Perang Dunia Kedua: Kursk – Pertempuran Kereta Kebal Terbesar Dalam Sejarah

3350
views

Kursk. Dahulunya tempat ini hanyalah sebuah pekan biasa yang terdiri daripada pekerja-pekerja kilang besi. Namun segalanya berubah dimana Hitler mengarahkan serangan balas selepas kekalahan Nazi di Stalingrad. Pekan ini menjadi saksi kepada lebih 8,000 amukan kereta kebal daripada tentera Soviet dan tentera Nazi.

Dihantui mimpi Stalingrad

Pada 31 Januari 1943, tentera Nazi Jerman Keenam (German 6th Army) pimpinan Field Marshal Paulus menyerah kalah bersama-sama 300,000 tenteranya, menjadikan ia perletakkan senjata sebuah organisasi tentera Jerman terbesar dalam sejarah.

Selepas Stalingrad, tentera Nazi dihantui oleh serangan balas bertali arus oleh tentera Soviet yang kini mendapat momentum. Tentera Jerman lari lintang pukang dari setiap arah. Kaukasus, Rostov, Belgorod, Kursk dan Kharkov jatuh ketangan tentera Soviet menjelang musim bunga 1943.

Kemaraan tentera Soviet begitu pantas sehinggakan mereka kekurangan minyak dan bekalan yang lambat sampai untuk meneruskan perjalanan. Pada 16 Februari, tentera Soviet menawan kembali bandar kedua terbesar Ukraine iaitu Kharkov. Marshal Georgy Zhukov, mengesyorkan kepada panglima Soviet di sana, General Golikov dan General Vatutin supaya tentera Soviet untuk berhenti sekejap di Kharkov sambil menunggu bantuan dan bekalan sampai.

Pertempuran Kharkov

Komander Army Group South, Field Marshal Erich von Manstein mengambil keputusan untuk menggunakan peluang ini untuk melancarkan ‘counter-attack’ terhadap tentera Soviet di Kharkov. Adolf Hitler yang risau akibat pengunduran tentera Nazi dari Kharkov pada 16 Februari, terus terbang ke markas Manstein untuk bertanya kenapa bandar itu jatuh.

Ketika Hitler tiba di markasnya di Zaporizhia, tentera Soviet hanya 30km sahaja daripada barisan hadapan. Betapa dekatnya tentera Soviet dengan Hitler ketika itu, sehingga boleh saja mereka nak tembak markas tersebut dengan meriam dari sana. Betapa sayangnya Hitler kepada Manstein sehingga sanggup berdepan risiko ini.

Pada 19 Februari, sebaik sahaja Hitler pulang, Manstein mengarahkan ‘counter-attack’ terhadap tentera-tentera Soviet di Kharkov. Manstein mengarahkan 4th Panzer Army dan 1st Panzer Army untuk menyerang kedudukan tentera Soviet yang baru sahaja kehabisan bekalan. Manakala Army Detachment Hollidt menjaga rusuk sebelah kanan.

Manstein mempertaruhkan tentera elite Hitler SS iaitu Kor SS-Panzer Kedua (2nd SS-Panzer Corps) pimpinan SS-General Paul ‘Papa’ Hausser untuk merusuk masuk terus ke Kharkov, sementara 4th Panzer Army dan 1st Panzer Army menjaga pekeliling mereka.

Kharkov pada ketika ini dipertahan kan oleh dua tentera medan Soviet (40th dan 69th Army) dan satu tentera kereta kebal Soviet (1st Guards Tank Army). Tentera-tentera ini kepenatan dan kehabisan bekalan untuk menjalankan operasi. Hausser mengambil peluang ini untuk merobek tentera Soviet terus ke Kharkov.

Tentera SS ini sangat fanatik. Mereka tidak pernah mempersoalkan arahan dan sanggup mati jika arahan itu demi kepentingan Hitler. Selepas pertempuran dari rumah-ke-rumah, pada 16 Mac, seluruh Kharkov berada di tangan tentera Jerman. Namun bayaranya mahal. Hausser kehilangan 160 pegawai dan 4,300 tentera lain-lain pangkat. Tentera Soviet pula kehilangan 80,000 orang tentera dan lebih 650 kereta kebal terkorban dalam pertempuran ini.

