Ofensif Ardennes atau Ofensif Rundstedt atau Pertempuran Ardennes merupakan pertempuran paling berdarah tentera Amerika ketika Perang Dunia Kedua. Ini merupakan salah satu idea gila Hitler untuk melumpuhkan tentera Berikat di sebelah Barat.

Pengenalan

Keadaan semasa medan barat, September 1944.


Keadaan semasa medan barat, September 1944.

Tentera Berikat pimpinan General Dwight D. Eisenhower telah bertapak dengan kukuh di bahagian barat Eropah. Tentera beliau sudahpun menawan seluruh Perancis, seluruh Belgium dan selatan Belanda pada tahun 1944. Banyak tentera Nazi Jerman tumbang di tangan beliau. Namun, kepantasan tentera beliau menolak tentera Jerman memberi masalah kepada lojistik dan moral tentera Berikat.

Selaku panglima tertinggi tentera Berikat (Allied Forces), Eisenhower memimpin tiga kumpulan tentera di barat Eropah iaitu 12th US Army Group pimpinan Lt. General Omar Bradley, 21st British Army Group pimpinan Field Marshal Bernard Montgomery dan 6th US Army Group pimpinan Lt. General Jacob L. Devers.

Eisenhower mempunyai masalah untuk membahagikan bekalan logistik kepada ketiga-tiga ‘army group’ ini. Banyak pelabuhan di barat Eropah tidak dapat digunakan kerana tentera Jerman berjaya memusnahkan fasiliti tersebut daripada digunakan pihak Berikat. Oleh itu, mereka terpaksa menunggu bekalan dari pelabuhan sedia ada yang jauh seperti Normandy dan Cherbourg.

General Eisenhower (kiri) dan Field Marshal Montgomery (kanan)

Masalah lain yang dapat dilihat pada tentera Berikat pada ketika ini ialah moral. Disebabkan terlalu pantas tentera Berikat mara ke kawasan musuh, mereka menjadi terlalu penat dan tidak mendapat rehat yang cukup.

Kekalahan pihak Berikat kepada Jerman ketika Operasi Market Garden memburukkan lagi moral tentera Berikat. Banyak bekalan dihabiskan untuk menjayakan operasi berkenaan yang akhirnya membuatkan tentera Berikat mengigit jari. Disebabkan itu, Eisenhower terpaksa menangguhkan beberapa misi serangan ke atas Jerman sementara menunggu bekalan dan lojistik sampai di barisan hadapan.

Pelan Gila

Pada 16 September 1944, Adolf Hitler menerangkan pelan beliau untuk melancarkan satu serangan hebat ke atas tentera Berikat di barat. Hitler memilih kawasan hutan tebal di Ardennes yang merupakan tempat yang sama Hitler dan tentera Jerman menyerang Perancis pada 1940.

Hitler mahu mahu para panglimanya menggunakan taktik ‘Blitzkrieg’ dengan menjadikan hutan Ardennes ini sebagai batu loncatan untuk menusuk masuk rusuk tentera Berikat dan mara ke Sungai Meuse, sebelum memecut terus ke ibu kota Belgium iaitu Brussels dan pelabuhan utamanya iaitu Antwerp. Menurut Hitler, Brussels dan Antwerp mesti ditawan oleh tentera Jerman pada hari keempat.

Terkejut beruk para panglima Hitler apabila mendengar pelan gila ini. Komander Keseluruhan Medan Barat, Field Marshal Gerd von Rundstedt dan Komander Army Group B, Field Marshal Walter Model mengatakan bahawa pelan ini sangat mengarut. Hal ini kerana, Nazi Jerman sudah tidak ada tentera yang mencukupi untuk melancarkan operasi ini.

“Kita ADA tentera simpanan” jawab Hitler apabila ditanya dari mana hendak cari tentera untuk serangan ini.

‘Tentera simpanan’ yang dimaksud Hitler ialah tentera simpanan strategik kebangsaan dibawah Oberkomando der Wehrmacht (Pemerintahan Tertinggi Angkatan Tentera) yang merangkumi 13 divisyen infantri, 2 divisyen payung terjun dan 6 divisyen Panzer.

Gila. Hitler mahu memperjudikan semua divisyen yang tinggal yang sepatutnya digunakan untuk mempertahankan tanah Jerman. Sementara itu, di barisan timur iaitu di Soviet Union, tentera Jerman di sana sudah ‘rongak’ apabila tentera Soviet pimpinan Marshal Georgy Zhukov menggempur dan melenyapkan hampir keseluruhan Army Group Center. Hal ini membuka ‘lubang’ kepada tentera Soviet untuk ‘jalan’ terus ke Berlin. Mujurlah masalah lojistik tentera Soviet menangguhkan perkara tersebut.

