Dengan tumbang dan lumpuhnya Amerika Syarikat di Pasifik melalui serangan mengejut di Pearl Harbor, Jepun dapat menumpukan sepenuhnya dalam misi meluaskan empayarnya. Hong Kong, Malaya, Singapura, Borneo, Filipina dan Indonesia menjadi target pertama dalam misi Jepun untuk menubuhkan Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya.

Bicycle Blitzkrieg merupakan teknik tentera Jepun untuk mara ke kawasan pedalaman yang tidak dapat dilalui oleh kereta kebal.

Sebelum Serangan

Pada 7 Disember 1941, dunia dikejutkan oleh serangan Jepun keatas pangkalan tentera laut Amerika di Pearl Harbor. Serangan ini memberi peluang dan ruang untuk Jepun menjarah segala tanah-tanah di selatan Asia dek kerana ketiadaan tentera laut Amerika yang sudahpun lumpuh. Serangan keatas Amerika adalah perlu kerana Jepun ingin menjarah Filipina yang merupakan koloni Amerika Syarikat pada ketika itu.

Selain Filipina, koloni lain seperti Malaya, Borneo Indonesia dan Hong Kong merupakan objektif utama Jepun. Koloni-koloni ini diserang di atas beberapa faktor. Malaya, Indonesia dan Filipina merupakan kawasan yang kaya dengan hasil buminya. Rempah ratus, bijih timah, minyak, bijih besi merupakan salah satu hasil bumi yang penting untuk kelangsungan perang Jepun dimasa akan datang. Hong Kong dan Singapura merupakan sebuah kawasan yang strategik untuk dijadikan sebagai pengkalan tentera laut dan udara untuk digunakan di Pasifik, India dan China.

British mempunyai beberapa tanah jajahan di Asia seperti Singapura, Hong Kong, Burma, Malaya dan Borneo. Begitu juga dengan Belanda yang mempunyai tanah jajahan di Indonesia. Walaubagaimanapun, negara-negara penjajah ini tidak dapat menumpukan sepenuhnya pertahanan di tanah-tanah jajahan mereka kerana British dan Belanda sedang sibuk berperang dengan Nazi Jerman di Eropah. Maka, segala peralatan dan kelengkapan tidak dapat diberikan sepenuhnya kepada mereka.

Manakala Jepun pula sudah lama bersedia. Serangan keatas Pearl Harbor merupakan fasa satu dalam Ekspedisi Selatan mereka (Nanshin-Ron). Fasa kedua ialah serangan besar-besaran terhadap segala kawasan jajahan Eropah di selatan Asia. Ekspedisi Selatan ternyata lebih murah daripada Ekspedisi Utara iaitu serangan keatas Soviet Union (Hokushin-Ron). Di selatan, tentera-tentera Eropah jauh lebih ketinggalan daripada tentera Jepun yang lengkap bersenjata, kebolehan serangan udara dan kapal-kapal laut.

Field Marshal Terauchi Hisaichi, komander Kumpulan Tentera Ekspedisi Selatan

Field Marshal Terauchi Hisaichi, merupakan berdarah kerabat diraja Jepun, dipilih untuk mengetuai Kumpulan Ekspedisi Selatan (Southern Expeditionary Army Group). Didalam group ini, terdapat 13 tentera medan. Masing masing akan diberi tugas untuk mendarat dan menyerang ke objektif masing-masing seperti Burma, Thailand, Malaya, Borneo, Indonesia, Hong Kong dan Filipina. Tentera-tentera ini sudah bersiap sedia untuk menyerang dari pangkalan mereka di pulau Hainan, Formosa dan Indochina (Vietnam).

Petempuran Hong Kong

Peta menunjukkan serangan Jepun keatas Hong Kong’

Pada pukul 8 pagi, 8 Disember 1941, tentera Jepun Ke-Duapuluh Tiga (23rd Army) menyerang tanah jajahan British di Hong Kong. Major General Christopher Maltby merupakan komander tentera British di Hong Kong yang berjumlah seramai 14,564 merangkumi tentera daripada India, Canada, China, dan British.

