Itali memasuki kancah Perang Dunia Kedua pada 10 Jun 1940 bersama-sama Nazi Jerman untuk menentang British dan Perancis. Selepas kejatuhan Perancis pada 22 Jun 1940, British kini berseorangan berperang dengan kuasa Paksi (Axis Power) iaitu Nazi Jerman dan Itali. Dengan kesempitan yang dihadapi oleh British, akhirnya Itali boleh mula mengambil peluang untuk membolot tanah-tanah jajahan yang dikuasai oleh British yang kini kian tersepit oleh tekanan dan asakan oleh tentera Jerman di Eropah.

Perdana Menteri Itali, Benito Mussolini menganggap bahawa keadaan British yang kian melemah sebagai peluang terbaik untuk merampas segala tanah-tanah jajahan yang British ada. Pada ketika itu, Itali mempunyai tanah jajahan di Libya yang terletak di Afrika Utara dan Ethiopia (Habsyah) di Afrika Timur. Libya merupakan sebuah koloni Itali yang berjaya diambil daripada Empayar Uthmaniyyah selepas kemenangan mereka ketika Perang Itali-Turki 1911. Libya terletak di antara dua buah koloni-koloni lain. Di sebelah barat ialah Algeria dan Tunisia, dibawah jajahan takluk Perancis. Manakala di sebelah timur ialah Mesir, dibawah naungan British.

Koloni-koloni yang dimiliki oleh Negara-negara Eropah di benua Afrika

Dengan jatuhnya Perancis di Eropah, Perancis dan tanah-tanah jajahannya ditadbir oleh kerajaan boneka Jerman iaitu Vichy France pimpinan Marshal Philippe Petain. Disebabkan itu, Mussolini mengalihkan semua tentera Itali dari barat Libya dan memindahkan mereka ke timur, berhadapan dengan Mesir yang merupakan koloni British. Kini jelas, Mussolini mahu mengambil-alih seluruh Mesir. Kemudian menghubungkan Libya, Mesir dan Ethiopia dibawah satu jajahan besar koloni Itali di benua Afrika.

Marshal Italo Balbo merupakan Gabenor-Jeneral di Libya. Beliau bertanggungjawab ke atas Tentera Itali Kelima (barat Libya) dan Kesepuluh (timur Libya). Balbo tidak bersetuju dengan Mussolini yang mahu berperang dengan British dan Perancis pada 10 Jun 1940 kerana Angkatan Tentera Itali masih lagi tidak bersedia. Selepas kejatuhan Perancis, Mussolini memberi tugasan kepada Balbo untuk menyerang Mesir. Walaupun keadaan tentera Itali yang tidak begitu moden, Balbo mampu menggunakan peluang kejatuhan Perancis di Eropah untuk mengalihkan Tentera Itali Kelima ke timur untuk membantu Tentera Itali Kesepuluh dalam serangan keatas Mesir. Serangan keatas Mesir ini diberi nama ‘Operasi E’ (E untuk Egypt).

“Bukan jumlah tentera yang aku bimbangkan tetapi peralatan dan kelengkapan. Tidak guna menghantar beribu-ribu tentera untuk berperang kalau kelengkapan perang pun tidak ada.”

Itulah luahan Marshal Balbo mengenai situasi yang dialami tentera Itali di Libya. Mussolini sangat terdesak mahu menyerang Mesir kerana Tentera British ketika itu sibuk berperang dengan Nazi Jerman di Eropah. Sememangnya jumlah tentera British di Afrika Utara lebih sedikit daripada tentera Itali. Sungguhpun begitu, tentera British di Afrika Utara jauh lebih moden dan lebih efektif berbanding Itali. Tentera British di Afrika Utara hampir semuanya telah di mekanais dan bermotor serta tidak lagi menggunakan tentera berkuda. Manakala Tentera Itali hampir tidak ada langsung kenderaan bermotor di mana tenteranya kebanyakkan berjalan kaki.

Marshal Balbo (kiri) Marshal Graziani mengakui bahawa Tentera Itali tidak mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk bertempur dengan Tentera British di Afrika yang enggan dipersetujui oleh Mussolini.

Selepas kematian Bablo pada 28 Jun 1940, tempatnya digantikan oleh kroni Mussolini iaitu Marshal Rodolfo Graziani. Beliau merupakan salah seorang komander tentera Itali ketika Perang Itali-Ethiopia 1936. Sebelum perang tersebut, beliau pernah menjadi Komander Tentera Itali di Libya. Beliau berjaya menghapuskan puak pejuang Islam di Libya yang dipimpin Omar Mukhtar sehingga beliau digelar Pencincang Libya.

Selepas mengambil alih tugas Balbo sebagai Gabenor-Jeneral, Graziani menyedari betapa kroniknya keadaan tentera Itali untuk menyerang Mesir. Beliau cuba untuk menangguh serangan sebanyak tiga kali untuk menstabilkan Tentera Itali untuk menyerang Mesir. Mussolini mengugut Graziani sama ada beliau menyerang Mesir dengan segera atau pangkat Marshal of Italy ditarik balik. Akhirnya, pada 9 September 1940, Graziani melancarkan Operasi E.