Pelan Hitler: Memisahkan Tentera Amerika dan British

Hitler masih berfikir bahawa Perang Dunia Kedua boleh dimenangi. Beliau percaya tentera Soviet di timur yang banyak tidak boleh mendatangkan apa-apa pulangan yang baik kepada Jerman. Oleh itu, beliau mengubah fokus kepada tentera Berikat pimpinan Eisenhower di barat. Beliau percaya yang tentera Jerman mampu untuk mengalahkan tentera Berikat yang nampak jauh lebih lemah daripada tentera Soviet. Jika serangan ini berjaya, Hitler boleh menumpukan kepada banyak projek-projek hebat seperti kereta kebal Panzer model baru atau jet pejuang atau roket merentasi benua.

Kepantasan tentera Berikat mengalahkan tentera Jerman memberikan kelebihan kepada Hitler. Kini, tentera Jerman berada begitu dekat dengan tanah Jerman. Bekalan lojistik kini boleh dihantar terus tanpa sebarang masalah. Tentera Jerman juga tidak perlu risau mengenai kod-kod rahsia dipecahkan kerana maklumat kini boleh disampaikan melalui ‘runner’ ataupun menggunakan tali telegfraf tanpa menggunakan mesin enigma atau radio.

Peta menunjukkan pelan Army Group B untuk menawan pelabuhan Antwerp

Pelan yang diketengahkan Hitler sangat drastik dan optimis. Serangan yang merangkumi tentera Panzer di hutan Ardennes, sebelum membelok ke barat laut menuju ke Sungai Meuse. Selepas menyeberang sungai tersebut, mereka akan menggempur terus ke arah Brussels dan Antwerp.

Rundstedt dan Model cuba untuk mengubah pelan yang diberikan Hitler ini. Kedua-dua panglima ini sedar akan kekurangan bekalan, tentera, tentera udara dan lojistik yang dihadapi oleh tentera Jerman pada ketika ini. Model merangka pelan alternatif kepada Hitler iaitu serangan melalui hutan Ardennes sehingga ke Sungai Meuse. Tetapi, Model tidak menyeberang sungai tersebut sebaliknya membelok terus keutara dan memerangkap keseluruhan US 1st Army pimpinan Lt. General Courtney Hodges.

Manakala, Rundstedt juga merangka pelan alternatif beliau kepada Hitler dimana beliau menggunakan serangan dua penjuru satu di Ardennes dan satu lagi di sempadan Belanda, untuk memerangkap seluruh 1st US Army berdekatan Sungai Meuse.

Namun, Hitler tetap berkeras mahu menggunakan serangan agung beliau yang lebih optimis di mana objektifnya jauh ke barat sehingga ke Antwerp. Idea Hitler lebih dahsyat. Beliau bukan sahaja mahu memerangkap 1st US Army malahan seluruh 21st British Army Group pimpinan Field Marshal Montgomery yang merangkumi 2nd British Army dan 1st Canadian Army.

Ya, Hitler mahu memerangkap tiga tentera medan pihak Berikat.

Antara sebab mempengaruhi keputusan Hitler ini ialah, pertelingkahan dan pergaduhan antara panglima British iaitu Field Marshal Montgomery dan panglima Amerika iaitu Dwight D. Eisenhower. Montgomery merupakan komander 21st British Army Group yang merangkumi tentera British dan negara Komanwel mahukan Eisenhower melebihkan bekalan dan lojistik kepada tenteranya. Namun, Eisenhower mahu bekalan diberikan sama rata dengan 12th US Army Group dan 6th US Army Group.

Hal ini menyebabkan Montgomery bengang. Kenapa seorang Field Marshal, komander 5 bintang seperti Montgomery mendengar cakap General 4 bintang seperti Eisenhower. Bagi beliau, tentera British lebih layak untuk menguasai medan pertempuran di Eropah berbanding tentera Amerika. Montgomery juga pernah membuat tindakan drastik apabila membuat persidangan dengan pemberita mengenai perkara ini.

Montgomery juga menyalahkan Eisenhower kerana tidak memberikan bekalan lojistik yang secukupnya ketika Operasi Market Garden yang menyebabkan kekalahan memalukan kepada tentera British.

Inilah dia ‘peluang dan ruang’ yang Hitler cuba untuk eksploitasikan. Jika tentera Panzernya berjaya ‘menggunting’ dan ‘memisahkan’ 21st British Army Group dan 12th US Army Group, ada kebarangkalian bahawa tentera Berikat di barat akan menandatangani perjanjian damai tanpa pengetahuan Soviet Union.

Mungkin juga tentera British dan Amerika akan menentang negara Komunis Soviet di Timur bersama-sama Nazi Jerman? Ini dia idea ‘gila’ Hitler.

Operasi Watch on the Rhine

Hitler memberikan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada Rundstedt dan Model untuk menjayakan operasi ini. Serangan ini diberi nama Operasi ‘Watch on the Rhine’ (Kawalan Ke atas Rhine) sempena nama Sungai Rhine. Nama ini diberi untuk menipu musuh bahawa tentera Jerman sedang melakukan operasi defensif, bukannya ofensif.

