Penterjemahan Al-Quran

498
views

Al-Quran adalah sebuah teks agama Islam di mana penganutnya mempercayai ianya wahyu daripada Allah (Nama Tuhan yang disembah umat Islam) melalui malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW (570-632). Pada masa itu, ayat Al-Quran disampaikan secara berperingkat iaitu bermula pada tarikh 22 Disember 609 dan telah lengkap lebih kurang 23 tahun kemudian.

Al-Quran mengandungi 114 bab dengan kepanjangan yang pelbagai, di mana setiap bab dikenali sebagai “Surah”. Terdapat 6 236 ayat dalam buku Al-Quran. Bilangan ayat bertambah jika perkataan “bismillah…” dihitung secara berasingan.Ketika nabi Muhammad SAW hidup, tiada ayat dalam Al-Quran pernah diterjemahkan dalam mana-mana bahasa. Sehingga 1936, terdapat 102 bahasa telah berjaya menterjemahkan Al-Quran.

Salman al-Farisi telah menterjemahkan Surah Alfatihah dalam bahasa Parsi pada awal abad ke-7. Seorang cendekiawan dari Constantinople yang bernama Nicetas Byzantius telah membuat penterjemahan Al-Quran dalam bahasa Yunani sekitar tahun 855-870. Mansur I (961-976), raja Samanid telah memerintahkan para ilmuwan Khorasan untuk menterjemah Tafsir al-Tabari ke dalam bahasa Parsi. Pada abad ke-11 hingga ke-12, al-Quran dan tafsirnya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Parsi. Kesemua manuskrip buku itu masih ada hingga kini dan diterbitkan beberapa kali.

Bahasa Latin, Inggeris, Sepanyol dan Perancis adalah bahasa Eropah yang telah membuat penterjemahan Al-Quran. Robertus Ketenensis telah menghasilkan terjemahan Al-Quran dalam bahasa Latin pada tahun 1143 yang bertajuk “Lex Mahumet pseudoprophete” (Perundangan Muhammad Si Nabi Palsu) sebelum tertolak. Pembantu King Charles I iaitu Alexander Ross telah menterjemahkan Al-Quran ke bahasa Inggeris melalui bahasa Perancis “L’Alcoran de Mahomet by du Ryer”. Julio Cortes yang mengarang “El Coran” terbitan Tahrike Tarsile Qur’an ditemui secara meluas di Amerika Utara. L’Alcoran de Mahomet / translaté d’Arabe François par le Sieur Du Ryer, Sieur de la Garde Malezair., 1647, 1649, 1672, 1683, 1719, 1734, 1770, 1775, oleh André Du Ryer merupakan terjemahan bahasa Perancis yang pertama.

Bahasa Turki, Hindi, Urdu, Melayu dan Cina adalah antara bahasa Asia yang telah membuat penterjemahan Al-Quran. Yusuf Ma Dexin (1794–1874) adalah penterjemah pertama dalam bahasa Cina. Elmalılı Muhammed Hamdi Yazır  telah menerbitkan buku “Hakk Dīni Kur’an Dili” dalam bahasa Turki pada tahun 1935. Kanzul Iman turut terbabit dalam penterjemahan ke bahasa Hindi, Bengali dan Gujarat. Terjemahan pertama ke Urdu dilakukan oleh Shah Abdul Qadir, anak kepada Shah Abdul Aziz Dehlawi (Ilmuwan Islam di sub-benua India pada abad ke-18). William Shellabear (1862–1948) ilmuwan British dan missionari di Malaysia telah mula membuat penterjemahan Al-Quran dalam ke dalam bahasa Melayu, tetapi tidak sempat habiskan kerana meninggal dunia pada tahun 1948.

Penterjemahan Al-Quran turut dilakukan ke dalam bahasa-bahasa Afrika. Bahasa tersebut adalah bahasa Swahili, Yoruba dan Hausa oleh Sheikh Ali Muhsin al-Barwani, Sheikh Adam Abdullah Al-Ilory dan Sheikh Muhamud Gumi masing-masing.

Selepas kejatuhan Shah Iran, Ayatollah Khomeini telah meninta semua umat Islam agar mempelajari bahasa Esperanto. Al-Quran terjemahan Esperanto dihasilkan di Iran. Pada tahun 1970, Profesor Italo Chiussi pengganut Ahmadiyyah telah menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa Esperanto.

Kesimpulannya; selepas kematian Nabi Muhammad SAW, Al-Quran telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Bukan sahaja bahasa Parsi, bahasa-bahasa yang terdapat di benua Eropah, Asia, Afrika turut membuat penterjemahan Al-Quran. Malah, bahasa tiruan seperti bahasa Esperanto turut mengambil tempat.

Artikel disumbangkan oleh Alam Bahasa untuk The Patriots.