangka adalah pelan General Georgy Zhukov untuk melancarkan counter-attack besar-besaran terhadap tentera Jerman di Stalingrad. Zhukov sedar bahawa rusuk tentera Jerman sangat terdedah dan hanya dilindungi oleh tentera Romania, Hungary dan Itali yang boleh dikatakan sangat lemah.

Zhukov berjaya mengkoordinasi dan mengorganisasi sejumlah tentera yang banyak di rusuk kiri dan kanan tentera Jerman. Beliau berjaya menyusun 10 tentera medan, 1 tentera kereta kebal, 4 tentera pasukan tentera udara di utara dan selatan. Tentera Jerman tidak menyedari mengenai hal ini.

Ada laporan daripada tentera Itali mengenai pergerakkan besar-besaran ini namun Hitler tidak mengendahkan mereka. Bagi beliau, penawanan Stalingrad adalah pasti. Jangkaan beliau meleset dan menjadi penyesalan seumur hidup beliau.

Operasi Uranus: Perangkap Zhukov besar-besaran kepada tentera Jerman

Pada 19 November 1942 waktu Subuh, tentera Soviet melepaskan berbagai-bagai jenis artileri kearah 3rd Romanian Army yang menjaga rusuk utara Stalingrad. Bedilanya begitu dahsyat sehingga mengubah bentuk muka bumi disitu. Pada pukul 8.50 pagi, tentera Soviet 21st Army, 65th Army dan 5th Tank Army pimpinan General Nikolai Vatutin menyerang kedudukan tentera Romania.

Georgy Zhukov, panglima tentera Soviet yang paling disegani. Selepas pertempuran ini, Stalin menganugerahkan beliau pangkat Marshal of Soviet Union.

Disebabkan kurangnya senjata anti-kereta kebal, tentera Romania dikalahkan dengan cepat. Pada tengah hari, tentera pimpinan Vatutin berjaya memecah kebuntuan merusuk penuh tentera Romania. Paulus ketika ini tergamam. Beliau terputus komunikasi dengan tentera Romania dan sebahagian elemen tentera Jerman di sana. Paulus mengarahkan 48th Panzer Corps, yang tidak bersedia, untuk menahan serangan tentera Soviet namun gagal. Pertembungan kereta kebal diantara kedua-dua belah pihak begitu sengit. Akibat begitu banyaknya kereta kebal Soviet, tentera Jerman di utara Stalingrad dikalahkan sepenuhnya pada 20 November dan terpaksa berundur.

Lebih malang lagi, pada 20 November 1942, lagi berita serangan besar-besaran yang dilakukan oleh tentera Soviet. Tetapi kali ini, di bahagian selatan Stalingrad. Tentera Soviet 51st, 57th , 65th Army dan 1st Guards Army (tentera elite) pimpinan General Andrei Yeremenko pada pukul 10 pagi selepas dibedil dengan dahsyat oleh artileri Soviet, menyerang 4th Romanian Army di selatan Stalingrad.

Sama juga situasi di utara, tentera Romania disitu sangat lemah. Tiada senjata yang mencukupi untuk mempertahankan kedudukan mereka. Lebih malang lagi, sebenarnya 4th Romanian Army terpaksa cover sejauh 400km kedudukan mereka di antara Stalingrad dan Kaukasus. Hal ini menyebabkan kedudukan mereka sangat terdedah!

Ilustrasi peta yang menunjukkan pelan untuk memerangkap Paulus di Stalingrad. Tentera Jerman (dalam Stalingrad) hanya dilindungi oleh tentera Romania (dibawah) dan tentera Hungary (diatas) yang boleh dikatakan sangat lemah.

Namun, serangan di selatan berjaya dipatahkan apabila Paulus menghantar tentera simpanan 29th Panzergrenadier Division untuk membantu 3rd Romanian Army. Divisyen ini berjaya mematahkan beberapa serangan yang dibuat oleh tentera Soviet sehingga mereka tidak berjaya untuk memecah kebuntuan seperti yang dilakukan oleh tentera Soviet di utara.

Sungguhpun begitu, situasi di utara sangatlah teruk sehinggakan 3rd dan 4th Romanian Army bersandar diantara satu sama lain di bandar Kalach (bandar sebelum Stalingrad). Pada 23 November, bandar Kalach ditawan oleh tentera Soviet dan menyebabkan tentera Paulus di Stalingrad terperangkap daripada seluruh Army Group B.

