Penyalahgunaan Ajaran Islam Untuk Justifikasi Dera Anak

625

https://bit.ky/kombowww

Secara anggaran, 5 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari kerana penderaan. Manakala, sebanyak 80 peratus remaja berumur 21 tahun yang didera semasa kanak-kanak memenuhi kriteria sekurang-kurangnya satu masalah psikologi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah merekodkan jumlah penderaan fizikal kanak-kanak tertinggi adalah di kawasan Timur Tengah berbanding benua-benua lain.

Di Malaysia, pada tahun 2014-2018 sahaja mencatatkan 20,000 kes kanak- kanak yang dilaporkan dengan ribuan kes lagi yang dipercayai tidak dilaporkan. Di negara yang bermajoriti Islam seperti Arab Saudi, kajian menunjukkan 90 peratus dari peserta kajian terdiri dari kanak-kanak mengalami penderaan emosi manakala 60 peratus lagi didera secara fizikal. Selain itu, statistik terkini dari Pasukan Polis Diraja Brunei menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak sebanyak 23 peratus dari tahun 2014 hingga 2018.

Kepercayaan agama boleh disalahguna untuk mengajak, menggalakkan dan menjustifikasikan penderaan anak oleh ibu bapa. (Bottoms, Murray, & Nielsen, 2004) Bahkan, ada di antara masyarakat Muslim yang berdalilkan hadith secara zahiriyyah bagi menghalalkan penderaan terhadap kanak-kanak atas nama agama. Ajaran Islam yang seharusnya menjadi model rahmah dalam kesopanan didikannya sedikit sebanyak dipudarkan dengan praktis kekerasan pada anak.

Bahkan tidak hairan lagi masyarakat kini membandingkan perilaku kekerasan yang dilakukan ibu bapa mereka dahulu sebagai didikan yang berkesan hingga membuatkan mereka berjaya kini tanpa mengambil kira faktor lain. Sekiranya putaran kekerasan ini terus berlaku, maka kanak-kanak akan terus didera atas alasan didikan tanpa memahami ajaran Islam yang sebenar-benarnya.

Antara nas hadith yang digunapakai oleh masyarakat ialah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin Al-Ash mafhumya berkenaan suruhan baginda untuk memukul anak supaya bersolat ketika bermur 10 tahun.(Abu Daud) Selain itu, kita juga mendengar berkenaan hadith dari Ibnu Abbas mafhumya berkenaan suruhan baginda untuk menggantung cambuk di tempat yang dilihat keluarga sebagi bentuk didikan buat mereka.(Tabrani)

Islam sememangnya menitik beratkan supaya berbuat baik terhadap ibu bapa, bahkan Allah telah menyertakan dalam satu ayat yang sama selepas suruhan menyembahnya agar berbuat baik kepada ibu bapa dalam Surah Al-Isra’ ayat 23. Bahkan Rasulullah berkali-kali memberi galakan supaya berbuat baik terhadap ibu bapa. Penderhakaan terhadap ibu bapa merupakan suatu dosa besar dan amatlah dilarang dalam Islam.

Namun begitu, Al-Quran memberikan kritikan yang keras kepada orang yang berlaku zalim dan sebarang perlakuan penindasan.Ia tidak mengecualikan sama ada orang yang zalim itu ibu bapa, anak, adik beradik, pihak yang berkuasa, sahabat, kaum kerabat atau majikan. Perlakuan penindasan seolah-olah menidakkan hak kemanusiaan untuk mereka. Ia termasuklah penindasan seseorang yang berada di bawah tanggunggan seseorang, termasuk ibu bapa.

Dalam Surah an-Nakhlu ayat 90 Allah telah menyuruh supaya menegakkan keadilan, berbuat baik dan memberi sedekah kepada kaum kerabat serta melarang perbuatan keji, mungkar dan penindasan.

Selain itu, dalam Surah Thaha ayat 111, Ibnu Kathir mentafsirkan bahawa orang yang zalim akan rugi di hari akhirat dan mendapat pembalasan masing-masing. Manakala dalam surah Al-Maidah ayat 75 Allah telah menegur orang yang tidak mahu berperang di jalan Allah untuk menegakkan agama Islam dan untuk menyelamatkan orang-orang yang tertindas dari kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Ayat ini menunjukkan bahawa masyarakat Muslim bertanggungjawab untuk mempertahankan golongan yang ditindas. Maka, dapatlah difahami bahawa Al-Quran menyuruh anak untuk menghormati ibu bapa walau bagaimanapun perilaku mereka, tetapi tidak sesekali menyatakan agar anak-anak boleh menerima penderaan.

