Penyakit Berjangkit Dan Vaksin Era Dinasti Joseon

2,993

Tahukah anda, sebenarnya sewaktu era Dinasti Joseon (sekitar tahun 1392 hingga 1910), jangka hayat purata rakyatnya waktu itu hanyalah lebih kurang 35 tahun sahaja. Kadar kematian bayi baru lahir adalah sangat tinggi dan umur yang panjang dianggap sebagai suatu nasib baik yang jarang-jarang dapat dicapai oleh rakyatnya.

Bagi raja-raja Joseon pula, jangka hayat mereka adalah lebih lama, dengan purata lebih kurang 47 tahun, namun hanya enam orang raja sahaja yang mampu hidup lebih daripada 60 tahun. Dan raja yang mempunyai jangka hayat paling panjang adalah Raja Yeongjo yang memerintah selama 52 tahun dan meninggal dunia pada usia 83 tahun.

Pernahkah anda terfikir, kenapakah hal ini berlaku pada era Joseon dahulu? Apakah penyakit yang sering melanda rakyatnya dan bagaimana pula cara pencegahannya? Artikel ini akan mengupas serba sedikit berkaitan penyakit berjangkit era Joseon dan kaedah pencegahan serta ubat-ubatan yang digunakan waktu itu.

Penyakit berjangkit dalam era Joseon

Ada sesetengah sejarawan telah menggelarkan Dinasti Joseon sebagai ‘dinasti sebaran penyakit berjangkit’ kerana begitu banyak penyakit berjangkit yang tular pada waktu itu. Namun sebenarnya, penularan penyakit berjangkit ini bukan hanya berlaku di Joseon sahaja, malah di seluruh dunia pada masa itu.

Pada sekitar tahun 1668 contohnya, ramai sekali rakyat Joseon telah meninggal dunia akibat penyakit campak dan cacar. Lebih kurang 900 orang dilaporkan telah meninggal dunia di Gyeongseong (nama lama bagi Seoul), tapi jumlah sebenarnya dikatakan lebih daripada itu.

Pada tahun 1708, jumlah kematian akibat penyakit campak dengan demam telah mencecah sehingga ratusan ribu di ibu negara Joseon (Seoul) dan hampir di seluruh negara. Sewaktu pemerintahan Raja Yeongjo, iaitu pada tahun 1736, direkodkan bahawa puteri keempat baginda telah meninggal dunia akibat penyakit campak.

Rentetan kejadian ini, salah seorang ahli perubatan diraja yang bertugas, iaitu Sang Kyung-Cho telah menasihatkan agar putera dibawa jauh ke istana yang lain bagi melindunginya dan Raja Yeongjo telah bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini merupakan antara langkah pencegahan yang dilakukan oleh para ahli perubatan Joseon bagi mengekang penularan wabak penyakit berjangkit.

Sewaktu pemerintahan Raja Jeongjo (1776 hingga 1800), sebanyak 31 jenis wabak penyakit telah melanda Joseon termasuklah sewaktu baginda masih kanak-kanak. Malah, pada tahun ke-10 pemerintahannya, penyakit campak telah tersebar hampir ke seluruh negara dan meragut banyak nyawa rakyatnya.

Penyakit campak kebiasaannya berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan kebanyakan kanak-kanak ini telah ditinggalkan serta diabaikan oleh ibu bapa masing-masing yang takut terjangkit penyakit yang sama.

Penularan penyakit campak yang berlaku pada zaman pemerintahan Raja Jeongjo ini dianggap sebagai penyakit berjangkit paling menakutkan yang berlaku dalam sejarah Dinasti Joseon.

Penyakit ini yang dipanggil sebagai hongyeok atau ‘epidemik merah’ yang banyak meragut nyawa kanak-kanak dan bayi telah melanda Joseon dalam kitaran 10 hingga 20 tahun sekali bermula dari pertengahan abad ke-17 hinggalah abad ke-19.