Operasi Uranus merupakan satu kejayaan buat Soviet Union. Tatkala tentera Jerman memerlukan 4 bulan cuba untuk memerangkap tentera Soviet di Stalingrad, tentera Soviet hanya memerlukan 4 hari sahaja untuk memerangkap tentera Jerman di Stalingrad! 4 hari sahaja! Disebabkan ini Hitler menjadi sangat berang. Hampir semua panglima atasan dimaki oleh beliau. Selepas operasi ini, Hitler menyuruh Paulus dan 300,000 tenteranya (bersama-sama tentera Romania, Hungary dan Itali) untuk duduk diam dan berlawan berhabis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir di Stalingrad.

Operasi Ribut Salji – Cubaan Hitler untuk menyelamatkan Paulus

Field Marshal Erich von Manstein merupakan individu yang diberikan kepercayaa oleh Hitler untuk menyelamatkan 6th Army di Stalingrad. Kredibiliti beliau sebagai seorang komander sangat tidak asing lagi. Namun beliau gagal dalam misi menyelamat ke Stalingrad.

Selepas Operasi Uranus, Paulus dan tenteranya terperangkap di dalam Stalingrad. Tanpa bekalan. Tanpa arah. Hitler segera mengarahkan pelan untuk menyelamatkan tenteranya di Stalingrad. Hitler berjanji kepada Paulus yang beliau akan menghantar pasukan menyelamat untuk bawa keluar Paulus dan tenteranya dari Stalingrad.

Sehubungan dengan itu, Hitler mengaktifkan satu lagi Army Group yang akan menjadi pasukan menyelamat. Army Group ini diletakkan di Sungai Don, di antara Army Group B di utara Sungai Don dan Army Group A di Kaukasus.

Namak umpulan ini dipanggil Army Group Don yang merangkumi 6th Army yang terperangkap di Stalingrad. 4th Panzer Army (Hoth), beberapa elemen tentera Romania dan Hungary yang hancur akibat serangan Operasi Uranus, serta 8th Italian Army yang lemah. Kekuatan Army Group Don tidak sampai 100,000 orang sahaja namun mempunyai 250 kereta kebal tambahan termasuk sejumlah kereta kebal berat yang menjadi lagenda iaitu kereta kebal Tiger.

Hitler meletakkan Field Marshal Erich von Manstein sebagai komander Army Group Don. Manstein merupakan seorang komander yang sangat berkaliber. Beliaulah yang merangka pelan Serangan keatas Perancis (1940). Beliau juga menjadi hero apabila berjaya menawan kubu kuat Soviet ketika Pengepungan Sevastopol (1941-1942) yang menyebabkan beliau dinaikkan pangkat kepada Field Marshal. Selepas itu, beliau menyelamatkan tentera Jerman daripada cubaan tentera Soviet untuk menyerang Leningrad pada Ogos 1942.

Manstein merupakan seorang yang genius dan Hitler amat meminati karekter yang diberikan oleh beliau. Manstein diberikan kepercayaan untuk menyelamatkan Paulus di Stalingrad. Kematian satu-satunya anak lelaki beliau membuatkan beliau bersemangat untuk menerima jawatan ini. Beliau mula merangka pelan bersama-sama Hitler berkenaan bagaimana untuk mengeluarkan Paulus daripada Stalingrad.

Selepas meneliti situasi sebenar keadaan di Stalingrad, beliau memberi idea kepada Hitler mengenai pelan Operasi Winter Storm (Ribut Salji). Army Group Don akan menyerang Sungai Don, kemudiannya bandar Kalach, kemudian terus ke Stalingrad, dimana Paulus berada.

Pada mulanya, Hitler menjanjikan tentera tambahan kepada Manstein daripada Perancis dan Manstein meletakkan 12 Disember sebagai tarikh serangan. Manstein juga mencadangkan bahawa Paulus supaya tidak berganjak kerana yakin bahawa bala tenteranya dapat menyelamatkan Paulus. Komander Turus Tentera Udara Jerman, Hermann Goering juga meyakinkan Hitler bahawa Paulus dan tenteranya mampu dibekalkan makanan, minuman dan kelengkapan secukupnya iaitu sebanyak 700 tan sehari.

