Peninggalan Bangsa Viking Di Istanbul

1,098

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pada tahun 2014, ahli arkeologis Turki telah menemui tinggalan penempatan pedagang Viking berdekatan ibu kota Istanbul. Penempatan kuno itu wujud pada zaman pertengahan Eropah dan Istanbul ketika itu dipanggil sebagai Konstantinopel. Ya, masa itu empayar Byzantine atau Rom Timur berkuasa.

Nama penempatan pedagang Viking itu adalah Bathonea. Lokasinya berada di pantai Laut Marmara, 20 kilometer jauh dari Istanbul. Sehingga kini, Bathonea masih dikaji bersama-sama pakar sejarah Viking.

Kewujudan Bathonea ini membuktikan bahawa Byzantine mempunyai hubungan khusus dengan orang Viking dalam urusan perdagangan. Kota kuno ini juga mampu mematahkan anggapan masyarakat dunia tentang kegasaran orang Viking yang kuat menakluk demi harta benda.

EKSKAVASI KOTA BATHONEA

Semasa kempen ekskavasi Bathonea dijalankan, kumpulan arkeologis menemui artifak Viking dalam jumlah yang banyak. Contohnya adalah penemuan salib yang direka menggunakan ambergris, sejenis bahan pejal yang ditemui dalam saluran empedu ikan paus sperma. Yang menariknya, ambergris adalah bahan yang sentiasa digunakan dalam pertukangan orang Viking.

Rantai Viking yang ditemui dalam tapak ekskavasi Bathonea.

Tambahan pula, mereka menemui rantai yang berupa ular, simbolik kepada ular Jörmangandr yang membawa petanda bencana Ragnarök. Blazei Stanislawski, pakar sejarah Viking berbangsa Poland menyatakan bahawa mereka menemui tujuh petunjuk yang menunjukkan orang Viking memang pernah menetap di Bathonea.

HUBUNGAN VIKING DENGAN BYZANTINE

Viking telah lama mempunyai hubungan bersejarah dengan Byzantine yang bermula di Laut Agean. Orang Viking bersama kaum saudara mereka bernama Varangian, iaitu penemu kerajaan persekutuan Kievan Rus (Rusia Kuno) meluaskan jalan perdagangan dan memulakan perhubungan dengan Byzantine.

Orang Varangia pernah menyerah Byzantine sebanyak dua kali namun gagal. Demi mengelak pertempuran akan datang, kedua-dua kerajaan menandatangani perjanjian keamanan pada abad ke-9 Masihi, kemudian meneruskan perhubungan dagangan mereka.

Sejak perjanjian itu, kebanyakan orang Viking dari Kievan Rus dan Scandinavia berkhidmat sebagai tentera upahan Byzantine. Tentera Viking mempunyah darah keturunan pahlawan yang mementingkan ketaatan, selain mahir bertarung dengan kapak besar. Maka, ciri-ciri ini menguntungkan maharaja Byzantine kerana ketaatan mereka hanya kepada maharaja, tanpa terikat atau bersekutu dengan golongan aristokrat (bangsawan).

Masuk tahun 988, tentera upahan Viking diserap masuk sebagai Pengawal Varangian semasa pemerintahan maharaja Basil II. Pengawal Varangia bertugas sebagai pengawal maharaja dan tentera elit dalam pasukan tentera Byzantine.

Pengawal Varangia terbaik ketika itu adalah Harald Hardrada yang kemudian menjadi raja Norway. Tentera Pengawal Varangia ini berkhidmat sehingga abad ke-11 Masihi, kemudian tentera berbangsa Viking ini diganti dengan tentera berbangsa Anglo-Saxon yang menjadi pelarian dari England.

Berbalik kepada hubungan dagangan Viking dengan Byzantine, para maharaja Byzantine tidak mempercayai 100% terhadap orang Viking walaupun dipercayai dalam urusan perdagangan kerana gerun dengan orang Viking yang berupaya menakluk Konstantinopel pada masa akan datang.

Jadi, orang Viking dibenarkan menetap di luar Konstantinopel demi menjaga hubungan perdagangan mereka seperti pembinaan kota Bathonea ini. Pada waktu pagi, pedagang Viking dibenarkan masuk ke Konstantinopel atas urusan dagangan, dan masuk waktu malam mereka harus keluar.

Dengan penemuan Bathonea, pengarah ekskavasi bernama Prof. Şengül Aydıngün mengesahkan bahawa mereka telah menemui penempatan Viking sebenar yang berusia antara abad ke-9 hingga ke-11 Masihi di luar Istanbul.

Ukiran grafiti yang dipercayai diukir oleh pedagang Viking ditemui di tingkat dua Hagia Sophia. Tulisan itu bermaksud “Halfdan berada di sini” atau “Halfdan mengukir Rune ini”.

Kesimpulannya, telah wujud hubungan orang Viking dengan orang Byzantine saat empayar tersebut masih berkuasa di Eropah Timur dan Asia Kecil. Dari hubungan perdagangan sehingga menjadi tentera elit Byzantine, begitulah dalamnya hubungan kedua-dua kaum Eropah ini.

RUJUKAN:

Whelan, Ed. (27 August 2020). Evidence Of Viking Mercenary District Found Near Istanbul. Ancient Origins. Retrieved from https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/viking-mercenary-district-0014176

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.