Penyakit ini direkodkan pertama kalinya berlaku pada tahun 1668, dan beribu-ribu rakyat telah meninggal dunia akibatnya pada tahun 1707. Ia meragut ribuan lagi nyawa pada sekitar tahun 1752, dan seterusnya pada tahun 1775, sehingga meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Raja Jeongjo.

Raja Jeongjo.

Disebabkan keadaan inilah, Raja Jeongjo telah bertindak dengan memperkenalkan beberapa polisi bagi menyiapkan negara bagi menghadapi ancaman penyakit campak.

Antara polisi yang diperkenalkan adalah penubuhan Arkib dan Perpustakaan Diraja yang berfungsi bagi mengumpulkan segala dokumen dari dalam dan luar negara untuk mencari langkah pencegahan bagi penyakit tersebut.

Malah, Raja Jeongjo turut menubuhkan ‘The Code for Famine Relief’ pada tahun 1783 sebagai salah satu polisi dalam menangani masalah kebuluran kesan daripada penularan penyakit berjangkit. Penggabungan semua aspek, termasuklah agrikultur, kewangan dan pertahanan tentera adalah asas yang membentuk polisi-polisi ini bagi mengawal penularan wabak.

Rawatan, ubat-ubatan dan pengenalan vaksin

Raja Yeongjo merupakan Raja Joseon yang mempunyai jangka hayat paling panjang serta memerintah paling lama dalam sejarah Dinasti Joseon. Ramai sejarawan telah mengkaji faktor yang menjadikan baginda panjang umur ini dan kebanyakan rekod menyatakan bahawa rahsianya adalah ginseng.

Pada waktu itu, penggunaan herba-herba adalah sangat penting dalam proses perawatan dan penyembuhan pelbagai jenis penyakit di Joseon. Selain itu, pendekatan yang digunakan oleh ahli perubatan diraja adalah dengan menggalakkan raja untuk berehat, mengurangkan kerja yang berlebihan serta memulihkan tenaga.

Seperti mana Raja Yeongjo yang terkenal dengan amalan memakan ginsengnya, herba ini juga turut popular dalam kalangan rakyat biasa pada sekitar abad ke-18. Ia bukan sahaja dinikmati oleh golongan kelas atasan, malah rakyat biasa juga turut mencarinya kerana khasiatnya yang tersebar luas pada waktu itu.

Pada sekitar tahun 1800, seorang sarjana yang terkenal dalam bidang realis di institusi Confucian, iaitu Yak Yong-Chung telah memperkenalkan vaksinisasi buat pertama kalinya di Joseon. Di dalam bukunya yang bertajuk Magawhetong, dia telah memperkenalkan vaksinisasi Jenner, yang dimuatkan pada bahagian perkara tambahan, di bawah tajuk Jongduyoji.

Selain itu, Yak Yong-Chung juga telah menemui kaedah inokulasi dengan mengumpulkan najis daripada pesakit yang menghidapi cacar. Dia telah memperoleh salinan sebuah buku, iaitu Junsijongdu-bang daripada China dan memperkenalkannya ke Joseon pada tahun 1879. Namun, kaedah sebenar untuk vaksinisasi ini telah dipelopori oleh Ji Seok Yeong yang dikenali sebagai Jenner Korea, sejak pembukaan pelabuhan pada tahun 1876.

Pelopor vaksinisasi Joseon/Korea

Ji Seok Yeong

Ji Seok Yeong(1855-1935) merupakan seorang ahli perubatan pada akhir era Dinasti Joseon. Beliau juga merupakan seorang menteri dan sarjana dalam Hangul. Ji Seok Yeong telah mendalami ilmu vaksinisasi dan bekerja keras dalam mengajar masyarakat tentang kepentingan vaksinisasi di Joseon waktu itu.

Sejak muda lagi, Ji Seok Yeong sangat berminat dalam bidang penterjemahan jurnal-jurnal perubatan Barat yang memasuki Joseon melalui China. Malah, beliau juga sangat meminati hasil kerja seorang doktor Inggeris, iaitu Edward Jenner yang merupakan orang pertama memperkenalkan vaksin bagi cacar.

