Sebelum Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan Malaysia mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu yang juga merupakan salah seorang tokoh di bidang ilmu falak.

Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia) yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu (Mokhtar Petah, 1997).

Manaqib (Biografi) Sheikh Abdullah Fahim

Sheikh Abdullah Fahim dilahirkan pada tahun 1870 di Makkah, Arab Saudi di satu tempat yang tidak jauh dari Masjidil Haram yang bernama Shuib Ali. Bagaimanapun ada juga pihak lain yang mengatakan ulama terkenal ini dilahirkan di Kampung Kubur Panjang, kira-kira 32 kilometer dari Alor Setar, Kedah.

Sheikh Abdullah Fahim adalah anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapanya Sheikh Ibrahim bin Haji Tahir bermastautin di kota Makkah dan menjadi guru agama di Masjidil Haram dalam bidang pengajian al-Quran. Semasa hayatnya, Sheikh Ibrahim Tahir juga pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengelola Masjidil Haram selama tujuh tahun. Kedua beranak ini dikenali oleh masyarakat Makkah sebagai keturunan Jawa dan Patani.

Sheikh Abdullah Fahim pernah menuntut dengan 45 orang guru agama terkenal dan mendapat kelulusan dalam lebih 15 bidang ilmu Islam antaranya Sheikh Ismail Abdul Qadir atau dikenali sebagai Pak Da Eil Mekah pengarang Kitab Bakuratul Amani, Sheikh Yasin Al-Fadani ulama dari Padang yang mendapat pengiktirafan ulama dunia iaitu Al-Musnid Ad-Dunya (Penerima Sanad sampai ke Rasulullah paling banyak di dunia), Sheikh Hasan Masyath, Sayyid Sheikh Abbas Al-Maliki Al-Hasani dan ramai lagi ulama-ulama besar yang muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kemahiran utama datuk kepada Perdana Menteri Malaysia kelima ini adalah dalam bidang ilmu Falak dan Kesusasteraan Arab. Sewaktu berada di Makkah, beliau mengambil kesempatan mempelajari ilmu politik Islam.

Kesedaran beliau untuk mempelajari selok-belok ilmu politik Islam ini jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ulama yang cintakan ilmu pengetahuan yang seimbang antara dunia dan akhirat. Di samping itu, ia juga membuktikan betapa Sheikh Abdullah Fahim seorang ulama yang memiliki pemikiran terbuka serta tidak terkongkong sifatnya.

Semasa tinggal di Makkah, Abdullah Fahim mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Wan Habsah Haji Abdullah. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Ghazali dan Ahmad Badawi. Ghazali dan ibunya, Wan Habsah meninggal dunia di Makkah.

Dalam bidang agama, Abdullah Fahim mengajar ilmu usuluddin, falak, tafsir al-Quran dan Hadis di Masjidil Haram. Pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk yang berasal dari Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei, Sumatera, Jawa, Pattani, Filipina, India dan China. Disebabkan oleh kemasyhurannya, apabila pulang ke Tanah Melayu pada 1921, Abdullah Fahim sering diundang untuk menyampaikan ceramah atau memberi pendapat pada seminar dan forum mengenai Islam. Ketinggian ilmu agama yang beliau miliki turut diakui oleh ulama terkenal Indonesia, Profesor Dr. Hamka.

Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu pada 1921, Abdullah Fahim tinggal di kampung Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah dan menjadi guru di Maahad Mahmud yang ketika itu menggunakan sistem pendidikan secara pondok. Pada peringkat awal kepulangan beliau ke tanah air, beliau terpaksa menggilap semula kemahirannya berbahasa Melayu mkerana sudah sekian lama tidak mengamalkan bahasa itu.