Operasi Ribut Salji – Harapan Terakhir

Operasi Ribut Salji (Winter Storm) dilancarkan pada 12 Disember 1942, dengan menggunakan armada kereta kebal berat baru iaitu Panzerkampwagen VI, Tiger kearah tentera Soviet yang tampak tidak bersedia di sepanjang Sungai Don.

Sekali lagi, tentera Soviet gagal menjangkakan tarikh serangan tentera Jerman pimpinan Manstein dan terpaksa melupakan hasrat untuk melenyapkan tentera Paulus di Stalingrad. Stalin mengarahkan Zhukov menukar arah tentera Soviet daripada menyerang Stalingrad untuk bertahan daripada asakan Army Group Don pimpinan Manstein.

Namun begitu, tentera Soviet yang sangat banyak (1 juta orang Soviet vs 60,000 tentera Jerman) berjaya memberi titik noktah kepada serangan daripada Manstein. Tentera Jerman berjaya dihentikan di selatan bandar Kalach, lebih kurang 48km daripada Stalingrad pada 18 Disember.

Operasi Ribut Salji disabotaj apabila tentera Soviet pimpinan Zhukov melancarkan serangan terhadap Army Group Don di rusuk utara mereka. Manstein terpaksa berhenti seketika untuk mempertahankan rusuk beliau. Jika Manstein meneruskan misi menyelamat, risiko untuk mereka di cut-off oleh tentera Soviet adalah sangat tinggi dan ini akan membawa kepada kemusnahan tentera Jerman secara besar-besaran. Manstein mula menyedari bahawa operasi menyelamat ini adalah mustahil.

Marshal von Manstein tidak mampu untuk menyelamatkan Paulus di Stalingrad akibat asakan tentera Soviet dari setiap arah serta kelewatan tentera yang dijanjikan Hitler dari Perancis.

Pada ketika ini, Manstein mula merayu kepada Hitler agar tentera Paulus di Stalingrad untuk bergerak keluar kearah posisi tentera Jerman yang hanya 48km sahaja dari situ. Hitler enggan dan berkeras. Hitler berkata yang Manstein sudah berjanji bahawa tenteranya akan menyelamatkan Paulus di Stalingrad dan Goering akan memberikan bantuan bekalan udara yang mencukupi.

Manstein pada mulanya berjanji akan menyelamatkan Paulus. Selepas melihat situasi sebenar, beliau merayu kepada Hitler supaya Paulus meninggalkan Stalingrad. Hitler enggan.

Realitinya, Manstein mengadu bahawa bantuan tentera yang dijanjikan Hitler daripada Perancis tidak lagi sampai dan beliau kini kekurangan tentera untuk meneruskan misi menyelamat. Tentera Udara Jerman pula gagal menghantar bekalan makanan yang dijanjikan kepada 300,000 orang yang terperangkap di Stalingrad. Paulus berkata, mereka hanya mempunyai bekalan minyak untuk mara sejauh 30km sahaja sedangkan tentera Jerman terdekat adalah sejauh 48km. Peluru juga sudah semakin nazak dan beliau terpaksa menjimatkan penggunaannya.

Reichsmarschall Hermann Goering meyakinkan Hitler bahawa Luftwaffe boleh membekalkan 700 tan bekalan sehari kepada 6th Army di Stalingrad. Beliau gagal melunaskan janjinya.

Manstein buntu. Hitler enggan. Paulus tidak mendapat lampu hijau untuk membuat ‘breakout’ untuk keluar daripada Stalingrad malah disuruhnya untuk duduk static di kota berkenaan. Akhirnya, pada 23 Disember, Manstein menghentikan Operasi Ribut Salji dan kembali semula kepada kedudukan asal di seberang Sungai Don. Betapa remuknya harapan-harapan Paulus dan 300,000 apabila mengetahui pasukan menyelamat yang akan menyelamatkan mereka di Stalingrad. Sebagai tanda menaikkan semangat Paulus, Hitler menganugerahkan pangkat kedua tertinggi tentera iaitu Colonel-General.

Situasi di Stalingrad.

Zhukov menghantar utusan kepada Paulus pada 7 Januari 1943 supaya beliau dan 6th Army yang terperangkap di Stalingrad untuk menyerah diri. Paulus, selepas mendapat mandate daripada Hitler, enggan untuk menyerah. Paulus diberitahu untuk terus berjuang supaya dapat mengalihkan fokus tentera Soviet kearah Stalingrad dan memberikan ruang kepada Army Group A untuk keluar daripada Kaukasus. “Setiap hari kamu bertahan lebih lama, kamu akan berjasa dalam membantu untuk menstabilkan tentera Jerman di barisan pertahanan di lain-lain tempat. Teruskanlah bertahan!”

