Perang Dunia Kedua: Cubaan Nazi Mendarat Di Britain

0
944
views

“Mustahil.”

Itulah kata-kata pertama yang diucapkan oleh Laksamana Besar Erich Raeder, Komander Turus Angkatan Laut Jerman apabila ditanya mengenai rancangan Nazi Jerman untuk menakluki Britain. Dengan keadaan dan aset Tentera Laut Jerman pada ketika itu, mereka tidak dapat untuk membantu Jerman untuk membuat serangan besar-besaran terhadap tanah besar Britain.

Hitler, bersama Laksamana Besar Raeder (dua dari kanan) merupakan Komander Turus Angkatan

Operasi Singa Laut (Sea Lion) adalah satu operasi yang dicadangkan oleh Chancellor Jerman, Adolf Hitler untuk menjatuhkan Britain buat selama-lamanya. Selepas Perancis meletak senjata pada 22 Jun 1940 selepas enam minggu bertempur dengan tentera Jerman, Britain kini berperang berseorangan.

Hitler tidak berniat langsung untuk menyerang Empayar Britain malah delegasi dari pihak Jerman telahpun dihantar untuk berunding agar Britain dan Jerman dapat berdamai dengan kadar yang segera. Hal ini kerana, dengan tumbangnya kuasa-kuasa besar di barat Eropah, Hitler dapat menumpukan sepenuhnya objektif agung beliau, iaitu serangan besar-besaran terhadap Soviet Union di belah timur.

“Kita akan pertahankan pulau kita walau apa pun yang terjadi. Kita akan lawan di pantai. Kita akan lawan di kampong-kampung. Kita akan lawan di lorong-lorong Kita akan lawan di perbukitan. Kita tidak akan TUNDUK!” ucapan Winston Churchill di parlimen ketika Perancis menyerah kalah.

Walaubagaimanapun, usaha-usaha perdamaian tidak berhasil dek kerana kekerasan Perdana Menteri Britain yang baru iaitu Winston Churchill yang menegaskan di parlimen selepas Kejatuhan Perancis bahawa, “Kita tidak akan tunduk”. Hal ini membuatkan Hitler tidak mempunyai pilihan lain selain menyerang tanah besar Britain secara besar-besaran.

Untuk menjayakan Operasi Singa Laut ini, Hitler menggaris 4 panduan yang wajib dipatuhi;

1. Menewaskan Tentera Udara Diraja Britain (RAF). Ketiadaan RAF akan menyenangkan Tentera Darat Jerman untuk menyeberang Selat Inggeris tanpa sebarang kerisauan oleh musuh yang datang dari udara. Dengan melumpuhkan aset-aset RAF oleh Tentera Udara Jerman (Luftwaffe), ia mampu melumpuhkan juga moral penduduk Britain untuk mempertahankan tanah air. Reichsmarschall Hermann Goering mengharapkan apabila Luftwaffe dapat mengalahkan RAF, Britain akan kembali ke meja rundingan tanpa perlu untuk menghantar seorang tentera pun untuk menyeberangi Selat Inggeris.

2. Memusnahkan segala periuk api di Selat Inggeris. Ketika Pertempuran Perancis sampai di kemuncak, Selat Inggeris menjadi selat yang paling ‘keras’ di dunia. Tentera Laut Diraja Britain (Royal Navy) telah meletakkan beribu-ribu periuk api disepanjang Selat Inggeris untuk menghalang laluan kapal Tentera Laut Jerman (Kriegsmarine). Apabila laluan itu bersih dari periuk api, maka Tentera Darat Jerman dapat menyeberang Selat Inggeris dengan mudah. Hitler juga mengarahkan agar kedua dua pintu memasuki Selat Inggeris dikawal ketat oleh Kriegsmarine daripada ancaman kapal-kapal British.

Waqaf Saham

3. Pesisir pantai disepanjang Perancis yang menghala ke Britain hendaklah dibina segala jenis meriam dan artileri berat. Hal ini kerana ia penting untuk membantu tentera Jerman ketika mereka menyeberang ke Selat Inggeris daripada ancaman musuh.

4. Kapal-kapal Royal Navy disepanjang tanah besar Britain hendaklah di hapuskan dengan serangan besar-besaran oleh kapal-kapal terbang Tentera Udara Jerman bagi menidakkan kapal-kapal Royal Navy tersebut untuk melumpuhkan operasi ini.

Field Marshal von Rundstedt, salah seorang kunci kepada kejayaan Tentera Jerman dalam Perang Poland dan Perancis, diberi tanggungjawab untuk memimpin Tentera Darat untuk bertempur di Britain.

