Penyakit Yang Buat Kau Tak Boleh Merasa Sakit

1,602

Tahukah anda terdapat satu jenis penyakit di dunia ini yang mana para pesakit mereka tidak boleh merasai kesakitan langsung. Penyakit ini diberi nama Congenital Insensitivity to Pain with Anhidrosis atau nama lainnya, CIPA.

Anda mungkin tertanya-tanya, mengapakah kondisi ini digelar sebagai satu jenis penyakit? Bukankah tidak boleh merasai kesakitan itu merupakan satu perkara yang amat baik untuk seseorang manusia? Baik, untuk menjawab soalan ini, mari kita kembangkan sedikit terminologi mengikut pada nama penyakit ini.

Sebelum itu, mari kita ulangkaji sedikit, bagaimana seseorang manusia itu boleh merasai kesakitan. Di bawah lapisan kulit kita, terdapat sel-sel yang dinamakan sebagai receptor. Sel-sel ini bertanggungjawab untuk mengesan mana-mana cetusan (stimulus), seperti kesakitan, perubahan suhu dan lain-lain. Apabila isyarat ini diterima, badan kita akan menghantar isyarat dalam bentuk impulse, yang akan bergerak menuju ke saraf tunjang, dan akhirnya tiba di bahagian otak yang mana segalanya akan kita rasai.

Congenital Insensitivity to Pain bermaksud, seseorang itu tidak boleh merasai langsung apa-apa kesakitan, dan maksud perkataan ‘congenital’ itu memberi makna bahawa penyakit ini muncul sewaktu seseorang itu lahir lagi. Hal ini menunjukkan bahawa faktor genetik merupakan punca bagaimana penyakit ini boleh berlaku.

Anhidrosis pula membawa maksud seseorang itu tidak mempunyai keupayaan untuk berpeluh. Punca kesemua gejala-gejala penyakit ini adalah kerana kegagalan sejenis sel-sel saraf yang bertanggungjawab dalam menghantar isyarat seperti kesakitan, kesejukkan dan kepanasan kepada otak. Hal ini sebenarnya menyebabkan para pesakit mempunyai kecenderungan yang amat tinggi untuk mengalami kecederaan, kerana mereka langsung tidak tahu bahawa diri mereka ini sedang tercedera,

Mereka gagal mengesan apa-apa kesakitan, dan ini menyebabkan refleks dan respon mereka kepada apa-apa stimuli juga tidak wujud. Contohnya adalah seperti sekiranya bahagian mata mereka terkena habuk, mahupun tercedera. Untuk orang normal seperti kita, refleks bahagian kelopak mata untuk berkelip, dan kelenjar lakrimal di atas mata akan segera menghasilkan cfvdair mata bagi men’cuci’ mana-mana bendasing yag terdapat pada mata seseorang itu. Air mata juga bertanggungjawab untuk menyembuhkan bahagian mata (kornea) daripada kecederaan sebegini.

Untuk pesakit CIPA pula, mereka tidak merasakan apa-apa yang terjadi, walaupun sekiranya bahagian kornea mereka tercedera. Ketiadaan refleks untuk menyembuhkan bahagian kornea ini yang cedera akan menyebabkan kecederaan yang lebih teruk, yang mana ‘corneal ulceration’ merupakan salah satu tanda-tanda klinikal yang selalu didapati untuk pesakit-pesakit sebegini. Justeru, para doktor selalunya akan memberi preskripsi ubat titisan mata untuk pesakit-pesakit CIPA, yang mana mereka harus ingat untuk menggunakkannya sekali dalam beberapa jam.

Bukan itu sahaja, sekiranya mereka mengalami trauma yang menyebabkan kepatahan pada tulang, atau cedera pada kulit, mereka selalunya tidak perasan akan apa-apa kecederaan ini. Justeru, kebanyakkan pesakit mempunyai tulang dan anggota badan yang abnormal, terutama sekali apabila mereka gagal untuk perasan dan tidak mengikut arahan bagi memeriksa badan mereka setiap beberapa jam.

Walaupun deria rasa apabila disentuh masih boleh dirasai oleh pesakit-pesakit ini, malangnya, untuk mereka membuang air besar, mahupun air kecil, mereka tidak akan perasan apabila pundi kencing mereka sudah penuh mahupun bahagian rektum mereka sudah dipenuhi najis. Jika anda lihat pada gambar di atas yang menunjukkan bahagian tangan seorang pesakit CIPA, menjadi tabiat mereka untuk menghisap jari mereka dan menggigitnya sehingga mereka langsung tiada kuku akhirnya (orang biasa hanya akan menghisap sahaja, tidak menggigit kerana gigitan jari akan menyebabkan kesakitan).

Kegagalan mereka untuk menghasilkan peluh (anhidrosis) menyebabkan kebanyakan pesakit maut seawal umur 3 tahun kerana ‘overheat’. Seperti yang kita ketahui, peluh dihasilkan oleh manusia bagi tujuan menyejukkan badan apabila kita berasa terlalu panas. Ketiadaan mekanisma untuk berpeluh ini menyebabkan kebanyakkan mereka maut yang mana organ mereka mulai gagal saat protein-protein di dalam badan mereka mulai tidak berfungsi saat suhu badan mereka terlalu tinggi.

Pesakit ini tiada rawatan yang khusus. Kebanyakkan pesakit dinasihati oleh doktor untuk meletakkan reminder bagi mengingatkan mereka masa untuk membuang air besar dan kecil, memeriksa bahagian mata, mulut dan anggota badan mereka setiap beberapa jam.

Kita harus bersyukur kerana kes-kes CIPA ini amat jarang-jarang sekali berlaku. Walau bagaimanapun, terdapat 1-2 kes yang terdapat di Malaysia, dan kes-kes ini telahpun dikongsikan melalui laporan kes dan boleh didapati di beberapa laman web journal perubatan.

Kes-kes ini banyak berlaku dan dihidapi oleh orang Israel lebih daripada kaum-kaum lain di dunia ini. Kebanyakkan pesakit CIPA juga mempunyai IQ yang rendah dan mempunyai mental retardation selain daripada gejala-gejala yang disenaraikan di atas.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.