Dalam episod artikel Siri Kota Para Nabi sebelumnya, kita telah mengupas kisah perjalanan sejarah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ishak a.s yang mana kedua orang utusan Allah swt ini mempunyai hubungan kerabat iaitu hubungan anak dengan bapa. Bagaimana pula dengan kisah sejarah tentang anak sulung Nabi Ibrahim a.s bersama Siti Hajar iaitu Nabi Ismail a.s?

LEMBAH BAKKAH: PERTEMUAN DAN PERPISAHAN KERANA TUHAN

Dalam kepercayaan agama Islam, baginda dikenali sebagai Nabi Ismail a.s, dalam agama Yahudi dan Kristian baginda dikenali sebagai Prophet Ishmael. Baginda dikatakan lahir di kota Tel Rumeida, al-Khalil (nama lama daerah Hebron). Tahun kelahiran Nabi Ismail a.s masih belum dipastikan.

Allah swt menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim a.s untuk membawa isteri keduanya, Siti Hajar dan anak pertama dari perkahwinan mereka, Nabi Ismail a.s ke sebuah lembah yang tandus di semenanjung Arab iaitu lembah Bakkah.

Lembah Bakkah merupakan nama lama atau nama kuno bagi kota Mekah. Bakkah dari bahasa Arab yang membawa maksud bersaing. Di dalam al-Quran, surah Ali Imran ayat 96 juga Allah swt menyatakan nama Bakkah:

“Sesungguhnya rumah pertama yang dibangunkan untuk manusia, ialah yang di Bakkah yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam”.

Sebahagian para ulama mempunyai pendapat masing-masing berkaitan nama Bakkah. Ada yang menyatakan Bakkah hanya termaktub ke atas kawasan yang dibangunkan Baitullah dan Mekah itu adalah seluruh kawasan georgrafinya.

Ada pula yang menyatakan Bakkah dan Mekah adalah sama pengertiannya. Tidak salah menyebutkan antara Bakkah dan Mekah. Ibnu Manzur dalam kitabnya, Lisan al-Arabi menyatakan Bakkah membawa maksud ‘dikelilingi dua buah gunung’ yang mana secara sudut geografinya, kawasan Masjidil Haram dikelilingi oleh gunung-gunung.

Terserah kepada pendapat masing-masing.

Sesampainya di kawasan lembah yang tandus ini, maka Nabi Ibrahim a.s menurunkan Siti Hajar dan bayi Ismail dengan perasaan yang redha kepada Allah swt. Baginda meninggalkan sedikit kurma dan bekalan air minuman kepada mereka berdua.

Ketika Nabi Ibrahim a.s mahu meninggalkan mereka berdua untuk kembali ke kota Tel-Rumeida, al-Khalil (Hebron), Siti Hajar bertanya kepada suaminya mengapa mereka berdua ditinggalkan di sebuah lembah yang kering tanpa penghuni, apalagi kehidupan?

Nabi Ibrahim a.s menjawab, ia adalah perintah dari Allah swt.

Maka, Siti Hajar yang mengetahui ia perintah dari Allah swt, beliau langsung menyanggupinya dan menerima dengan hati yang terbuka.

Apabila Nabi Ibrahim a.s tiba di kawasan bukit Tsaniyah dan sudah tidak kelihatan dua orang sosok yang disayanginya, baginda menadah tangan lalu berdoa kepada Allah swt. Doa Nabi Ibrahim a.s diwahyukan Allah swt di dalam surah Ibrahim ayat 38 yang berbunyi:

“Ya Rabb kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Rabb kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Kepanasan lembah Bakkah yang mencapai suhu yang kering yang tinggi menyebabkan bekalan air dan kurma habis dijamah. Susu badan Siti Hajar sudah mengering. Tiada lagi yang mampu diberikan kepada bayi Ismail. Maka, merontalah bayi Ismail kerana kelaparan susu badan seorang ibu.

Siti Hajar buntu mahu melakukan apa. Beliau bangun dan meletakkan Ismail di atas tanah Bakka yang panas berlapikkan kain. Beliau berlari ke sana ke sini mencari sumber air yang mampu diberikan kepada Ismail. Siti Hajar berlari-lari anak dari bukit Safa dan bukit Marwah sebanyak tujuh kali berturut-turut. Jarak antara bukit Safa dan bukit Marwah adalah sekitar 3 km.