Pada tahun 1876, beliau telah bertemu dengan Park Yongson, iaitu seorang penterjemah yang terlibat dalam misi diplomatik di Jepun. Park telah memberikannya satu set buku berkaitan dengan bidang yang diminati oleh Ji Seok Yeong, iaitu inokulasi yang telah ditulis oleh seorang doktor Jepun.

Hasil minatnya yang mendalam berkaitan bidang inokulasi serta rasa kecewa terhadap ramai rakyat yang meninggal akibat penyakit berjangkit telah mendorong Ji untuk memulakan penyelidikan berkaitan penghasilan vaksin. Ji secara khususnya menfokuskan terhadap vaksin bagi melawan cacar, iaitu penyakit yang melanda Korea pada sekitar abad ke-19.

Setelah gagal dalam usahanya bagi mencipta inokulasi yang efektif secara sendirian, Ji telah merantau ke Busan pada tahun 1876 bagi mempelajari ilmu inokulasi di Japanese Naval Hospital.

Selesai urusan pelajarannya, beliau telah singgah di kampung halaman isterinya di Chungjugun Deoksanmyeon, dan telah melakukan inokulasi terhadap 40 orang kanak-kanak bagi mencegah cacar, dan menjadi inokulasi pertamanya di Korea.

Di Seoul pula, beliau telah berjaya memberi vaksin kepada ramai kanak-kanak, namun, dengan jumlah vaksin yang terhad yang dibawanya dari Busan telah mendorongnya untuk mengeluarkan sendiri vaksinnya.

Pada tahun 1880, Ji telah pergi ke Jepun bagi mempelajari kaedah penghasilan dan penyimpanan vaksin. Selepas mahir dalam proses penghasilan dan pengurusan vaksin, beliau pulang ke Korea bersama 50 vial vaksin dan meneruskan usaha pemberian vaksin kepada rakyatnya.

Hasil daripada segala usahanya ini, pada September 1882, sebuah klinik vaksinisasi cacar yang pertama telah dibina di Jeonju, diikuti dengan klinik kedua di Gongju pada tahun 1883.

Saranan bagi pemberian vaksin telah dikemukakan secara rasmi pada tahun 1895, yang mana berdasarkan saranan, ia menyetakan bahawa “Semua kanak-kanak perlu diberi vaksin dalam tempoh masa antara 70 hari hingga setahun selepas kelahirannya.”

Kesimpulan

Penyakit berjangkit merupakan antara ancaman utama kepada dunia sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Dinasti Joseon juga merupakan antara era yang paling banyak menghadapi masalah penyakit berjangkit dan wabak yang telah meragut nyawa ratusan ribu rakyatnya.

Dalam keadaan sumber yang terhad pada waktu itu, para ahli perubatan mereka terus berusaha untuk mencari penawar terbaik dalam menangani ancaman penyakit berjangkit.

Justeru, pada hari ini, dalam keadaan dunia sedang bergelut bagi menangani ancaman penyakit berjangkit, kita juga haruslah memainkan peranan kita untuk sama-sama menghadapinya. Mematuhi arahan pihak berkuasa, mengikuti segala langkah pencegahan dan terus memanjatkan doa agar keadaan semakin pulih untuk kita semua.

RUJUKAN:

Anonymous. (2014). Ji Seokyeong. Retrieved March 18, 2020, from https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Ji_Seokyeong

Baker, D. (2003). Oriental Medicine in Korea. In H. Selin (Ed.), Medicine Across Cultures: History and Practice of Medicine in Non-Western Cultures (3rd ed., pp. 133–154). USA: Kluwer Academic Publishers. https://doi.org/10.1017/CBO9781107415324.004

Cha, S.-H. (2012). The history of vaccination and current vaccination policies in Korea. Clinical and Experimental Vaccine Research, 1(1), 3–8.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.