Tentera Berikat menamakan pertempuran ini sebagai Ofensif Ardennes atau Ofensif Rundstedt. Nama “Battle of the Bulge” menjadi popular apabila terdapat ‘bulge’ atau lekuk yang timbul ketika surat khabar Amerika menunjukkan peta keadaan semasa ketika pertempuran tersebut.

Dalam operasi ini, Hitler memilih Army Group B pimpinan Field Marshal Walter Model untuk menyerang kedudukan tentera Berikat ini. Army Group ini mempunyai kekuatan tentera Jerman yang paling kuat sekali di medan Barat. Terdapat tiga tentera medan dibawah Army Group ini iaitu:

SS-Colonel General Josef ‘Sepp’ Dietrich

6th Panzer Army.

Tentera ini merupakan tentera yang dipilih sendiri oleh Hitler. Mereka mempunyai kelengkapan yang paling sempurna dan tentera paling berpengalaman dalam operasi ini. Dalam tentera ini, terdapat dua tentera elite Waffen-SS iaitu 1st SS Panzer Division Leibstandarte Adolf Hitler dan 12th SS Panzer Division Hitlerjugend.

Tentera ini akan dipimpin oleh SS Colonel-General Sepp Dietrich, seorang fanatik Nazi. Beliau tidak pernah pergi ke sekolah pegawai atau ‘Staff College’ namun beliau berjaya membuktikan kehebatan beliau apabila berjaya memenangi pelbagai pertempuran menentang tentera Soviet di timur.

Walaupun berlatarbelakang fahaman Nazi, beliau disegani oleh ramai panglima Jerman dan juga rakyat Jerman. Hitler juga mencipta sebuah pangkat baru iaitu SS-Volksmarschall (Marshal Rakyat) kepada Dietrich jika operasi ini berjaya dimenangi.

Hitler meletakkan objektif 6th Panzer Army ini dibahagian utara serangan, dimana tentera ini akan mendapat jalan paling dekat untuk ke objektif mereka iaitu Pelabuhan Antwerp.

General der Panzertruppe Hasso von Manteuffel

5th Panzer Army.

Tentera ini diletakkan dibahagian tengah serangan. Tugas mereka adalah untuk menyerbu hutan Ardennes sehingga ke Sungai Meuse sebelum menyeberang terus menuju ke Brussels.

Tentera Panzer Kelima ini dipimpin oleh General der Panzertruppe Hasso von Manteuffel. Beliau merupakan seorang panglima yang berlandaskan kepada doktrin kereta kebal dan armor. Beliau merupakan penerima anugerah Knight’s Cross serta Oak Leaves, Swords dan Diamonds.

Beliau juga bertempur bersama-sama Rommel ketika kempen di Afrika Utara. Dalam operasi ini, Manteuffel mempertaruhkan unit paling kuat tentera ini iaitu Panzer-Lehr Division iaitu divisyen kereta kebal paling veteran yang dimiliki di medan Barat.

General der Panzertruppe Erich Brandenberger

7th Army.

Tentera ini dipimpin oleh General der Panzertruppe Erich Brandenberger dan diletakkan di bahagian selatan serangan. Boleh dikatakan tentera ini mempunyai tugas paling sukar kerana mempunyai hanya 4 tentera infantri dan boleh dikatakan paling lemah dalam operasi ini. Tentera ini ditugaskan sebagai pendinding daripada sebarang serangan balas oleh tentera Berikat.

Jika Operasi Watch on the Rhine ini berjalan dengan jayanya, 15th Army pimpinan General Gustav-Adolf von Zangen akan melancarkan serangan ke atas 1st US Army dan memusnahkan terus tentera Amerika tersebut. Tentera ini diletakkan dibahagian utara 6th Panzer Army.

Terdapat dua operasi istimewa iaitu Operasi Grifin dan Operasi Hawk. Komando SS iaitu SS-Colonel Otto Skorzeny akan memimpin beberapa tentera Jerman untuk menyelinap masuk di belakang barisan musuh dalam Operasi Grifin.

Skorzeny dan platun beliau yang terdiri daripada tentera yang boleh berbahasa Inggeris akan menyamar sebagai anggota tentera British dan Amerika untuk menukar papan tanda jalan, mengelirukan musuh, seterusnya menawan beberapa jambatan di Sungai Meuse. Ramai tentera Amerika terpaksa ditahan kerana disyaki sebagai spy. Antaranya ialah panglima 12th US Army Group sendiri iaitu Lt. General Omar Bradley.

Manakala Operasi Hawk ialah merupakan serangan payung terjun waktu malam ke atas beberapa kawasan-kawasan penting seperti jalan raya dan persimpangan jalan ke arah Sungai Meuse. Serangan ini akan dipimpin oleh Colonel Friedrich August von der Heydte.

Dalam perbualan tertutup antara Colonel Heydte dan Field Marshal Model, beliau menjelaskan bahawa serangan ini mempunyai tidak sampai 10% untuk berjaya. Model menjawab “Lebih baik mencuba daripada tidak mencuba langsung”.

“Dekat mana kita nak cari minyak untuk kereta kebal kita?” – tanya seorang pegawai Jerman.

