Peperiksaan Perkhidmatan Awam Pegawai Diraja China Kuno

871

Jika korang peminat sejarah China kuno, atau sekurang-kurangnya peminat filem dan drama tv kisah-kisah hikayat pendekar atau sejarah China purba, korang pasti menyedari satu budaya unik yang sering dipaparkan dalam filem-filem mereka ini iaitu Peperiksaan Perkhidmatan Awam Pegawai Kerajaan.

Selama lebih dari 1,200 tahun, barangsiapa yang ingin memohon kerja sebagai pegawai kerajaan imperialis China wajib terlebih dahulu berjaya lulus ujian dalam peperiksaan yang amat mencabar.

Sistem ini memastikan supaya pegawai kerajaan yang hendak diambil bertugas di istana sebagai para pentadbir empayar naungan maharaja adalah orang yang terpelajar dan cerdas, dan bukanlah sekadar penyokong politik maharaja yang sedia ada, atau kaum kerabat dan kroni pegawai yang sebelumnya.

SISTEM MERITOKRASI PALING LAMA PERNAH BERTAHAN

Sistem peperiksaan perkhidmatan awam di diraja China kuno adalah sistem ujian yang distruktur untuk memilih calon yang paling rajin dan terpelajar bagi dilantik sebagai golongan birokrat dalam pemerintahan imperial China.

Sistem ini telah menentukan siapa yang menjadi sebahagian daripada pentadbiran dan birokrasi China antara tahun 650 Masehi sehingga 1905, menjadikannya sistem meritokrasi yang paling lama pernah bertahan di dunia ini.

Para sarjana-birokrat kebanyakannya mempelajari teks dan manuskrip Confucius, seorang ahli falsafah abad ke-6 SM yang banyak menulis tentang konsep pentadbiran, hasil karya para pelajarnya juga sering dijadikan rujukan tambahan.

Semasa peperiksaan, setiap calon harus menunjukkan pengetahuan yang mendalam dan terperinci mengenai Empat Buku dan Lima Klasik China kuno.

Karya-karya itu merangkumi antaranya seperti Analect of Confucius; Great Learning, sebuah teks Confucian yang diulas oleh Zeng Zi; Doctrine of the Mean oleh cucu Confucius; dan Mencius, yang merupakan himpunan perbahasan mahaguru itu bersama beberapa raja.

Secara teori, sistem peperiksaan diraja ini menjamin pegawai kerajaan yang akan dipilih adalah berdasarkan kemampuan mereka, bukan berdasarkan hubungan keluarga, kroni atau kekayaan mereka.

Bahkan anak lelaki seorang petani juga layak menjadi pegawai kerajaan, sekiranya dia telah belajar dengan cukup gigih, lulus dalam peperiksaan dan akhirnya menjadi pegawai berkelulusan yang penting.

Secara praktikalnya, seorang pemuda dari keluarga miskin memerlukan penaja yang kaya jika dia mahu membebaskan dari pekerjaan berat di ladang, sebagaimana seorang calon memerlukan akses kepada tutor dan buku-buku ilmiah yang diperlukan untuk berjaya lulus dalam ujian yang ketat.

Namun, kemungkinan untuk seorang anak lelaki petani berjaya menjadi pegawai tinggi sangat jarang berlaku ketika itu. Kerana itu kita sering menyaksikan setiap dinasti-dinasti China selalu berhadapan dengan pemberontakan para petani.

Antara puncanya ialah kerana kekurangan ilmu falsafah kepimpinan walaupun semangat untuk menukar tampuk kepimpinan itu amat tinggi.

STRUKTUR PEPERIKSAAN

Peperiksaan secara lazimnya berlangsung antara 24 hingga 72 jam. Perincian dan cara kaedahnya bervariasi sepanjang abad berlalu, tetapi secara asasnya, calon akan dikunci di dalam sel kecil dengan papan untuk meja dan baldi untuk tandas.

Dalam masa yang telah diperuntukkan, mereka harus menulis kira-kira sebanyak enam atau lapan esei di mana mereka perlu menjelaskan idea-idea dari teks klasik, dan memanipulasi idea-idea tersebut untuk menyelesaikan apa jua masalah dalam sistem pemerintahan.

Calon peperiksaan akan membawa makanan dan minuman mereka sendiri ke dalam bilik sel tersebut. Ada juga yang cuba menyeludup nota, bahkan pernah berlaku kes penipuan dengan menyeludup nota secara catatan pada kanvas bahagian dalam baju yang dipakai.