Situasi Paulus di Stalingrad sangat kronik. Tenteranya ramai mati kesejukkan, kurang mendapat makanan dan menghadapi ketakutan yang sangat dahsyat. Tiada pilihan lain yang mampu dibuat oleh tentera Jerman yang terperangkap di situ melainkan menyerah diri. Zhukov menjanjikan bahawa tentera Jerman yang menyerah akan diberikan layanan yang baik, makanan yang cukup dan pakaian yang hangat.

Pada 23 Januari 1943, Luftwaffe membuat penerbangan terakhir meninggalkan Stalingrad.

Namun, Paulus sedar semua itu hanyalah propaganda belaka. Mana mungkin pihak Soviet akan melayan tentera Jerman sedemikian setelah apa yang mereka telah buat terhadap Soviet Union sebelum ini. Mengimbas kembali kesalahan tentera Jerman, mereka membunuh orang awam, melayan tawanan perang dengan teruk, membakar kampong-kampung dan menyembelih orang yahudi tidak kira wanita atau kanak-kanak. Apa akan adanya belas kasihan oleh pihak Soviet sekiranya mereka menyerah? Tidak!

Paulus berdegil. Beliau tidak mengendahkan terma dan syarat yang dikemukakan oleh orang-orang Komunis berkenaan. Tentera Jerman sudah tidak bermaya lagi. Pada 23 Januari 1943, Tentera Udara Jerman membuat perkhidmatan penerbangan terakhir keluar daripada Stalingrad. Itulah satu-satunya harapan bagi tentera Jerman untuk keluar daripada neraka berkenaan. Bagi tentera Jerman di Stalingrad, hanya kematian sahajalah yang mampu mengeluarkan mereka daripada kesengsaraan ini. Oleh hal yang demikian, masih ada ramai lagi tentera Jerman yang masih berkeras menangkis serangan tentera Soviet kerana takut jika ditangkap, mereka akan diseksa dengan kejam.

Jika sebelum ini, Paulus dan 6th Army menolak dan menghimpit tentera Soviet sehingga ke tebing Sungai Volga, kini giliran mereka pula yang ditolak dan dihimpit! Tentera Soviet melancarkan operasi pembersihan terakhir dengan melancarkan serangan keatas tentera Jerman di Stalingrad pada 10 Januari 1943.

Serangan terakhir tentera Soviet terhadap tentera Jerman yang terperangkap di Stalingrad, 10 Januari 1943.

Pada 22 Januari, Paulus menelefon Hitler untuk meminta kebenaran untuk mereka menyerah diri kepada pihak Soviet. Hitler melarang Paulus dan memberitahu bahawa tentera Jerman di Stalingrad sedang membuat pengorbanan paling besar dalam sejarah Jerman. Mereka akan menjadi hero yang paling agung dalam sejarah dunia moden dengan bertahan di Stalingrad sehingga ke titisan darah terakhir. Pada 24 Januari, Paulus menghantar satu lagi laporan; “18,000 orang yang cedera. Tiada ubat. Tiada bantuan. Mohon hantar bantuan segera”.

Pada 26 Januari, 6th Army pimpinan Paulus terpisah kepada dua selepas serangan oleh tentera Soviet; bahagian utara dan bahagian selatan. Paulus berada di selatan. Ketika ini, jumlah orang sakit meningkat kepada 60,000 orang. Hitler masih lagi enggan memberi kebenaran kepada Paulus untuk menyerah diri. Paulus menurut perintah Hitler.

Pada 30 Januari 1943, keadaan semakin terdesak, sangat terdesak. Apa yang tinggal untuk tentera Jerman di Stalingrad? Berlawan sehingga ke titisan darah terakhir? Melihat orang yang cedera menderita tanpa ubat-ubatan? Atau menyerah diri? Paulus kini pasrah. Sekali lagi beliau meminta kebenaran untuk menyerah. Kali ini, Hitler menghantar berita yang ‘gembira’ kepada 6th Army di Stalingrad. Lebih 20 orang komander tentera akan dinaikkan pangkat diatas perkhidmatan yang jitu mereka kepada negara. Ini merupakan mesej terakhir oleh Hitler kepada 6th Army di Stalingrad.