“Pergi curi dekat tentera Amerika sana” – balas Field Marshal Model.

Hitler menggariskan 4 kriteria penting dalam menjayakan operasi ini:

  1. Serangan ini wajib dalam keadaan ‘surprise’ atau kejutan. Musuh wajib tidak tahu langsung mengenai serangan ini.
  2. Cuaca perlu dalam keadaan buruk. Hal ini untuk mengelakkan daripada serangan armada udara pihak Berikat ke atas tentera Jerman.
  3. Pergerakkan hendaklah tangkas dan cepat. Tentera Jerman perlu tiba di Sungai Meuse dalam masa 4 hari sahaja.
  4. Disebabkan bekalan minyak yang sangat kritikal, Model mengarahkan minyak untuk ‘dikutip’ dari tentera musuh sepanjang perjalanan.

Serangan di Ardennes

Pada 16 Disember 1944, pukul 5.30 am, Model melancarkan 1,600 tembakan artileri di sepanjang 160km sektor Ardennes. Tembakan artileri ini tidak diberikan perhatian oleh tentera Amerika di sana kerana mereka menjangka bahawa ini merupakan serangan balas yang normal kerana beberapa hari sebelum itu, mereka saling bertukar-tukar tembakan artileri.

Tetapi selepas tembakan tersebut, bumi Ardennes tiba-tiba bergoncang. Segerombolan tentera Jerman tiba-tiba menyerbu hutan tebal Ardennes berkenaan diikuti dengan beberapa buah kereta kebal gergasi iaitu King Tiger. Tentera Amerika daripada 1st US Army merupakan pasukan yang diberi tanggungjawab untuk mempertahankan hutan tersebut. Mereka menjangkakan bahawa Ardennes merupakan kawasan ‘senyap’ dan menjadi kawasan ‘rehat dan rawat’. Mereka langsung tidak menyedari bahawa hutan tersebut akan diserbu oleh tentera-tentera Jerman. Maka bermulalah Operasi ‘Watch on the Rhine’.

Tentera Jerman perlu tiba di Sungai Meuse dalam masa 4 hari.

Serangan di sektor utara

King Tiger milik Kampfgruppe Peiper melalui tawanan perang Amerika

SS-Colonel General Sepp Dietrich memimpin 6th Panzer Army merupakan pasukan tentera paling kuat dalam operasi ini dipenuhi dengan 2 buah divisyen SS yang berani mati. Objektif mereka ialah menyeberang Sungai Meuse terus ke Pelabuhan Antwerp.

Lanzareth merupakan sebuah pekan kecil di sekitar Ardennes dan dihuni oleh 18 anggota tentera Amerika daripada Platun Tinjau, 99th US Infantry Division. Mereka merupakan mangsa pertama serangan tentera Jerman. Seramai 500 tentera Jerman menyerbu pekan ini tetapi ia mengambil masa 20 jam untuk pekan ini ‘dibersihkan’ dan ini telah melambatkan jadual mereka dimana mereka seharusnya menawan pekan berkenaan 16 jam lepas.

Dietrich melantik SS-Lieutenant Colonel Joachim Peiper untuk memimpin sebuah ‘battle group’ atau Kampfgruppe, sebuah pasukan ad-hoc yang ditugaskan untuk menjadi ‘penggempur’ untuk ke Antwerp. ‘Kampfgruppe Peiper’ ini diberi tanggungjawab untuk merusuk masuk ke pertahanan musuh dengan armada kereta kebal sebanyak 600 buah dan 4,800 orang anggota. Dalam kata lain, tugas sebuah kampfgruppe adalah untuk ‘menggempur tanpa melihat kebelakang’.

Seorang Tentera Jerman menyerang hutan Ardennes bersama assault rifle Sturmgewehr-44

Kampfgruppe Peiper telah lewat. Dietrich memaksa Peiper untuk terus menggerakkan panzer-panzernya ke hadapan. Dalam ketika ini, mereka berjaya menawan beberapa tawanan perang Amerika yang terkejut akan serangan operasi ini. Pada 17 Disember 1944, 12.30pm beberapa tawanan Amerika yang cuba lari ditembak secara rambang oleh pasukan Peiper dan telah membunuh seramai 84 orang tawanan. Hal ini kerana Peiper tidak ada masa untuk ‘melayan’ tawanan-tawanan ini. Insiden ini digelar ‘Penyembelihan Malmedy’.

Peiper dan anggotanya meneruskan perjalanan mereka dan tiba di sebuah pekan Honsfeld iaitu sebuah pekan ‘rehat dan rawat’ kepada 99th US Infantry Division. Peiper berjaya menawan tentera Amerika di sana dan gembira apabila berjaya mengutip beberapa tong minyak daripada tentera Amerika.

