TATKALA gerakan anti penyerahan Sarawak berkumandang di Sarawak Darulhana akan sering kita lihat poster-poster vintaj yang diarak ke seluruh pelusuk ibukota Sarawak seperti di Kuching, Sibu dan Miri suatu waktu dahulu.  Antara poster-poster vintaj itu adalah seperti “ANTHONY BROOKE IS OUR BELOVED RULER”, “RIBU KALI MERDEKA! TETAP MERDEKA”, “SARAWAK IS INDEPENDENT”, “MERDEKA TRUS”, “WE WANT ANTHONY BROOKE TO BE RAJAH OF SARAWAK”, “NATIVE OF SARAWAK DO NOT WANT THEIR COUNTRY TO BECOME C. COLONY” dan “WHY BRITISH ACCEPT ILLEGAL CESSION”.

Poster-poster vintaj ini mungkin hanya sekelumit bukti tentang betapa rakyat Sarawak pada tahun 1940an begitu menginginkan Sarawak itu dimerdekakan dengan mempunyai acuan tersendiri serta ditadbir oleh anak bangsa Sarawak tanpa ada campurtangan asing. Namun sudah ketentuan biarpun ada penentangan akhirnya pada tanggal 1hb Julai 1946, Sarawak Darulhana tetap menjadi jajahan Koloni British yang digelar Koloni Mahkota Sarawak British yang mengambilalih pemerintahan dari tangan dinasti keluarga Brooke yang memegang Sarawak selama hampir 100 tahun lamanya. 

Itu sejarah yang sememangnya diketahui oleh ramai rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.  Tetapi tidak ramai yang mengetahui cerita disebalik mengapa dan kenapa Sarawak yang asalnya sebuah negara merdeka menjadi tanah jajahan Koloni British biarpun hakikatnya sejak di tahun 1888 pernah menjadi negara perlindungan (protectrate country) kepada British. 

Bermulanya sejarah untuk menjadikan Sarawak dibawah Brooke sebagai tanah jajahan Koloni British sudahpun diatur langkahnya sejak Sarawak masih bergelut dengan Perang Dunia Kedua lagi.  Adalah difahamkan Baginda Ratu England telah mengarahkan pejabat kolonial British memainkan peranan ketika masih di dalam perang iaitu bagi merancang serta membentuk pentadbiran Sarawak selepas berakhirnya perang kelak.   Pada masa itu Jawatankuasa Kabinet Perang yang bersidang pada tanggal 18 Januari 1944 telah sebulat suara mahukan Sarawak sebagai tanah jajahan mahkota British secara total kerana bimbang akan ada kuasa-kuasa barat yang lain mengambilalih Sarawak selepas perang berakhir.

Bagi merealisasikan impian Baginda Ratu England bukanlah sesuatu yang mudah kerana status Sarawak sebagai sebuah negara protectrate sudahpun dimeterai sejak 5 September 1888 lagi.  Di dalam Artikel 1, Perjanjian 1888 ada mencatatkan bahawasanya Sarawak ditadbir sepenuhnya oleh Rajah Brooke dan legasinya sebagai sebuah negara bebas dibawah perlindungan Great Britain.  Turut dicatatkan, Baginda Ratu tidak ada hak untuk terlibat di dalam hal-ehwal dalaman pentadbiran Sarawak.  Dari Artikel 1 ini sudah cukup jelas bahawasanya Rajah Brooke memiliki kedaulatannya ke atas Sarawak. 

Jadi bagi “memaksa” Tuan Rajah Charles Vyner Brooke akur akan kehendak Baginda Ratu maka Jawatankuasa Kabinet Perang yang bersidang pada tanggal 19 Januari 1944 iaitu sehari selepas persidangan pertama telah menggunapakai Akta Juridiksi Asing (Foreign Jurisdiction Act) Artikel 1 iaitu dengan memindahkan kesemua juridiksi dalam negeri Sarawak kepada Baginda Ratu.  Biarpun pejabat kolonial sudah mempunyai 1001 kaedah untuk memujuk Tuan Rajah CV Brooke namun rundingan penyerahan Sarawak hanya dimulai selepas perang dunia kedua berakhir.