Setelah kepenatan berlari dan tidak menemui oasis atau sumber air lainnya, maka Siti Hajar berlari kembali mendapatkan Ismail. Ketika sesampainya di sana, beliau melihat munculnya percikan air dari dalam tanah berdekatan tempat pembaringan Ismail. Tanpa berlengah, Hajar berlari dan mengumpukan pancuran air tersebut sambil menyebut “zam-zam” yang membawa maksud “berkumpullah-berkumpullah“.

Di dalam kisah keluarnya air ini, terdapat dua versi berkaitan keluarnya air zam-zam dari perut bumi Bakkah:

1. Ketika Ismail meronta, tumit kakinya menghentak permukaan tanah lalu keluarnya air mata zam-zam.

2. Datangnya Malaikat Jibril lalu ia menghentakkan hujung sayapnya ke permukaan tanah berdekatan Ismail lalu keluarlah air zam-zam.

Setelah Allah swt mengurniakan sumber mata air di kawasan lembah Bakkah, maka kawasan tersebut secara perlahan-lahan menjadi kawasan yang subur. Haiwan dan burung-burung datang berterbangan memenuhi ruangan langit Bakka.

Kehidupan Siti Hajar dan bayi Ismail diselamatkan Allah swt.

Hari pun berlalu. Mengikut sebuah riwayat, ketika Bani Jurhum melalui kawasan lembah Bakkah, mereka melihat dari kejauhan sekumpulan burung berterbangan di langit menaungi sebuah kawasan. Bagi pengalaman mereka, jikalau burung berterbangan mengelilingi di awan di sesebuah kawasan, pastinya kawasan tersebut mempunyai sumber air. Maka berbondonglah rombongan kabilah Bani Jurhum menuju ke kawasan tersebut dan menemui sebuah telaga yang penuh dengan air yang segar.

Wakil ketua Bani Jurhum menemui pemilik telaga tersebut yang tidak lain tidak bukan adalah Siti Hajar. Mereka meminta izin dari Siti Hajar untuk mengambil sedikit bekalan air dan mendirikan penempatan di sini. Hajar mengizinkan dan sinilah bermulanya penempatan manusia di lembah Bakkah.

Terdapat pelbagai versi cerita. Ada yang menyatakan Nabi Ismail a.s banyak belajar dari pengetahuan tentang kehidupan yang diajarkan oleh bani Jurhum. Nabi Ismail a.s tumbuh besar di lingkungan mereka. Walaupun lembah Bakkah pada waktu tersebut subur, tetapi penduduk Bakkah tidak menanam apa-apa kecuali berburu dan menggembala untuk memenuhi keperluan bekalan makanan mereka.

Dan secara umumnya, kita sudah mengetahui bagaimana perjalanan Nabi Ismail a.s di bumi Bakkah mulai dari proses penyertaannya membina Baitullah bersama bapanya, Nabi Ibrahim a.s sehinggalah ke tahap ujian yang paling besar iaitu penyembelihan. Penyembelihan inilah yang dirayakan oleh umat Islam sebagai Perayaan Hari Raya Aidiladha sempena mengingati pengorbanan dan kepatuhan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s di atas arahan Allah swt. Pembaca boleh membacanya di pautan dibawah.

Babylonia: Kota Kelahiran Bapa Segala Nabi: https://www.thepatriots.asia/babylonia-kota-kelahiran-baginda-nabi-ibrahim-a-s/

Seiring berlalunya zaman, Siti Hajar meninggal dunia di Bakkah ketika Nabi Ismail a.s mencapai umur 19 tahun. Jasadnya dikuburkan berdekatan Baitullah.

BANGSA ARAB MUSTA’RIBA: KETURUNAN NABI ISMAIL A.S.

Di dalam sebuah riwayat, dikisahkan Nabi Ismail a.s berkahwin sebanyak dua kali, yang mana kedua-dua isterinya dari bani Jurhum. Nabi Ibrahim a.s ketika ini datang ke Bakkah untuk menemui Nabi Ismail a.s, tetapi hampa kerana anaknya keluar bepergian/berburu. Kedatangan Nabi Ibrahim a.s disambut oleh isteri pertama Nabi Ismail a.s. Di sinilah, Nabi Ibrahim a.s dilayan buruk. Isteri pertama diceraikan oleh Nabi Ismail a.s kerana akhlaknya yang buruk setelah dinasihati oleh ayahnya, Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Ismail a.s berkahwin dengan seorang lagi wanita dari bani Jurhum. Dari isteri keduanya ini lahirlah beberapa orang anak. Anak-anaknya inilah yang bakal melahirkan para keturunan yang menjadi penguasa di semenanjung Arab.