Oleh itu, anak-anak sewajarnya melaporkan kes penderaan kepada ahli keluarga atau masyarakat yang lain terutamanya pihak berkuasa. Anak-anak boleh melakukan langkah yang dirasakan sesuai bagi menghalang penderaan ibu bapa tanpa menyakiti atau berlaku biadap terhadap ibu bapa.

Pusat Fatwa Al-Azhar menyatakan bahawa perlakuan memukul anak dengan tujuan mendidik dan menghinanya bagi tujuan tarbiyah tidak wajar dizahirkan melainkan mereka berperilaku ganas. Tambahan lagi, sekiranya diperhatikan keseluruhan sunnah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak kita dapati suatu nas pun yang menunjukkan Nabi memukul kanak-kanak atau mengherdik mereka.

Manakala Sheikh Shauqi Ibrahim Alam, mufti Mesir menyebut bahawa memukul anak-anak pada fizikalnya bukanlah cara didikan kanak-kanak dan didikan sepatutnya dilakukan dengan qudwah (contoh ikutan), rahmah dan mawaddah (kasih sayang) dan pergaulan dengan kelembutan.

Al-Munawi dalam kitabnya Faidhul Qadir menukilkan kata-kata al-Barri berkenaan hadith suruhan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam untuk menggantung cambuk bahawa maksud hadith ini bukanlah berkenaan memukul anak dengan cambuk itu.Bahkan dalam hadith yang lain baginda menyatakan bahawa bukanlah dari kalangan umatnya orang yang tidak mengasihi kanak- kanak dan tidak menghormati orang tua.

Baginda sendiri tidak pernah memukul wanita, kanak- kanak atau haiwan. Sayyidina Anas bin Malik yang pernah berkhidmat selama 10 tahun semasa kanak-kanak dengan baginda pun mengakui bahawa baginda tidak pernah berkata walaupun perkataan ‘uff!’ kepadanya dan tidak pernah bertanya “kenapa kamu buat itu?’ atau “kenapa kamu tinggalkan perkara itu?’dan menyifatkannya sebagai sebaik-baik akhlak.

Oleh itu, al-Barri menyatakan hadith itu menunjukkan betapa luasnya kebijaksanaan baginda, terutamanya dalam pengetahuan cara untuk menghadapi anak-anak yang bermacam-macam perangai. Perlakuan menggantung cambuk pada tempat yang boleh dilihat anak-anak merupakan suatu langkah berjaga-jaga yang diambil untuk menghalang kanak- kanak dari terjebak dengan kemaksiatan di persekitaran mereka dengan cara menanamkan kesedaran kepada mereka sebelum mereka bertindak.

Ia merupakan suatu simbol sebagai peringatan dalam minda anak-anak itu bahawa dia mempunyai pilihan untuk melakukan perkara yang baik atau yang buruk. Ia juga merupakan suatu inisiatif untuk menyuruh mereka berkelakuan baik dan membentuk mereka dengan sifat yang unggul dan berjaya.

Ini merupakan salah satu dari banyak-banyak cara, untuk membantu anak-anak mengenalpasti realiti gambaran sebenar kehidupan ini. Allah telah menyatakan kepada kita berkenaan keindahan dan kecantikan Syurga sekiranya kita mengikuti jalan yang lurus dan Allah juga memberi amaran kepada kita akan kedahsyatan dan marak api neraka sekiranya kita berpaling dari jalanNya.

Kita memilih kehidupan yang kita hidup, dan perilaku kita menentukan bagaimana nasib kita akan berakhir.Mendidik anak akan prinsip wujudnya sempadan baik dan buruk merupakan tugas ibu bapa. Anak-anak bergantung pada ibu bapa dan ahli keluarga untuk membimbing mereka. Ia umpama seorang buta yang menggoyang-goyangkan tangannya dengan harapan ada yang memandunya ke jalan yang betul.