Tentera Jepun pula dipimpin oleh Lt. General Takashi Sakai mempunyai kekuatan seramai 29,700 lengkap bersenjata menyerang Hong Kong. Jepun memiliki 47 pesawat pengebom, 1 kapal cruiser, 3 kapal destroyer, 4 bot torpedo dan 3 gunboat untuk membantu tenteranya mendarat di Hong Kong dengan selamat.

Malang bagi General Maltby, Hong Kong sememangnya terlalu susah untuk dipertahankan. Tiada langsung pesawat Royal Air Force disediakan untuk beliau apabila Jepun menyerang. Walaubagaimanapun, British tidak mahu menyerahkan Hong Kong tanpa berlawan.

Pertempuran dan asakan yang hebat diberikan oleh pasukan tentera India menyebabkan kesukaran bagi Jepun untuk menawan Hong Kong. Namun begitu, General Sakai berjaya menawan seluruh Hong Kong pada 25 Disember selepas 17 hari bertempur.

 Pertempuran Filipina

Serangan Jepun keatas Filipina dari Formosa dan Pulau Palau

Marshal Terauchi, komander Kumpulan Ekspedisi Selatan, mengarahkan tentera Ketigapuluh Lima (35th Army) dan Keempatpuluh Satu (41st Army) pimpinan Lt. General Masaharu Homma untuk menyerang Filipina. General Homma membahagikan tentera-tenteranya kepada dua. Serangan keatas utara Filipina (35th Army) dan serangan keatas selatan Filipina (41st Army).

General Douglas MacArthur (kanan) bersama timbalan beliau Maj. General Jonathan Wainwright di Filipina.

Pertahanan Filipina lumpuh selepas ketiadaan Tentera Laut Amerika Syarikat yang dibedil teruk di Pearl Harbor. Komander Keseluruhan Filipina pada ketika itu merupakan General Douglas MacArthur. Beliau dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada Presiden Quezon. Pertahanan di Filipina boleh dikatakan masih lagi baru dari pandangan MacArthur. Tentera Filipina tidak mempunyai peralatan ketenteraan yang lengkap walaupun dimohon sejak tahun 1937 lagi. Filipina mempunyai satu sahaja divisyen penuh tentera (1st Philippine Division) dibawah pimpinan Maj. General Jonathan Wainwright. Pertahanan lain yang dimiliki Filipina ialah beberapa skuadron Kor Udara Amerika, beberapa jenis boat torpedo dan kapal selam dan juga Pasukan Pengakap Filipina.

Apabila Jepun mendarat di kedua-dua arah iaitu utara dan selatan, tentera Filipina tidak mampu untuk menangkis serangan tentera Jepun yang lebih bersedia lengkap dengan bedilan kapal-kapal laut Jepun dan bantuan serangan udara. Tentera Filipina terpaksa berundur ke Semenanjung Bataan apabila mereka dikepung dari utara dan selatan. Manila digelar ‘bandar terbuka’ pada 24 December. Pada 12 Mac 1942, Presiden Amerika mengarahkan MacArthur yang terperangkap di Bataan untuk berpindah keluar ke Australia. Pada 8 Mei 1942, selepas lima bulan bertempur Filipina jatuh ke tangan tentera Jepun.

MacArthur (kiri) dilihat sugul di HQ bawah tanah di Corregidor, beberapa batu sahaja dari Bataan dimana tentera Filipina dikepung oleh tentera Jepun.’

Pertempuran Tanah Melayu

Pada subuh, 8 Disember 1941, beberapa komponen tentera Keduapuluh Lima Jepun (25th Army) pimpinan Lt. General Tomoyuki Yamashita mendarat di Kota Bharu, Kelantan. Pendaratan mereka begitu tidak disangka-sangka oleh British yang baru sahaja mendapat berita bahawa Hong Kong juga dibom. Selain Kota Bharu, Singgora dan Patani juga menjadi tempat pendaratan Jepun dalam serangan ini.