Daripada anak-anaknya yang ramai ini, hanya dikenali tiga orang sahaja iaitu Qayzar, Thabit dan Sabiha. Nabi Ibrahim a.s bukanlah dari bangsa Arab yang tulen, bahkan baginda berasal dari bangsa yang menetap di daerah Tamadun Mesopotamia.

Begitu juga dengan Nabi Ismail a.s. Keturunan Nabi Ismail a.s dipanggil sebagai bangsa Arab Musta’riba (campuran) melalui perkahwinan. Bani Jurhum merupakan kelompok bangsa Arab Aribah (tulen). Apabila Nabi Ismail a.s berkahwin dengan bangsa Arab Aribah, maka lahirlah bangsa Arab Musta’ribah.

Untuk bacaan lanjut mengenai pembahagian bangsa Arab, pembaca boleh merujuk bacaan di pautan ini.

Bangsa Arab dan Quraisy: https://www.thepatriots.asia/bangsa-arab-dan-quraisy/

Ketika Nabi Ismail a.s mencapai usia yang lanjut iaitu 137 tahun, baginda melakukan perjalanan ke Tel Rumeida iaitu kota yang diduduki oleh saudaranya lain ibu, Nabi Ishak a.s bersama anaknya, Sabiha.

Di sinilah, Nabi Ismail a.s mengahwinkan anak perempuannya, Sabiha dengan anak lelaki Nabi Ishak a.s. iaitu Ays. Setelah selesai perkahwinan anaknya, Nabi Ismail a.s beransur pulang ke Bakkah. Pada tahun itu juga, Nabi Ismail a.s wafat pada umur 137 tahun. Jasadnya dikuburkan bersebelahan ibunya, Hajar berdekatan Kaabah oleh anak-anak baginda.

Untuk lebih lanjut mengenai Nabi Ishak a.s, pembaca boleh membacanya di pautan ini.

Tel Rumeida: Kota Kelahiran Nabi Ishak a.s: https://www.thepatriots.asia/tel-rumaida-runtuhan-kota-peninggalan-nabi-ishak-a-s/.

Daripada sumber Biblical, dalam bahagian Genesis ayat 25 dan bab Chronicles ayat 29-33 dinyatakan 12 anak Prophet Isaac iaitu:

1. Nabajoth.
2. Kedar.
3. Adbeel.
4. Mibsam.
5. Mishma.
6. Dumah.
7. Massa.
8. Hadad.
9. Tema.
10. Jetur.
11. Naphish.
12. Kedemah.

Anak-anak dan para keturunan Nabi Ismail a.s menyebar ke seluruh semenanjung Arab, Mesir sehingga ke kerajaan Assyria. Dinyatakan, keturunan dari Nabi Ismail a.s melahirkan suku-suku bangsa Arab yang lain. Hanya dua orang anaknya sahaja yang masih tinggal di Bakkah setelah kewafatan baginda iaitu Qayzar (Qaidar) dan Thabit. Kedua orang anaknya membahagikan tugas diantara mereka untuk menjaga kesucian dan keamanan Bakkah setelah pemergiannya. Qayzar mendapat tugas menjaga telaga air zam-zam dan Thabit pula menjaga Kaabah

Dari Qayzar lahirlah anak-anaknya. Dari anak-anak Qayzar lahirlah keturunan Quraisy. Dan dari keturunan Quraisy inilah lahir utusan Allah swt yang terakhir, Nabi Muhammad saw. Tetapi, nama-nama terperinci mengenai moyang Nabi Muhammad saw tidak dijelaskan secara terperinci di dalam kitab hadis ataupun kitab sejarah dan yang pastinya Nabi Ismail a.s merupakan moyang ke-30 Nabi Muhammad saw.

Baik, begitulah kisah ringkas perjalanan sejarah kehidupan Nabi Ismail a.s di bumi Bakkah dari pandangan dan penelitian kronologi sejarah.

Wallahu’alam.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.