Peranan Besar Pondok Dan Madrasah Dalam Melahirkan Usahawan Melayu

229

Suatu ketika dulu, institusi pondok dan madrasah sangat berjasa dalam melatih, mengkader dan seterusnya melahirkan usahawan-usahawan Melayu. Pelajar-pelajar juga diasah pemikiran mereka supaya lebih memilih usaha sendiri berbanding makan gaji.

Mohd Kamil Haji Ab. Majid dalam makalahnya yang bertajuk ‘Idea Besar Ulama Kelantan Satu Abad’ telah menulis seperti berikut:-

“Dalam konteks latihan keusahawanan, apa yang menariknya, pelajar pondok telah mempelajarinya secara langsung daripada pengalaman budaya hidup berdikari yang diamalkan oleh guru pondok.

Guru pondok rata-ratanya boleh dikatakan sebagai usahawan yang berjaya sehingga dapat menarik minat masyarakat Melayu pada masa itu, seperti mana hanya mubaligh awal yang mengembangkan ajaran Islam di Alam Melayu yang terdiri daripada saudagar besar.

Hasilnya, mereka sangat disanjung tinggi oleh masyarakat Melayu yang mendorong proses penyebaran Islam dapat berjalan dengan lancar dan tanpa menumpahkan darah.

Guru pondok terlibat dalam pelbagai aktiviti keusahawanan seperti penternakan (lembu, kambing dan ikan), pertanian (padi, tanaman kontan, getah, buah-buahan dan sayuran), pengilangan padi dan balak, kedai runcit, orang tengah untuk penjualan tanah dan getah serta selaku wakil Syeikh Haji.

Apa yang diusahakan oleh guru pondok ini telah ditiru oleh pelajar mereka secara langsung sehingga ianya mampu melahirkan beberapa orang usahawan lulusan pondok yang berjaya.

Sikap mandiri ini kemudiannya telah mula berubah apabila pihak British memperkenalkan sistem pendidikan barat di Tanah Melayu yang mewujudkan sindrom makan gaji dalam kalangan masyarakat Melayu.

Apa yang diperkenalkan oleh pihak British ini bertentangan sama sekali dengan budaya keusahawanan dan hidup berdikari yang diterapkan dalam sistem pondok, berpaksikan kepada prinsip tauhid (hanya Allah yang menentukan hidup dan rezeki makhluk tanpa perlu bergantung harap kepada makhluk) dan hadis Rasulullah tentang 90 peratus daripada sumber rezeki bersumberkan kepada perniagaan.

Atas dasar inilah kita dapat melihat bagaimana institusi pondok berbentuk swasta (bebas) tanpa kongkongan dan kekangan polisi dari pihak pemerintah. Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.

Lebih tepat lagi, ulama pondok dalam era tradisi telah bertindak selaku agen perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif dan proaktif dengan isu semasa yang timbul dalam masyarakat.”

Gambar : Maahad Ihya asy-Syarif pimpinan Ustaz Abu Bakar al-Baqir, suatu ketika dulu pernah menubuhkan koperasi perniagaan yang dinamakan Persatuan Ihya asy-Syarif. Persatuan ini berjaya mengusahakan tiga jenis projek perniagaan iaitu kilang padi, stesen pam minyak dan stesen jana kuasa elektrik.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.