Tentera Jerman menyerah

Pada pukul 7 pagi, 30 Januari 1943, Friedrich Paulus, komander 6th Army di Stalingrad dianugerahkan pangkat Field Marshal oleh Adolf Hitler. Paulus tergamam. Pelbagai persoalan bermain difikirannya. Adakah ini jenaka? Kenapa Hitler menyeksa mereka di situ? Dimana bantuan yang dijanjikan? Adakah ini merupakan peperangan yang sia-sia? Paulus dan seluruh 6th Army di Stalingrad seperti diludah.

Kenaikkan pangkat Paulus kepada Field Marshal membawa mesej yang jelas. Paulus perlu mati. Beliau dilarang untuk menyerah diri. Tidak pernah dalam sejarah tentera Jerman, seorang pegawai berpangkat Field Marshal menyerah diri kepada pihak musuh. Hitler mengharapkan Paulus supaya membunuh diri agar kematiannya dianggap sebagai hero. Paulus, seorang yang kuat beragama Roman Katolik berkata kepada pegawai kanannya “Aku tidak akan membunuh diri untuk

Pada pukul 8 pagi, Paulus dikejutkan apabila diberitahu bahawa delegasi daripada pihak Soviet telah berada di pintu depan HQ beliau. Paulus mengarahkan Ketua Staf 6th Army, Lt. Gen. Arthur Schmidt untuk melayan mereka. Delegasi Soviet memberitahu mereka bahawa mereka semua kini berada dalam tawanan mereka. Paulus berkata bahawa beliau tidak menyerah, tetapi ‘ditawan secara mengejut’.

Pada pukul 9 pagi, Paulus dan seluruh staf di HQ 6th Army ditahan dan dibawa ke bilik operasi tentera Soviet untuk di soal siasat. Ketika diarahkan untuk menandatangani surat peletakkan senjata, Paulus enggan. Oleh hal yang demikian, pertempuran masih lagi berlaku di lain-lain kawasan di Stalingrad utara dimana mereka menyerah kalah pada dua hari kemudian.

Kesimpulan Stalingrad

Keadaan seorang tentera Jerman selepas ditawan oleh seorang askar Soviet, Februari 1943.

Pada 2 Februari 1942, 6th Army dan 100,000 orang tentera yg masih hidup menyerah kalah di Stalingrad. Pelbagai rekod yang dapat dipecahkan dalam pertempuran ini. Pertempuran ini menjadikan 6th Army merupakan tentera medan pertama tentera Jerman yang menyerah kalah kepada musuh. Komander mereka, Friedrich Paulus merupakan Field Marshal pertama yang menjadi tawanan musuh dalam sejarah. Pertempuran ini merupakan kempen pertempuran solo yang paling berdarah salam sejarah dunia. Lebih 1 juta nyawa terkorban didalam satu tempat sahaja.

Field Marshal Paulus, dibawa untuk soal siasat sambil diperhatikan oleh beberapa orang pegawai Soviet.

Dengan berakhirnya pertempuran ini, maka berakhirlah kudrat tentera Jerman untuk melancarkan ofensif berskala besar buat selama-lamanya. Selepas Stalingrad, tentera Hitler mula berundur, sedikit demi sedikit. Nazi Jerman sejak itu bertukar kepada posisi pertahanan. Kini, Hitler tepaksa membahagikan tenteranya kepada dua; Tentera di Timur menentang Soviet Union. Manakala Tentera di Barat menentang Amerika Syarikat dan British.

Tentera Soviet kehilangan 1,129,169 orang ketika pertempuran ini manakala Jerman kehilangan 868,374. Tentera Soviet 2,279 pesawat udara, 4,431 kereta kebal dan 15,728 meriam pelbagai jenis. Manakala tentera Jerman kehilangan 900 pesawat, 1,500 kereta kebal dan 5,763 meriam pelbagai jenis. Walaupun begitu, Jerman mempunyai kesukaran untuk menggantikan aset-aset yang hilang berbanding Soviet kerana Soviet Union mempunyai beberapa bandar industri yang lain berbanding Jerman yang sering diganggu oleh pengeboman oleh pihak British dan Amerika Syarikat.

Keadaan tentera Jerman yang kurang mendapat kelengkapan baju panas ketika ditawan pada 2 Februari 1943.