Semenjak, setiap calon peperiksaan akan digeledah secara menyeluruh sebelum dibenarkan memasuki sel, kemudian diwajibkan hanya memakai persalinan pakaian khas yang telah disediakan pegawai pemeriksa untuk dipakai sepanjang tempoh peperiksaan.

Bagi menjaga integriti peperiksaan, sekiranya calon mati semasa peperiksaan, pegawai ujian akan menggulung tubuhnya di atas tikar dan membuangnya keluar melalui pagar pemisah ruang peperiksaan, dan tidak mengizinkan ahli keluarga masuk ke zon peperiksaan untuk menuntut mayatnya.

Bagi calon yang mengambil peperiksaan tempatan, mereka yang lulus dikira layak menduduki pusingan daerah. Yang terbaik dan cemerlang dari setiap wilayah kemudiannya akan mengikuti ujian peringkat kebangsaan, di mana kebiasaannya hanya lapan atau sepuluh peratus golongan yang jauh dari ibukota ini lulus untuk menjadi pegawai kerajaan.

SEJARAH SISTEM PEPERIKSAAN

Peperiksaan diraja yang paling awal dilaksanakan sebenarnya adalah pada zaman Dinasti Han (206 SM hingga 220 M) dan diteruskan pada era Dinasti Sui yang singkat, namun sistem ujian mula diseragamkan pada zaman Dinasti Tang (618 – 907 M).

Maharani yang pernah memerintah Dinasti Tang, Wu Zetian sangat bergantung pada sistem peperiksaan diraja bagi merekrut pegawai-pegawai pentadbiran.

Walaupun sistem ini direka untuk memastikan pegawai kerajaan yang dilantik adalah dari golongan terpelajar, sistem ini mula dilanda korupsi dan ketinggalan zaman pada era Dinasti Ming (1368 – 1644) dan Qing (1644 – 1912).

Seseorang yang mempunyai kaitan dengan salah satu paksi dari pecahan dewan pentadbiran imperial, sama ada dari kelas bangsawan atau sida-sida, kadang-kala akan memberi rasuah kepada pegawai pemeriksa untuk mendapat kelulusan dengan mudah.

https://www.thepatriots.store/store/mahakarya/

Dalam era-era tertentu, mereka yang menduduki peperiksaan ini didapati menjawab beberapa ujian sahaja tetapi lulus sepenuhnya dan mendapat jawatan melalui tindakan dan kaedah nepotisme yang telah disucikan oleh orang-orang yang berpengaruh.

Di samping itu, pada abad ke-19, sistem ilmu pengetahuan telah mulai merosak secara serius. Dalam menghadapi imperialisme Eropah, pegawai-pegawai cendekiawan China kekal berpegang kepada tradisi mereka sebagai jalan penyelesaian terbaik.

Namun, kira-kira dua ribu tahun setelah kematian tokoh falsafah China ini, Confucius tidak sentiasa memberi jawapan untuk masalah moden seperti pencerobohan kuasa asing secara tiba-tiba di Kerajaan Pusat.

CARA PELANTIKAN MENGIKUT ZAMAN

Dinasti Qin (221-207 SM)
Dinasti Qin menubuhkan kerajaan birokratik Cina yang pertama secara berpusat dan sekaligus mewujudkan keperluan jawatan dalam sistem pentadbiran untuk diisi pegawai.

Pelantikan pegawai baru ke dalam pentadbiran birokrasi Qin dibuat berdasarkan saranan pegawai tempatan. Sistem ini pada mulanya diserap oleh dinasti Han dengan jayanya sebelum ditambah baik lagi.

Dinasti Han (206 SM-220 SM)
Pada tahun 124 SM, di bawah pemerintahan maharaja Han Wudi, sebuah pusat pengajian kerajaan ditubuhkan untuk melatih dan melaksanakan ujian terhadap calon pegawai melalui ujian kemahiran merangka teknik pemerintahan berdasarkan prinsip-prinsip Confusianisme.

Dinasti Sui (581-618)
Sui menyerap sistem dari Dinasti Han dan menstrukturkan nya dengan cara yang lebih sistematik sebagai kaedah pengambilan rasmi.

Mereka juga memperkenalkan peraturan baru iaitu pegawai-pegawai di sesebuah wilayah harus dilantik oleh pemerintah pusat dan bukannya para bangsawan tempatan dan bahawa tent*ra tempatan harus tunduk kepada para pegawai pemerintah pusat.

