Esok merupakan satu lagi tarikh bersejarah buat negara kerana bakal menyaksikan upacara pertabalan DYMM Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hari itu bukan saja menyaksikan alat-alat kebesaran diraja dibawa dengan tertib tetapi juga menyaksikan baginda dan DYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memakai sepersalinan pertabalan yang halus lagi indah. Seperti mana negara-negara beraja, setiap alat kebesaran diraja yang digunakan ada falsafah tersendiri.

1. Muskat

Rajah 1: Muskat. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/7-pakaian-istiadat-diraja-yang-sering-mencuri-perhatian-195330

Muskat iaitu kot panjang berwarna hitam dengan hiasan kerawang emas adalah pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Reka bentuk baju ini diambil daripada corak pakaian tradisi masyarakat Oman dan ia turut menjelaskan penggunaan nama Muskat (sempena nama ibu negara Oman, Muscat).

Selain diinspirasikan daripada corak pakaian Oman, ia juga mengambil inspirasi daripada baju sikap Kedah yang merupakan pakaian rasmi pegawai-pegawai kerajaan Kedah ketika itu. Pakaian rasmi ini mula dipakai pada 1960 semasa upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ketiga iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Muskat hanya dipakai pada acara tertentu seperti pada Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan, semasa lawatan rasmi baginda ke negeri-negeri di seluruh Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen.

Istimewanya sempena upacara pertabalan kali ini, Sultan Abdullah dijangka menyarung muskat yang direka dengan mengambil inspirasi daripada muskat yang dipakai oleh ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh.

Menurut Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini, baginda ingin memakai muskat kepunyaan Almarhum Paduka Ayahanda untuk upacara pertabalan itu tetapi hasratnya itu tidak kesampaian berikutan saiz muskat yang tidak sesuai dengan tubuh baginda.

2. Tengkolok Diraja

Rajah 2: Tengkolok Diraja. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/7-pakaian-istiadat-diraja-yang-sering-mencuri-perhatian-195330

Tengkolok Diraja merupakan tengkolok yang diperbuat daripada kain songket berwarna hitam bersulam benang emas. Tanjak ini dibuat mengikut saiz kepala baginda. Lilitan tengkolok atau solek mengikut corak lilitan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan.

Pada bahagian hadapan tanjak, lambang anak bulan dan bintang pecah empat belas diletakkan di situ dan diperbuat daripada emas putih. Di bahagian tengah bintang itu pula merupakan lambang kerajaan Malaysia.

Sempena upacara pertabalan baginda, Sultan Abdullah akan menyarung tengkolok sama yang digunakan ayahandanya, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah semasa upacara pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh.

3. Pending Diraja dan Keris Pendek Diraja

Rajah 3: Pending Diraja. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/7-pakaian-istiadat-diraja-yang-sering-mencuri-perhatian-195330

Pending Diraja dan Keris Pendek Diraja juga merupakan sebahagian daripada persalinan istiadat pertabalan. Ia diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah bersulamkan permata delima dan di tengah-tengahnya tertera lambang kerajaan Persekutuan.

Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas. Keris Pendek Diraja pula diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas.

Hulu keris ini dinamakan Hulu Pekaka dan berupa kepala Garuda, manakala pada sampir keris diterapkan dengan Lambang Kerajaan Persekutuan. Keris ini merupakan salah satu pakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memakainya.

4. Keris Panjang Diraja

Rajah 4: Keris Panjang Diraja. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/6-alat-lambang-kedaulatan-raja-raja-melayu-195322

Dalam setiap upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong, sudah menjadi resam bagi Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Panjang Diraja kepada baginda. Dari situ, DYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima, mengeluarkan keris daripada sarungnya dan mengucupnya.

Menurut Azuan Effendy, keris ini merupakan lambang kebesaran dan kekuasaan kerajaan. Ia bersalut emas dari hulu hingga sarung dan pada bahagian atas sampir, mempunyai lambang kerajaan Persekutuan dan 11 buah negeri Tanah Melayu. Sementara mata kerisnya ditempa daripada besi waja yang diambil daripada 11 bilah keris negeri-negeri berkenaan. Manakala hulu keris berbentuk tapak kuda dengan hiasan buah jering.

5. Cogan Alam dan Cogan Agama

Rajah 5: Cogan Alam. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/6-alat-lambang-kedaulatan-raja-raja-melayu-195322

Cogan Alam ialah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter atau bersamaan lima kaki empat inci. Pada sekeliling bulatan di atas tongkat merupakan lambang 11 buah negeri Tanah Melayu dan diperbuat daripada emas.

Bulatan ini ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri. Harimau-harimau ini merupakan simbol kegagahan raja rimba itu dalam mempertahankan negara. Sementara tongkatnya pula dihiasi motif enam tangkai padi daripada emas.

Pada bahagian paling atas pula, wujud ukiran anak bulan dan bintang diperbuat daripada emas yang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi dan teras utama negara.

Rajah 6: Cogan Agama. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/6-alat-lambang-kedaulatan-raja-raja-melayu-195322

Sementara Cogan Agama pula merupakan sebatang tongkat perak sepanjang 155.04 sentimeter atau lima kaki satu inci. Pada bahagian batang dan hulunya, ia diukir dengan dua kalimah syahadah yang bermaksud ‘Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’.

Pada bahagian bawah kalimah itu pula, terdapat petikan ayat suci al-Quran yang bermaksud ‘tiada pertolongan melainkan dengan pertolongan ALLAH.’ Manakala pada puncak tongkat terdapat ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima diperbuat daripada emas.

6. Gendik Diraja dan Kalung Diraja

Rajah 7: Gendik Diraja. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/7-pakaian-istiadat-diraja-yang-sering-mencuri-perhatian-195330

Gendik Diraja dan Kalung Diraja merupakan pakaian istiadat khas untuk Raja Permaisuri Agong pada hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan untuk istiadat-istiadat kebesaran diraja yang lain. Gendik Diraja atau pemeles diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat.

Sementara di tengah-tengahnya, wujud elemen awan larat terdapat anak bulan dengan bintang dengan kedua-duanya diperbuat daripada emas putih. Gendik ini direka khas supaya boleh dipisahkan menjadi loket dan kerongsang.

Sementara Kalung Diraja pula ialah rantai leher yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Kalung ini juga merupakan sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agung semasa upacara pertabalan dan istiadat-istiadat diraja lain. Dan seperti gendik, kalung ini boleh juga dipisahkan dan menjadi sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

7. Alat peperangan masa silam

Rajah 9: Payung Ubur-Ubur Kuning 20 Kaki dan Tombak Berambu. Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/6-alat-lambang-kedaulatan-raja-raja-melayu-195322

Selain semua ini, peralatan diraja lain yang mengiringi istiadat pertabalan ialah peralatan perang masa silam terdiri daripada Cokmar, Pedang, Keris Panjang, Sundang Diraja, Payung Ubur-Ubur Kuning 20 Kaki dan 20 batang Tombak Berambu berlok tiga.

Cokmar yang biasa dilihat semasa sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara merupakan dua batang tongkat pendek berhulukan kubah, diperbuat daripada perak dan berukuran 81.32 cm. Sementara Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja merupakan senjata tradisi Melayu lama. Pada bahagian hulu dan sarung keris panjang dan sundang mengandungi pelbagai jenis ukiran yang halus dan indah.

Payung Ubur-Ubur Kuning 20 Kaki ialah payung yang memayungi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong semasa upacara pertabalan berlangsung. Warna kuning melambangkan warna diraja dan ia diperbuat daripada kain sutera berwarna kuning diraja dengan puncaknya ialah anak bulan dan bintang yang melambangkan baginda sebagai ketua agama Islam. Manakala Tombak Berambu berlok tiga ini diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia.

RUJUKAN:

1. Astro Awani. (2019). 6 alat lambang kedaulatan Raja-Raja Melayu. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/6-alat-lambang-kedaulatan-raja-raja-melayu-195322

2. Bernama. (2019). Peralatan kebesaran Diraja lambang Kedaulatan Yang di-Pertuan Agong. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/40034/BERITA/Nasional/Peralatan-kebesaran-Diraja-lambang-Kedaulatan-Yang-di-Pertuan-Agong

3. Ahmad Razali, Rhoma dan Mamat, Siti Baaqiah. (2017). Istiadat pertabalan Agong julang sistem Raja Berpelembagaan. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/node/274146


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.