Kampfgrupper Peiper melalui sebuah jalan raya berdekatan Malmedy

Tentera Amerika kini menyedari bahawa terdapat serangan besar-besaran sedang berlaku. Mereka mula sedikit demi sedikit berundur sehingga ke sebuah pekan bernama Elsenborn. Komander 1st US Army, Lt. General Courtney Hodges gagal untuk menghubungi Bradley, komander 12th US Army Group untuk mendapatkan bantuan segera kerana HQ Bradley berada jauh di selatan di mana tentera Jerman sedang membedil.

Operasi Griffin dan Operasi Stosser (Hawk).

Operasi Hawk dijalankan pada 17 Disember 1944, lebih kurang 1,300 anggota payung terjun Jerman pimpinan Colonel August von der Heydte diterjunkan di sebuah kawasan musuh berdekatan Elsenborn dan Malmedy. Mereka ditugaskan untuk menawan persimpangan-persimpangan utama ke Meuse dan menunggu kedatangan Kampfgruppe Peiper dan 12th SS Panzer Division.

Hanya 300 anggota sahaja yang berjaya terjun di tempat yang sepatutnya. Ramai yang mati akibat tersalah terjun dan ada yang tersalah kawasan terjunan. Rata-rata anggota dalam operasi ini tidak mempunyai pengalaman penerjunan. Heydte terpaksa menunggu di kedatangan Peiper untuk menawan persimpangan tersebut tetapi mereka tidak datang langsung.

Pada 16 Disember 1944, SS-Colonel Otto Skorzeny memimpin sebuah brigade ‘Panzer Brigade 150’ yang mempunyai anggota berbahasa Inggeris dan menggunakan kelengkapan Amerika seperti kereta kebal dan uniform.

Operasi ini boleh dikatakan berjaya kerana mereka berjaya mengelirukan ramai anggota tentera Amerika dan British. Antara mangsa-mangsanya ialah Eisenhower sendiri apabila polis tentera menahan beliau selepas gagal memberi jawapan mengenai sebuah pasukan baseball Amerika. Montgomery juga hampir ditembak keluar dari keretanya apabila beberapa prebet Amerika pernah melihat seorang spy Jerman serupa dengan muka panglima British berkenaan.

Serangan di tengah dan selatan

General Manteuffel yang memimpin 5th Panzer Army menyerang sektor tengah. Serangan mereka ditentang oleh 28th dan 106th US Infantry Division daripada 1st US Army. Kedua-dua divisyen ini berjaya dikalahkan dengan senang kerana mereka langsung tidak menyangka kehadiran tentera Jerman.

Laporan kematian ketika pertempuran di St. Vith

Laporan kematian ketika pertempuran di St. Vith

Beliau tiba di pinggir sebuah pekan St. Vith yang merupakan pekan persimpangan penting untuk ke Sungai Meuse. Malang sekali, Manteuffel tidak menyangka pekan tersebut dipertahankan oleh pasukan bersaiz corps (8th US Corps) pimpinan Maj General Troy Middleton. Tentera Amerika di sana juga tidak menjangka kedatangan Manteuffel apabila tiba-tiba sahaja segerombolan panzer Manteuffel melalui jalan-jalan dalam pekan berkenaan.

Keadaan yang berkabus tebal disekitar pekan tersebut sangat menyeramkan. Selepas Manteuffel melepaskan tembakan artileri, kabus tebal menyelubung hutan tersebut. Tiba-tiba, satu per satu lampu limpah ditujukan terus kearah mereka. Kemudian, kereta kebal Panzer IV dan Panther daripada elemen Panzer-Lehr Division dan anggota 62nd Volksgrenadier Division melepaskan tembakan bertubi-tubi kearah posisi mereka.

Halftrack ‘Lampu Limpah’ milik tentera Jerman

Middleton walaubagaimanapun mampu menangkis serangan Manteuffel apabila kereta kebal 7th US Armored Division miliknya memposisi kan beberapa buah kereta kebal Sherman di sepanjang jalan di St. Vith.

Pada 17 Disember, Model turun ke barisan hadapan untuk bertanya kepada Manteuffel mengenai progress mereka. Namun, mereka masih lagi tersekat di St. Vith. Model mengarahkan Manteuffel untuk melintasi sahaja pekan tersebut dan terus menuju ke barat.

Pada ketika itu juga, beberapa elemen kereta kebal King Tiger milik Dietrich tiba-tiba melalui kawasan utara pekan St. Vith. Mereka ini juga sebenarnya sedang mencari jalan lain untuk ke barat apabila pekan Elsenborn dan Malmedy masih lagi tidak mampu ditawan.

Manteuffel dan Dietrich diberi tekanan untuk mengikut jadual mustahil mereka untuk tiba di Sungai Meuse.

Pada 19 Disember, selepas tiga hari terputus komunikasi, Montgomery akhirnya dapat menghubungi Hodges tentang situasi sebenar di Ardennes. Elsenborn, Malmedy dan St. Vith teruk dibedil oleh tentera Jerman. Hodges tidak dapat menghubungi Bradley untuk memberi laporan. Hodges juga terpaksa memindahkan markasnya dari Elsenborn ke Liege akibat serangan ini.

Armada udara pihak Berikat menjatuhakan bom ke posisi tentera Jerman selepas cuaca mengizinkan.