Pelan serangan tentera Jepun di Malaya.

Sebelum serangan, Jepun telah membuat beberapa perjanjian dengan negara jiran iaitu, Thailand. Beberapa sisi perundingan dan perjanjian telah dijalankan pada 1940 dan 1941. Selepas gagal mencapai kata putus, Jepun menyerang Thailand pada 8 Disember 1941 namun berakhir selepas hanya 5 jam sahaja sebelum Perdana Menteri Thailand, Phibul Songram bersetuju dengan syarat-syarat Jepun.

Thailand bersetuju untuk menjadi pangkalan operasi utama dalam serangan keatas Malaya. Thailand juga diberi kelebihan keatas negeri-negeri Tanah Melayu di utara. Selepas bersetuju dengan syarat-syarat ini, barulah Yamashita mengarahkan tenteranya melepasi sempadan antarabangsa untuk menyerang Tanah Melayu.

Tentera daripada Singgora akan mara ke pesisir pantai barat Tanah Melayu. Tentera daripada Patani akan mara ke Ipoh, Kuala Lumpur, Gemas, Ayer Hitam dan terus Johor Bahru. Tentera yang mendarat di Kota Bharu akan mara ke pesisir pantai timur Tanah Melayu. Kesemua tentera ini mempunyai objektif yang sama; Singapura.

Malaya dan Singapura merupakan sebuah koloni British yang paling penting di Asia kerana menjadi pusat dagangan utama dunia. Namun apabila perang meletus, British terpaksa fokus kepada peperangan di Eropah berbanding di Asia. Pertahanan Malaya dan Singapura dipimpin oleh Lt. General Arthur Percival. Dibawah beliau terdapat Rejimen Askar Melayu Diraja, Kor Ketiga Tentera India, Briged Ke-53 Tentera British, Divisyen Ke-8 Tentera Australia dan beberapa skuadron Tentera Udara Diraja British dan Tentera Udara Belanda.

Percival juga mempunyai aset-aset Tentera Laut Diraja British iaitu kapal perang Repulse dan Prince of Wales. Namun, pada 10 Disember 1941, kapal-kapal ini ditenggelamkan oleh armada Tentera Udara Jepun dalam pertempuran di pesisir laut dekat Kuantan, Pahang. 840 crew kapal termasuk Laksamana Tom Phillips maut dalam serangan. Ini merupakan kekalahan yang paling memalukan kepada Tentera Laut Diraja British sejak Battle of Jutland.

Serangan Jepun ini dilihat begitu berjaya kerana kelemahan sistem pertahanan British pimpinan Percival. Beliau mengarahkan pengunduran tentera British secara berkala sehingga ke Garisan Batu Pahat-Kluang-Mersing. Hasilnya, Pulau Pinang jatuh ke tangan Jepun pada 17 Disember 1941, Kuala Lumpur digelar ‘bandar terbuka’ pada 11 Januari 1942. Tentera-tentera tempatan seperti Rejimen Askar Melayu Diraja memberi tentangan yang paling sengit hingga terpaksa mengingkari arahan Percival.

Akhirnya, pada 31 Januari 1942, Komander Tentera British di Asia Timur, General Archibald Wavell mengarahkan Percival untuk meletupkan Tambak Johor dan berkubu di Singapura.

Tumbangnya Singapura

Percival mengarahkan tentera-tenteranya membina kawasan pertahanan di sekeliling pulau. Winston Churchill mengarahkan Singapura dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir. Tentera British di Singapura juga merangkumi oleh Rejimen Askar Melayu Diraja, Tentera India dan Tentera Australia yang berjumlah lebih 85,000 anggota.

Namun, Percival mempunyai masalah untuk membekalkan tentera-tentera ini. Singapura tidak mempunyai sumber air langsung dan hanya dibekalkan dengan air yang datang dari Semenanjung Tanah Melayu. Selepas tumbangnya semenanjung tersebut, Percival mengharapkan agar bantuan akan sampai dari Tentera British di India.

