Perang Dunia Kedua: British Dikepung Lagi

0
719
views

Kegagalan yang ditunjukkan oleh tentera British dalam mengekang serangan Rommel pada Operasi Bunga Matahari membawa padah. Tentera British di Afrika Utara sudah kehilangan seluruh timur Libya dan telah berudur secara besar-besaran sehingga ke sempadan Libya-Mesir. Lebih buruk lagi, sekali lagi tentera British dikepung dalam jumlah yang agak besar. Selepas Dunkirk, kali ini 30,000 Tentera British dan Australia yang terbaik dikepung oleh tentera Afrika Korps pimpinan General Erwin Rommel di Tobruk.

Operasi Bunga Matahari (Operation Sonnenblum)

Sejurus Rommel mendarat di Tripoli bersama-sama Kor Afrika Jerman, beliau melancarkan Operasi Bunga Matahari untuk menghalau tentera British yang bertapak di timur Libya. Dengan berbekalkan sumber dan bekalan yang sedikit serta kegagalan British untuk mengesan kehadiran tentera Jerman, Rommel berjaya mengambil semula timur Libya daripada British. Beliau juga berjaya mengepung 35,000 tentera British dan Australia di Pelabuhan Tobruk.

Kejayaan Rommel ini memberikan aspirasi kepada beliau untuk pergi lebih jauh. Beliau menggariskan bahawa, ‘objektif Kor Afrika Jerman (Afrika Korps) dalam kempen ini ialah Terusan Suez!’.

Tobruk Dikepung

Tobruk diisytiharkan sebagai Fortress (kubu besar). Churchill mengarahkan agar tentera Komanwel untuk bertahan dan menunggu untuk diselamatkan.’

Tobruk merupakan ibu kota Timur Libya dan juga merupakan antara pelabuhan yang paling strategik di Laut Mediterranean. Rommel mengepung tentera British dan Australia di Tobruk pada 10 April 1941, di akhir Operasi Bunga Matahari. Lebih kurang 30,000 tentera Komanwel, kebanyakkan terdiri daripada Tentera Australia terperangkap di situ.

Tentera Komanwel yang terperangkap di situ dipimpin oleh komander tentera Australia, Major General Leslie Morshead. Beliau diarahkan oleh Komander Turus Timur Tengah, General Archibald Wavell untuk mempertahankan Tobruk walau apa jua sekalipun. Wavell juga berjanji akan menyelamatkan tentera Morshead yang terperangkap di Tobruk.

Secara teknikal, Tobruk bukanlah dikepung sepenuhnya kerana masih ada jalan keluar melalui laut dimana Tentera Laut Diraja dan Tentera Udara Diraja British mampu memberi bantuan kepada tentera beliau di Tobruk. Namun bantuan itu terlalu sedikit kerana British masih lagi sibuk bertempur di Greece.

Morshead (kanan) berjaya memimpin tenteranya yang terkepung dalam mempertahankan Tobruk daripada serangan bertali arus oleh tentera Jerman.

Morshead segera membina beberapa sistem pertahanan di keliling perimeter Tobruk. Pada 11 April 1941, Rommel cuba untuk memasuki Tobruk namun pelabuhan itu berdiri teguh daripada asakan bertubi-tubi Rommel. Satu demi satu kereta perisai Rommel hancur kerana cuba untuk menawan Tobruk. Di penghujung April 1941, Rommel terpaksa menghentikan serangan kerana beliau kekurangan sumber untuk menawan pelabuhan tersebut.

Melihat kegagalan Rommel untuk menakluk Tobruk, Major General Friedrich Paulus, Timbalan Ketua Staf Tentera Darat Jerman, dihantar untuk mengetahui penyebab kegagalan Rommel. Beliau mendapati bahawa Rommel kekurangan sumber dan bekalan yang teruk untuk membuat apa-apa serangan. Rommel diberitahu supaya “tidak ada lagi serangan terhadap Tobruk atau apa-apa jenis ofensif sehingga supply dapat distabilkan.

Operasi Kapak Tempur (Operation Battleaxe)

Selepas Tobruk dikepung, Wavell mula melakar pelan untuk menyelamatkan tenteranya di Tobruk. Cubaan Wavell untuk mengambil Laluan Halfaya (Halfaya Pass), yang merupakan laluan kritikal untuk merusuk tentera musuh melalui padang pasir gagal. Perdana Menteri British, Winston Churchil meluluskan penghantaran sebanyak 43 kapal terbang pejuang, 238 kereta perisai yang terdiri daripada 21 kereta kebal ringan, 82 kereta kebal Cruiser dan  135 kereta perisai lain-lain model ke Alexandria, Mesir. Penghantaran ini dikenali sebagai Konvoi Harimau (Tiger Convoy)

Waqaf Saham

Churchill mengarahkan Wavell untuk menyerang balas tentera Rommel dengan segera merta. Selepas mantan komander Western Desert Force, General Richard O’ Connor ditangkap oleh Rommel, Wavell menggantikan tempat beliau dengan Lt. General Noel Beresford-Peirse dan menamakan semula Western Desert Force kepada Kor Kelapan British (British VIII Corps).

Dengan kekuatan tentera British yang semakin kuat selepas penambahan sejumlah kereta kebal yang banyak, pada 15 June 1941, Wavell melancarkan Operasi Kapak Tempur dengan objektif, menawan Fort Capuzzo, Pelabuhan Sollum dan Halfaya Pass, seterusnya mara terus untuk menyelamatkan tentera Australia yang terperangkap di Tobruk. Sebelum itu, Rommel sudahpun bersedia dengan apa jua kemungkinan. Beliau meletakkan beberapa meriam anti-kereta kebal di sepanjang Laluan Halfaya, tempat dimana kereta kebal British berlalu.