Kharkov berjaya ditawan. Manstein berjaya membuktikan kepada Hitler bahawa beliau masih lagi relevan dan pakar strategi Jerman yang terbaik. Namun, impiannya untuk mara ke Kursk selepas jatuhnya Kharkov tidak kesampaian akibat kehabisan bekalan dan minyak serta keenganan Army Group Center pimpinan Field Marshal Gunther von Kluge untuk melakukan serangan bersama.

Kursk menjadi pilihan

Selepas Kharkov ditawan, Hitler masih lagi membayangkan bahawa kemenangan boleh dikecapi di Rusia. Beliau membuat mesyuarat tergempar untuk membincangkan apa langkah seterusnya. Manstein mencadangkan agar tentera Jerman menyerang Kursk di mana, mereka boleh memerangkap beribu-ribu tentera Soviet yang tengah akibat kekalahan di Kharkov.

Komander Army Group Center, Field Marshal Gunter von Kluge menolak cadangan ini kerana serangan ini akan melibatkan unit-unit daripada tentera beliau di tengah terdiri daripada 9th Army, 2nd Panzer Army dan 2nd Army. Jika cadangan Manstein diterima, Kluge terpaksa menghantar beberapa unit beliau untuk turut serta lalu melemahkan posisi beliau di tengah. Beliau mencadangkan agar tentera Jerman kekal dalam posisi pertahanan.

Hitler memilih cadangan Manstein untuk menyerang. Pada 15 April, Hitler meluluskan serangan yang diberi nama Operasi Zitadelle (Citadel). Pelan ini meliputi Army Group South pimpinan Manstein dan Army Group Center pimpinan Kluge. Manstein akan mempertaruhkan 4th Panzer Army (General Hermann Hoth) dan Army Detachment Kempf (General Werner Kempf) untuk menusuk dari bawah.

Manakala Kluge hanya akan hantar satu sahaja tentera medan iaitu 9th Army pimpinan ‘Lion of Defense’ General Walter Model dari arah utara. Tentera ini akan menyerang dari arah utara dan bersatu dengan tentera Manstein di timur Kursk, lalu memerangkap tentera Soviet di sana.

Dalam operasi ini juga, Reichsmarchall Hermann Goering menghantar Armada Udara 4 (Luftlotte 4) pimpinan Field Marshal Wolfram von Richtofen berjumlah 2000 pesawat untuk membantu serangan ini.

Operasi ini sepatutnya dilaksanakan pada awal bulan Mei, tetapi Hitler menundanya sehingga ke bulan Julai untuk membawa masuk beberapa siri kereta kebal baru untuk bertempur di Kursk seperti kereta kebal berat ‘Tiger’, kereta kebal medium, ‘Panther’ dan kereta kebal pemusnah ‘Ferdinand’.

Di pihak Soviet pula, Stalin tahu bahawa Hitler akan membuat serangan di Kursk. Setelah meneliti beberapa maklumat perisikan yang dihantar oleh British, pentadbiran tertinggi Soviet dapat mengenalpasti berapa jumlah tentera Nazi yang akan menyerang mereka di Kursk.

Stalin mengarahkan untuk menyerang posisi tentera Jerman sebelum mereka dapat bertindak. Namun, timbalan Komander Turus Angkatan Tentera Soviet, Marshal Georgy Zhukov melarang tindakan tersebut. Zhukov percaya mereka seharusnya menunggu supaya tentera Soviet datang. Cadangan beliau diterima oleh Stalin.