Selepas beberapa siri rundingan ditambahlagi dikatakan Tuan Rajah CV Brooke tidak mampu lagi membendung tekanan demi tekanan dari pejabat Kolonial akhirnya pada tanggal 24 Oktober 1945, Tuan Rajah CV Brooke menandatangani perjanjian dengan Setiausaha Tanah Jajahan British iaitu George Hall.  Turut mewarnai cerita penyerahan ini adalah mengenai Tuan Rajah CV Brooke yang sudah muak untuk memerintah lantas menerima imbuhan yang diberikan iaitu sebanyak 1,000,000 pound sterling sebagai gantian menyerahkan Sarawak.

Biarpun Tuan Rajah sudah bersetuju namun ada masih banyak lagi yang harus diusahakan kerana undang-undang tubuh Sarawak amat berlainan dengan negeri-negeri di Malaya.  Dewan Undangan Sarawak selain Tuan Rajah Brooke turut dianggotai oleh Majlis Council Negeri yang mana beberapa pemimpin tempatan Sarawak yang menganggotainya.  Tanpa persetujuan daripada pemimpin tempatan Sarawak maka penyerahan Sarawak tidak akan dapat direalisasikan.  Dan disinilah GTM Mac Bryan yang bertindak sebagai setiausaha sulit Brooke akan memainkan peranan memujuk ahli-ahli Majlis Tertinggi Sarawak. 

Menurut cerita hal pertama yang Mac Bryan lakukan ketika sampai di Kuching adalah mengadakan perjumpaan dengan tiga pemimpin yang paling berpengaruh di Sarawak pada ketika itu.  Kedatangan Mac Bryan pada pertemuan dengan pemimpin-pemimpin berpengaruh pada masa itu turut membawa “saguhati” iaitu berupa wang sebanyak $12,000 kepada Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, $10,000 tiap-tiap seorang kepada Datu Hakim, Datu Menteri, Datu Pahlawan dan Datu Amar.  Ganjaran secara individu ini diberikan agar kesemua pemimpin ini menyokong usaha untuk menyerahkan Sarawak sebagai jajahan koloni British pada masa itu.  Turut dinyatakan sebagai Mufti yang bertindak sebagai saksi di ketika upacara menandatangani perjanjian kelak turut diberikan $2,000 sebagai imbuhan. 

Sebagai menunjukkan rasa simpati dan prihatin Baginda Ratu, Mac Bryan turut memberikan $45,000 kepada kaum Melayu dan Cina Sarawak yang terkesan secara langsung sepanjang pendudukan Jepun di Sarawak.  Agihan setara dua kaum sebanyak $45,000 itu diterima oleh Datu Pahlawan Abang Haji Mustapha (wakil kaum Melayu) dan Ong Tiang Swee (wakil Kaum Cina).  Mac Bryan turut berjaya mempengaruhi Datu Pahlawan Abang Haji Mustapha agar memanggil sidang mesyuarat Majlis Tertinggi Sarawak yang berjaya dilakukan pada tanggal 5 Januari 1946. 

Umpama kata bidalan, pucuk dicita ulam mendatang maka begitulah juga Mac Bryan yang sewaktu sidang Mesyuarat Tertinggi 5 Januari 1946 telah bangga menunjukkan surat kuasa Tuan Rajah Charles Vyner Brooke yang membuktikan beliau adalah utusan dan wakil yang dilantik kepada Datu Patinggi Abang Haji Abdillah pada masa itu.  Perlulah diketahui sebagai pemimpin no. 2 selepas Tuan Rajah CV Brooke, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah adalah antara pemimpin Sarawak yang langsung tidak bersetuju dengan hasrat untuk menyerahkan Sarawak sebagai tanah jajahan Koloni British. 