Pada 20 Disember, Montgomery meminta Eisenhower menukarkan 1st US Army daripada organisasi 12th US Army Group ke 21st British Army Group. Hal ini kerana seluruh tentera Amerika di sana terputus hubungan dengan Bradley. Eisenhower setuju.

Pada 21 Disember, pekan St. Vith akhirnya tumbang ditangan Manteuffel. Namun, banyak masa telah dihabiskan di pekan tersebut. Seterusnya, Manteuffel mengarahkan ‘penggempur’ utamanya iaitu 2nd Panzer Division dan Panzer-Lehr Division untuk menyergah terus ke barat untuk mengejar jadual waktu yang diberikan. Sudah hari kelima namun belum ada tentera Jerman yang masih tiba di Sungai Meuse.

Pengepungan Bastogne

Bastogne merupakan sebuah pekan yang penting kerana terdapat jalan-jalan utama yang menghubungi Sungai Meuse, Luxembourg dan hub laluan lojistik kepada tentera British jauh di utara. Ia dikawal oleh 101st Airborne Division dan Kompeni B 10th Armoured Division. Tentera Amerika di sana dipimpin oleh Brigadier Anthony McAuliffe. Pekan Bastogne menjadi tempat pelarian oleh tentera Amerika yang berundur akibat serangan daripada Dietrich dan Manteuffel.

Pada 21 Disember, pekan Bastogne dikepung 2nd Panzer Division dan Panzer-Lehr Division mengepung dari barat dan utara. 7th Army mengepung dari selatan. 26th Volksgrenadier Division dan 5th Fallschirmjager Division pula akan menyerang dari timur. Keadaan di Bastogne semakin kritikal apabila mereka kekurangan bekalan dan lojistik. Cuaca yang sejuk melampau menambah lagi kesengsaraan mereka.

Pada 22 Disember, komander corps yang mengepung bandar tersebut (48th Panzerkorps) iaitu Generaleutnant Heinrich von Luttwitz menghantar delegasi letak senjata kepada McAuliffe. Komander payung terjun Amerika itu membalas:

Kepada Komander Tentera Jerman;

“NUTS!”

Daripada Komander Tentera Amerika.

Jika ditafsirkan, kata-kata tersebut bermaksud “Go to Hell” atau “pergi mati”. Kata-kata tersebut tersemat di hati tentera Amerika yang dikepung di bandar tersebut untuk terus bertahan.

Respons McAuliffe kepada Luttwitz ketika dikepung di Bastogne

Patton menyerang balas

Pada 21 Disember, seluruh pentadbiran tentera Berikat berkumpul di Verdun untuk membincangkan situasi serangan Jerman di Ardennes. Eisenhower, Montgomery, Patton dan Hodges turut hadir dalam perbincangan ini.

“Situasi di Ardennes semakin gawat. Tetapi mereka tidak akan dapat kemana-mana. Kita boleh kalahkan mereka.” kata Eisenhower.

“Biarkan mereka mara terus Paris pun tidak mengapa supaya kita dapat kepung mereka dari belakang dan menjadikan ia sebagai Stalingrad kedua.” kata Patton sambil ketawa.

Eisehower masih lagi tidak mampu untuk menghantar armada tentera udara di sana akibat cuaca yang amat buruk. Beliau bertanya kepada Patton berapa lama masanya untuk 3rd US Army beliau untuk bertukar haluan ke arah utara dan menyelamatkan keadaan.

“Oh. Saya sudah hantar baru sekejap tadi” jawab Patton bersahaja.

Terkejut sungguh para panglima yang ada di situ kerana Patton seperti sudah mengetahui apa yang Eisenhower ingin bertanya.

Tentera Amerika mengutipbekalan lojistik yang diterjunkan di Bastogne

Pada 23 Disember, cuaca semakin bertambah baik. Eisenhower mengarahkan serangan ke atas depot lojistik milik tentera Jerman, melumpuhkan lagi bekalan kritikal mereka. Tentera Amerika di Bastogne juga di bekalkan oleh makanan dan bekalan munisi dari udara. Beberapa pasukan perubatan juga diterjunkan ke Bastogne.

Sementara itu, pasukan ‘penggempur’ Manteuffel iaitu Panzer-Lehr Division dan 2nd Panzer Division menawan Celes, sebuah pekan terakhir sebelum Sungai Meuse. Namun, Montgomery menghantar armada kereta kebal terkuat beliau iaitu 30th British Corps untuk menghalang dan meletupkan jambatan-jambatan di sepanjang sungai berkenaan. Inilah titik paling jauh kemaraan tentera Jerman dalam operasi ini.

Situasi semasa keadaan serangan di Ardennes

Pada 24 Disember, Manteuffel menghantar memo kepada Hitler bahawa mengentikan terus operasi ini dan berundur untuk mengelakkan mereka menjadi ‘Stalingrad Kedua’. Hitler enggan dan yakin untuk meneruskan lagi.