Selepas menetap di Kedah selama beberapa tahun, pada 1925, beliau berpindah ke Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang. Semasa mula-mula tinggal di Kepala Batas, beliau mengajar agama di anjung rumahnya dan di Masjid Kepala Batas. Apabila jumlah muridnya semakin bertambah, ulama yang merupakan Mufti pertama Pulau Pinang ini mengasakan penubuhan Madrasah Daeratul Maarif al-Wataniah di Kepala Batas yang tenaga pengajarnya termasuklah anak beliau, Ahmad Badawi.

Selain terkenal sebagai pendidik agama, ulama dan pejuang politik Islam, Sheikh Abdullah Fahim juga adalah penulis handalan yang banyak karyanya tersiar dalam majalah dan akhbar di negara Arab pada 1920-an. Selain itu, tulisannya dalam bahasa Melayu pula banyak diterbitkan di Tanah Melayu dan Singapura.

Pendek kata, sepanjang hayatnya, Abdullah Fahim telah menggunakan segala ilmu yang di kurniakan oleh Allah kepadanya untuk memberi manfaat kepada umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Jariah yang beliau curahkan itu mengalir hingga ke hari ini apabila ramai muridnya menjadi guru agama, mufti, kadi dan sebagainya yang mencurahkan khidmat bakti demi kesejahteraan masyarakat di dunia dan akhirat.

Ulama Yang Tegas dan Pentingkan Perpaduan

Selain itu, Sheikh Abdullah Fahim adalah salah seorang daripada ulama yang tegas dan sangat prihatin kepada perpecahan umat Islam. Beliau memberikan nasihat kepada orang Melayu supaya jangan mengikut ajaran Khawarij yang mencetuskan perbalahan di kalangan umat Islam apabila mereka keluar dan berpisah daripada kepimpinan Saidina Ali r.a..

Beliau juga pernah menunjukkan tingakan tegas dengan meninggalkan majlis yang menyerang dan memperkecilkan orang Melayu yang berpegang kepada mazhab Syafie. Beliau juga pernah merayu supaya orang Melayu berpegang teguh dengan semangat perpaduan ummah dan bersatu padu dalam kesatuan bangsanya

Sifat Peribadi Abdullah Fahim

Dalam kehidupan sehariannya, Sheikh Abdullah Fahim adalah seorang yang mudah sekali bergaul mesra dan amat disenangi oleh penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Pernah dikatakan bahawa pekedai-pekedai di sekitar Pulau Pinang biasanya berasa amat bertuah sekiranya Sheikh Abdullah Fahim masuk ke kedai mereka tetapi akan berasa bimbang sekiranya barang di kedai mereka itu di katakannya mahal, maka alamatnya jualan pekedai itu pada hari itu akan merosot. Begitulah pula sebaliknya pekedai selalu berharap Sheikh Abdullah Fahim akan masuk ke kedai mereka kerana kehadirannya menjadi petanda bahawa jualan mereka pada hari itu akan laris.

Itulah antara keistimewaan yang dimiliki oleh Sheikh Abdullah Fahim yang merupakan seorang wali yang amat dihormati oleh penduduk Pulau Pinag, terutamanya di Seberang Prai dan Kepala Batas.

Penentu Tarikh Kemerdekaan

Sheikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab: “عام خير اتانا” (tahun baik datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau juga melarang pemuda-pemuda UMNO (United Malays National Organization) dari memberontak dan merampas kuasa jika kerajaan British tidak menyetujui tarikh 31 Ogos 1957 ini.

Jika kemerdekaan tidak dapat disambut pada tarikh yang dikehendaki itu, Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962. Itulah antara sebab mengapa pada zaman sebelum kemerdekaan, kebanyakannya daripada kalangan kita orang Melayu tidak melakukan penentangan terhadap British secara selepas Bintang Tiga (Komunis) mengambil-alih Tanah Melayu selama 14 hari selepas Jepun menyerah kalah kepada British pada tahun 1945 selepas Hiroshima dan Nagasaki dilepaskan bom atom oleh pihak British.