Zhukov mengarahkan supaya beberapa aktiviti partisan dan sabotaj dilakukan dibelakang tentera musuh. Tentera-tentera militia ini berjaya mensabotaj penghantaran kereta kebal dan bekalan ke barisan hadapan. Mereka berjaya meletupkan 298 keretapi, 1222 gerabak, dan 44 jambatan!Kelewatan dan penangguhan serangan oleh Hitler menyebabkan tentera Soviet mengambil peluang ini untuk mengukuhkan sistem pertahanan mereka di Kursk. Tentera Soviet membina beberapa siri barisan pertahanan yang berlapis-lapis sebanyak tiga lapisan. Setiap satu lapisan bukan saja dipenuhi oleh periuk api, malahan juga beratus-ratus meriam anti kereta kebal yang akan menunggu serangan tentera Jerman. Jika barisan pertahanan ini dibukak, ia akan menjadi sama panjang dengan jarak Moscow ke Madrid!

Ya. Ia menjadikan pekeliling pekan Kursk ini menjadi pekeliling pertahanan paling padu dan padat dalam sejarah ketenteraan. Dalam operasi ini, tentera Jerman memiliki keseluruhan lebih 700,000 tentera, 3000 kereta kebal (pelbagai jenis), 10,000 meriam dan 2000 armada kapal terbang. Manakala tentera Soviet pula memiliki keseluruhan lebih 2 juta tentera, 5000 kereta kebal, 25,000 meriam dan 3000 pesawat udara di Kursk.

Zhukov mempertaruhkan tiga Army Group (Front) untuk mempertahankan Kursk. Voronezh Front pimpinan General Nikolai Vatutin akan menjaga bahagian selatan Kursk. Dalam pada itu di utara Kursk, Central Front pimpinan General Konstatin Rokossovsky bertanggungjawab untuk mengekang serangan tentera Jerman di utara.

Manakala sebuah front terakhir akan menjadi tentera reserve (simpanan) jika tentera Jerman berjaya memecah pertahanan mereka. Tentera ini ialah Steppe Front pimpinan General Ivan Konev.

Keputusan Hitler untuk menunda serangan di Kursk menyebabkan beberapa panglima nazi berasa tidak senang duduk. Colonel-General Heinz Guderian yang kini memegang jawatan ‘Inspector-General of Panzer Troops’, terbang ke HQ Hitler untuk membantah serangan ini.

Mein Fuhrer, kenapa kamu asyik mahu menyerang di bahagian Timur sahaja?”

“Betul kata kamu. Apabila aku fikir tentang perkara ini, perut aku menjadi sakit sangat”

“Maknanya, perutmu itu telah memberi jawapan. Sudah-sudah lah!”

Apabila ketua Angkatan Tentera Jerman (Wehrmacht), Field Marshal Wilhelm Keitel menerangkan kepada Guderian betapa pentingnya serangan ini untuk mengembalikan keyakinan kepada dunia bahawa tentera Jerman masih lagi berkuasa di medan tempur, Guderian menjawab:

“Kau tahu tak berapa ramai orang kat dunia nie yang tahu kat mana KURSK tu berada? Siapa je yang kisah jika kita tawan KURSK atau tidak? Kau nak bazirkan semua kereta kebal yang aku dah bina ini untuk meletup di sebuah pekan kecil?!”

Pertempuran Kursk – Operasi Citadel

Pada 5 Julai 1943, Operasi Citadel bermula. Serangan dimulakan di selatan apabila Manstein membedil posisi Soviet pada pukul 4 pagi. Kemudian beberapa kereta kebal daripada 4th Panzer Army pimpinan Colonel-General Hoth menyerang posisi Voronezh Front pimpinan General Vatutin di selatan. Serangan ini meggunakan formasi anak panah dimana kereta kebal berat ‘Tiger’ memimpin serangan diikuti dengan kereta kebal Panzer IV dan Panzer III.

Serangan ini sangat perlahan dan dahsyat akibat sistem pertahanan yang dibina oleh tentera Soviet yang sangat kebal. Dalam pada itu diutara, Kluge membedil posisi tentera Soviet pada waktu Subuh sebelum menghantar 9th Army pimpinan Colonel-General Model untuk menyerang posisi Central Front pimpinan General Rokossovsky. Model mempunyai kelebihan dari segi kereta kebal dimana beliau menerima kereta kebal ‘Tiger’, ‘Panther’ dan Ferdinand lebih banyak daripada tentera Jerman di selatan.