Pada 26 Disember, armada kereta kebal Patton tiba di selatan Bastogne dan bertempur dengan elemen tentera 7th Army pimpinan Brandenberger. Manteuffel memanggil Panzer-Lehr Division untuk berpatah balik ke Bastogne untuk mengekang kemaraan Patton. Dietrich juga terpaksa melupakan hasrat beliau untuk menawan Elsenborn dan Malmedy dengan menghantar beberapa elemen tentera beliau untuk menawan Bastogne. Hitler berharap jika Bastogne ditawan, seluruh kawasan persimpangan penting di pesisir Sungai Meuse akan menjadi miliknya.

Sebuah Pemusnah Kereta Kebal ‘Jackson’ milik tentera Patton memasuki Bastogne, 1944.

Pada masa ketika itu, Model menganalisa keseluruhan operasi tersebut daripada laporan yang diterima. Beliau segera mengetatkan barisan-barisan hadapan mereka agar dapat memberi peluang kepada pasukan kereta kebal Kampfgruppe Peiper untuk menusuk masuk ke barisan musuh. Beliau juga meminta agar Hitler melakukan sesuatu agar dapat mengembalikan momentum mereka untuk operasi ini.

Hitler menyerang balas

Pada 1 Januari 1945, Hitler mengarahkan dua operasi baru dilancarkan iaitu Operasi Base Plate dan Operasi Nordwind.

Pesawat berenjin jet Me 262 pertama kali digunakan ketika pertempur ketika Operasi Base Plate, 1945.

Dalam Operasi Base Plate, armada udara tentera Jerman, Luftwaffe melancarkan serangan ofensif besar-besaran yang terakhir terhadap lapangan terbang tentera Berikat di sekitar Belgium dan Belanda.. Serangan ini berjaya memberi kemenangan taktikal kepada Luftwaffe apabila memusnahkan 467 pesawat pihak Berikat. Namun, Luftwaffe kehilangan 277 pesawat mereka dan membunuh ramai juruterbang veteran mereka.

Operasi ini boleh dikatakan gagal kerana, pihak Berikat boleh membuat pesawat mereka dengan lebih pantas daripada Nazi Jerman. Selain itu, kebanyakkan pesawat pihak Berikat yang musnah tidak berpenghuni. Hal ini dapat menyelamatkan juruterbang veteran pihak Berikat untuk bertempur di kemudian hari.

Dalam pada yang sama juga, jauh di selatan Ardennes iaitu di sempadan France-Jerman, Hitler mengarahkan 19th Army dan Tentera Simpanan Daerah 5 (Wehrkreis V) pimpinan Reichsfuhrer-SS Heinrich Himmler untuk menyerang kedudukan 6th US Army Group pimpinan Lt. General Jacob Devers. Objektif serangan mereka ialah bandar Strassbourg.

Reichsfuhrer-SS Heinrich Himmler (kiri), mengetuai serangan Operasi Nordwind.

Himmler yang merupakan pelopor kepada Holocaust dan ketua organisasi paramilitari SS (Schutzstaffel / Pengawal Peribadi Hitler) dilantik oleh Hitler untuk mengetuai operasi ini. Himmler yang merupakan seorang yang ‘buta ilmu perang’ dilantik kerana Hitler sudah tidak percayakan panglima-panglima daripada angkatan tentera.

Operasi yang diberi nama Nordwind ini berjaya menggoyahkan tentera Denvers yang kini rongak akibat ketiadaan Patton yang kini sedang bertempur di Bastogne dan juga akibat kehabisan bekalan lojistik.

Serangan ini berjaya membuatkan Eisenhower tidak senang duduk. Himmler berjaya memecahkan sebahagian daripada sistem pertahanan Maginot Line di bahagian selatan pada 7 January 1945. Namun, Eisenhower segera menghantar beberapa elemen kereta kebal Patton untuk menangkis operasi berkenaan. Pada 25 Januari, Operasi Nordwind dihentikan segera merta akibat situasi di Ardennes yang semakin parah apabila tentera Berikat cuba memotong laluan belakang 5th Panzer Army.

Pada 3 Januari 1945, Patton di Bastogne dan Montgomery di utara bersetuju untuk menyerang kedudukan tentera Jerman dengan objektif memerangkap seluruh Army Group B di sana. Serangan ini sepatutnya dilakukan pada 1 Januari tetapi Montgomery tidak mahu merisikokan tenteranya yang tidak bersedia bertempur dalam keadaan sejuk beku.

Akibatnya, Model dapat menarik seluruh tentera beliau keluar daripada perangkap atau ‘bulge’ di sekitar Ardennes. Elemen kereta kebal King Tiger milik Model berjaya mengekang kemaraan kereta kebal Patton dan Montgomery.

Pada 7 Januari 1945, Hitler bersetuju atas permintaan panglima medan Barat, Field Marshal Gerd von Rundstedt untuk melakukan pengunduran berperingkat-peringkat keluar daripada Ardennes. Pengunduran ini berjaya namun tentera Jerman terpaksa meninggalkan begitu banyak aset kereta kebal mereka kerana sudah kehabisan minyak.