Jeneral Archibald Wavell, Jeneral Memerintah Tentera British di Timur Tengah.

Jeneral Archibald Wavell, Jeneral Memerintah (GOC) di Timur Tengah mengarahkan Tentera British di Mesir untuk berundur dari sempadan. Beliau mahu mencuri masa untuk menstabilkan Tentera British dengan menunggu peralatan dan bantuan ketenteraan seperti kereta kebal dan artileri.

Wavell tahu walaupun Tentera Itali mempunyai sejumlah besar tentera, namun peralatan dan teknologi ketenteraan mereka sangat mundur. Pada awal Operasi E dilancarkan, Tentera Itali mudah melepasi sempadan Libya-Mesir dengan sedikit sahaja yang terkorban. Namun begitu, Tentera Itali mempunyai masalah logistik yang amat kronik. Kebanyakkan tentera meraka adalah tentera pejalan kaki (infantri) dan kenderaan bermotor pula adalah amat minimum. Walaupun Itali mempunyai sejumlah kereta kebal medium baru seperti Fiat M13/40 namun, disebabkan masalah logistik yang teruk, kenderaan ini gagal untuk berfungsi dengan efektif.

Kereta Kebal Medium Fiat M13/40 kebanggaan Itali tidak mampu berfungsi secara efektif jika ketiadaan minyak dan petrol.

Akhirnya, Graziani hanya mampu untuk mara sejauh lebih kurang 20 batu dari sempadan sebelum berhenti di pekan Sidi Barani untuk bertahan sambil menunggu bantuan dan supply datang untuk meneruskan misi. Keadaan ini memberikan peluang kepada Wavell untuk menganggu laluan supply Itali dengan menggunakan khidmat Tentera Udara Diraja British yang berpangkalan di Malta, Laut Mediterranean.

Pada ketika ini, Tentera Itali langsung tidak boleh bergerak dari Pekan Sidi Barani kerana ketiadaan minyak dan barang-barang ketenteraan untuk meneruskan Operasi E ini. Hal ini semakin menjadi teruk apabila Mussolini mengambil keputusan untuk menyerang Greece pada 28 Oktober 1940. Graziani menjadi berang kerana segala bantuan dan supply akan dibahagi-bahagikan.

Peta menunjukkan Kemaraan Tentera Graziani dan Operasi Kompas pimpinan Wavell.

Pada 2 December 1940, Tentera British melancarkan Operasi Kompas iaitu serangan balas secara besar-besaran terhadap seluruh Tentera Itali yang menceroboh Mesir. Jeneral Wavell sudah mempunyai peralatan, kapal terbang dan kereta kebal yang mencukupi untuk serangan balas (counter-offensive) ke atas Tentera Itali.

Jeneral Wavell memerlukan 2 bulan untuk menawan 2/3 daripada Libya manakala Marshal Graziani pula hanya mara sejauh 20 batu ke dalam wilayah Mesir dalam jangka masa 3 bulan. Operasi Kompas merupakan suatu kejayaan yang amat besar bagi Tentera British terhadap kuasa Paksi kerana berjaya menduduki hampir seluruh Libya. Kegagalan Itali untuk bertahan dan kemunduran teknologi Angkatan Tentera Itali menyebabkan Itali kehilangan hampir seluruh koloni mereka di Afrika, termasuk di Ethiopia.

Mussolini mempunyai cita-cita besar untuk membina sebuah Empayar Roman Baru yang merangkumi seluruh kawasan di Mediterranean, Balkans dan Afrika Utara.

Sememangnya Itali memang tidak bersedia lagi untuk berperang pada masa itu. Penasihat-penasihat tertinggi Itali menganggarkan bahawa Itali mempunyai kapasiti dan kebolehan untuk berperang pada tahun 1942. Namun, Mussolini tidak sabar. Beliau mencemburui rakan sejawatnya di Jerman iaitu Adolf Hitler dimana beliau berjaya menguasai hampir keseluruh Eropah dalam pada masa yang singkat.

Mussolini mempunyai visi mahu membentuk sebuah Empayar Roman Baru dan beliau mahukan ia secepat mungkin. Akhirnya, tindakan tergopoh-gapah Mussolini memakan diri. Kini, beliau kehilangan hampir seluruh Afrika dan Perang Itali-Greece juga menyebabkan Itali kehilangan 2/3 wilayah di Albania. Melihat daripada kesengsaraan yang dihadapi Mussolini ketika itu, Adolf Hitler akhirnya campur tangan dengan menghantar Jeneral Erwin Rommel dan kontijen AfrikaKorps untuk membantu Itali di Afrika Utara, serta menyerang Yugoslavia dan Greece pada 6 April 1941.

Rujukan:

  1. Christie, H. R. (1999). Fallen Eagles: The Italian 10th Army in the Opening Campaign in the Western Desert, June 1940 – December 1940
  2. Bauer, E. (2000) [1979]. Young, Peter, ed. The History of World War II
  3. Battlefield Season 2, Episode 1. https://www.youtube.com/watch?v=_RCw8OIrlAs

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.