Serangan Model berbeza daripada di selatan yang menggunakan kekuatan kereta kebal. Model memilih untuk menghantar divisyen infantri yang dibantu oleh kereta kebal untuk menawan posisi musuh. Kemeraan tentera Model diutara begitu perlahan kerana pertahanan tentera Soviet yang rapuh. Namun begitu, banyak tentera Soviet yang musnah.

Pada 6 Julai, Rokossovsky melancarkan counter-attack namun dipatahkan oleh Model akibat keadaan yang sangat kucar-kacir. Pada 7-10 Julai, Model berjaya menawan beberapa pekan di utara Kursk dengan pertempuran yang sadis iaitu dari rumah-ke-rumah.

Pada 10 Julai, Model hanya satu lapisan pertahanan sahaja lagi untuk menembus masuk (breakthrough) ke Kursk. Rokossovsky segera menelefon General Konev agar melepaskan beberapa ‘reinforcement’ untuk membantu tenteranya di utara. Konev enggan namun selepas mendapat panggilan telefon dari Stalin, beliau bersetuju.

Dengan hanya mara sejauh 10km sahaja, Model berkata beliau tidak boleh teruskan lagi. Beliau terpaksa berhenti kerana pertempuran di udara sudah bertukar menjadi pertempuran ‘attrition’.

Di selatan pula, kereta kebal Jerman menusuk dengan rancak ke arah posisi Soviet pimpinan Vatutin. Namun asakan tentera Soviet menjadi semakin hebat. Terdapat satu masa apabila Vatutin menghantar seluruh kor kereta kebalnya dan dihancurkan oleh tentera Jerman dalam masa 3 jam.

Manstein menghantar tentera elite 2nd SS-Panzer Corps pimpinan SS-General Hausser untuk menusuk masuk ke timur sebelum membelok ke utara untuk menyerang tentera Vatutin dari arah belakang.

Progress di selatan nampak positif di kaca mata Manstein. Walaupun perlahan, mereka telahpun mara 20km dari tempat bermula. Tentera Soviet mula nampak kucar-kacir tetapi masih lagi mampu berdiri.

Terdapat satu peristiwa apabila Vatutin menghantar 50 kereta kebal untuk menghentikan kemaraan tentera elite SS. Dalam perjalanan, seluruh kereta kebal tersebut dimusnahkan oleh armada luftwaffe pimpinan Field Marshal Richtofen menjadikan ia formasi kereta kebal pertama yang musnah akibat diserang oleh tentera udara.

Operasi Citadel tiba di penghujung apabila 2nd SS-Panzer Corps menghampiri sebuah pekan bernama Prokhorovka. Di sini menjadi saksi pertempuran ‘tanks vs tanks’ terberat dalam sejarah.

Pertempuran Prokhorovka menjadi titik noktah di dalam Pertempuran Kursk ini. Manstein menghantar hampir semua aset kereta kebal panzer nya yang dekelolai oleh 2nd SS-Panzer Corps pimpinan Hausser  di sebuah pekan kecil bernama Prokhorovka dengan harapan dapat merusuk tentera Vatutin daripada belakang.

Menyedari perkara ini, Vatutin menghantar segala tentera simpanan dan tentera kereta kebalnya dikelolai oleh 5th Guards Tank Army pimpinan Lt. Gen. Pavel Rotmistrov untuk berlaga dengan tentera elite Hitler ini. Pada 12 Julai, Hausser dan tentera elite ini memulakan serangan untuk memecahkan benteng tentera Soviet di Prokhorovka.

Hausser berjaya memecahkan benteng tentera Soviet selepas diasak beratus-ratus kereta kebal. Hausser kini mempunyai separuh daripada kekuatan asalnya serta kehilangan banyak kereta kebal. Apabila beliau menghampiri pekan Prokhorovka, beliau melihat berpuluh-puluh kereta kebal Soviet sedang menantinya di sana.

Ya. Itulah dia tentera kereta kebal pimpinan Rotmistrov yang dihantar oleh Konev yang sudahpun menunggu Hausser di pintu masuk pekan.

