Astronomi merupakan bidang yang sarat dengan ilmu dan emosi. Demi angkasa, ramai yang telahpun mati. Ketika Perang Dingin, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berlumba-lumba untuk mendaratkan manusia di Bulan. Persaingan sebegini memang memberikan sengatan kepada rakyat. Namun, itulah realiti: kejayaan sains hanya akan datang selepas pengorbanan.

Satu masa dahulu, semasa Eropah masih lagi terbahagi dengan sempadan, manusia berlumba untuk mencari planet. Penemuan Neptune melahirkan hipotesis yang orbit Uranus sedang diganggu satu lagi planet selepas Neptune. Maka pada 1906, Percival Lowell yang mempunyai sebuah balai cerap memulakan usaha besar-besaran untuk menemui planet ini.

Planet X seperti dinamakan ditemui pada 19 Mac 1915. Malangnya, Lowell tidak menyedarinya. Beliau tidak akan menyedarinya sampai bila-bila. Pencarian Planet X disambung pada 1929 pula. Misi pencarian ini kemudian diletakkan pada bahu seorang anak muda berusia 23 tahun. Tugas Clyde Tombaugh sebenarnya mudah, tetapi memerlukan kesabaran dan ketajaman penglihatan yang tinggi. Beliau mengambil beberapa gambar langit pada waktu malam, kemudian kaji setiap gambar untuk mengenalpasti jika ada objek yang bergerak.

Maka beliau membandingkan gambar-gambar menggunakan sejenis alat pembanding. Dan pada 18 Februari 1930, beliau menemui sejenis objek yang bergerak daripada gambar diambil pada 23 dan 29 Januari. Berita penemuan Planet X diuar-uarkan kepada Balai Cerap Kolej Harvard pada bulan Mac. Balai Cerap Lowell menerima lebih daripada 1000 nama dari seluruh dunia. Balu Percival Lowell mencadangkan Zeus, kemudian Percival dan akhirnya namanya sendiri Constance. Dan nama Pluto dicadangkan seorang pelajar sekolah rendah di Oxford, iaitu Venetia Burney.

Di kemuncak pemilihan nama bagi Planet X, ahli-ahli Balai Cerap Lowell mempunyai tiga pilihan: Minerva, Cronus dan Pluto. Pada 1 Mei 1930, Planet X dinamakan Pluto. Venetia diberikan hadiah £5 (£350 pada 2017) sebagai ganjaran. Dan Pluto pun mula jadi popular dengan penglibatan Mickey Mouse. Pada 1941 pula, Glenn T. Seaborg menciptakan elemen kimia baru dan menamakannya Plutonium, sempena planet ini. Beliau turut memberikan nama elemen lain sempena planet, seperti Uranium (Uranus) dan Neptunium (Neptune).

Namun kemalapan Pluto melahirkan tanda tanya sama ada planet ini benar-benar Planet X (planet yang mampu ganggu orbit Uranus). Lowell menganggarkan jisim Pluto (berdasarkan gangguan tersebut) sepatutnya tujuh kali ganda lebih berat dari Bumi. Lama-kelamaan anggaran jisim Pluto mula menurun. Akhirnya Pluto didapati jauh lebih ringan dari Bumi, setelah cahayanya yang didapati padan dengan ais methane. Penemuan bulannya iaitu Charon pula memberikan angka yang tepat iaitu pada 2006, jisim Pluto didapati berada pada 0.0022% daripada jisim Bumi.

Dengan kemajuan teknologi astronomi, kesahihan Pluto sebagai planet mula dipersoalkan. Lebih banyak objek mula timbul di penghujung Sistem Suria yang pada hari ini dikenali sebagai bahagian-bahagian Lingkaran Kuiper. Pluto didapati merupakan sebahagian daripadanya. Perkara ini menyebabkan Pluto gugur daripada status planet. Planetarium Hayden setelah siap diubahsuai pada 2000 dibuka semula dengan lapan planet dalam saf bersama Matahari.

Maka perdebatan mengenai status Pluto berakhir apabila Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) akhirnya bersetuju dengan ciri-ciri yang menjadikan satu objek sebuah planet:

1. Objek ini mesti mengelilingi Matahari. Mana-mana objek yang tidak mengelilingi Matahari tidak akan dapat status planet. Dan objek yang mengelilingi bintang lain dikenali sebagai exoplanet, seperti Gliese 581c.
2. Objek ini mestilah mempunyai graviti yang cukup kuat untuk jadikannya bulat.
3. Objek ini mestilah mempunyai persekitaran orbit yang bersih.

Pluto tidak menepati ciri-ciri ketiga. Menurut IAU, mana-mana objek yang senasib dengan Pluto akan diklasifikasikan sebagai planet kerdil. Maka Pluto, Eris, Makemake dan banyak lagi dikategorikan semula dalam katalog astronomi. Sudah tentunya pengklasifikasian sebegini akan mengundang emosi berlainan. Salah seorang yang tidak bersetuju adalah penyiasat utama NASA iaitu Alan Stern yang membentangkan bahawa Bumi turut terkeluar daripada status planet kerana berkongsi orbit dengan asteroid.

Keputusan IAU siap dihentam sebagai bid’ah lagi. Dewan Negeri New Mexico lantas mengumumkan Pluto akan kekal sebagai planet, sebagai penghormatan kepada Clyde Tombaugh yang merupakan penduduk tetap di negeri tersebut. Pada Mac 13, 2007, New Mexico menyambut Hari Planet Pluto pun. Disebabkan Clyde Tombaugh dilahirkan di Illinois, negeri tersebut turut serta pada 2009.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply