Individu politik Dinasti Kim, Kim Jong-un dan adik perempuannya Kim Yo-jong adalah dua figura awam yang paling terkemuka dan terpenting di Korea Utara. Manakala untuk tempat ketiga mungkin adalah seorang penyiar berita Korea Utara bernama Ri Chun-hee.

Tapi siapa Ri Chun-hee ini dan bagaimana seorang penyiar berita boleh menjadi individu ketiga paling penting dan terkemuka di Korea Utara?

Bukan setakat Korea Utara, malahan Ri amat terkenal di seluruh Asia. Bahkan gaya perwatakannya pernah ditiru dengan jelas dalam filem Korea Selatan berjudul Parasit di mana Moon-gwang meniru gaya Ri ketika dia memberikan ucapan berkaitan Dinasti Kim secara parodi.

Ri Chun-hee (tengah).

Dan kebanyakan rancangan realiti di Korea Selatan juga sering meniru gaya Ri dengan pelawak yang membuat parodi mengikut gaya pertuturannya semasa membaca berita.

Taiwan juga tak ketinggalan tertarik dengan cara unik Ri. Selebriti Taiwan, Andy Tai Chih-yuan meniru gaya Ri Chun-hee bermula dari kata-kata aluan hinggalah ke nyanyian dramatik yang memuja Kim Jong-un.

Penyiaran berita Taiwan CTS mencetuskan kontroversi pada tahun 2011 apabila seorang penyiar berita wanita mereka menyampaikan berita mengikut gaya dan perwatakan Ri. Tindakan tersebut menerima kritikan yang hebat kerana ramai penonton menganggap ia tidak profesional dan tidak menghormati Ri.

CTS mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi pada keesokan hari bagi mengambil tanggungjawab. Tetapi kejadian itu nampaknya telah menonjolkan kekuatan Ri yang agak unik dan simbolik di seluruh Asia sebagai seorang penyiar berita stesen televisyen.

Dilahirkan pada tahun 1943, Ri Chun-hee merupakan seorang pelajar lepasan dari Universiti Teater dan Filem Pyongyang dan dia memulakan kariernya dalam persembahan teater.  Pada usia 28 tahun, dia menyertai Korean Central Television sebagai seorang penyiar berita.

Ri digelar sebagai “Penyiar Rakyat”.

Dalam masa tiga tahun, dia menjadi wanita pembawa berita utama dan sejak itu dia bekerja sama dengan kerajaan Korea Utara.

Ri menghasilkan kesan yang kuat di dalam dan luar negara kerana dia sering diundang secara khusus untuk menyampaikan pengumuman berita-berita utama yang amat penting.

Pada tahun 1994, dia melaporkan kema.tian pengasas Korea Utara, Kim Il-sung sambil mengalirkan air mata secara siaran langsung. Dia kemudian melaporkan pelancaran satelit pertama di negara tersebut serta kenyataan rasmi kerajaan mengenai ujian nuklear.

Salah satu insiden yang paling terkenal membabitkan Ri adalah apabila dia membuat kemunculan semula pada tahun 2011. Selepas hampir dua bulan tidak bersiaran, Ri yang sebelum itu dikatakan telah bersara kembali muncul sekali lagi.

Tapi dalam kemunculan semulanya itu, dia mengenakan pakaian tradisional Korea, hanbok berwarna hitam, iaitu warna berkabung. Dia melaporkan berita tentang kema.tian Kim Jong-il dengan cara yang amat berkesan untuk mencetuskan rasa kesedihan seluruh rakyat Korea Utara.

Ri Chun-hee kemudian bersara pada Disember 2018, tapi sekali lagi dia diperlukan kembali berikutan isu ‘kehilangan’ Kim Jong-un pada tahun yang lalu. Dia dipanggil semula untuk mengumumkan bahawa Pemimpin Agung itu dalam keadaan yang selamat dan sihat.

Pengulas luar percaya bahawa setiap kali ada berita penting untuk disampaikan di Korea Utara, pasti Ri akan dipanggil untuk menyampaikan berita itu.

Oleh kerana kebanyakan tempoh kerjaya Ri adalah melaporkan berita dan hal-hal penting semasa negara itu, dan setiap pengumumannya sering mewakili pendapat dan dasar kerajaan, dia dipandang sebagai “jurucakap” atau sebahagian dari alat propaganda untuk Korea Utara.

Punca kepada mengapa Dinasti Kim memberikan Ri kuasa eksklusif untuk menyampaikan pengumuman kerajaan terletak pada daya tarikan semula jadinya yang unik. Setiap kali dia mengumumkan berita dalam persalinan tradisional yang gah (biasanya berwarna pink), dia akan memberi penghormatan kepada Parti Pekerja Korea, kekuatan suaranya bergema setelah siaran berakhir. Pendek kata, dia lain dari yang lain.

Kim Jong-il pernah memuji suaranya sebagai “transfixing” atau memukau berikutan cara penyampaian berita nasionalnya yang sangat berpengaruh, Ri juga telah dijulang dengan gelaran sebagai “Penyiar Rakyat” dan “Wirawati Kuasa Buruh.”

Nada yang penuh semangat dan kebanggaan dalam melaporkan berita kejayaan pelancaran pelur.u berpandu dan nada penuh kebencian secara terbuka sambil menyebut “Amerika imperialis” dan “minion Jepun” telah mengangkat statusnya ke peringkat yang cukup tinggi untuk seorang penyiar berita dalam rejim Korea Utara.

Lambat lagi lah Ri Chun-hee boleh bersara nampaknya.

Status itu bukan sekadar status kosong semata-mata tapi turut dilengkapi dengan hasil faedahnya juga. Sebagai ‘jurucakap’ Korea Utara untuk dunia luar, Ri Chun-hee dianggap seumpama seorang kerabat diraja oleh kerajaan dan parti. Dia ditempatkan di rumah mewah yang besar dan bergerak dengan khidmat pemandu limusin.

Selain dari gaya pertuturan yang unik dan daya tarikan tersendiri, isu rasa kepercayaan dalam Dinasti Kim turut menjadi antara pemain peranan yang terpenting dalam mengaitkan kedudukan Ri Chun-hee. Dia dianggap sebagai satu-satunya individu yang paling dipercayai oleh Kim Il-sung, Kim Jong-il dan Kim Jong-un.

RUJUKAN:

North Korean State TV Announce The De.ath of the leader Kim Jong-il

Harris, Elizabeth A. Mackey, Robert (19 December 2011). The Lede: On North Korean State Television, News of the Leader’s De.ath and Floods of Tears. The New York Times.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.