Dinasti Tang (618–907)
Dinasti Tang mencipta sistem sekolah tempatan di mana para sarjana dapat melanjutkan pelajaran mereka. Mereka yang ingin menyertai birokrasi pentadbiran tertinggi akan bertanding dalam ujian jinshi, ujian yang menguji pengetahuan calon mengenai teks klasik Confucius.

Sistem ini secara beransur-ansur menjadi kaedah utama pengambilan birokrat; menjelang akhir zaman dinasti Tang, kedudukan para bangsawan yang lapuk telah runtuh, dan dominasinya diambil alih oleh golongan sarjana-bangsawan, yang menggerakkan birokrasi pentadbiran.

Golongan elit yang bukan dari kaum kerabat diraja ini dan menjadi rujukan maharaja China dalam mentadbir ini akhirnya akan dikenali oleh pengkaji barat sebagai golongan “mandarin”, yang kini merujuk kepada bahasa Mandarin, dialek orang Cina yang mereka gunakan, namun secara teknikalnya “mandarin” berasal dari perkataan bahasa Melayu : “Menteri”.

Dinasti Song (960–1279)
Sistem perkhidmatan awam berkembang dan dianggap oleh ramai pihak sebagai kemuncak tertinggi ketika era Dinasti Song. Sekolah-sekolah awam didirikan di seluruh negara untuk membantu orang yang berbakat tetapi kurang upaya.

Hubungan perniagaan adalah dilarang di kalangan pegawai yang berkaitan dengan keturunan atau perkahwinan, saudara-mara kerabat diraja tidak diizinkan untuk memegang jawatan tinggi.

Sistem kenaikan pangkat dibuat berdasarkan pada sistem merit di mana orang yang mencalonkan orang lain untuk kenaikan dianggap bertanggungjawab sepenuhnya atas tingkah laku orang itu.

Hampir semua pegawai Song di birokrasi yang lebih tinggi direkrut dari lulusan jinshi, dan kaedah peperiksaan mula menjadi budaya yang ditetapkan. Selepas tahun 1065 peperiksaan diadakan setiap tiga tahun sekali, tetapi hanya untuk mereka yang pertama kali lulus ujian kelayakan di peringkat tempatan.

Dinasti Ming (1368–1644)
Di bawah Dinasti Ming, sistem perkhidmatan awam mencapai bentuk strukturnya yang terakhir, dan dinasti Qing yang berikutnya (1644–1911 / 12) menyerap sistem Ming hampir sepenuhnya.

Dalam tempoh ini, tidak ada seorang pun yang diizinkan untuk berkhidmat di daerah asalnya, dan para pegawai digilir-ganti tugas mereka setiap tiga tahun. Peperiksaan pengambilan dibahagikan kepada tiga peringkat: xiucai (“bakat yang dipupuk”), atau ijazah sarjana muda, yang diadakan di peringkat daerah-daerah; juren (“orang yang disyorkan”), diadakan di ibu kota wilayah; dan jinshi, diadakan di Beijing.

Walaupun hanya kelulusan jinshi yang memenuhi syarat untuk mendapat jawatan tinggi, lulus di peringkat selainnya memberikan satu hak istimewa tertentu, seperti pengecualian dari perkhidmatan buruh dan hukuman fizikal, diberi gaji bertaraf kerajaan, dan peningkatan status sebagai golongan bangsawan atasan (juren).

Langkah berjaga-jaga yang terperinci telah diambil untuk mencegah penipuan, daerah-daerah yang berlainan di empayar ini diberi kuota khas untuk pelantikan ke dalam perkhidmatan bagi mencegah dominasi salah satu wilayah, dan soal pengujiannya kekal terbatas pada teks Sembilan Klasik Confusianisme.

Peperiksaan distruktur hingga menjadi sangat bergaya bilamana bentuk yang ditetapkan untuk kertas peperiksaan menjadi “eight-legged essay” yang amat terkenal (bagu wenzhang), ia memiliki lapan tajuk utama, tidak menggunakan lebih dari 700 karakter, menyelesaikan topik-topik sesuai dengan tatacara tertentu.

Namun ia tidak ada kaitan dengan kemampuan calon untuk mengurustadbir dan konsep ini sering dikritik kerana menetapkan arahan yang melebihkan gaya berbanding menajamkan pemikiran.

Sistem peperiksaan pegawai diraja dihapuskan pada tahun 1905 oleh Dinasti Qing ketika China sedang bergelut demi usaha ke arah pemodenan.

Seluruh sistem perkhidmatan awam yang pernah wujud ribuan tahun sebelumnya digulingkan bersama-sama dengan dinasti terakhir itu selepas revolusi nasional pada tahun 1911.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.