Pengintip Kesultanan Melaka Yang Syahid Ditangan Portugis

972

Saya ingin kongsikan kisah seorang perwira yang kurang dikenali dan tidak didendang. Beliau adalah Sang Naya, pengintip atau mata-mata Kesultanan Melaka.

Saya telah mengumpulkan banyak fakta tentang ilmu dan strategi perang dalam menentang penjajahan di Alam Melayu. Antaranya ialah kemahiran merisik, menyamar dan mengintip. Portugis juga mencatatkan bahawa pengintip-pengintip Melaka pernah naik ke kapal-kapal Portugis dan menyamar sebagai pedagang.

Salah seorang pengintip atau mata-mata dalam Kesultanan Melaka ialah Sang Naya. Ketika Portugis sudah menguasai Kota Melaka dan Sultan Mahmud Syah terpaksa berundur ke Johor, Sultan Melaka itu tidak menyerah kalah semata-mata. Baginda sentiasa berusaha untuk merebut kembali Kota Melaka.

Ketika di Johor, melalui arahan Sultan Mahmud Syah, Laksamana Melaka iaitu Hang Nadim telah memerintahkan Sang Naya untuk menyusup ke Kota Melaka dan mengintip keadaan dalam Kota Melaka. Sang Naya juga ditugaskan untuk menjalankan propaganda dan menghasut orang-orang yang ada di Kota Melaka untuk memberontak menentang Portugis.

Sang Naya pun menjalankan tugasnya dengan penuh berani dan cemerlang. Beliau telah menghasut orang-orang di Melaka untuk memberontak bagi mewujudkan ancaman ke atas Portugis dari dalam Kota Melaka.

Namun, Sang Naya akhirnya tertangkap dan beliau telah dibunuh kejam oleh Portugis. Sang Naya telah diikat dan dibawa ke puncak benteng A Farmosa. Beliau kemudiannya dilemparkan dari atas benteng ke bawah. Dengan itu, beliau pun terkorban.

Punca pihak Portugis berjaya menghidu aktiviti rahsia Sang Naya berkemungkinan besar disebabkan berlakunya pengkhianatan ke atas dirinya oleh orang-orang tempatan sendiri. Tidak diketahui di manakah Sang Naya dimakamkan. Barangkali di sekitar Benteng A Farmosa.

Sang Naya adalah tokoh yang tidak dikenali dan terpinggir. Namun peranannya dalam usaha membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah sangatlah besar.

Hasanuddin Yusof 
Maktab Penyelidikan 
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.