Pujukan Mac Bryan mungkin tidak berjaya mempengaruhi beliau namun tidak pada Datu Pahlawan Abang Haji Mustapha yang sewaktu perbahasan secara terbuka menyokong usaha itu dengan alasan iaitu pendidikan, perusahaan dan pertanian di Sarawak jauh ketinggalan dan perlukan sokongan kuasa besar untuk membantu Sarawak lebih berdayasaing dan maju. Dalam pada itu Datu Pahlawan turut menyatakan bahawa pihak Koloni British sudah tentu akan mengekal dasar-dasar kerajaan yang sedia ada iaitu hak-hak bumiputera Sarawak akan terus dijaga sebaik-baiknya.   Akhirnya sidang mesyuarat Majlis Tertinggi tanggal 5 Januari 1946 itu menyaksikan majoriti ahli majlis tertinggi bersetuju dan menyokong untuk Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British. 

Perihal bukti wang saguhati yang diberikan oleh Mac Bryan kepada pemimpin ahli Majlis Tertinggi ada dinyatakan di dalam surat pengistiharan yang dicatitkan pada tanggal 10 April 1946.  Isi kandungan surat pengistiharan itu adalah seperti berikut:

“Yang Maha Mulia sudah di-terima banyak terima kasih. Ada-Iah hamba menanda tangan surat pengakuan ialah hamba bersetuju dengan chadangan duli tuan Rajah menyerah negeri kapada baginda King supaya mendapat lebih kemajuan kabeban dan kesenangan kapada negeri dan rayat. Wang yang hamba terima itu ialah perbantuan dari duli Tuan Rajah kapada hamba kerana sudah sengsara dipegang Jepun sebanyak-nya Datu Mentri 10,000, Datu Amar 10,000, Datu Hakim 10,000, Datu Pahlawan 10,000.

Hamba semua sudah tidak ada kena tekan menyain surat pengakuan itu. Rayat Melayu dan China didalam negeri Sarawak ada juga menerima sama perbantuan daripada duli Tuan Rajah.

Sembah sujud daripada hamba Datu Mentri, Amar, Hakim, Pahlawan.”

Dari catatan surat pengistiharan ini sudah jelas menunjukkan bahawa Datu Patinggi adalah pemimpin yang langsung tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.  Datu Patinggi Abang Haji Abdillah seia sekata dengan Presiden dan Naib-naib Presiden Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak yang meminta jika Tuan Rajah Vyner Brooke sudah tidak mahu dan muak untuk memerintah Sarawak maka seharusnya pentadbiran Sarawak diserahkan kepada Tuan Muda Betram Brooke (pada masa itu tidak sihat) atau Tuan Muda Anthony Brooke (anak Tuan Muda Betram Brooke).  Namun sayangnya segala permintaan daripada rakyat Sarawak pada masa itu tidak didengar oleh Tuan Rajah CV Brooke yang terus “menjual” Sarawak untuk menjadi tanah jajahan Koloni Sarawak. 

Bagi menyekat suara anti penyerahan rakyat Sarawak 1946 menyaksikan pentadbiran Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British turut menghalang Tuan Muda Anthony Brooke untuk “pulang” ke Sarawak yang mana beliau disekat perjalanannya ketika sampai di Manila, ibukota Filipina melalui pengaruh mereka dengan kerajaan Sepanyol disana pada masa itu.  Manakala Datu Patinggi Abang Haji Abdillah bersama Gerakan Pemuda Melayu terus-terusan dengan gelombang anti penyerahan sehinggalah suara penentangan semakin pudar selepas Rosli Dhoby dan rakan-rakan Rukun 13 dihukum oleh Koloni Mahkota Sarawak British atas komplot membunuh Gabenor Sir Duncan Stewart pada tahun 1950. 

-HB-

#kameksayangSarawakbah!

Rujukan:

  1. Pergerakan Pemuda Melayu Sibu Dan Pembunuhan Gabenor Sarawak Duncan Stewart 1949 oleh Abdullah Zakaria bin Ghazali, Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Kuala Lumpur. (PDF)
  2. Pergerakan Pemuda Melayu
http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=5875
  • Utusan Borneo, 2 Mac 2018 – Perjuangan Rosli Dhoby Dan Rakan-rakan Dalam Kenangan
https://www.utusanborneo.com.my/2018/03/02/perjuangan-rosli-dhoby-dan-rakan-rakan-dalam-kenangan
  •  Gerakan Anti Cession Sarawak – Borneo Oracle
  •  Tuan Muda Anthony Brooke – Borneo Oracle

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.