Nasib tentera-tentera yang menyerah kalah di Stalingrad sangatlah malang. Daripada 100,000 yang ditawan ketika di Stalingrad, hanya 3,000 orang sahaja yang pulang selepas Perang Dunia Kedua. Sejarah tidak boleh mengasihani nasib tentera Nazi ini. Memang benar, teruk mereka dihukum di Stalingrad namun harus diingat siapa yang melancarkan pertempuran ini? Siapa yang membunuh berjuta-juta wanita dan kanak-kanak yahudi ketika operasi ini berlangsung? Siapa yang mengebom Stalingrad sehingga bandar tersebut hanya tinggal rangka sahaja?

Stalin mengucup ‘Sword of Stalingrad’ selepas diberikan oleh Churchil (depan) sambil diperhatikan oleh Molotov (kanan) ketika Perjumpaan Tehran 1943.

Selepas pertempuran ini, populariti Stalin meningkat secara mendadak. Beliau diangkat sebagai hero kerana berjaya menoktahkan serangan tentera Hitler ini. Parlimen Soviet membuat keputusan untuk menaikkan pangkat Stalin kepada Marshal of Soviet Union pada Mac 1943, pangkat paling tinggi dalam angkatan tentera Soviet. Sebelum itu, disebabkan kejayaan dan idea yang bernas ketika pertempuran Stalingrad berlangsung, ramai komander dinaikkan pangkat dan diberi penghargaan. Antaranya Georgy Zhukov dinaikkan pangkat kepada Marshal of Soviet Union pada Januari 1943. Vasily Chuikov, dinaikkan kepada General. Menteri Pertahanan, Aleksander Vasilevsky juga dinaikkan pangkat kepada Marshal of Soviet Union.

Tugu ini dibina selepas Perang Dunia Kedua di atas bukit Mamayev Kurgan. Tugu yang diberi nama “Motherland Calls” dibina untuk memperingati perjuangan tentera Soviet di situ.

Berita kemenangan tentera Soviet terhadap tentera Nazi Jerman selepas Pertempuran Stalingrad tersebar luas di seluruh dunia. Ia menjadi harapan kepada seluruh dunia bahawa Hitler mampu dihentikan. Presiden Roosevelt mengucapkan tahniah kepada Stalin diatas kemenangan tersebut. Raja England, Raja George VI menganugerahkan Stalingrad pedang diraja yang diberi nama ‘Sword of Stalingrad’ selepas kejayaan orang Rusia berhempas pulas mengalahkan penjajah Nazi. Dengan berakhirnya, pertempuran ini pihak Berikat yakin bahawa Hitler mampu dikalahkan dan Soviet yakin yang mereka dapat membalas dendam diatas pembelotan Hitler di masa akan datang.

Rujukan

  1. Adam, Wilhelm and Otto Ruhle (2015). With Paulus at Stalingrad, Pen & Sword Books Ltd., England. ISBN 978-1-47383-386-9.
  2. Beevor, Antony (2004). “Stalingrad and Researching the Experience of War”. In Erikson, Ljubica; Erikson, Mark. Russia War, Peace and Diplomacy Essays in Honour of John Erickson. London: Weidenfeld & Nicolson. pp. 154–168. ISBN 978-0-297-84913-1.
  3. Bellamy, Chris (2007). Absolute War: Soviet Russia in the Second World War. New York: Alfred A. Knopf & Random House. ISBN 978-0-375-41086-4.
  4. Pennington, Reina (2004). “Women and the Battle of Stalingrad”. In Erikson, Ljubica; Erikson, Mark. Russia War, Peace and Diplomacy Essays in Honour of John Erickson. London: Weidenfeld & Nicolson. pp. 169–211. ISBN 978-0-297-84913-1.
  5. Kings and Generals: Stalingrad. https://www.youtube.com/watch?v=Aupnv5n19K4
  6. Paulus 6th Army: Order of Battle. https://www.youtube.com/watch?v=DCDjAqTUCmw
  7. Manstein, Erich von; Powell, Anthony G. (Ed. & Trans.); Liddell Hart, B. H. (Preface); Blumenson, Martin (Introduction) (2004). Lost Victories: The War Memoirs of Hitler’s Most Brilliant General. St. Paul, MN: Zenith Press. ISBN 0-7603-2054-3.