Pada 23 Januari 1945, pekan St. Vith ditawan semula oleh tentera Berikat. Pertempuran berlarutan sehingga 25 Januari apabila seluruh tentera Jerman berundur semula ke garisan permulaan serangan mereka sepenuhnya.

Analisis Pertempuran Ardennes

Operasi Watch on the Rhine merupakan satu operasi yang sudahpun ‘gagal sebelum bermula’. Rundstedt memberitahu bahawa “Operasi ini merupakan operasi yang berseni namun ada sesuatu yang kurang untuk menjadi sebagai penyudah untuk kejayaan operasi ini.”

Dikatakan operasi ini mengejutkan ramai pihak di Britain dan Amerika apabila tentera Jerman mampu melancarkan satu operasi besar-besaran terhadap mereka. Mereka juga percaya bahawa panglima berumur 70 tahun Rundstedt merupakan dalang dalam operasi ini. Tidak hairan operasi ini digelar ‘Ofensif Rundstedt’. Padahal, beliau tidak terlibat secara langsung ketika operasi dijalankan. Semuanya merupakan idea Hitler.

Hitler juga semakin menjadi seorang paranoid. Selepas cubaan membunuhnya pada 20 Julai 1944, beliau semakin tidak mempercayai panglima-panglima tentera Jerman. Sebaliknya, beliau lebih mempercayai anggota tentera paramilitari beliau iaitu Waffen-SS yang dipimpin oleh mereka yang tidak pernah langsung ke sekolah pegawai seperti Peiper, Dietrich dan Himmler.

Tidak hairanlah dalam Operasi ini, 5th Panzer Army pimpinan Manteuffel menusuk tentera Amerika lebih jauh berbanding 6th Panzer Army pimpinan Dietrich. Tidak hairanlah Panzer-Lehr Division mara lebih jauh daripada Kampfgruppe Peiper yang mempunyai aset Panzer paling canggih. Dikatakan yang pasukan Peiper sesat dihutan Ardennes kerana tersalah baca peta.

Ramai yang mengatakan bahawa Ardennes merupakan kawasan yang tidak sesuai untuk kegunaan kereta kebal berat seperti King Tiger dan Jagpanther. Kereta kebal ini sangat perlahan dan berat yang tidak mampu menampung jalan dan jambatan di sana. Jika Hitler menggunakan kereta kebal seperti Panzer IV, keberangkalian untuk mereka tiba di Sungai Meuse adalah tinggi kerana Panzer IV merupakan kereta kebal medium dan pantas, sesuai dengan teknik Blitzkrieg.

Hitler juga terlalu percaya akan kepincangan pentadbiran tentera Berikat. Pertelingkahan antara panglima Amerika (Eisenhower) dan British (Montgomery) begitu dikenali di seluruh Eropah. Bradley dan Patton mengadu kepada Eisenhower yang mereka sangat menyampah dengan keegoan Montgomery yang suka membangga diri.

Tetapi demi kebaikkan masa panjang, Eisenhower terpaksa menjadi orang tengah. Beliau juga sanggup menukar 1st US Army dari 12th US Army Group pimpinan Bradley kepada 21st British Army Group pimpinan Montgomery agar kelicinan pentadbiran dapat dilakukan.

Statistik Pertempuran

Pertempuran ini merupakan pertempuran paling berdarah tentera Amerika dalam Perang Dunia Kedua. Seramai 105,102 tentera Amerika terbunuh, hilang atau cedera. Tentera British pula kehilangan lebih 1,400 tentera mereka.

Montgomery (kiri) dan Patton (kanan)

Montgomery (kiri) dan Patton (kanan)

Manakala tentera Jerman pula kehilangan 81,834 anggota yang terbunuh, cedera dan ditangkap. Aset-aset mereka juga banyak musnah dalam pertempuran ini. Sebanyak 182 Stug III, 158 Panzer IV, 194 Panther dan 20 King Tiger musnah dalam pertepuran ini.

Serangan ke atas Ardennes ini menyebabkan pihak Berikat terpaksa menangguhkan serangan ke atas tanah Jerman selama beberapa minggu. Hal ini memberi laluan kepada tentera Soviet untuk tiba di Berlin dahulu sebelum mereka dan mengubah landskap Perang Dingin di tahun-tahun kemudian.

Tidak cukup dengan tentera Jerman yang sedang rongak di timur akibat Operasi Bagration, akibat daripada serangan di Ardennes ini, tentera Jerman sudah ‘tidak ada apa’ lagi untuk digunakan untuk mempertahankan medan barat. Semua aset simpanan mereka musnah dalam operasi ini.

RUJUKAN

  1. Battle of the Bulge. [A historical documentary] https://www.youtube.com/watch?v=fps6LjS2950
  • Bergström, Christer (2014), The Ardennes: Hitler’s Winter Offensive 1944–1945, Havertown: Casemate Publishers, ISBN 978-1-61200-277-4

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.