Berita yang baru sahaja berlaku (26 Mei), pihak berkuasa di bandar kecil Negrar di Valpolicella, 516 km ke utara ibu kota Rome, Itali mengumumkan penemuan lantai dan tapak asas (foundation) sebuah Villa Rom (sejenis banglo mewah luar kota pada zaman Rom) tertanam beberapa meter ke dalam tanah di dalam sebuah kebun anggur di pinggir bandar itu.

Kredit foto kepada FB Commune di Negrar

Usaha carigali telah lama dilakukan sejak seabad yang lalu tetapi hanya baru-baru ini dapat direalisasikan. Usaha untuk mendapatkan persetujuan antara pemilik kebun dan majlis perbandaran sedang dijalankan supaya tapak arkeologi yang bernilai ini dapat dibaikpulih dan dibuka kepada orang awam.

Pihak majlis perbandaran di Negrar berkata mereka akan membantu dari segi dana dan mengharapkan kerjasama daripada pakar arkeologi dan penduduk setempat dalam usaha untuk membongkar artifak zaman Rom yang masih tertanam di kawasan sekitar. Di sini saya akan menceritakan serba sedikit sistem perumahan pada ketika Tamadun Rom berkuasa.

SISTEM PERUMAHAN PADA ZAMAN ROM

Tidak jauh beza sebenarnya sistem perumahan pada zaman kemuncak kegemilangan Rom sebagai sebuah tamadun dengan sistem perumahan pada hari ini. Apa yang membezakan ketika tamadun Rom dan masa kini adalah kemampuan rakyatnya memiliki kediaman.

KAWASAN BANDAR

Pada zaman itu, rakyat biasa di bandar-bandar besar atau kota akan tinggal di dalam sebuah pangsapuri yang biasa dibina tiga hingga lima tingkat atau boleh menjangkaui ke tujuh tingkat. Sesebuah unit akan menempatkan antara 30-50 penghuni bergantung kepada keluasan unit itu. (Kalau COVID-19 wujud zaman itu, mesti ramai yang dijangkiti!).

Perumahan ini dinamakan ‘Insulae’. Struktur binaan insulae ini agak unik kerana bangunan ini menempatkan sumber air dan juga tempat untuk memasak di laman tengah yang dikelilingi oleh unit kediaman. Jadi tujuan unit kediaman itu hanya sebagai tempat tidur sahaja.

Sebuah Insulae

Tingkat bawah biasanya diperuntukkan kepada kedai-kedai menjual pelbagai barangan yang akan menghadap ke bahagian jalan raya. Manakala apartment yang agak besar akan dibina di bahagian bawah sebelum unit yang lebih kecil dibina di kedudukan atas. Kebanyakan insulae tidak dibina dengan ciri keselamatan yang ketat dan sering terjadi runtuhan ataupun kebakaran kerana kebanyakan dibina dengan kayu dan tanah liat sahaja.

Berbeza pula dengan kediaman orang-orang elit yang dinamakan sebagai ‘Domus’. Domus ini boleh kita samakan cirinya dengan banglo mewah orang kenamaan sekarang. Mudahnya, boleh tonton drama atau filem yang bercirikan Roman untuk mendapatkan gambaran tentang rumah jenis ini. Domus dibina berlantaikan mozek dan dihiasi dengan corak fresco di dinding-dinding mereka. Terdapat satu ruang tengah yang dipanggil ‘atrium’ yang dikelilingi oleh bilik-bilik penghuni rumah.

Pelan sebuah Domus

Bilik-bilik juga mempunyai fungsi tersendiri seperti bilik penyimpanan barang, dapur, pejabat, bilik tidur, ruang tamu dan sebagainya. Penggunaan mozek dan fresco pada zaman itu adalah sangat mahal dan hanya bangsawan dan kerabat diraja sahaja yang mampu memilikinya. Inilah ciri masyarakat Rom yang sangat jelas membezakan golongan marhaen dengan pemimpin tertinggi negara.

KAWASAN LUAR BANDAR

Penduduk yang tinggal di luar kota, di kampung-kampung biasanya tinggal di dalam rumah kecil seperti pondok yang dibina dengan kayu-kayu dan ditutupi dengan bumbung jerami. Manakala golongan hartawan pula akan membina sebuah rumah bercirikan domus yang dinamakan ‘Villa’. Villa ini diibaratkan seperti rumah rehat atau istana hinggap di luar kota.

Antara villa yang paling lengkap strukturnya yang masih bertahan adalah Villa Romana del Casale di Pulau Sicily, Itali. Ini kerana kebanyakan villa musnah dalam beberapa kejadian seperti gempa bumi, tanah runtuh atau dimamah lahar letusan gunung berapi yang berlaku ribuan tahun.

Contoh Fresco di Villa Romana del Casale
Struktur bangunan Villa Poppaea yang dibaikpulih.

Villa Poppaea antara contoh kediaman yang tenggelam 10 meter ke dalam tanah kerana lahar gunung berapi Vesuvius yang meletus tahun 79 Masihi. Kediaman yang terletak berhampiran pantai ini (villa maritima) juga dikenali sebagai Villa Oplontis kerana terletak di pekan kecil Oplontis (sekarang dikenali dengan Naples) ketika diekskavasi.

Dikatakan villa ini dimiliki oleh Maharaja Nero yang menempatkan isteri keduanya, Maharani Poppaea Sabina ketika berkunjung ke luar kota Rom berdasarkan beberapa penemuan artifak yang tertulis nama maharani tersebut yang dijadikan nama rasmi kepada penemuan villa berkenaan.

Penemuan terbaharu di Nagrar, menambahkan lagi koleksi villa yang berjaya di carigali yang bertebaran lokasinya bukan sahaja di seluruh Itali, bahkan di seluruh kawasan yang pernah dinaungi oleh Empayar Rom.=

RUJUKAN:

Becker, J. (n.d.). Roman Domestic Architecture (domus) (article) | Khan Academy. Khan Academy. Retrieved May 28, 2020, from https://www.khanacademy.org/humanities/ancient-art-civilizations/roman/beginners-guide-rome/a/roman-domestic-architecture-domus

Rank, S. M. (2013, November 19). The Romans – Housing – History. History. Retrieved May 28, 2020, from https://www.historyonthenet.com/the-romans-housing

(n.d.). Ancient Roman Houses – History Facts For Kids. History For Kids. Retrieved May 28, 2020, from https://www.historyforkids.net/roman-houses.html

(2020, May 26). NEGRAR AN ARCHEOLOGICAL TREASURE UNDER THE VINES. Comune Di Negrar Di Valpolicella. Retrieved May 28, 2020, from https://www.facebook.com/ComunediNegrar/posts/1505771282922742


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.