Lt. General Tomoyuki Yamashita turun padang untuk menyaksikan sendiri serangan keatas Singapura ini. Tentera beliau yang berjumlah 36,000 orang lebih bersedia untuk berperang berbanding dengan tentera British di Singapura. Beliau mempunyai bantuan serangan udara, kapal-kapal laut dan serangan artileri yang tidak berbelah bahagi.

Pada 8 Februari 1942, Yamashita membedil 88,000 tembakan artileri ke pesisir pantai Selat Singapura. Percival yang tidak dapat mengarahkan tembakan balas kerana bimbang akan kehabisan peluru. Pada malam tersebut Yamashita mengarahkan 13,000 tentera Jepun menyeberang selat untuk menyerang Singapura.

Pada keesokkan harinya, Tentera Jepun mula bertapak di Singapura. Serangan demi serangan diberikan oleh tentera Jepun terhadap British di Singapura. Bekalan peluru, senjata dan makanan pun sudah semakin luput. Percival tiada pilihan lain. Pada 14 Februari 1942, Percival menyerahkan Singapura kepada Yamashita.

Yamashita (kiri) menerima penyerahan Singapura oleh Percival (kanan), 14 Februari 1942.

Pertempuran Borneo

Borneo merupakan kawasan yang kaya dengan hasil bumi lebih lebih lagi di Sarawak. Miri merupakan antara kawasan pengeluaran minyak paling penting di Asia Tenggara. Borneo terdiri daripada Kerajaan Sarawak yang diketuai Raja Sarawak Charles Vyner Brooke dan Syarikat Borneo Utara British (Sabah).

Pertahanan di Borneo ini tidaklah begitu hebat seperti di Semenanjung Tanah Melayu lebih-lebih lagi di Sabah. Namun, Raja Brooke mempunyai inisiatif tersendiri untuk mempertahankan Sarawak dengan menubuhkan beberapa askar terlatih seperti Sarawak Rangers.

Serangan keatas Borneo oleh beberapa elemen Tentera Ke-25 Jepun mendarat di Miri dan Brunei pada 13 Disember 1941. Tentangan yang diberikan oleh pasukan keselamatan tempatan lebih sedikit berbanding di Semenanjung. Walaubagaimanapun, Sarawak Rangers mampu memberi penentangan hebat apabila mereka cuba untuk menawan Kuching pada 25 Disember 1945.

Pada 31 Disember 1941, tentera Jepun mara dari Miri serta menawan Labuan, Brunei dan Kota Kinabalu. Pada 18 Januari 1942, tentera Jepun menawan Sandakan. Gabenor Sabah, Charles Robert Smith menyerahkan Sabah kepada Jepun pada pagi keesokkan harinya.

Selepas Kuching ditawan, Sarawak Rangers dan beberapa tentera Punjab British berundur jauh ke dalam hutan menuju ke Kalimantan. Tentera Jepun mengejar mereka sehingga mengepung Pontianak, bandar terbesar di Kalimantan pada 29 Januari 1942. Akhirnya, selepas berminggu-minggu bertempur membersihkan saki-baki tentera di Borneo, Jepun menawan seluruh Borneo pada 1 April 1942.

Lt. Colonel Genzo Watanabe (berdiri kiri) memberi kata-kata semangat kepada tentera beliau sebelum mendarat di Miri, Disember 1941.

Pertempuran Syarikat Hindia Timur Belanda (Dutch East Indies/Indonesia)

Belanda yang bertapak di Indonesia menjadi salah satu objektif utama Jepun kerana kawasan berkenaan kaya dengan rempah ratus, minyak, getah dan lain-lain hasil bumi untuk meneruskan peperangan Jepun. Marshal Terauchi, Komander Tentera Ekspedisi Kumpulan Selatan menghantar Tentera Ke-16 Jepun dibawah pimpinan Lt. General Hitoshi Imamura untuk menawan Indonesia. Tentera ini diberi keistimewaan apabila armada laut Jepun pimpinan Laksamana Ibo Takahashi akan membantu Tentera Ke-16 dalam menakluk Indonesia. Laksamana Takahashi mempunyai 52 kapal laut pelbagai kelas yang akan membantu Jepun dalam serangan ini.