Operasi ditamatkan

Pada 12 Julai, mimpi ngeri Kluge menjadi kenyataan. Marshal Zhukov melancarkan Operasi Kutuzov keatas Army Group Center dengan harapan dapat mematahkan serangan mereka di Kursk, serta menghancurkan 9th Army pimpinan General Model.

Pada hari yang sama juga, Hitler memanggil Field Marshal von Kluge dan Field Marshal von Manstein ke HQnya di East Prussia. Beliau membawa berita buruk. Tentera Berikat pimpinan General Eisenhower sudah mendarat di Sicily, Itali pada 9 Julai 1943. Beliau mahu Operasi Citadel ditamatkan dan menghantar tentera-tenteranya ke Itali.

Kluge sangat senang apabila mendengar berita tersebut kerana Soviet sedang melancarkan Operasi Kutuzov. Maka, beliau boleh membawa keluar 9th Army untuk bertahan daripada serangan tentera Soviet tersebut.

Namun, Manstein berang. Tenternya sudah seminggu bertempur tanpa henti untuk memecahkan pertahanan Soviet. Beliau berkata lagi, tenteranya lagi sikit lagi untuk menusuk masuk keluar daripada sistem lapisan pertahanan Soviet seterusnya menyerang terus ke arah Kursk.

Menurut Manstein, jika Hitler tidak menamatkan serangan ini, tentera beliau akan berjaya memecahkan kebuntuan dan mara terus ke Kursk. Sungguhpun begitu, Manstein silap. Ada banyak lagi tentera simpanan yang akan menunggu beliau di sana. Beliau memandang rendah tentang kekuatan tentera Soviet. Beliau tidak tahu bahawa, General Ivan Konev dan Steppe Front akan melancarkan counter-attack sebaik sahaja Manstein mendapat ‘breakthrough’ seterusnya melenyapkan terus tentera 4th Panzer Army dan 2nd SS-Panzer Corps di sana.

Soviet menang bersih

Pertempuran Kursk merupakan kemenangan strategik untuk tentera Soviet. Kali pertama, serangan kordinate tentera Jerman yang besar berjaya dipatahkan sebelum mereka sempat membuat ‘breakthrough’.

Walaupun begitu, tentera Soviet kehilangan banyak aset-aset tentera dalam pertempuran ini berbanding dengan tentera Jerman. Tetapi, Soviet Union mempunyai lebih banyak kilang dan tentera simpanan untuk menggantikan aset tentera yang musnah berbanding dengan Nazi Jerman.

Operasi Citadel merupakan operasi terbesar terakhir yang dilancarkan oleh Hitler di Soviet Union. Hitler menyalahkan kekalahan ini kepada panglima-panglimanya walaupun dia yang pilih untuk menyerang, dia yang pilih tempat menyerang, dia juga yang pilih tarikh untuk menyerang. Hitler terlalu banyak masuk campur dalam urusan strategik ketenteraan berbanding politik.

Manakala Stalin lebih memberikan kebebasan kepada panglima-panglimanya untuk melakukan urusan tentera agar menjadi lebih efisien dan cekap. Stalin memberi kepercayaan sepenuhnya kepada para jeneral untuk melakukan tugas mereka tanpa masuk campur.

Guderian menulis dalam diarinya; “Dengan kegagalan ‘Citadel’ kita telahpun mendapat kekalahan yang decisive. Memang benar, mereka (tentera Soviet) berjaya mendapat kemenangan mutlak di Timur. Selepas Kursk, tiada lagi rehat untuk tentera Jerman di sana.

Ya. Tiada lagi kemenangan untuk tentera Nazi di timur, selamanya.

RUJUKAN

  1. Beevor, Antony (2012). The Second World War. New York: Back Bay Books. ISBN 978-0-316-02374-0.
  2. Citino, Robert M. (2012). The Wehrmacht Retreats: Fighting a Lost War, 1943.
  3. Battle of Kursk 1943 – World War II DOCUMENTARY https://www.youtube.com/watch?v=IKtD2kht1ZI
  4. Soviet Storm: World War II — In The East. ep. 9. The Battle Of Kursk. StarMedia https://www.youtube.com/watch?v=ichrcupEbvA