Dalam Islam, kita diajar untuk berlaku lembut dengan anak-anak dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaii Wasallam merupakan contoh terbaik dalam perkara ini. Suatu hari ketika dia memeluk Hassan dan Hussin, cucunya, Aqra bin Habis telah datang dan berkata :” Aku mempunyai sepuluh orang anak tetapi aku tidak pernah mencium walau seorang dari mereka. Maka baginda bersabda mafhumya:

Orang yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Suatu lagi hadith Nabi yang mafhumnya baginda menceritakan: Aku berdiri dalam solat dan aku ingin memanjangkannya, tetapi aku mendengar suara tangisan budak dan aku memendekkan solatku disebabkan kebimbangan ibu budak itu. (Al-Bukhari)

Ramai ibu bapa berpendapat denda secara fizikal adalah suatu perkara yang perlu untuk mebangunkan masyarakat yang produktif tetapi malangnya kajian telah membuktikan sebaliknya. Anak-anak yang dibesarkan di rumah yang dipraktiskan denda fizikal secara berlebihan mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk berperilaku agresif .

Malahan, anak-anak yang dipukul juga lebih cenderung untuk membawa sifat marah yang berlebihan dan mudah untuk meluahkan kemarahan mereka dengan teruk. Sebahagian kajian juga menyimpulkan bahawa mendenda secara fizikal boleh mengurangkan tahap kepintaran anak-anak kerana ia mencipta tekanan, kebimbangan, ketakutan yang melambatkan pembangunan kognitif anak-anak dan akhirnya menyebabkan kekurangan sel neuron di dalam otak.

Sebenarnya, terdapat pelbagai alternatif untuk mendisiplinkan anak-anak. Sesetengah golongan menyarankan ia dalam bentuk fizikal, tetapi ada pula golongan yang menentangnya. Ajaran Islam menunjukkan cara pertengahan di antara dua golongan itu. Ibu bapa diberi kebenaran untuk memukul secara ringan anak-anak mereka dengan beberapa syarat.

Ada Ulama yang menyatakan bahawa pukulan ringan dibenarkan setelah cara disiplin lain telah dilakukan tetapi tidak juga berhasil. Selain itu, ia juga dibenarkan jika anak itu mencecah umur 10 tahun dan masih enggan solat, setelah ibu bapa menyuruhnya sejak umur tujuh tahun untuk mengarahkan anak menyembah Allah.

Pukulan yang dikenakan seharusnya tidak pada muka, tidak terlalu kasar dan teruk, mestilah dengan tujuan ingin mendisiplinkan anak ,bukan kerana kemarahan, tidak boleh mengejeknya, merendahkannya serta penderaan lisan lain. Ulama menyarankan tempat yang paling sesuai untuk dipukul secara ringan ialah pada dua tangan atau kaki.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara untuk mendisiplinkan anak yang sesuai dengan ajaran Islam bahkan mencontohi akhlak baginda tanpa menunjukkan kekerasan. Tanggungjawab anggota masyarakat adalah melindungi mangsa yang dianiayai apabila mereka mengadu dengan melaporkan perbuatan penganiayaan tersebut.

Anak-anak pula haruslah berani untuk mempertahankan diri dari segala bentuk kekerasan dengan melaporkan kepada guru-guru , saudara mara atau pihak berkuasa tanpa berlaku biadap terhadap ibu bapa. Segala bentuk penganiayaan dan kezaliman adalah ditegah dalam Islam dan akan dibalas di akhirat nanti. Janganlah pula nanti anda kecewa dan menyalahkan diri sendiri sekiranya tindakan anda menyebabkan anak-anak berkelakuan agresif.

Putaran penderaan anak-anak atas nama didikan tanpa berpandukan ajaran Islam yang sebenar harus dihentikan supaya ia tidak berterusan ke generasi akan datang dan bagi melahirkan masyarakat yang harmoni, terutamanya generasi yang akan mebawa Islam sebagi model rahmah bagi sekelian alam.

RUJUKAN:

Nefisa Sekandari (17 April 2017). Child Abuse and The Muslim Community. Retrieved from http://mentalhealth4muslims.com/child-abuse-the-muslim-community/

Sobri Abdul Rahim (2 Oktober 2019). Hukm Darb Tiflu li al-Ta’lim, Azhar Yujibu https://www.elbalad.news/4003701

World Health Organisation (2020) Child Maltreatment. Retrieved from: https://apps.who.int/violence-info/child-maltreatment

Faliq Lajim (27 October 2018). More than 20,000 abuse cases recorded for past five years involved childrenhttps://www.nst.com.my/news/nation/2018/10/425658/more-20000-abuse-cases-recorded-past- five-years-involved-children

Bottoms, B., Murray, R., & Nielsen, M. (2004). Religion-Related Child Physical Abuse: Characteristics and Psychological Outcomes. Child Abuse`.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.