Pada hari pertama pertempuran, Kor Kelapan British pimpinan Beresford-Pierce berjaya menawan pekan Sidi Omar dan Titik 206 (Point 206) namun gagal untuk menawan Halfaya Pass. Wavell gagal untuk menyedari tentang kehadiran meriam anti-kereta kebal di sepanjang bukit di Halfaya Pass. Hal ini menyebabkan separuh daripada kereta kebal British di musnahkan di situ.

Pada hari kedua, Kor Kelapan British berjaya menakluki Fort Capuzzo tetapi dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan kereta kebal yang banyak. Melihat daripada situasi ini, Rommel pergi ke barisan hadapan untuk memimpin sendiri tentera-tenteranya di sana. Pada petang itu, Rommel menerima maklumat mengenai pelan Operasi Kapak Tempur daripada salah sebuah kereta kebal British yang rosak berdekatan pekan Sidi Omar. Maklumat ini menjadi kunci kepada kehancuran tentera British secara besar-besaran dalam operasi ini.

Pada hari ketiga, Rommel menyerang balas. Beliau menghantar kesemua kereta kebal reserve beliau di Port Capuzzo untuk merusuk tentera British di Sidi Omar. Beresford-Pierce terkejut dengan serangan yang dilakukan di Sidi Omar dimana merupakan kawasan paling lemah tentera British dalam operasi tersebut. Tanpa mendapat persetujuan daripada Wavell, beliau mengarahkan tenteranya meninggalkan Sidi Omar dan berundur.

Rommel, yang memimpin sendiri serangan di Sidi Omar mengejar tentera Beresford-Pierce sehingga ke Halfaya Pass. Menyedari serangan yang dilakukan oleh Rommel di situ, Wavell mengarahkan tentera British untuk berundur dari Fort Capuzzo untuk mengelakkan daripada terperangkap. Operasi Kapak Tempur, dilancarkan Wavell, untuk menyelamatkan tenteranya yang terperangkap di Tobruk telah gagal.

Epilog

Selepas kekalahan dalam Operasi Kapak Tempur, Wavell diganti oleh Auchinleck sebagai Komander Turus Timur Tengah.

Daripada 238 kereta kebal yang dihantar Churchill ke Afrika Utara, 98 daripadanya musnah dan kebanyakkanya terpaksa untuk dibaiki akibat serangan yang dilakukan tentera Jerman di Halfaya Pass. Wavell langsung tidak menyedari yang Halfaya Pass akan dipertahankan oleh tentera Jerman yang bersenjatakan meriam anti-kereta kebal. Oleh hal yang demikian, 80% kereta kebal British yang musnah akibat bertempur di laluan tersebut. Disebabkan itu juga, Halfaya Pass diberi nama Hellfire Pass (Laluan Api Neraka) oleh tentera British.

Kegagalan Operasi Kapak Tempur disebabkan oleh kegagalan Wavell untuk memperolehi segala maklumat perisikan mengenai kedudukan tentera Jerman. Beliau silap menjangka bahawa kebanyakkan kereta kebal Jerman sedang bertempur di Tobruk yang menyebabkan beliau tidak bersedia ketika Rommel datang dengan segerombolan kereta kebal yang banyak menyerang tenteranya.

Pelan yang dilakar oleh Wavell juga dibuat secara terburu-buru selepas didesak oleh Perdana Menteri British Winston Churchill. Selepas kekalahan di Greece, Churchill mahu segera mengalahkan tentera Jerman dan Itali di Afrika Utara supaya dapat menjadikan Afrika Utara sebagai kawasan strategik untuk serangan balas.

Salah satu kelebihan yang dimiliki oleh tentera Rommel ialah maklumat perisikan. Diluar pengetahuan British, Jerman sudah beberapa kali memecahkan dan membaca kod-kod rahsia sepanjang pendudukan British di Afrika Utara. Tidak hairan lah, Operasi Kapak Tempur berakhir setelah hanya tiga hari sahaja bertempur!

Rommel lebih selesa untuk mengarahkan tenteranya di barisan hadapan supaya beliau dapat melihat situasi pertempuran dengan lebih jelas

Rommel juga seorang pemimpin tentera yang merendah diri dan berani. Beliau pergi dan memimpin sendiri tentera-tenteranya di barisan hadapan supaya dapat mengetahui situasi sebenar pertempuran dan menaikkan semangat tenteranya di sana. Manakala Wavell hanya memberikan tugas operasi ini kepada komander Kor Kelapan British, Lt. Gen. Beresford-Pierce tanpa berada di barisan hadapan. Apabila Beresford-Pierce mengarahkan pengunduran, Wavell tidak mengetahui langsung tentang hal ini dan gagal mengehntikan arahan tersebut.

Tobruk masih lagi dikepung sehingga November. Berang dengan kegagalan operasi ini, Churchill memecat Wavell sebagai Komander Turus Timur Tengah. Tempat beliau digantikan oleh General Claude Auchinleck, bekas Komander Turus Tentera British di India.

Rujukan:

The REAL Operation Battleaxe 1941 | BATTLESTORM WW2 Documentary (https://www.youtube.com/watch?v=lqGo57Drs24)

Delany, John (September 1998). Fighting the Desert Fox: Rommel’s Campaigns in North Africa April 1941 to August 1942. London: Arms & Armour.
Hall, Timothy. Tobruk 1941, The Desert Siege. Sydney: Methuen Australia. ISBN 0-454-00667-5.
Jentz, Thomas L. (1998). Tank Combat in North Africa: The Opening Rounds, Operations Sonnenblume, Brevity, Skorpion and Battleaxe, February 1941 – June 1941. New York: Schiffer. ISBN 0-7643-0226-4.