Pelan serangan Tentera Ke-16 Jepun keatas Indonesia.

Belanda pada ketika ini lumpuh akibat perang melawan Jerman di Eropah. Kebanyakkan tentera Belanda di Indonesia tidak diorganisasi dengan baik. Belanda mempunyai masalah untuk mengkoordinasi tentera mereka dengan baik kerana mereka terpaksa mempertahankan pulau-pulau yang yang banyak di Indonesia.

Pada 11 Januari 1942, elemen Tentera Ke-16 Jepun mendarat di Sulawesi pimpinan General Imamura. Seterusnya mereka mendarat di lain-lain pulau seperti Sumatera (15 Februari), Pulau Jawa dan Bali (19 Februari) dan akhir sekali Timor Leste pada (20 Februari). Tentera Belanda pimpinan General Hein Ter Poorten menyerah kalah tanpa syarat kepada tentera Jepun pada 8 Mac 1942.

Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya

Pada April 1942, Jepun telah menguasai seluruh Asia Timur. Kegagalan negara-negara penjajah tersebut untuk mempertahankan koloni-koloni mereka adalah disebabkan oleh peperangan yang berlaku diantara mereka dan Jerman di Eropah. Koloni-koloni ini menjadi sangat terdedah dan ‘makanan’ kepada Jepun yang lebih bersedia dan lengkap bersenjata.

Dengan kejayaan ini, Jepun semakin hampir untuk menjayakan misi agung mereka iaitu menubuhkan satu kawasan bebas penjajah; Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya yang bebas daripada orang kulit putih. Namun hakikatnya, mereka menjajah negara penjajah dan seterusnya membolot hasil bumi di negara berkenaan untuk kepentingan peperangan Jepun. Pada ketika ini, Jepun mentadbir koloni-koloni ini dengan ganas dan kejam sekali. Mereka melakukan kekejaman ini sama buas seperti yang dilakukan mereka ketika di China.

Oleh hal yang demikian, penduduk di situ lebih rela bekerjasama dengan orang putih yang lebih berperikemanusiaan berbanding dengan Jepun. Objektif Jepun seterusnya adalah untuk mara terus ke barat dan menjajah Burma dan India. Jepun juga mempunyai hasrat untuk menawan Australia tetapi ia nampak mustahil kerana mereka terpaksa berdepan dengan armada tentera Amerika yang sedang bangkit selepas kekalahan teruk mereka di Pearl Harbor.

Kejayaan tentera Jepun merupakan kejayaan yang sementara sahaja. Jika melihat peta, Jepun mempunyai masalah untuk menggerakkan tentera mereka di serata pelusuk kawasan-kawasa yang baru mereka jajah. Jika melihat kebaikkannya, Jepun telah menguasai koloni-kooni yang kaya dengan hasil bumi, seperti Filipina, Malaya, Singapura, Hong Kong, Borneo dan Indonesia. Mampukah Jepun bertahan?

Rujukan

  1. Bond, Brian; Tachikawa, Kyoichi (2004). British and Japanese Military Leadership in the Far Eastern War, 1941–1945 Volume 17 of Military History and Policy Series. Routledge. ISBN 9780714685557.
  2. Channel 4 (UK). Hell in the Pacific (television documentary series). 2001.
  3. L, Klemen (1999–2000). “Forgotten Campaign: The Dutch East Indies Campaign 1941–1942”.
  4. Stille, Mark (2014). The Imperial Japanese Navy in the Pacific War. Osprey Publishing. ISBN 1-47280-146-6.
  5. Allen, Louis (2013). Singapore 1941–1942 (Revised ed.). London: Routledge. ISBN 9781135194253.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.