Penyelesaian Untuk Persoalan “Makan Di Mana?”

1,161

May your choices reflect your hopes, not your fears.

Nelson Mandela

Apakah persoalan paling besar dan sukar dalam hidup anda? Rata-rata rakyat Malaysia mesti setuju bahawa soalan yang paling susah untuk dijawab ialah, “Mahu makan di mana?

Hal ini demikian kerana di Malaysia, kita mempunyai pelbagai jenis makanan. Terlalu banyak pilihan dan semuanya mengundang selera. Apabila pilihan terlalu banyak, kita menjadi sukar untuk memilih.

Sebolehnya, semua jenis makanan hendak dimakan tetapi kewangan tidak mengizinkan. Jadi, kita hanya boleh memilih satu kedai makan sahaja. Masalah bertambah apabila kita makan dengan kawan mahupun keluarga, selain memikirkan selera sendiri, selera orang lain juga perlu difikirkan.

Membuat keputusan menjadi lebih sukar.

Mengapa ini terjadi? Mengapa begitu susah hendak membuat pilihan? Bukankah mempunyai banyak pilihan itu satu perkara yang bagus?

Menurut pakar psikologi iaitu, Barry Schwartz menerusi buku beliau yang berjudul The Paradox of Choice: Why More Is Less, antara cara-cara untuk mengurangkan kebimbangan pembeli adalah dengan menghapuskan pilihan mereka.

Schawrtz membincangkan Paradoks Pilihan (Paradox of Choice) ini dengan melibatkan kajian tentang bagaimana kegembiraan itu terkesan dengan kejayaan atau kegagalan dalam mencapai kehendak.

Membuat pilihan itu tidak susah, tetapi ia mengambil masa. Kadangkala memilih untuk makan di kedai mana pun sudah mengambil masa 20 minit. Sebenarnya masa 20 minit itu merupakan masa berharga yang boleh kita gunakan untuk berfikir tentang perkara-perkara yang lebih penting daripada selera kita.

Menurut Schawrtz, antara strategi dalam membuat pemilihan yang baik termasuklah mengenal pasti apa yang kita mahu. Keputusan kita selalunya berdasarkan apa yang kita mahu capai.

Sebagai contoh, dalam proses memilih restoran, pilihlah atas kehendak kita dari segi kualiti makanan, harga makanan serta suasana restoran itu. Strategi lain termasuklah memikirkan kepentingan kehendak kita di samping melihat dengan teliti opsyen yang ada.

Menurut Daniel Kahneman dan Amos Tversky dari Princeton University, mengenal pasti bagaimana opsyen-opsyen yang sedia ada boleh membantu kita mencapai kehendak. Ia juga merupakan satu cara pemilihan yang baik. Seterusnya, pembeli perlu memilih opsyen yang terbaik antara pilihan-pilihan yang ada.

Walau bagaimanapun, terlalu banyak pilihan mampu membuatkan kita menjadi lebih bimbang dan proses pemilihan boleh jadi menyeksakan. Bagi menerangkan hal ini, Schwartz telah melibatkan beberapa aspek psikologi.

Pilihan dan kebahagiaan itu saling berpaut. Hal ini demikian kerana, apabila pilihan terlalu banyak, manusia menjadi semakin bimbang kerana perlu berfikir untuk memilih pilihan yang terbaik.

Justeru, semakin lama, minda menjadi semakin runsing dalam membuat keputusan. Jika pilihan tidak banyak, minda kita juga tidak perlu berfikir dengan lebih dalam untuk memilih.

Kebebasan dan komitmen juga merupakan salah satu sebab mengapa mempunyai banyak pilihan itu merunsingkan. Banyak pilihan memberi kita kebebasan untuk memilih. Namun begitu, apabila kita tidak berpuas hati, kita digalakkan untuk menukar pilihan kita berbanding dengan langsung tidak memilih. Oleh itu, kebebasan tersebut bukanlah satu kebebasan sebenarnya. Kita tetap tidak dapat keluar daripada aktiviti dan kebimbangan dalam melakukan pemilihan.

Apabila terlalu banyak pilihan, kita cenderung untuk melepaskan peluang. Sebagai contoh, apabila kita memilih untuk makan di restoran A, kita akan merasakan kita telah melepaskan peluang untuk makan di restoran yang lain-lain. Hasilnya, kita akan mula merasa sesal atas pilihan untuk makan di restoran A. Hal ini menyebabkan kita kurang berpuas hati dengan pilihan sendiri.

Natijahnya, terbuktilah bahawa mempunyai banyak pilihan itu meningkatkan kebimbangan dalam diri kita. Walaupun setelah meneliti segala pilihan yang ada, kita pasti akan merasa tidak puas hati selagi kita tidak dapat menikmati segala opsyen yang tersedia. Kebimbangan akan menjadi lebih serius apabila semua pilihan yang ada merupakan kehendak kita.

Maka, hargailah segala pilihan yang kita buat. Di mana pun kita memilih untuk makan mahupun apa sahaja servis yang kita pilih untuk gunakan, bersyukurlah dengan segala pilihan yang telah tersedia untuk kita.

Buatlah pilihan yang bijak dengan mengikut strategi pemilihan yang efektif. Jika pilihan kita tidak memuaskan hati, kita juga mempunyai pilihan untuk menukarnya pada masa akan datang.

Lihatlah segala pilihan itu sebagai peluang, bukan peluang yang terlepas namun peluang yang boleh dicapai. Fokuskan minda kita agar sentiasa melihat sisi positif agar apa jua yang terjadi atas pilihan kita, kita masih mampu menerimanya dengan baik. Pastikan juga untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua pilihan.

Berminat dengan artikel di atas? Ia sebenarnya ialah sebahagian daripada petikan bab dalam buku terbaru kami, The Human’s Complex. Anda boleh dapatkannya di nombor ini www.wasap.my/60195812791. Ayuh membeli sambil mendana perjuangan kami!

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.