Moving Forward As One

Peninggalan Bukti Purba Kultus Puja Lembu Di Arab Saudi

1,537

Bagi yang biasa berkunjung ke Arab Saudi, tidak ramai tahu wujud tinggalan arkeologi yang signifikan kepada sejarah manusia. Di negara inilah, wujud struktur purba yang dibina pada era Neolitik yang dikenali sebagai mustatil. Dan menurut para saintis, ia berusia 7,000 tahun, jauh mengatasi Piramid Agung Mesir dan Stonehenge di Britain!

Menerusi projek Arkeologi Udara Al-Ula Arab Saudi (AAKSAU) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Diraja Al-Ula (RCU), pengkaji arkeologi akan mengadakan tinjauan dari udara dan ekskavasi secara bersasar bagi mengkaji struktur yang dinyatakan di barat laut Arab Saudi. Antara pasukan pengkaji yang terlibat ialah pasukan pengkaji diketuai Dr Hugh Thomas dari University of Western Australia (UWA).

Berdasarkan tinjauan dan ekskavasi yang dijalankan, terdapat 1,000 tapak mustatil yang dikenalpasti di wilayah Al-Ula dan Khaybar. Mustatil terdiri daripada dua dinding tebal yang disambungkan dengan dua atau lebih dinding panjang untuk menghasilkan ruang laman bersaiz gergasi. Ia boleh saja berukuran dari 20 meter hingga 500 meter.

Rajah 1: Antara contoh tiga mustatil yang dilihat dari udara. Sumber: RCU dan AAKSA.

Asas mustatil menampilkan sel-sel berbentuk bulatan atau separuh bulatan yang dibina di luar pintu masuk utama. Berdasarkan laporan yang diterbitkan dalam jurnal Antiquity, 1,000 mustatil meliputi kawasan seluas 200,000 km persegi dan berkongsi banyak persamaan termasuk dibina dalam tempoh sama. Mustatil terbesar yang ditemui pengkaji arkeologi terletak di kawasan lapangan lava Khaybar dan berukuran panjang 525 meter.

Sebelum ini, ada mustatil yang sudah ditemui seawal tahun 70-an. Bagaimanapun, penemuan tersebut dipandang sepi oleh kerajaan dan masyarakat ketika itu sekaligus menyaksikan struktur-struktur ini diselubungi oleh misteri. Bagaimanapun, semua itu berubah pada 2017 apabila RCU membiayai aktiviti tinjauan udara dan ekskavasi bersasar yang dijalankan saintis berkenaan mustatil.

Pengkaji arkeologi merasa hairan tentang sebab ia dibina. Ada berpandangan ia dibina sebagai penanda wilayah dan ada juga yang melihatnya sebagai tempat untuk melakukan ritual keagamaan. Hipotesis kedua disokong menerusi penemuan tanduk lembu dan tulang haiwan berkenaan di setiap tapak ekskavasi.

Rajah 2: Antara artifak yang ditemui di mustatil-mustatil sekitar Al-Ula dan Khaybar. Sumber: AAKSA dan RCU.

Menurut pengarah asal projek Dr Hugh Kennedy dari UWA, penemuan ini merupakan bukti pertama kewujudan kultus penyembah lembu di bahagian barat laut Semenanjung Tanah Arab. Penemuan ini juga jauh lebih awal daripada penemuan kultus yang sama di selatan Semenanjung Tanah Arab sejauh 900 tahun. Ia turut memperlihatkan kepentingan lembu sebagai komoditi penting masyarakat ketika itu.

Selain lembu sebagai komoditi penting komuniti ketika itu, mustatil juga dilihat sebagai simbol kerjasama komuniti berbeza bagi membina struktur purba itu. Dr Kennedy percaya pembinaan mustatil direalisasikan oleh kumpulan-kumpulan komuniti yang berkongsi kepercayaan sama antara mereka dan membina monumen sebegini rupa.

Ketika ini, aktiviti tinjauan dan ekskavasi bersasar dijangka akan digiatkan sekitar wilayah Khaybar. Menurut Dr Kennedy, beliau percaya terdapat lebih banyak mustatil yang wujud di kawasan tersebut sekaligus menunjukkan ia sebagai tempat terawal struktur purba itu dibina.

RUJUKAN:

McDermott, A. (2021). Mapping Mustatils, Saudi Arabia’s 7000-Year-Old Stone Monuments. Ancient-Origins.

Arab News. (2021). Saudi Arabia’s ancient human ‘mustatil’ structures revealed in new study.

Ruangan komen telah ditutup.