Field Marshal Gerd von Rundstedt, Komander Kumpulan Tentera A yang ditugaskan untuk memimpin Tentera Darat Jerman dalam serangan ke atas Britain menyatakan, jika Tentera Laut Diraja dan Tentera Udara Diraja Britain tidak dimusnahkan, bukan sahaja operasi ini akan menjadi malapetaka malah Laut Inggeris akan menjadi kubur besar sebelum sempat pasukan tentera darat menjejakkan kaki di pesisir pantai Britain

Laksamana Besar Erich Raeder menyatakan awal-awal lagi bahawa operasi ini akan gagal kerana Tentera Laut Jerman tidak mempunyai kapasiti yang penuh untuk mencabar kekuatan armada Tentera Laut Diraja Britain yang jauh lagi besar. Raeder kehilangan 1 kapal cruiser berat, 2 kapal cruiser ringan, 4 kapal pemusnah (destroyer) ketika serangan ke atas Norway pada awal tahun 1940. Kehilangan aset-aset ini menjadi tamparan hebat buat Raeder dimana kapal-kapal ini merupakan kapal yang amat sesuai digunakan di laluan yang sempit seperti di Selat Inggeris.

Dengan kehilangan kapal-kapal ini, Kriegsmarine mempunyai alasan untuk membantah keputusan Hitler untuk menyerang tanah besar Britain. Berbanding dengan Tentera Laut Diraja Britain yang mempunyai lebih 20 lebih kapal kelas Battleship dan 5 kapal pengangkut (aircraft carrier), Kriegsmarine hanya ada 2 buah kapal kelas Battleship dan tidak mempunyai aircraft carrier langsung.

Hitler melihat perbarisan kehormat oleh Tentera Laut Jerman (Kriegsmarine). Saiz dan kekuatan yang ada pada Kriegsmarine pada ketika itu tidak mampu untuk memenuhi kehendak Hitler yang mahu menyerang Britain dalam Operasi Singa Laut.

Dalam ketiga-tiga servis tentera ini, hanya Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) sahaja yang dilihat mempunyai peluang untuk menjayakan operasi ini. Selepas pengalaman yang diperolehi ketika perang di Sepanyol, Poland dan Perancis, Hitler mengharapkan agar armada kapal terbang Luftwaffe mampu melumpuhkan Britain dalam setiap aspek dari segi ketenteraan dan moral musuh.

Namun begitu, Luftwaffe memandang mudah terhadap kebolehan Tentera Udara Diraja Britain. Reichsmarschall Hermann Goering terlalu yakin bahawa armada udara beliau tidak mampu dikalahkan oleh Britain. Beliau menukar strategi kepada pengeboman besar-besaran terhadap bandar-bandar utama di Britain untuk melumpuhkan moral rakyat. Selepas perang, beliau menyedari bahawa adalah lebih elok jika beliau memusnahkan semua lapangan terbang di Britain berbanding memusnahkan bandar kerana kapal terbang Britain masih mampu digunakan untuk menghancurkan kapal pengebom Luftwaffe.

Akhirnya, di penghujung tahun 1940, Hitler menghentikan Operasi Singa Laut. Beliau sedar bahawa Jerman tidak mempunyai kapasiti dan teknologi untuk menyeberang ke tanah besar Britain. Bayangkan lojistik dan supply yang diperlukan oleh tentera Jerman ketika mendarat di selatan Britain ketika Kriegsmarine dan Luftwaffe sibuk menangkis serangan bertali arus oleh Royal Navy, Royal Airforce dan Tentera Darat Britain.

Berbeza dengan D-Day yang dilakukan oleh Tentera Bersekutu pada 1944, mereka mempunyai armada tentera darat, laut dan udara 90% lagi besar dari apa yang Kriegsmarine dan Luftwaffe ada ketika itu. Malah, pada tahun 1940, Tentera Laut Jerman masih lagi tidak mampu untuk menandingi kekuatan yang ada pada Tentera Laut Diraja Britain. Manakala Luftwaffe masih lagi ‘bermandi peluh’ untuk mengalahkan Tentera Udara Diraja Britain. Kesimpulannya, Operasi Singa Laut ini merupakan operasi yang mustahil dan Hitler sendiri mengakuinya. Namun operasi ini berjaya memperdayakan Soviet Union yang menyangka musuh utama Nazi Jerman adalah Britain, bukannya Soviet Union.

Sumber:

  1. C N Trueman (2015) Operation Sealion. The History Learning Site
  2. Timewatch – Operation Sea Lion https://www.youtube.com/watch?v=RT3BApA3NqU
  3. Ansel, Walter (1960). Hitler Confronts England. Duke University Press
  4. Evans, Martin Marix (2004). Invasion! Operation Sealion 1940. Pearson Education.