Sebaliknya, orang Melayu pada waktu tersebut, menuntut kemerdekaan kepada pihak British dengan jalan diplomasi dan dengan cara baik selepas mereka mendengar nasihat daripada Sheikh Abdullah Fahim bukan seperti yang digembar-gemburkan kononnya pemerintah kita mempunyai kaitan dengan British.

Bagaimanapun apa yang dikehendaki telah dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dan pada 20 Februari 1956, telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 dan diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka. Menarik untuk diperkatakan mengenai tarikh kemerdekaan yang dipilih oleh Syeikh Abdullah Fahim. Menurut seorang guru dari Sekolah Agama Daeratul Ma’arif Al Wataniah (DMW) di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bahawa sejenis alat digelar astrolabe kepunyaan Syeikh Abdullah Fahim ada disimpan di bilik pengetua sekolah tersebut dan dikatakan bahawa Syeikh Abdullah Fahim biasa menggunakan alat astrolabe ini bagi menghitung pergerakan cakerawala terutamanya buruj-buruj bintang.

Mengambil kira hakikat ini atas ilham pemilihan tarikh kemerdekaan yang dibuat oleh Syeikh Abdullah Fahim, tentu ada sebab yang berpatutan yang mendorong tarikh 31 Ogos 1957 ini dipilih, istimewanya mungkin dari kedudukan buruj-buruj bintang yang boleh kelihatan pada waktu maghrib sempena detik kemerdekaan negara 1957.Pada malam kemerdekaan didapati empat buah buruj sedang berada di ufuk barat sejurus selepas terbenam matahari pada jam 7.19 malam, 30 Ogos 1957 bersamaan 4 Safar 1377 H, malam Sabtu.

Walaupun peristiwa falak mempunyai beberapa hubungan yang berkait dengan sejarah negara, ini sebenarnya adalah suatu yang lumrah dan bukannya suatu kuasa kosmik yang luar biasa. Maksud di sini ialah peristiwa falak menjadi titik-tolak bagi meraikan hari yang bersejarah secara kesederhanaan di mana kita boleh jadikannya sebagai satu iktibar bahawa perjalanan alam ini telah diatur sedemikian rupa oleh Allah Ta’ala dan mempunyai erti yang amat besar bagi orang-orang yang mahu merenunginya.

Dalam disiplin ukur tanah, sesuatu ukuran lot sempadan tanah adalah diukur dan diikat dengan posisi kedudukan matahari bagi menentukan arah utara, selatan, timur dan barat bahkan juga arah kiblat. Ini secara langsung menunjukkan bahawa peristiwa falak tidak sahaja `mengikat’ sesuatu hari yang diraikan itu, bahkan ia turut sama mengikat kedudukan kita di atas muka bumi ini atau dalam erti kata lain ialah “darinya juga kita akan dikembalikan”. Kita tidak dapat lari ke mana-mana di alam ini kerana kita sebenarnya telah diikat rapi oleh masa dan ruang. Peristiwa falak adalah masa dan ruang itu.

Akhir riwayat beliau

Akhirnya sampailah sudah kesudahan riwayat hidup seorang ulama dan tokoh kemerdekaan yang terkenal dan tiada tandingannya. Sheikh Abdullah Fahim menghembuskan nafas terakhir pada 28 April 1961 pada waktu pagi iaitu pukul 8 di rumahnya di Kepala Batas. Ketika itu, usia beliau ialah 92 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sheikh Abdullah Fahim meninggalkan seorang anak iaitu Ahmad Badawi dan beberapa orang cucu, di antaranya ialah Perdana Menteri kita yang dikasihi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Artikel dinaikkan selepas mendapat kebenaran penulis asal iaitu Muhammad Amir Ashraf.

RUJUKAN:

1. Utusan Malaysia, 31 Ogos 2004, artikel oleh Nor Azam Mat Noor, Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
2. Page Ulama & Ilmuan Melayu Utara Tanah Melayu


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.